Home Novel Seram/Misteri Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Farhah Aiddin
21/1/2018 05:15:50
38,515
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 9

9

“Qolbi ada di dalam ke? Anak saya ada datang sini untuk ambil Qolbi tak?” Encik Fakhri bertanya pada wanita yang bekerja di nursery tempat Qolbi dihantar tiap pagi hari kerja.

Wanita itu mengerutkan dahinya. Kemudian dia menggeleng. “Tak ada pulak encik. Encik nak ambil Qolbi ke sekarang? Dia tengah tidur dalam bilik.”

Encik Fakhri beristighfar panjang. Dia memandang ustaz Akram yang berdiri disebelah kanannya. Ustaz Akram hanya menggelengkan kepalanya.

“Petang ni isteri saya akan ambil Qolbi. Saya pergi dulu. Terima kasih.” Encik Fakhri dan ustaz Akram menuju ke arah kereta masing-masing. “Kalau Qolbi ada dekat sini.. kenapa anak saya cakap dia tak ada?” Dia bertanya pada ustaz Akram. “Ustaz rasa ni ada kaitan dengan apa yang saya ceritakan pada ustaz?”

“Cuba encik Fakhri tanya isteri encik sama ada dia ada suruh ambil Qolbi atau tak?”

Terus sahaja encik Fakhri mengeluarkan telefonnya dan mendail nombor isterinya. “Lia.. awak ada suruh abang ambil Qolbi tak?”

“Tak ada pulak kenapa?”

“Tak ada? Awak pasti?”

Disebalik sana puan Aulia mengerutkan dahinya. “Mestilah saya pasti.”

“Okaylah kalau macam tu.” Encik Fakhri meletakkan panggilan tersebut apabila dia mendapat panggilan daripada orang lain. “Hah abang.. Qolbi ada je di nursery sekarang ni. Papa dah check sendiri.”

Panggilan senyap tanpa suara.

“Abang?” 

Panggilan tetap senyap.

“Abang?”

“Haha.. mereka milik aku.. nyawa harus diganti dengan nyawa.. haha..” Suara yang menggerunkan datangnya dari panggilan Qausar.

Automatik encik Fakhri memandang ustaz Akram. Tangannya laju membuka pintu kereta. Hatinya berdebar hanya Allah sahaja yang tahu.

“Ustaz.. anak saya..”

Ustaz Akram faham akan apa yang ingin encik Fakhri sampaikan. Dia juga turut membuka pintu kereta dan memandu mengejar kereta encik Fakhri yang sudah memecut laju meninggalkan kawasan perumahan yang mereka jejaki tadi.

Dalam perjalanan ke rumah encik Fakhri, sempat juga ustaz Akram menelefon beberapa rakannya yang pandai dalam bab-bab seperti ini sebagai langkah berjaga-jaga.



Qoyyim dan Qaseh yang baru sahaja tiba dihadapan pintu pagar rumah banglo mereka terkejut dengan berita yang baru saja masuk ke telinga masing-masing. Mereka juga tidak dibenarkan melepasi pintu pagar utama sehingga Qausar pulih dari dirasuk. Suara kasar yang merasuk Qausar sangat jelas kedengaran. Suara itu umpama cuba mempermainkan ustaz Akram yang sedang berusaha mengeluarkan makhluk itu dari tubuh Qausar.

Qoyyim cuba melepasi ustaz yang mengawal pagar. “Saya cuma nak tolong je.” Ujarnya saat ustaz itu menghalang jalannya.

Lelaki yang berjubah putih itu menggelengkan kepalanya. “Maaf dik. Keadaan dalam rumah adik sekarang tak mengizinkan. Lebih baik adik tunggu diluar.”

“Tapi..” Ayatnya terhenti bila sekali lagi suara gerun itu menjerit kasar.

“Ahhh panas! Panas!”

Qoyyim agak terkejut apabila Qaseh memegang tangannya. Tangan Qaseh sejuk dan menggigil ketakutan. Matanya merah. Lama kelamaan tangisannya terhambur keluar. Dia yang lelaki ni pun takut, apatah lagi Qaseh. Qoyyim mengambil keputusan untuk duduk diluar dan tunggu sehingga keadaan di dalam rumah kembali pulih seperti biasa. Belakang Qaseh digosok perlahan bagi mengurangkan ketakutan adiknya itu. 

“Dah lah. Abang akan okay. Jangan risau.” Qoyyim cuba memujuk Qaseh yang makin kuat tangisnya. “Shh..”

Dalam sisa tangisnya. “Betulkan apa yang orang cakap dari dulu? Rumah kita ni ada something kan?”

Qoyyim tidak mengangguk ataupun menggeleng. Susah dia nak telan dan hadam semuanya. Teringat ‘kata-kata Qaseh’ di sekolah tadi selepas tamat perjumpaan pengawas.

Tangan Qoyyim ditarik Qaseh untuk menaiki aras 4 bangunan blok A sekolah. Blok A blok yang paling tinggi diantara kelima-lima blok disekolah mereka. Dari aras 4 blok itu, mereka mampu melihat sekitar kawasan perumahan dan perkampungan yang berada berdekatan dengan sekolah mereka.

