8
Qasyaf menongkatkan kepalanya dengan tangan kanan. Dia melontarkan pandangan dipadang dihadapannya. Gazebo itu hanya dihuni olehnya. Fikirannya masih terbayang wajah manis milik Nada yang tersenyum padanya tadi. Dia mengeluh perlahan. Sudah penat dia bermain dengan teka-teki ini lagi. Ke mana sahaja dia lari, bayangan Nada tetap bersamanya. Nada kali ini hanya bayangan atau realiti?
“Oi! jauh termenung?” Qausar yang baru sampai di gazebo bertanya. Dia duduk dihadapan Qasyaf.
“Ish abang ni! Suka sangat terkejutkan orang.” Qasyaf merungut. “Jom balik.” Dia bangun dan menyandang beg.
Qausar tersenyum senget. Dia membuntuti adiknya yang sudah dahulu berjalan ke hadapan. Selesai membuka kunci basikal yang bernombor itu, mereka menolak basikal sehingga ke kawasan yang tidak berapa berbukit.
“Kejap. Ada orang call abang.” Qausar mengeluarkan smartphonenya yang bergetar di dalam kocek seluar.
Cis! Bawa handfone. Omel Qasyaf apabila melihat abangnya mengeluarkan smartphone dihadapannya.
“Tolong bunda ambil Qolbi kat nursery. Bunda ada hal tiba-tiba sekarang.” Suara bunda disebalik sana.
“Bunda hantar wassap alamat nursery Qolbi.”
“Okay. Nanti bunda hantar. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.” Belum sempat Qausar mematikan telefonnya. Dia bersuara ingin tahu. “Eh! mana bunda tahu abang bawa handfone?” Rasanya dia berusaha untuk merahsiakan perbuatannya bawa telefon ke sekolah sejak dirampas tahun lepas. Teruk juga dia kena leter dengan papa dan bundanya.
“Macamlah bunda tak kenal kamu, Qausar. Bawa handfone ke sekolahkan tabiat abang sejak form 1 lagi. Bunda berleter panjang pun abang tetap bawak jugakan?”
Qausar garu kepala sambil bibir tersengih.
“Okaylah. Jangan lupa ambil Qolbi.”
Perjalanan yang memakan masa hampir lima belas minit itu berakhir apabila mereka sampai disimpang masuk ke lorong rumah nursery. Kayuhan basikal dua beradik itu terhenti dihadapan rumah teras berwarna kuning dan oren. Riuh suara kanak-kanak kedengaran sampai ke luar.
Qausar dan Qasyaf meletakkan basikal mereka di tepi pagar sebelum Qausar menekan loceng yang disediakan. Selang beberapa saat, kelihatan seorang wanita yang mungkin dipertengahan tiga puluhan keluar. Dia melontarkan senyuman kepada dua beradik itu.
“Ya, cari siapa?” Soalnya kepada Qausar dan Qasyaf.
“Saya Qausar. Abang kepada Qolbi. Bunda kami ada hal tiba-tiba, so bunda suruh kami ambil Qolbi.” Terang Qausar.
Wanita itu mengerutkan dahinya. “Qolbi? Pagi tadi memang encik Fakhri datang, tapi dia hanya hantar beg besar. Sekejap saya pergi ambil beg tu.” Wanita itu terus masuk ke dalam rumah. Kemudian dia keluar dengan menjinjing beg yang dimaksudkannya.
Qausar dan Qasyaf sudah tak sedap hati mendengarnya. Mereka sendiri nampak papa masukkan Qolbi ke dalam kereta pagi tadi. Bila masa pula papa mereka bawa beg besar yang ditunjukkan wanita dihadapan mereka sekarang ini.
“Encik Fakhri hantar beg besar ni pagi tadi. Tapi Qolbinya tak ada. Tu yang saya pelik. Saya tengok dia kelam kabut nak pergi kerja, tak sempat saya nak tanya pada dia.”
