Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
107,926
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 13

Perkampungan Nelayan, Langkasuka

AIR LAUT yang tenang tiba-tiba sahaja bergelora. Para penghuni Perkampungan Nelayan itu terkejut. Kanak-kanak yang sedang bermain di tepian pantai segera naik ke rumah. Akan tetapi ada juga penduduk kampung itu yang terlambat naik ke daratan lalu dihempas ombak yang mengganas. Tiada jaminan untuk hidup kerana manusia diciptakan untuk menghuni daratan.

“Semua masuk ke dalam rumah!” Kedengaran suara daripada seorang lelaki bertempik. Lima orang lagi pemuda Perkampungan Nelayan itu berdiri gagah di tepi pantai, tetapi agak ke daratan sedikit.

“Keluarlah kau, wahai makhluk penunggu laut.” lelaki tadi bersuara. Dia merupakan tuan tanah di Perkampungan Nelayan ini.

Air laut yang tenang berubah riak. Pusaran yang menyerupai lingkaran tiba-tiba sahaja timbul. Air laut seperti surut. Kala inilah pusaran itu menjulang tinggi dan menghempas ke pantai tetapi bukan ke arah mereka. Makhluk air itu seperti hanya ingin memberi amaran.

“Kita tidak bermusuhan, wahai makhluk air. Usahlah ganggu kehidupan kami.” pemuda yang berada di sebelah kanan bersuara lantang. Kala inilah beberapa makhluk yang terbentuk daripada air laut yang menghempas pantai tadi kelihatan terapung-apung di udara.

Makhluk-makhluk itu masih terapung-apung. Seorang daripada pemuda itu memungut seketul batu lalu melemparkan ke arah makhluk air itu. Jasad makhluk yang terhasil daripada air itu berkecai, tetapi bercantum semula. Tuan tanah yang tidak sempat menghalang perbuatan anak buahnya merengus marah. Perbuatan itu mengakibatkan makhluk-makhluk itu mengeluarkan bunyi-bunyi yang tidak difahami.

Tidak semena-mena, makhluk air itu terbang meluru ke arah mereka. Serangan pertama tidak tersasar, pemuda yang melemparkan batu tadi tercungap-cungap kerana air telah memasuki rongga hidungnya. Tidak lama kemudian pemuda itu rebah ke pantai. Darah pekat yang tersembur dari mulutnya seakan-akan mengindahkan lagi pantai yang memutih.

“Lariii…lari!!!” Tuan tanah itu jadi gelabah. Namun dua orang lagi daripada kumpulan mereka telah terperangkap oleh kepungan makhluk-makhluk air itu. Mereka berdua kemudian seperti ditarik-tarik oleh tangan yang bersifat ghaib sehingga mereka termasuk di dalam air laut.

“Arghhh!” Jeritan panjang daripada kedua pemuda itu memecah kesunyian Perkampungan Nelayan. Para penduduk kampung yang menyorok berasa terkilan. Ternyata nestapa sengaja bertandang di hati mereka untuk seketika. Jeritan yang terhasil daripada roh yang keluar dari jasad amat mengerikan untuk didengar, dan teramat pilu untuk dirasa.

Tuan tanah di Perkampungan Nelayan itu berasa terpukul dengan kejadian yang berlaku sebentar tadi. Tanggungjawab sebagai ketua di perkampungan itu memberatkan ubun-ubun kepala. Baru sebentar tadi berlaku serangan makhluk-makhluk penunggu laut. Dan yang pasti, mereka tidak akan datang sekali.

MALAM kian berlabuh, kesepian membalut suasana. Tidak seperti malam kebiasaannya, para penduduk Perkampungan Nelayan ini pasti akan membakar ikan hasil daripada tangkapan di laut. Tapi dengan kehadiran makhluk-makhluk itu, ketakutan mencengkam jiwa. Hendak menguak pintu pun takut, cuma telinga sahaja yang dipasang. Mendengar deruan dari laut, mana tahu makhluk-makhluk itu akan bertamu lagi.

Tuan tanah Perkampungan Nelayan itu atau lebih dikenali sebagai Aki Baji sedang berjalan menuju ke pinggiran pantai. Di tangannya sebatang jamung untuk menerangi jalan. Apabila dia sampai di pinggiran pantai, satu pusaran kecil tiba-tiba sahaja timbul dari permukaan laut, kemudian muncul pula seekor makhluk penunggu laut itu.

“Apa yang kau mahu, orang tua?” makhluk itu terbang menuju ke pinggiran pantai. Perlahan-lahan bentuknya menjadi manusia. Sejenak kemudian, seorang gadis yang sangat cantik menjelma daripada pecahan air laut yang terbentuk tadi. Aki Baji mengesat-ngesat matanya kerana seperti tidak percaya.

“Si.. siapa kau?” Aki Baji terundur ke belakang.

“Aku ialah Ratu Dewi yang mengetuai makhluk-makhluk penunggu laut ini” Ratu Dewi berketerampilan sangat cantik dan menawan hati.