Sampai sahaja dihujung aras 4 blok A, jari telunjuk Qaseh dihalakan ke arah salah satu kawasan perkampungan. “Ayim rasa tu kampung apa?” Qaseh bertanya.

“Manalah orang tahu. Malas nak hafal peta dunia.” Jawab Qoyyim mahu tak mahu. Mana tidaknya, kakinya berlari menaiki blok ini pun sebab dipaksa Qaseh. Aras 4 pula itu. “Jomlah balik, dah nak pukul enam ni.” 

“Ish Ayim ni! Cuba tengok betul-betul kampung tu!” Qaseh geram dengan sikap abangnya. Susah sangat nak bawa berbincang. “Sepatutnya atas bukit tu rumah kitakan? Kenapa bukit tu macam tak ada apa-apa pun? Ayyim tak rasa pelik ke?”

Qoyyim melepaskan keluhannya. Matanya berlari ke arah yang dimaksudkan Qaseh tadi. Bukit yang biasa dan berhutan sedikit. Kosong tanpa rumah. Manakala tidak berapa jauh dibawahnya ada beberapa rumah lot yang berlainan bentuk dan saiz. 

“Banyaklah bukit kat sini. Tak semestinya bukit tu tapak rumah kita. Tak logik langsung.” Bebel Qoyyim. 

“Bilik abang bertentangan dengan apa?” Qaseh cuba membuka pintu fikiran Qoyyim.

“Kilang warna coklat?” Teka Qoyyim.

Qaseh memusingkan kepala Qoyyim menghadap kilang warna coklat yang mungkin dalam dua ke tiga kilometer dari bukit yang dimaksudkan Qaseh tadi. Kilang itu tidaklah dekat sangat dengan rumah baru mereka tetapi kalau dari bilik Qausar ditingkat atas dan paling depan, memang jelas boleh lihat bangunan kilang warna coklat itu.

“Pelikkan? Sepatutnya bukit tu rumah kita. Tapi dari sekolah ni, kita hanya nampak bukit kosong tanpa rumah. Orang dari mula masuk rumah tu lagi dah rasa tak sedap hati. Rumah itu lain sikit aura dia. Tambah pulak lepas nampak hantu rambut panjang dekat tangga hari tu. Rasa seram semacam. Nasib tak demam lama.” Qaseh meluahkan apa yang dia rasakan pada Qoyyim sambil matanya tidak lekang dari memandang bukit tersebut. “Ayim, apa kata kita mintak papa pindah rumah lagi nak? Rumah teres dua tingkat macam dulu pun dah okay. Memanglah agak sempit sikit tapi dari terus tinggal dalam rumah berpuaka tu, better kita pindah.”

Liur Qoyyim tertelan sedikit. Bukan hanya Qaseh yang berkata begitu tapi salah seorang rakan sekelasnya pun pernah memberitahunya benda yang sama. Rumah banglo mereka akan hilang dari pandangan selagi mana seseorang itu tidak menjejak jalan berbukit yang menuju ke rumah itu. Pelik? Kenapa boleh jadi macam itu sekali?

Angin lembut menyapa tengkuk Qoyyim. Bulu romanya merinding. “Dah lah jom balik. Kita bincang hal ni terus dengan papa.” 

Qaseh sudah tersengih girang mendengar jawapan Qoyyim.

“Ayim! Jomlah balik!”

Termati terus langkahan Qoyyim. Dia berpaling ke belakang mencari Qaseh yang bersamanya. Namun tiada. Qaseh yang sebenar berada di bawah sedang berdiri di dataran sambil melambaikan tangannya ke arah Qoyyim yang berada di aras 4 blok A.

Muka Qoyyim pucat. Ngeri! Dia melangkah dengan longlai menuju ke tangga. 

“Allah!” Terduduk Qoyyim saat matanya bertentangan dengan mata tajam yang merenungnya. Mata tajam yang perlu dielak oleh semua pelajar di sekolah ini.

Muka orang itu dingin. Tiada senyuman. Tiada kemarahan. Hanya tegang seperti ais batu tak berperasaan. “Keluar dari situ kalau kau nak diri kau dan keluarga kau selamat. Masih belum terlambat. Di situ bukan tempat manusia. Alam yang tidak sepatutnya menjadi penghuni manusia. Ingat itu! Keluar dari situ!” Dia melangkah laju meninggalkan Qoyyim yang menggigil ketakutan. Amaran yang datangnya dari pemberi amaran. Pemberi amaran yang mampu lakukan apa yang dia katakan. Hantu siam gelarannya.

Terus saja Qoyyim berlari turun ke bawah.

“Ayim! Kenapa ni?” Hairan Qaseh melihat wajah pucat Qoyyim. “Ayim ada terserempak dengan si hantu siam tu ke?”

Hantu siam itu nama panggilan yang seisi sekolah ini berikan kepada budak mata tajam tak berperasaan itu. Dia merupakan cucu bomoh yang mengamalkan ilmu hitam dikampung ini. Cucu bomoh yang tak pernah tenang.