“Abang..?” Qasyaf bersuara kebimbangan. Tak akanlah apa yang mereka nampak pagi tadi itu sebenarnya makhluk yang menyerupai adik mereka. Maknanya sekarang Qolbi berada di dalam rumah banglo itu seorang diri. Dari pagi tadi lagi!
Pantas mereka berlari mendapatkan basikal yang berada dipagar tanpa sempat mengucapkan terima kasih kepada wanita itu. Wanita itu hanya mengerutkan dahinya melihat tingkah laku dua beradik itu.
Dengan selaju mungkin Qausar dan Qasyaf mengayuh basikal mereka. Jalan yang berbukit langsung tidak menggoyahkan hati mereka. Yang pasti sekarang ini Qolbi perlu diselamatkan dari gangguan makhluk halus.
“Abang!” Laung Qasyaf yang sedikit ketinggalan dibelakang Qausar. “Abang berhenti jap!”
Kayuhan Qausar terhenti. Dia berpaling memandang Qasyaf yang kelihatan mengah mengejarnya. “Kenapa ni?”
Qasyaf yang baru tiba disebelah abangnya, berhenti seketika untuk menarik nafas. “Orang rasa tak sedap hatilah. Kita call papa dulu?”
“Nak tunggu papa gerak dari tempat kerja lambat. Abang risau nasib Qolbi kat dalam rumah tu.”
Qasyaf faham. Dia juga risau nasib adik bongsunya itu. Kalau apa-apa terjadi pada Qolbi, mana mungkin orang akan dengar jeritannya yang meminta tolong. “Orang takut kita pun terkena jugak nanti. Lebih baik abang call papa suruh panggil ustaz datang sekali.”
Lama Qausar diam sambil memikirkan apa yang perlu dia lakukan sekarang. Tunggu papanya datang dulu ataupun terus masuk ke dalam rumah banglo mereka. Baginya, keselamatan Qolbi adalah benda paling utama sekarang tapi dia juga tak boleh bertindak sendiri tanpa memikirkan keselamatan dirinya dan Qasyaf. Akhirnya Qausar mengeluarkan smartphone dari kocet seluarnya dan menelefon papa seperti yang disarankan Qasyaf.
“Papa tak angkatlah.”
“Call lagi sekali.” Qasyaf tetap mahukan papa balik ke rumah.
“Abang, kenapa call papa masa kerja ni?” Soal encik Fakhri.
Panjang lebar Qausar menerangkan apa yang baru sahaja berlaku tadi. Tanpa berfikir panjang, lantas encik Fakhri menyuruh Qausar dan Qasyaf tunggu dia dihadapan rumah banglo mereka sehingga dia pulang membawa seorang ustaz. Mulut encik Fakhri terkumat-kamit membaca selawat ke atas nabi dan berdoa supaya Allah melindungi Qolbi dari mahkluk yang dilaknat itu. Apa yang berlaku beberapa hari lepas, masih segar bermain dimindanya saat ini. Dia takut bayangan yang dia nampak hari itu menjadi kenyataan yang mengerikan. Tidak sanggup dia kehilangan seorang lagi anaknya. Cukuplah seorang.
Perlahan Qausar menolak pintu utama rumah banglo mereka. Sebelah kaki sudah pun mendarat di lantai rumah manakala sebelah lagi masih teragak untuk diangkat masuk sekali. Memang dia nekad nak masuk ke rumah ini selepas sepuluh minit menunggu papanya. Tapi dia tidaklah berani mana untuk berhadapan dengan makhluk halus itu.
Qasyaf yang berdiri dibelakang abangnya menggeleng kepala melihat perilaku Qausar. Punyalah tadi abangnya bersungguh nak masuk ke rumah sebab tak sanggup nak tunggu lama-lama, tapi akhirnya siapa yang macam dah panas kaki nak lari sekarang ni?
Malas nak menunggu semangat berani Qausar datang, Qasyaf menolak pintu utama lebih besar dari sebelumnnya. Dia melangkah masuk sambil matanya memerhati keadaan sekeliling ruang tamu.
“Abang rasa seram sejuklah.” Qausar bersuara sambil membuntuti Qasyaf.
