Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
108,004
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 21

Hutan Jalan Mati

SUHAIL kembali ke khemah dengan buah-buahan hutan yang dibawanya. Puteri Qaisara terbangun dari tidur apabila dia dipanggil dari luar khemah. Dia segera bangun dan menjenguk. Ternyata kepenatan mengharungi situasi maut yang berlaku semalam membejatkan kudratnya. Segera dia menyiapkan diri seadanya lalu menuju ke luar.

“Jemputlah untuk menjamah buah itu Tuan Puteri. Tentu banyak tenaga yang hilang semalam.” Suhail melihat Puteri Qaisara dengan perasaan dengan penuh simpati. Wajahnya mempamerkan segaris keletihan yang melelahkan. Perlahan dia menjamah buah-buahan hutan itu. Suhail hanya memerhati tanpa dengan lidah terkunci.

“Terima kasih Suhail, disebabkan pertolongan kau beta masih hidup.” Puteri Qaisara menguntum senyuman walaupun tawar.

“Sudah menjadi tanggung jawab saya, Tuan Puteri. Selepas makan kita akan pergi ke arah barat.” Suhail meraba-raba busur yang diletakkan di sisinya.

“Apakah kamu menemui jalan keluar, Suhail?” Puteri Qaisara terhenti makan.

“Kemungkinan besar Tuan Puteri. Hamba melihat ada sebuah samudera yang terdampar di tepi laut di sebelah barat semasa mencari buah-buahan hutan tadi.” Suhail jujur bercerita. Puteri Qaisara seperti mendapat sinar baharu dengan berita itu. Dia segera menghabiskan sisa buah yang masih berbaki di tangannya.

MEREKA berdua memerhatikan samudera gergasi yang terdampar di tepian laut itu. Suasana hening yang membaluti persekitaran menambahkan lagi tanda tanya. Perlahan mereka mendekati samudera itu dalam jarak 10 kaki. Mereka memicing anak telinga untuk mendengar jika ada sebarang suara yang datang dari dalam. Tiada sebarang bunyi yang mereka dengar. Hanya deruan ombak sahaja yang memecah kesunyian. Suhail segera memaut Puteri Qaisara lalu membuat satu lonjakan tinggi lantas mendarat kemas di pelantar kapal agam itu.

Pintu kapal dikuak. Suasana masih seperti tadi – hening. Bau garam laut menusuk rongga hidung. Suhail dan Puteri Qaisara menapak perlahan menuruni anak-anak tangga yang menuju ke bawah. Di kejauhan, kelihatan lampu yang samar menerobos dari celah pintu bilik yang terdapat dalam kapal itu. Mereka mendekati bilik itu dengan penuh berhati-hati. Perlahan pintu ditolak dari luar.

Puteri Qaisara hampir berteriak apabila melihat sekujur tubuh wanita terbaring di atas lantai. Suhail mengagak sesuatu telah menimpa kapal itu sehinggakan terdampar di tepian. Mungkin terkena badai ataupun ‘sesuatu’ yang sangat luar biasa.

Suhail mendekati wanita itu dengan penuh berhati-hati. Dia membalikkan tubuhnya yang terlentang meniarap di atas lantai. wanita itu kelihatan pucat. Rambutnya tidak terurus. Barang-barang dalam bilik itu juga berselerak. Ini menandakan berlaku gegeran yang agak kuat sebelum kapal itu terdampar di tepi lautan itu. Segera dia meletakkan jari di pergelangan tangan gadis itu – berdenyut.

“Dia masih hidup.” Shafi segera menoleh ke arah Puteri Qaisara.

Puteri Qaisara segera menolong Suhail memapah gadis itu di atas dek kapal. Gadis itu dibaringkan di atas lantai kapal. Puteri Qaisara segera memberikan ruang untuk gadis itu bernafas dengan mengatur rambutnya yang berterabur dan tidak terurus itu. Sebagai wanita, Puteri Qaisara sangat mengerti dengan situasi gadis itu.

Suhail kembali dengan bekas minuman yang dibawanya. Dia segera memberikan bekas tersebut kepada Puteri Qaisara. Puteri itu segera mencapainya dan perlahan dia membasahkan muka gadis itu dengan air tersebut.

Kota Langkasuka

PUTERI IRDINA FARIHIN terbangun daripada tidur. Matahari sudah pun naik sejengkal dari ufuk timur langit. Dia memicit dahinya. Semalam dia bermimpi lagi. Mimpi yang sudah sekian lama dinantikannya. Dan semalam penantiannya berakhir dengan kegembiraan.

‘Ahh… lekas benar beta terbangun.’ Suara hati Puteri Irdina bermonolog. ‘Kenapakah beta tidak terbangun tengah hari sahaja nanti’. Dia mengatur bilik tidurnya lalu menuju ke bilik airnya untuk bersiram – mandi.