Qoyyim menggeleng perlahan. “Jom balik.”

Qaseh yang blur tetap melangkah membuntuti abangnya. 

“Aaa urghh!! Kau kacau aku... budak ini pun sakit jugak!” 

Lamunan Qoyyim terhenti apabila jeritan makhluk itu menyapa telingannya. Boleh jadi apa yang berlaku ini berpunca dari kata-kata hantu siam tak guna itu. Perlu ke ganggu keluarganya?

“Panas! Pergi!” Marah makhluk itu apabila ustaz Akram tetap tidak berhenti membaca ayat ruqyah padanya. “Sakitlah!” Qausar yang terapung didinding menendang kakinya pada ustaz Akram.

“Keluar dari tubuh anak ini sekarang!” Tegas suara ustaz Akram. 

Mahkluk itu semakin lemah. “Aku akan keluar. Aku keluar. Tapi.. kalau aku keluar masih ramai lagi yang akan menganggu keluarga ini. Hahah!” Dalam lemahnya, dia masih boleh bermain-main.

Ustaz Akram masih tidak berhenti membaca ayat ruqyah. “Siapa yang hantar kau ke mari? Apa yang dia inginkan?!”

“Hahaha!”

“Siapa?!”

“Ah! Panas! Panas!.. Inderawan.. Inderawan.. dia mahukan nyawa budak itu!” Makhluk itu bersuara sambil tangannya menunjuk ke arah Qasyaf yang tidak sedarkan diri. Mulut dan mukanya kebiruaan umpama roh keluar dari jasad. Kaku. Papa pula hanya mampu memangku puterinya itu.



Tangis. Rumah ini dipenuhi tangisan pemergian. Pemergian yang secara tiba-tiba tanpa diduga. Qausar sudah bersandar di dinding rumah membelakangi ruang tamu yang menempatkan tubuh kaku Qasyaf. Tubuhnya masih terasa sakit dan penat. Tenaganya hilang. Saat dia sedar, masa itu dia hanya mampu terduduk melihat tubuh Qasyaf dipangku papa dan dikelilingi Qoyyim dan Qaseh. Mereka menangis. Menangis atas pemergiaan Qasyaf yang sangat tiba-tiba. Baru sangat dia dan Qasyaf mengayuh basikal sama-sama. Tapi sekarang, tubuh Qasyaf tidak lagi bernyawa. Kaku tanpa roh di dalamnya.

“Bunda.. Syaf.. Syaf dah tak ada.” Dalam serak Qaseh bersuara ketika puan Aulia memasuki rumah mereka sambil mendukung Qolbi.

Puan Aulia tergamam. Langkahannya mati. Qolbi yang berada didakapannya diletakkan ke bawah. Selangkah demi selangkah dia mendekati tempat Qasyaf dibaringkan. Perlahan-lahan tangannya membuka kain batik yang menutupi muka Qasyaf. Muka yang sangat pucat tanpa darah.

“Syaf.. jangan main-main dengan bunda boleh tak?”

Qaseh yang berada disebelah bunda terus saja memeluknya. Tidak sanggup rasanya mendengar persoalan bunda.

“No! Tak mungkin. Syaf main-mainkan Qaseh? Ayim?” Bunda menggoyangkan tubuh anak gadisnya itu. Tetap kaku. “Ri, Syaf sakit balik ke? Kenapa dia baring kaku macam ni?” Bunda bertanya apabila papa dan ustaz Akram mendekatinya.

Papa hanya mampu menggeleng. Dia juga masih terkejut dengan apa yang baru sahaja berlaku. Dialah orang pertama yang mengeluarkan Qasyaf dari lilitan rambut panjang itu. Rambut yang dia sendiri tidak tahu mana puncanya. Tapi masa dia keluarkan Qasyaf, Qasyaf sudah tidak bernyawa. 

“Tak mungkin! Pagi tadi dia okay je.” Bunda tetap tidak percaya. Sekeras mana hatinya terhadap Qasyaf, Qasyaf tetap puterinya. Puteri kandungnya. “Syaf... bangunlah. Jangan main-main dengan bunda lagi. Syaf..” Tubuh Qasyaf sudah dipeluk erat oleh puan Aulia.

“Ah... Bunda!” Terjerit kuat Qaseh.

Semua terkejut dengan jeritan Qaseh. Mata Qaseh terbeliak melihat mata biru Qasyaf yang terbuka luas. Bibir Qasyaf tersenyum sinis pada mereka. Pelukkan puan Aulia juga terlepas. Menggigil dia saat tubuh Qasyaf yang sejuk tanpa denyutan jantung itu merangkak ke siling rumah.

“Hehehe... takut?” Suara mengilai itu bertanya kepada mereka yang berada diruang tamu. 

Qaseh sudah pengsan tidak sedarkan diri. Qoyyim, papa dan bunda terkaku ditempat mereka berada. Qausar yang berada diruang tamu sebelah, turut terpaku saat dia datang untuk melihat apa yang sedang berlaku.






Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.