‘Pap!’
Bunyi pintu bilik atas tertutup dengan kuat.
Qausar memegang erat lengan kanan Qasyaf. “Kan abang dah cakap.” Dalam gigil Qausar berbisik.
“Shhh.. diam lah.” Qasyaf meletakkan jari telunjuknya dibibir.
‘Krik..’
Almari dapur juga mengeluarkan bunyi pintu dibuka dan ditutup berulang kali.
“Qolbi ke tu?” Qasyaf bertanya sambil langkah dibuka menuju ke dapur. Belum sempat dia melangkah lebih jauh, Qausar menarik lengan adiknya itu. “Eh abang ni dah kenapa?”
Qausar kelihatan tidak keruan. Peluh risaunya tampak dimata Qasyaf. Mata Qausar tidak berkelip memandang atas.
“Abang yang nak sangat masuk tadi. Kita cari sama-sama.”
Qausar berdiri tegak. Matanya terbuntang luas melihat sesuatu yang berada di atas siling yang tidak berapa jauh dari jarak dia dan Qasyaf berdiri. Makhluk itu merangkak perlahan-lahan ke arah mereka. Kepala makhluk itu hampir tercabut dari lehernya dan dadanya yang kosong tanpa jantung menyebabkan darah merah hitam mengalir bagaikan titisan hujan dari siling ke lantai.
“Syaf... la.. lari... !” Qausar menjerit ketakutan sambil menarik Qasyaf. “Syaf!” Sekali lagi dia menjerit menyebut nama adiknya apabila tarikannya langsung tidak menggerakkan Qasyaf.
Qasyaf mencari kekuatan untuk berhadapan dengan makhluk itu. Dia pernah lihat makhluk itu di dalam kabinet dapur semasa mencari kuali nak masak meggi kari semalam. Makhluk itu tahu dia boleh melihatnya tapi tidak pula mengacaunya seperti hantu pandai nyanyi itu.
“Mana adik aku?!” Qasyaf bertanya dalam tegas.
Makhluk itu ketawa mendengar persoalan berani mati dari Qasyaf. Makin laju dia merangkak ke arah Qasyaf dan Qausar. Qausar sudah menutupkan matanya. Tangannya masih cuba menarik Qasyaf.
“Aku tak kacau kau. Aku cuma tanya mana adik aku?”
“Hehehe.. dia milik Inderawan.. Inderawan.. kasihkan dia.. hehe..” Balas makhluk itu yang sudah betul-betul berada di atas lantai bertentangan dengan Qausar. Dia mengeluarkan lidah hijau kekuningan yang berlendir. Dia umpama seronok melihat ketakutan Qausar dihadapannya sekarang.
“Aku tak peduli siapa Inderawan! Pulangkan adik aku! Mana dia?”
“Hehe.. hehe..”
“Ah!” Jeritan dari atas menyedarkan Qausar yang ketakutan. Pantas kaki Qausar berlari menaiki tangga.
Qasyaf yang masih terkejut dengan jeritan itu bertambah terkejut dengan langkahan pantas Qausar.
“Abang jangan!” Qasyaf turut berlari mengejar Qausar. “Abang!” Belum sempat dia menahan Qausar dari mencari suara jeritan itu, kakinya ditarik oleh rambut yang menyimpul kakinya. Tubuhnya mencium tangga. Dahinya perit menahan hantukan dibucu anak tangga. Ada sedikit darah mengalir keluar dari dahinya.
Qasyaf tidak berdaya bangkit. Kepalanya berat. “Abang..” Lemah sahaja suaranya keluar. Jangan kejar suara itu, suara itu hanya mainan syaitan. Itu yang ingin dia sampaikan.
Tanpa Qasyaf sedari, hampir separuh tubuhnya sudah dililiti rambut makhluk itu. Makhluk yang sama yang selalu melilit sisi tangga rumah banglo ini. Semakin lama semakin hampir makhluk itu melilit lehernya. Dengan tenaga yang masih berbaki, Qasyaf berusaha melepaskan dirinya. Tetapi kekuatannya langsung tidak mampu melerai lilitan yang kuat dan melemaskan itu.
