Home Novel Seram/Misteri Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Mata Tanpa Hijab (Jam 1010 Malam)
Farhah Aiddin
21/1/2018 05:15:50
38,520
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Prolog

Prolog

2006

Tanya pada pokok apa sebab goyang, 

Nanti jawab pokok angin yang goncang,

Tanya sama langit apa sebab hujan,

Nanti jawab langit tanyalah awan.

Awan nanti kata aku kandung air,

Sampai tempat sejuk aku pun cair,

Tengok dalam air nampak bayang-bayang,

Campak satu batu bayang pun hilang.

Riuh suara kanak-kanak menyanyi lagu Tanya Sama Pokok sambil tangan masing-masing memegang ranting kayu dan melakarkan lukisan sepohon pokok di atas tanah. Mereka menyanyi tanpa sedar warna didada langit kian bertukar jingga. Mungkin kurang lebih beberapa minit warna gelap malam pula mengambil peranannya.

“Lagi-lagi!” girang suara Qasyaf menyuruh dua beradik itu menyambung nyanyiannya.

“Qis cakap lagu tu ada sambungan, awak nak dengar?” tanya Nureen.

“Nak-nak!” jawapan apa lagi yang akan muncul dibibir budak yang baru berusia lima tahun bila ada yang menawarkan untuk diperdengarkan lagu baru. “Tapi orang nak tengok Qis. Boleh lah Nureen boleh lah ya? Awak cakap Qis pun nak kawan dengan orang.”

Nureen dan Niq berpandangan. Kemudian mereka memandang ke arah Balqis yang duduk bersebelahan dengan Qasyaf dan Niq. Balqis angguk dan mengarahkan kepada dua beradik itu menutup mata Qasyaf dengan kain. 

“Mana boleh nampak Qis kalau gelap macam ni?” Qasyaf merungut.

“Shh.. nanti awak boleh nampak. Dulu kita orang pun buat macam ni, kan Niq?”

Niq disebelah mengiyakan. Dia adik, jadi seorang adik ni memang suka mengikut apa saja yang dikatakan kakaknya. Selagi benda itu menyeronokkan dan tidak menyebalkan hatinya, dia akan ikut. Itu hobinya selaku adik Nureen.

Mereka berdua membawa tubuh Qasyaf ke bawah sebatang pokok bertubuh gempal dan berdaun lebat. Tubuh Qasyaf dipusing beberapa kali mengelilingi pokok tersebut sambil mulut mereka menyanyikan lagu yang disuruh Balqis. Lagu yang diiringi perbuatan itu terlihat seperti ritual yang mereka sendiri tidak sedar yang mereka sedang berdepan dengan sesuatu yang sepatutnya tidak diulangi!

Langit yang tadinya berwarna biru makin lama kelihatan jingga. Dari warna jingga lama kelamaan semakin gelap.

“Syaf..”

Badan Qasyaf terasa seram sejuk. Ada sesuatu yang memeluknya erat seperti tidak mahu dilepaskan. 

“Nureen, awak ke tu?” 

Pertanyaannya tidak mendapat sebarang respons. Tetapi penutup matanya dibuka dari belakang. 

“Ah!!” 

Suara comel Qasyaf lenyap sebaik sahaja matanya bertembung dengan mata makhluk yang memeluk tubuhnya. Tubuh makhluk itu seperti ular yang melingkar dibadan Qasyaf dan kepalanya betul-betul berada dihadapan muka Qasyaf.

“Tanya sama hati apa rasa sayang..” makhluk itu bersuara. “Awak sayang saya Syaf? Awak nak kawan dengan saya juga?” matanya makin dibukatkan.

Qasyaf tak henti-henti menjerit untuk dilepaskan. Matanya ditutup serapat yang mungkin. “Ahh! Pergi!”

Tanya sama hati apa rasa sayang, 

Adakah tandanya nampak dipandang,

Kumbang rayu bunga bulan dan bintangnya,

  Punya tanda-tanda hubungan mesra.

Nureen dan Niq masih terus bernyanyi lagu tersebut tanpa sedar Qasyaf yang sedang berlawan dengan makhluk yang bernama Balqis atau lebih tepat jin.

“Astarghfirullah! Kat sini kau bawa cucu-cucu aku!”

Teriak Tuan Haji Al-Amin. Pagi tadi Qasyaf, Nureen dan Niq elok sahaja bermain sorok-sorok bersama cucunya yang lain. Tapi bila tiba masa makan tengah hari, mereka bertiga hilang entah ke mana. Puas dia dan orang-orang kampung mencari budak bertiga itu. Rupa-rupanya makhluk tidak diundang itu datang semula menuntut hak yang bukan lagi miliknya!

