Home Novel Seram/Misteri Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Farhah Aiddin
21/1/2018 05:15:50
38,523
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 5

5

“Lia….” Encik Fakhri mengikut langkah isterinya yang wajahnya mencuka. Dia tahu puan Aulia masih marahkan Qasyaf walaupun benda itu sudah lama berlalu. 

Puan Aulia merebahkan punggungnya di atas sofa bilik mereka. Berat benar keluhan yang dia lepaskan. Tangan kanannya memicit kepala yang sudah berserabut dengan masalah anaknya itu, Qasyaf Ilmi!

“Lia, saya minta sangat awak ubah layanan awak dekat anak kita itu. Lupakan apa yang dah berlaku dua tahun lepas. Masa tu dia mentah lagi. Kesian dia saya tengok. Lepas satu.. satu yang menggangu.” Keras hati isterinya itu memang sangat sukar untuk dilunturkan. “Lia, awak dengar tak apa yang saya cakapkan ni?” Tanyanya apabila puan Aulia tidak memberi sebarang respons.

“Hmm saya dengar. Telinga saya ni dah bernanah dengar ayat yang sama awak ulang.” puan Aulia masih dalam posisinya yang sama. Memicit kepalanya. “Awak percaya benda tu lagi? Syaf tu penuh dengan helah, saya ni bunda dia, tahulah saya perangai Qasyaf Ilmi tu macam mana.”

Memang Qasyaf dua tahun lepas penuh dengan helah, keras kepala, degil dan suka melawan tapi itu semua Qasyaf yang dulu. Qasyaf sebelum peristiwa itu berlaku. Masih tidak perasan ke isterinya ini?

“Awak tak sedar lagi ke Lia? Syaf yang dulu dah lama menghilang. Dia Syaf yang lain, yang pendiam, yang suka menyendiri dan yang penuh dengan rahsia. Awak tolonglah maafkan dia. Tolong jangan benci dia lagi. Kita dah hilang satu, awak nak hilang satu lagi ke?” Nada suara encik Fakhri penuh dengan nasihat. Dia memang seorang ayah dan suami yang tidak cepat melenting.

Mata puan Aulia memandang tajam ke dalam anak mata suaminya. Satu yang hilang itulah yang sangat berharga baginya. Tiada gantinya. “Saya malas nak masak hari ni. Kita makan luar je lah.” Dia mula mengubah topik. Setiap kali suaminya menyuarakan tentang perkara itu, pasti dia tidak betah. Dia bukan benci Qasyaf, jauh sekali untuk tidak menganggapnya sebagai seorang anak. Tetapi dia masih terluka dengan perbuatan Qasyaf. Kedegilan Qasyaf yang membuatkan hatinya keras.

Seperti yang dijangka, isterinya pasti mengubah topik. “Nak makan mana?”

Puan Aulia capai tuala yang bersangkut disebelah pintu bilik air. “Mana-mana je. Jangan jauh sangat dah lah.”

“Okay. Saya pergi beritahu anak-anak.” encik Fakhri capai tombol pintu. “Lia, jangan sudah terjatuh baru nak tergandah. Hidup ni singkat je. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik. Yang hilang memang tak ada galang gantinya tapi yang masih ada, jangan lupa hargai.” Terus dia membuka langkah keluar dari bilik dan meninggalkan puan Aulia keseorangan memikirkan ayatnya itu. Dia ingin isterinya sedar akan kesilapannya.



Qausar yang duduk disebelah Qoyyim yang sudah terlentok disisinya, menurunkan sedikit tingkap kereta. Angin malam yang sejuk membelai lembut dirinya. Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan malam disebuah kedai makan yang memakan masa setengah jam dari rumah mereka. Pada mulanya mereka ingin makan dikedai yang berdekatan tetapi semuanya penuh dengan orang. Takut lambat menunggu, papa mencadangkan kedai makan yang mereka makan tadi.

Qasyaf terjaga apabila terasa angin sejuk menyinggah tubuhnya. Dapat dia lihat Qausar yang sedang khusyuk menghirup udara malam dihadapan kerusinya. Cuaca malam ni agak sejuk dengan angin lembut bertiup sepoi-sepoi bahasa.

‘Pap!’

