Mata tidak lekang memandang kiri dan kanan. Keadaan sekeliling ditinjau penuh debaran dan berhati-hati. Setiap bunyi yang masuk ke corong telinganya dikaji dan diselidiki betul-betul. Sekali tersalah langkah atau cemerkap, mahu dia meraung menanggung akibatnya!
Tarik nafas, hembus. Tarik nafas, hembus. You can do it, Al!
Pap!
Bunyi ranting patah secara automatik menyebabkan dia tercari-cari sesuatu yang berpunca dari arah bunyi tersebut. Mata bulatnya dikecilkan bagi menfokus lensa penglihatan agar lebih jelas. Tet! Negatif. Tiada apa yang muncul. Mungkin kucing liar yang berkeliaran dalam hutan ini sedang mencari mangsa untuk menjadi santapan makan petang.
Setelah yakin tiada apa yang muncul, perlahan-lahan dia membuka langkah ke hadapan.Sesekali kepalanya berpaling ke kiri dan kanan. Tatkala bunyi burung menyapa, langkah dimatikan serta-merta. Senjata yang tersemat di dalam kocek seluar kanan, dikeluarkan.
Kau milik aku!
“Opocot!”
Terkerdip-kerdip kelopak mata Firqin memandang mangsa yang sudah lama dinantinya terbang membelah langit yang kian menginjak senja. Lalu mangsa yang sepatutnya turut menjadi pemangsa menjadi sasaranya. Tumbukan yang tidak berapa kuat dihadiahkan.
“Eii! Bengonglah kau ni Han. Sikit lagi burung tu aku punya.” Firqin merungut tidak puas hati.
Han tayang sengihan tidak bersalah sambil sibuk menggaru hidungnya. “Sorrylah, Al. Hidung aku tiba-tiba aje gatal tanpa signal.”
“Hisy! Jomlah balik! Dah dua jam kita memburu, apa pun tak ada. Bila mangsa ada depan mata, kau pulak asyik buat hal. Memang sampai bila-bilalah aku tak dapat apa-apa.”
“Ala…sorrylah! Aku bukannya sengaja pun. Kau tu yang serius sangat. Tak syoklah memburu dengan kau. Muka ketat!”
Tanpa sebarang kata, Firqin mengeluarkan sisa batu yang masih tersimpan rapi di kocek seluarnya seraya melemparkan ke tubuh sahabat sepermainannya itu.
“Kuang asam!” Lantas Han menyekeh leher Firqin. Walaupun mereka sebaya tetapi tubuhnya yang lebih besar daripada Firqin menyebabkan sahabatnya itu jatuh terduduk.
“Ini dah melebih. Aku tahulah kau lagi besar daripada aku!” Firqin tidak mahu mengalah. Dia hempap badan Han. “Kau memang besar tapi aku lagi kuat.”
Bicara ejekan berbaur guruan itu membuatkan Han mahu bertindak balas mengambil posisi Firqin sebelum pergerakan mereka berdua terhenti disebabkan bunyi tapak kaki asing yang seakan-akan sedang laju menghampiri keberadaan mereka.
Pap!
Kali ini, Firqin dan Han saling berpandangan. Liur masing-masing ditegup payau. Otak ligat merumuskan pelbagai kemungkinan.
“Kau dengar apa yang aku dengar?” Soal Han.
“Shhh…” Firqin letak jari telunjuk ke bibir Han. “Ayah aku cakap jangan tegur benda-benda macam tu.”
“Benda yang macam mana?” Riak Han polos.
Mahu sahaja Firqin menjahit bibir Han yang petah bersoal jawab tentang perkara yang tidak sepatutnya. Dia dongakkan kepala memandang langit. Mata terus membulat. Patutlah bulu romanya merinding. “Weh, jom kita balik. Aku rasa maghrib dah nak dekat ni.”
“Mati aku!” Cepat-cepat Han tolak tubuh Firqin yang tadinya masih berada di atasnya untuk bergusti. “Mak aku mesti tengah membebel sekarang ni!”
“Tahu pun kau. Dahlah jom balik!”
“Achik! Mak panggil balik!” Suara gadis kecil bergema di seluruh hutan. “Achik!”
“Adik aku dah datang cari aku. Mati aku, Al. Mati aku!” Han membebel sambil mengutip senjata yang dia gunakan untuk melestik burung.
“Kau yakin itu adik kau?” Balas Firqin dalam nada serius. “Dia muncul tiba-tiba dalam hutan ni, Han. Rasanya kita dah masuk jauh dari biasa kita masuk. Tak mungkin adik perempuan kau yang kecil itu mampu cari kita.”
Han telan liur. Bulu romanya tiba-tiba mencanak naik. Firqin berjaya memanipulasi ketakutan seorang Han.
“Achik! Mak panggil balik!” Gadis kecil itu sudah tiba di depan mata Han. Dari atas sampai bawah Han memerhati gadis tersebut. Rupa paras, rambut dan baju yang tersarung di tubuh gadis itu sebiji macam apa yang adik perempuannya pakai hari ini. Tak akanlah gadis kecil di depan mereka ini bukan adiknya?
“Achik?”
“Ayah aku cakap kalau nak tahu orang itu ialah orang, kau kena berdiri membelakangi orang tu, kangkang dan tunduk ke bawah. Kalau kaki dia cecah bumi, itu bermakna dia manusia.” Tambah Firqin masih dalam nada serius.
Mahu tidak mahu, sama ada percaya atau tidak, Han turutkan saja kata-kata Firqin. Firqin anak pengamal perubatan islam, jadi dia sangat terpengaruh setiap kali Firqin libatkan nama ayah dia.
Sementara Firqin tersenyum nakal saat melihat Han sedang teragak-agak menundukkan kepala ke bawah. Lantas dia dekatkan mulut ke telinga adik perempuan Han yang tengah cemberut melihat kelakuan pelik abangnya itu.
“Dalam kiraan tiga, kita lari tinggalkan Achik, okey?” Bisikan Firqin itu disambut anggukkan nakal. “Satu… dua… tiga! Lari!” sempat juga Firqin menendang punggung Han sehingga sahabatnya jatuh mencium bumi.
“Woi! Al!” Han terus bangkit tanpa mempedulikan kesakitan ditolak. Segera dia berlari mengejar tubuh Firqin yang sedang memegang kejap tangan adiknya. Tahulah dia bahawa gadis kecil itu memang adiknya. Firqin sengaja mempermainkan dirinya sebentar tadi.
“Kuang asam kau, Al! Siap kau!”
Dalam pada mulut membebel mengutuk Firqin, Han tetap tidak sanggup memandang kiri dan kanan kerana gelap malam sudah semakin menguasai langit. Cahaya matahari kian menyorokkan diri. Bilamana dia berjaya melangkah keluar dengan selamat dari hutan tempat permainan dia dengan Firqin, satu jeritan nyaring bergema hebat. Bulu romanya terus merinding ketakutan. Semerta langkahan laju dibuka menuju ke rumahnya.