Selepas mandi, Puteri Qaisara menghabiskan masanya di bilik sahaja dengan ditemani dayang-dayang. Dia dilayan selayaknya seorang puteri. Disediakan serba-serbi. Alangkah indahnya menjadi seorang puteri. Hidup senang, malah dilayan dengan begitu baik sekali.

“Dayang-dayang, kalian boleh tinggalkan bilik ini. Beta ingin beradu seketika.” Setelah semua kelengkapan dirinya sudah disediakan termasuk sarapan paginya, Puteri Irdina menyuruh dayang-dayangnya segera meninggalkan dirinya.

“Baiklah, Tuan Puteri.” Para dayang itu segera beredar dari bilik itu.

Puteri Irdina bersandar di birai katilnya. Dia kelihatan termenung. Ternyata mimpi semalam benar-benar mengganggu fikirannya, sekali gus mengusik rindunya yang sudah sekian lama dipendam di dalam hati.

“Salam sejahtera ke atas kamu, wahai wanita yang dirahmati ALLAH.” Suara Shafi terngiang-ngiang membuai rindu Puteri Irdina. Naluri hawanya benar-benar tersentuh. Lelaki itu kelihatan baik dan telus. Walaupun ungkapan lelaki itu kurang difahaminya secara menyeluruh, ternyata dia sangat menyukai sapaan ikhlas itu.

Dia merasakan pertemuan mereka semalam begitu dekat. Walaupun di alam mimpi, Puteri Irdina terasa getar hatinya sangat kuat. Dan tatkala inilah dia meraba-raba bantal tidurnya. Berusaha menghadirkan kembali raut wajah lelaki itu walaupun kelihatan suram. Ternyata dia berasa teramat rindu – perlahan dia menutup mata seraya senyum. Kenangan manis semalam berjaya hadir dalam ingatannya.

SHAFI baru selesai menunaikan solat sunat duha. Inilah rutin hariannya. Melakukan amalan wajib dan memperbanyakkan amalan sunat. Dia mengharap agar semua dosa-dosanya yang lampau diampuni oleh ALLAH. Dan sesungguhnya, ALLAH itu maha pengampun lagi maha penyayang.

ALLAH ialah Tuhan yang esa. Dia sangat sempurna dengan sifat 20 yang dimilikinya. Ditambah pula dengan 99 namanya yang Maha Suci dan agung. ALLAH itu maha pengampun. Tidak menghukum hamba-hamba-Nya secara langsung apabila melakukan dosa. Apabila Dia menurunkan balasan dosa yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya, ALLAH akan menghukum dengan penuh kasih sayang, dengan penuh keterbatasan. Kerana Dia mengetahui bahawa hamba-hamba-Nya tidak sempurna. Dan sesungguhnya, hanya ALLAH sahaja lah yang layak kita menyembah, dan hanya kepada-Nya lah tempat kita memohon pertolongan.

Khusyuk yang diraih Shafi begitu hebat. Sesudah melakukan solat sunat duha, dia mengagungkan pula yang Maha Penciptanya dengan alunan zikir-zikir yang sangat syahdu sehingga mengundang air mata keinsafan. Dia lelaki yang sentiasa merasa berdosa walaupun dia baik. Dia tidak sekali-kali berasa riak dan sombong, kerana sifat sombong itulah yang membawa perbalahan besar di langit suatu masa dahulu sehingga ke bumi. Sombong itu sifat terpuji iblis dan sekutunya.

Shafi seorang lelaki yang sangat merendah diri. Dia berusaha sedaya upaya untuk mencontohi keperibadian baginda Rasulullah. Sejak dari kecil, dia kehilangan kedua orang tuanya. Nasibnya baik kerana telah dipelihara oleh seorang pejuang agama iaitu Kiai Jabar. Dia diasuh di sebuah madrasah agung sehingga dewasa.

Dan dia pula telah meninggalkan madrasah agung kerana tuntutan agama. Di samping itu, dia juga sedang mengesan bau-bau kejahatan yang telah bersekongkol untuk membakar madrasah itu. Dia sangat pasti bahawa semua itu adalah angkara iblis laknatullah dan sekutu-sekutunya.

Dahulu, iblis merupakan makhluk ALLAH yang sangat taat kepada perintah. Diciptakan daripada api yang panas. Jin pertama bergelar jan atau iblis. Suatu masa dahulu, mereka ditempatkan di langit kerana keistimewaannya, diusir dari langit kerana ingkar dengan perintah ALLAH agar sujud kepada Nabi Adam a.s.

Terdapat tiga golongan jin iaitu, bersayap dan boleh terbang di udara, berbentuk ular dan anjing, dan golongan jin yang mendiami sesuatu tempat dan berpindah randah. Dan mata manusia sesekali tidak akan mampu melihat mereka kecuali dengan izin-Nya.

“Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.”

(Surah al-araf, ayat 27)

Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.