Bunyi sesuatu yang jatuh ke atas bumbung kereta mereka. Qasyaf mula tidak keruan apabila ada rambut panjang yang terjuntai ditingkap ditempat Qausar menghulurkan tangannya. Qausar masih dalam posisi sama tanpa merasa janggal ataupun seram sejuk. Walhal ada benda yang bertenggek di sisinya saat ini. 

Makhluk itu sudah mula menurunkan wajahnya yang betul-betul bertentangan dengan Qausar. Jarak mereka tersangatlah dekat. 

“Abang!” Jerit Qasyaf ketakutan. 

Qausar yang terkejut dengan jeritan adiknya berpusing memandang Qasyaf. “Kenapa?”

“Tu.. tutup tingkap tu.. Sejuk.” Tergagap Qasyaf. Mana tidak tergagapnya kalau muka makhluk itu sangat mengerikan. Muka yang penuh dengan toreh yang mengeluarkan nanah kuning yang menggelikan. Uishh geli gila!

“Terkejut abang. Ingatkan apa tadi.” Qausar menurut kehendak adiknya. Dia menekan punat untuk menutup tingkap. Saat kepalanya diangkat, alangkah terkejutnya dia apabila ada makhluk yang mengerikan bertempek ditingkap sebelahnya. Makhluk itu mula menyeringai garang.

“Aaa..!” Jerit Qausar dek kerana terlampau terkejut. Inilah pertama kalinya dia melihat makhluk sehodoh itu di depan matanya. Sebelum ini hanya didalam televisyen saja. Masa mereka merawat Qasyaf dulu, hanya suara makhluk itu saja yang dia dengari bukannya wajah sebenar makhluk itu atau lebih tepat hantu. Paling hampir pun dengan makhluk yang bersembang dengannya didapur rumah banglo mereka, itupun menyerupai Qaseh dan Qolbi.

Kereta yang dipandu papa hampir tersasar dari laluan jalan sebenar sebaik sahaja Qausar menjerit ketakutan. Tambah pula dengan suara jantannya itu. Mana tak terkejut dibuatnya. Bunda, Qoyyim dan Qaseh yang sudah tertidur, terjaga.

“Kenapa dengan abang ni? Buat papa terkejut je. Nasib baik tak terbabas tadi.”

Qausar yang masih menggeletar ketakutan tidak mempedulikan amarah papanya itu. “Pa! Bawak laju-laju. Pasang ayat al-quran.”

Mereka mengerutkan dahi masing-masing. Qaseh yang berada disebelah Qasyaf sudah memeluknya erat. Seram sejuk dia melihat perlakuan abangnya.

“Kenapa ni?” Bunda pelik dengan kata-kata Qausar. Tidak pernah wajah Qausar ketakutan seperti itu.

Mata Qausar masih melihat makhluk itu yang sudah beralih ke tingkap belakang, tempat Qasyaf berada. “Pasang ayat al-quran. Benda ni tak nak pergi.”

Qoyyim tak tahu apa yang Qausar cuba sampaikan. Yang dia dapat agak, abangnya ada lihat sesuatu yang mereka tidak lihat. Lantas dia mendekatkan tangannya ke depan dan menekan punat play.

Mulut Qasyaf terkumat-kamit membaca ayatul kursi. Lega hatinya apabila makhluk itu telah terbang ke arah pokok di hutan sana. “Dia cuma datang singgah.” Terkeluar pula apa yang bermain difikiran Qasyaf.

“Syaf pun nampakkan apa yang abang nampak tadi?” Qausar yang mula rasa lega, terkejut dengan ayat yang Qasyaf keluarkan tadi.

“Dia cuma datang singgah. Jangan risau, dia tak akan kacau lagi.” Akhirnya Qasyaf terpaksa mengaku.

“Han..hantu ke tadi abang? Syaf?” Qaseh bertanya dalam nada ketakutan.

Puan Aulia sangat tak suka benda macam itu masih bermain dimulut anak-anaknya. Hantu. Hantu. Hantu. Tiada benda lain lagi ke yang nak dikatakan. “Boleh tak jangan cakap pasal hantu lagi? Bunda tak mahu sesiapa pun antara kamu sebut perkataan tu lagi. Mana ada hantu dalam dunia ni, yang ada cuma syaitan. Syaf, ini amaran terakhir bunda. Kalau tidak, bunda hantar kamu tinggal dengan atok di kampung. Degil sangat!”

