Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
109,575
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 20

Istana, Kota Langkasuka

SHAFI berhenti berzikir. Geseran anak panah dan udara menghasilkan bunyi desus. Pantas Shafi membuat satu balik ruang di udara. Dia lantas mendarat kemas di lantai. Anak panah itu gagal membunuhnya, lantas tercacak di tempat dia berbaring sahaja. Shafi menarik nafas lega. Ternyata nalurinya benar.

Dia meluru ke arah anak panah yang tercacak. Belum sempat dia mencabut, anak panah itu bertukar menjadi seekor ular kecil yang tampak berbisa. ‘Sihir’ Shafi bermonolog dalam siaga. Secara spontan keris Perpisahan dihunus dari sarung. Sejak pertama kali keris itu diberikan oleh Kiai Jabar, inilah kali pertama Shafi menggunakannya sebagai alat pelindung diri.

Shafi membuka langkah. Bersiaga dengan keris dihalakan ke depan. Secara tiba-tiba ular itu bergerak pantas mencari lubang kecil di bahagian tingkap lalu melepaskan diri. Shafi pula hanya berdiam tanpa mengejarnya. Dia tidak berniat untuk membunuh ular itu.

“Aku berlindung kepada-Mu ya ALLAH.” Suara hati Shafi bermonolog sendiri.

Bagaro menderam kerana gagal membunuh Shafi. Kepantasan panah sihir yang dilepaskannya tidak menepati sasaran walaupun dari jarak yang dekat. Malah selepas melepaskan anak panah, dia lari dari bilik rehat Shafi. Ternyata dia takut untuk bersemuka.

RAJA MAHADEWA tampak serius. Dia memandang Shafi secara menyeluruh. Dia melihat pemakaian Shafi – menyerupai cara pemakaian orang Melayu. Walhal, Kerajaan Langkasuka juga merupakan sebuah kerajaan Melayu lama.

Menurut rekod Cina, Diansti Liang (502-566M), "Lang-ya-Shiu"yang bererti “Langkasuka” telah didirikan menjelang abad Pertama Masihi. Langkasuka ataupun Patani pada masa kini terletak antara Senggora (Songkla) dan Kou-Lo-Tan (Kelantan) ketika itu telah membina pelabuhan di Teluk Langkasuka iaitu Teluk Patani sekarang.

Langkasuka telah berupaya mewujudkan "Institusi Raja Melayu", dan ia merupakan satu-satunya negara-kota Hindu-Buddha yang terpenting menjadi Pusat Perdagangan di Semenanjung Tanah Melayu, dan wilayahnya melebar dari Kataha (Kedah Tua) hingga ke Ligor (Nakhon Sri Thamarat) dan Patani. Namun , kepercayaan agama mereka berubah seiring kedatangan pedagang Arab di rantau Asia ini.

Shafi duduk menghadap. Dia menjaga adab sopannya sebaik mungkin. Walaupun mereka berbeza kepercayaan, namun dia sangat menghormati sebagai seorang pemerintah kerajaan itu.

“Dengar khabar, kau yang menewaskan penunggu laut di Perkampungan Nelayan itu?” Raja Mahadewa akhirnya bersuara.

“Secara kebetulan sahaja hamba melalui kawasan perkampungan itu.” Shafi menjawab tetapi dengan menggunakan kenyataan. Dia sungguh bijak – tidak mengaku bahawa dialah yang membebaskan Perkampungan Nelayan daripada belenggu penunggu laut.

“Kau sangat hebat, anak muda. Siapa namamu?”

“Nama hamba Shafi. Hamba hanya insan yang biasa.” Shafi bertutur dengan nada yang mendatar.

“Kalau begitu, kau akan diberikan hadiah, Shafi.” Raja Mahadewa menzahirkan penghargaan.

“Hamba ikhlas, hamba tidak inginkan sebarang hadiah.” Shafi telus ketika berbicara.

“Tidak mengapa, beta terhutang budi kepadamu, Shafi. Perkampungan Nelayan itu adalah di bawah pemerintahan kerajaan Langkasuka.” Raja Mahadewa tetap saja dengan pendiriannya.