“Kalau begitu, tolong jangan kacau perkampungan kami. Kita tidak bermusuhan.” Aki Baji naik darah.

“Inilah sifat keturunan kami, orang tua.” Ratu Dewi hanya selamba.

“Setahu aku, makhluk penunggu laut tidak dapat hidup lama di daratan.” Aki Baji bersiaga. Andai Ratu Dewi menyerang, badik sudah siap tersisip di bahagian belakangnya. Biarpun hatinya gentar, tetapi tanggungjawab yang dipikulnya lagi berat. Ibarat bayang yang sentiasa mengikuti yang empunya badan.

“Aku mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan mereka yang berada di bawahku. Aku juga dapat membunuh kau, orang tua.” Ratu Dewi ketawa terbahak-bahak.

“Apakah tawaranmu, Ratu Dewi?” Aki Baji jadi seram mendengar hilaian makhluk terkutuk itu.

“Lakukan pemujaan di laut ini, orang tua.”

“Tapi, kami sudah lama meninggalkan amalan nenek moyang itu, Ratu Dewi” Aki Baji tidak bersetuju.

“Lakukan atau kamu semua akan mati!” Ratu Dewi segera mengunjur ke laut dan hilang bersama pusaran kecil di permukaan laut yang terbentuk.

SUDAH dua hari penduduk Perkampungan Nelayan itu menahan lapar. Para nelayan tidak turun ke laut lagi, kalau turun pun mereka tidak mendapat ikan walau seekor. Serangan makhluk-makhluk penunggu laut itu ternyata pembawa malapetaka bagi semua keluarga penduduk di Perkampungan Nelayan itu. Mereka hanya menjadikan ubi kayu sebagai pengalas perut.

“Kita lakukan sahaja, pemujaan itu Aki.” Jali - seorang pemuda 20-an daripada kelompok masyarakat nelayan itu bersuara.

“Kita tidak boleh terburu-buru, Jali. Sudah lama kita meninggalkan amalan nenek moyang kita itu.” Aki Baji bersuara.

“Jadi bagaimana, kita semua akan mati kelaparan?” Jali ternyata tidak menyetujui pandangan Aki Baji selaku Tuan Tanah di Perkampungan Nelayan itu.

“Sekarang pun kita tidak mengamalkan apa-apa anutan, apa salahnya kita lakukan sahaja.” Jali semakin galak.

“Baiklah, tapi kamu yang melakukannya Jali. Aku tidak mahu lagi melakukan perkara itu.” Aki Baji sudah jemu mendengar kata-kata Jali yang tampak memaksa.

“Aku yang akan mengetuai pemujaan itu, Aki Baji!” Jali lantas beredar dari situ kerana berang.

SEAWAL petang Jali bersama-sama dengan segelintir penduduk perkampungan itu menyediakan tempat pemujaan. Nasi pulut, pelbagai kuntuman bunga-bungaan, kemenyan, dan unggun disediakan di tepi pantai. Menjelang malam nanti mereka akan bersama-sama melakukan perbuatan syirik itu. Sesungguhnya, syirik adalah perbuatan dosa yang tidak akan diampunkan oleh ALLAH. Aku bersaksi tiada Tuhan Selain ALLAH, dan Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH.

“Kalian semua sudah bersedia?” Jali memandang air muka semua penduduk kampung yang menyertainya. Mereka kelihatan gelisah dan ketakutan. Mereka serentak terangguk-angguk.

“Wahai Raja sekalian laut, Ratu sekalian laut. Kami persembahkan jamuan untuk kehidupan abadi kamu. Kami, anak-anak nenek moyang pemujamu. Lepaskan perkampungan kami daripada belenggu kalian semua wahai makhluk-makhluk penunggu laut.” Jali kelihatan yakin ketika melaungkan kata-kata itu.

Sudah lebih sejam mereka duduk mengelilingi unggun api yang dinyalakan, namun tidak ada tanda-tanda yang makhluk penunggu laut itu akan muncul. Mereka semua berasa hampa. Aki Baji yang berselindung di sebatang pokok di daratan mengeluh. Makhluk-makhluk itu berdusta dan tidak menepati janji. Dia kemudian menyusup dalam kegelapan malam lalu masuk semula ke rumah.

“Mari kita pulang!” Jali berdiri lalu mengorak langkah menuju ke daratan.

“Baiklah…” Para penduduk yang lain juga beredar dari situ. Mereka hampa

“Plurkkk…plurkkk…” Ketika mereka berjalan menuju ke arah daratan, kedengaran seruakan air di permukaan laut. Mereka semua segera berpaling ke arah datangnya bunyi itu. Unggun api yang tidak dipadam tidak menyukarkan mereka melihat sesusuk tubuh manusia tersembul keluar dari permukaan laut dan menuju ke pantai. Apabila mereka pandang secara teliti, kelihatan seorang wanita yang sangat jelita dan rupawan. Umpama puteri dari kayangan yang turun ke dunia.

Mereka terpaku, seumur hidup inilah kali pertama mereka melihat seorang gadis yang sungguh mempesona. Meragut jiwa setiap lelaki yang menatapnya.

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.