“Tolong ... abang...” Kali ini suaranya tidak kedengaran. Nafasnya sudah tersekat-sekat kerana lehernya dijerut dengan rambut makhluk itu. Saat ini nyawanya betul-betul dihujung tanduk.
“Ah!”
Makin kuat jeritan yang datangnya dari bilik Qolbi makin pantas Qausar mengorak langkahnya. Pintu bilik Qolbi dibuka dengan kuat. Mata Qausar melilau mencari keberadaan Qolbi. Dia yakin jeritan itu milik adiknya.
“Qolbi kat mana? Jangan buat abang risau boleh tak?”
‘Kriuk..’
Pintu almari terbuka.
Qausar menelan air liurnya. Risau kalau dia akan melihat apa yang berada di dalam almari itu sama macam apa yang dia lihat dibawah tadi.
“Qolbi..?” Lembut sahaja dia memanggil nama adik bongsunya itu.
Sebaik sahaja soalan itu dilontarkan, makin luas pintu almari sebelah lagi dibuka. Kali ini muncul sepasang kaki dan kemudiannya jelas keluar sekujur tubuh milik Qolbi. Mata Qolbi merah akibat banyak menangis. Bajunya lenjun dengan peluh disebabkan lama menyorok di dalam almari.
Qausar melepaskan nafas lega. Dia datang memeluk Qolbi yang nampak lemah dan ketakutan. “Okay? Ada sakit mana-mana?”
Qolbi membalas pelukan abangnya sambil kepalanya digelengkan.
“Jom kita keluar dari sini.” Qausar mendukung Qolbi dan bergerak keluar dari bilik. “Makin berat lah adik abang ni.”
Entah kenapa makin dia melangkah makin terasa tubuh Qolbi berat dan berat.
“Abang.. tolong pasangkan boleh? Terputus pulak.” Mendayu sangat suara yang Qolbi lontar.
Qausar yang terkejut mendengar suara Qolbi, bertambah terkejut apabila melihat Qolbi yang didukungnya menghulurkan tangan kiri dan kepala miliknya pada Qausar. Terus sahaja Qausar melepaskan makhluk yang menyerupai Qolbi itu.
“Abang.. tolonglah pasangkan..” Pinta makhluk itu. Sekali dengar macam nak luluh segala anggota badan milik Qausar.
Qausar tidak tunggu lama. Pantas kakinya berlari seolah dikejar anjing gila di dalam rumah sendiri. Manakala makhluk tanpa kepala dan tangan kiri itu terus mengejarnya.
“Ala abang.. pasangkan lah..” Kelajuan makhluk itu sama laju dengan larian Qausar.
“Pergi! Hantu gila!” Qausar menjerit saat tangan kiri makhluk itu yang terputus menahan kakinya. Sekuatnya Qausar berusaha menarik kakinya dari tangan makhluk itu. Dia berjaya melepaskan tangan tersebut. Sekali lagi dia membuka langkah untuk lari menuju ke arah tangga.
Mata Qausar terbeliak. Mulutnya terkunci rapat apabila melihat segulung besar rambut di atas tangga yang menuju ke bawah. Gulungan rambut itu berbentuk manusia dan punca rambut itu datangnya dari makhluk yang berada di sisi tangga. Makhluk itu tersengih padanya dengan kepala yang dipusing seratus lapan puluh darjah.
Belum sempat dia menghadam apa yang baru sahaja dia lihat tadi, kakinya sekali lagi dipegang erat oleh makhluk yang menyerupai Qolbi. Kepala yang tercabut diletakkan ditangan Qausar. Qausar termenggu. Jantungnya berdenyut pantas. Akalnya seolah mati tidak berfungsi. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan sekarang.
“Hehe pasangkan lah abang...” Sekali lagi makhluk itu meminta.
Seluruh tubuh Qausar menggeletar. Dia hilang kemampuan untuk mengawal dirinya sendiri.
“Ah!”