“Kalau begitu, baiklah tuanku.” Shafi akhirnya mengalah.

Di sudut bahagian belakang, Pangeran Aring dan Bagaro menyumpah kasar dalam hati. Musuh utama mereka mendapat layanan baik daripada Raja Mahadewa itu. Api cemburu membuak-buak. Ingin sahaja mereka berdua menyerang Shafi tika ini.

“Kita tunggu masa yang sesuai, Bagaro.” Pangeran Aring berbisik. Bagaro hanya mencebik.

PUTERI IRDINA FARIHIN menapak masuk di pintu utama istana. Keletihan masih bergayut di sendi setelah seharian bersiar-siar melihat keindahan Taman Bunga di sebelah utara kota. Perlahan dia masuk di ruang rehat. Masa inilah Shafi melintas keluar dari ruang rehat setelah menjamu selera bersama Raja Mahadewa. Mereka berselisih namun dalam keadaan Shafi membelakangi dirinya.

Puteri Irdina Farihin mengamati lelaki itu dari belakang. ‘Bukan pekerja istana. Mungkin tetamu’, Dia bermonolog.

Raja Mahadewa yang melihat kepulangan puterinya tampak gembira. Dia duduk di kerusi utama sambil menjamah sedikit buah.

“Ke mana anakanda pergi seharian ini?” Raja Mahadewa menguntum senyuman.

“Anakanda hanya bersiar-siar mengelilingi kota dan mengunjungi Taman Bunga di Utara kota, ayahanda.” Puteri Irdina Farihin melabuhkan diri di kerusi yang berhampiran dengan ayahnya.

“Baguslah kalau begitu. Lagipun, sudah lama kita tidak meninjau persekitaran.” Raja Mahadewa menarik nafas panjang.

“Ingatkan anakanda ingin sekali bersiar-siar dengan ayahanda siang tadi.” Puteri Irdina Farihin tersenyum. Biasanya cara dia bertutur dengan ayahnya Cuma menggunakan ‘anakanda’ dan ‘ayahanda’ sebagai panggilan seharian.

“Secara kebetulan, hari ini ayahanda menunggu seorang tetamu dari jauh. Justeru, ayahanda berkemungkinan tidak akan dapat menemani anakanda pergi.” Jelas Raja Mahadewa.

“Jadi lelaki yang keluar tadi itulah tetamu ayahanda?” Puteri Irdina Farihin memalingkan muka ke arah pintu keluar.

“Benar anakanda, dia sangat santun orangnya.” Raja Mahadewa senyum penuh makna.

“Dari mana dia datang?” Puteri Irdina Farihin semakin galak bertanya. Entah mengapa hatinya teringin sangat mengetahui tentang lelaki itu.

“Dia dari kawasan timur kota, anakanda.”

“Siapakah namanya, ayahanda?” Entah kenapa dengan degup jantungnya, nafasnya juga sudah tidak seiring dengan keadaan dirinya walaupun berjaya dikawal. Raja Mahadewa hanya tersenyum. Puteri Irdina Farihin pula menunggu tanpa sabar.

MALAM yang kelam. Puteri Irdina membuka kelopak mata. Dia mengesot mata berulang kali apabila mendapati perubahan bilik tidurnya. Perlahan dia bangun. ‘Ah, tempat apakah ini?’. Suara hatinya bergumam. Perlahan dia bangkit apabila ternampak cebisan cahaya dari luar bilik. Perlahan dia menapak dan membuka pintu.

Puteri Irdina tersentap. Kedengaran suara seorang lelaki di luar. ‘Di manakah dia tika ini’, antara persoalan yang sedari tadi bermain di fikirannya. Dia menghentikan langkah. Seorang lelaki yang sedang duduk membelakangi dirinya sedang mengalunkan ‘sesuatu’ yang sangat lembut menusuk kalbunya. Dalam fikirannya, lelaki itu sedang bersyair ataupun melagukan sesuatu yang berunsur cinta berdasarkan keadaan lelaki itu yang kelihatan khusyuk. Puteri Irdina terdehem, munajat Shafi terhenti serta-merta – perlahan dia membuka kelopak mata dan berdiri menghadap Puteri Irdina.