“Lepaskan mereka! Mereka bukan milik kau lagi!”

“Aku sayangkan mereka, mereka selamanya milik aku!”

“Jika itu yang kau mahu wahai makhluk yang terkutuk.” Tuan Haji Al-Amin mula membaca basmallah, Al-Fatihah dan surah Al-Baqarah ayat ke-137. “Apa yang kau mahukan lagi? Kehadiran kau bukan kerana sayang tetapi atas dasar perjanjian yang sudah aku leraikan.” dia terus menyambung surah Ali Imran ayat ke-181.

“Jikalau bukan kerana sayang, kutuman kasih tak mungkin kembang. Andainya jemu mengganti rindu jambangan mesra tentulah layu.” 

Tuan Haji Al-Amin meneruskan bacaan ayat-ayat ruqyah tanpa mempedulikan apa yang makhluk itu katakan. Kata-kata sama yang dia berulang kali tuturkan setiap kali dia datang kembali mengacau hidup manusia. 



Tubuh kecil Qasyaf dibaringkan di atas tilam. Dia tidak sedarkan diri setelah berejam dirasuk Balqis. Balqis sengaja menggunakan Qasyaf kerana dia tidak mampu masuk ke tubuh Nureen dan Niq lagi. 

“Ayah dah tutup balik hijab Syaf. Dia buka hijab Syaf untuk mudahkan dia dekati anak-anak kamu, Asyraf.”

“Ayah cakap benda tu takkan kacau kami sekeluarga lagi? Tapi kenapa sejak akhir-akhir ni Nureen asyik meracau je? Dan sekarang dia kacau orang yang tidak ada kena mengena pun dengan dia. Saya tak faham lah ayah apa yang dia mahukan lagi.” Asyraf bersuara bimbang. Sudah penat dia berikhtiar untuk membuang saka keturunannya itu.

“Ayah hanya boleh ikhtiar selebihnya kerja Tuhan.” Tuan Haji Al-Amin menuang air bacaan doa ke dalam cawan untuk diminum Nureen, anak sulung Asyraf.

Niq yang duduk dihujung pintu merenung kakaknya tanpa berkelip. Bebola matanya besar memandang sesuatu yang hanya orang-orang yang tidak memiliki hijap sahaja boleh melihatnya.

“Bagi Niq minum air ni. Dia boleh nampak benda tu masih lagi berada di antara kita. Betulkan Niq?” Tangan tua itu menghulurkan satu lagi cawan pada Asyraf untuk diberikan kepada anak bongsunya pula.

Dengan tangan yang menggeletar, Niq capai cawan. “Benda tu nak kakak lagi. Ta.. tapi dia tak boleh masuk.”



Sunyi. Seisi penghuni kereta Waja hanya berdiam diri. Asyraf sibuk dengan pemanduanya. Isterinya pula memejamkan mata sambil kepala Nureen dipangkunya. Niq yang duduk disebelah Asyraf memandang cermin pandang belakang. Dia sedang asyik memandang sesuatu yang bertenggek dibonet belakang kereta mereka. Asyaf ingatkan mahu pulang ke Kuala Lumpur esok pagi tapi panggilan daripada bosnya menyebabkan dia terpaksa balik malam ini juga.

“Niq, tengok apa tu?” tegur Asyraf. Ayahnya ada cakap yang benda tu masih bersama mereka. “Jangan tegur dia please!”

“Benda tu ayah.. benda tu.. Ayah! Benda tu masuk balik!” Niq menjerit ketakutan.

Hampir sahaja kereta Waja terbabas dari laluan sebenar.

“Niq! Jangan main-main boleh tak?” Asyraf memarahi anaknya itu. Terkejut dia mendengar jeritan Niq sehingga dia tidak sengaja memarahi Niq.

Niq sudah duduk memeluk lutut dibawah dashboard kereta. Mata Nureen yang tertutup tadi, kini sedang terbuntang luas memandang ke arahnya. Ada sengihan menakutkan terbit dibibir Nureen.

“Kakak… jangan dekat kak.. Niq..”

“Niq kenapa ni? Nureen.. Eh kamu nak buat apa ni Nureen! Bahaya!” Jerit Asyraf apabila tiba-tiba sahaja Nureen datang mengacau pemanduannya. Stering kereta dipusing ke kanan  sekuatnya. Dari mana tenaga Nureen datang untuk melawan kekuatannya pun dia tak tahu. Seperti tubuh Nureen sedang dikuasai sesuatu.

Bang!

Bunyi kuat kereta Waja milik Asyraf bertembung dengan lori balak.


















Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.