“Lia.. apa cakap macam tu dengan Syaf.” Tegur encik Fakhri. Susah betul nak lembutkan hati isterinya ini. Mungkin apa yang Qausar dan Qasyaf nampak itu memang benar hantu, salah ke percaya kata-kata mereka.

Qasyaf hanya mampu mendengar kosong amarah bundanya tadi. Itulah antara sebab terbesar dia tak akan berterus terang. Bunda memang tak akan percaya apa yang dia lihat. Kadang-kadang kebohongan itu dapat melindungi diri seseorang. Sebab kenyataan itu terkadang amat menyakitkan.

“Tapi abang memang nampak depan mata abang tadi. Abang tak tipu, Syaf lagilah.” Entah kenapa Qausar melawan kata-kata bundanya. Dia bukanlah anak yang pandai melawan. Dia cuma ingin menegakkan kebenaran.

“Abang…” Bunda memberi amaran.

“Ala abang bukan nak melawan. Abang cuma…” Katanya mati saat Qasyaf memegang bahunya. Dia berpaling ke belakang. Qasyaf menggeleng perlahan. “Sorry bunda. Tak sengaja.”

Kereta Estima berwarna silver selamat parking di dalam garaj rumah. Qausar keluar dengan memegang kunci rumah untuk membuka pintu. Yang lain hanya mengikut tanpa sebarang suara. Suasana tegang itu bermula sejak perbalahan tadi lagi.

Gelapnya rumah. Rasanya aku pasang lampu luar tadi. Fikir encik Fakhri. “Ayim, cuba pasang lampu luar. Gelap sangat papa rasa dekat luar ni.”

“Okay!” Sahut Qoyyim yang sudah masuk ke dalam rumah. Dia memasang lampu luar dan lampu pagar. 

Puan Aulia duduk berehat di atas sofa diruang tamu utama. Dia menanggalkan tudungnya. “Allah!” Terkejut dia saat suaminya muncul disebelahnya. Tak silapnya, suaminya masih diluar, berjalan diluar tadi. “Bila masa awak masuk dalam ni?” Soalnya mengurut dada.

“Saya masuk dari pintu ruang tamu sana. Terbuka rupanya pintu tu.”

“Terbuka? Takkan… Abang kunci pintu tu sebelum keluar tadi.” sampuk Qausar yang duduk disebelah bundanya. 

“Papa pun rasa papa nampak abang kunci pintu tu sebelum keluar tadi. Hairan betul dibuatnya.”

“Kan saya dah cakap, ada pencuri yang cuba nak masuk rumah kita ni,” tambah bunda sambil matanya dikerlingkan ke arah pintu yang dimaksudkan papa. “Saya rasa kita kena tambah selak dekat pintu. Selak dari dalam.”

Encik Fakhri angguk. “Yalah. Nanti saya buat. Yang lain pergi tengok barang masing-masing di atas. Takut ada yang hilang. Sebelum ini kita ada di dalam rumah, tu yang tak pernah nampak pencuri masuk. Takut tadi dia tahu kita tak ada dekat rumah, dia berani masuk ambil barang-barang.”

“Pelik. Kenapa rumah kita tak bersepah pun kalau pencuri yang masuk.” omel Qausar tanpa sedar.

Bunda mengerling ke arah anaknya itu. “Abang.. jangan nak mulakan balik?”

Qausar tersengih nakal. “Random je tercakap tadi. Mana ada abang nak mula balik.” Qausar datang memeluk bundanya. “Bunda marah abang lagi ke?”

Bunda buat muka merajuk.

“Ala bunda.. sorry lah.” Dia mencium pipi bundanya. “Sorry ya?”

Bunda berdecit. Dia kalah dengan pujukan Qausar. Qausar memang juara dalam bab memujuknya. “Yalah.. Mana boleh bunda marah abang lama-lama. Rugilah bunda.” Dia membalas dengan ciuman dipipi anak lelakinya itu.

“Sayang bunda.” Terserlah suara kegirangan Qausar.

Papa menggeleng melihat drama emak dan anak itu. Dia perasan Qasyaf seakan berjauh hati dengan keakraban Qausar dan bundanya. Tapi Qasyaf tidak pula datang dekat dengan bundanya dan meminta maaf seperti Qausar, dia hanya membuka langkahnya untuk naik ke atas sendirian.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.