Tangkai jantung Puteri Irdina seperti disentap. Dia sangat mengenali raut wajah itu. Walaupun tidak jelas, namun hatinya dapat meneka. Segera dia mengatur pernafasan.

“Salam sejahtera ke atas kamu, wahai wanita yang dirahmati ALLAH.” Salam kesejahteraan dihulur.

“Err…” Puteri Irdina tersipu malu. Ucapan itu dirasakan sungguh bermakna dalam hatinya walaupun tidak memahami inti pati sebenar ayat itu.

“Apa khabar dengan syurgamu ?” Shafi tenang ketika melafazkan pertanyaan khabar suci itu.

“Syurga?” Puteri Irdina Farihin keliru kerana baru pertama kali mendengar perkataan itu. Maka, mengertilah Shafi bahawa wanita itu jauh dari hidayah ALLAH yang Maha Pemberi Rahmat.

“Syurga… tempat yang abadi. Tempat yang kita selalu impikan sesudah mati.” Shafi masih seperti tadi – memaniskan raut wajah walaupun tidak kelihatan dek suram.

“Fahamkan beta kemudian. Emm…lama tidak bertemu?” Puteri Irdina seolah-olah mengubah arus perbicaraan dan menjurus kepada soal hati. Dia menagih rindu.

“Segala puji bagi ALLAH yang menemukan dan memisahkan kita.” Shafi segera beristighfar.

“Tapi kali ini, beta berasa sangat dekat dengan dirimu.” Puteri Irdina berusaha mengamati paras wajah Shafi yang terhijab dengan kemalapan cahaya.

“Hati kita sememangnya sudah lama dekat, Tuan Puteri.” Suara Shafi bergema lembut menusuk hati kecil Puteri Irdina.

Setelah lafaz terakhir tu, suasana berubah secara mendadak. Gegeran kecil menggetarkan tubuh. Debu di lantai bergerak perlahan dan… gelap. Detik yang paling tidak disukai oleh Puteri Irdina. Ruang mimpi bakal memisahkan hatinya dengan lelaki itu.

Suasana menjadi hening. Tiada lagi sebarang suara yang kedengaran. Puteri Irdina Farihin membuka kelopak mata. Perlahan dia mengesat tubir matanya – ternyata air matanya turut menangisi perpisahan itu walaupun bukan di alam nyata. Jauh di sudut hati, kesyahduan masih mencuit-cuit hatinya kala ini.

SHAFI beristighfar berulang kali. Dia segera bangun dan menghidupkan lilin istana yang terdapat di bilik tetamu itu. Walaupun keadaan masih malap, namun sedikit-banyak cahaya itu dapat memberikannya sedikit ruang bernafas. Dia mengerah kembali ingatannya – mengimbas pertemuan singkat itu. Siapakah gadis yang menggelar dirinya sebagai ‘Beta’ dalam mimpinya itu. Persoalan yang sering bermain di benaknya sejak pertemuan pertama di alam mimpi. Dan sekarang merupakan pertemuan ketiga bersama ‘dia’.

Shafi berdiri lalu membuka tingkap. Hamparan bintang-bintang masih menghiasi langit. Angin menyapa lembut. Di kejauhan, bunyi deruan ombak yang menghempas pantai kedengaran. ‘ahh… setianya pantai itu. Sudah dikasari ombak namun tetap di situ – menanti deruan ombak yang terkadang mengganas. ‘Ya, pantai itu setia – setia dengan ketentuan Tuhannya.’ Suara hati Shafi pula yang berkata-kata.

Tatkala inilah kedengaran suara halus di cuping telinganya. Dia amat mengenali suara itu. sayup suara itu menyapa dirinya. Perlahan Shafi mengusap angin seolah-olah empunya suara itu berada di hadapannya. Dia segera beristighfar. Sebagai lelaki biasa, dia tidak pernah terhindar daripada bisikan halus itu. Adakah dia mula rindu?. Ya, hatinya rindu dengan penciptanya – Shafi segera berwuduk dan melakukan solat sunat tahajud, hajat dan taubat. Subahan-ALLAH.

Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.