Home Cerpen Seram/Misteri JANGAN PERCAYA SHOU
JANGAN PERCAYA SHOU
Farhah Aiddin
26/4/2020 12:52:04
2,960
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Aku ada seorang kawan yang aku sendiri tak tahu nak klasifikasikan yang kami ni rapat atau tidak. 


Okey, nama dia Shou. Aku tak pernah ambil tahu pun nama sebenar dia apa. Shouri atau Shoufi atau Shouqi ataupun Shou me your love. Heh! Yang pasti nama dia Shou. Dia yang beritahu aku sebaik sahaja aku dan dia bertentang mata di anak tangga pertama asrama kami.


Aku dan Shou tinggal di asrama milik kerajaan Malaysia yang terletak di luar negara. Negara mana tu, biarlah rahsia. Sebelum aku tinggal di sini, aku tinggal di rumah sewa biasa bersama 4 orang teman serumah. 


Nak dijadikan cerita, kami terpaksa berpindah atas faktor persekitaran rumah sewa yang menakutkan. Rumah sewa tu tidak berhantu pun tapi manusia yang berperangai hantu tu ramai. 


Kau bayangkan, setiap malam kau kena hadang pintu dengan kabinet, rak kasut dan meja semata-mata kau rasa tak selamat. Jiran depan, atas, bawah, semua dah merasa dirompak. Jadi, demi kesejahteraan aku sebagai pelajar yang menuntut ilmu yang mahukan hidup aman lagi sejahtera, aku mencuba nasib melalui temuduga demi temuduga untuk tinggal di asrama milik kerajaan Malaysia ini.


Ya, syukur, usaha aku berbaloi. 


Sambung pasal Shou. Bagi aku, Shou ni seorang yang pelik dan suka cakap perkara merepek. Kenapa aku cakap macam tu? Aku bukan sesuka hati aje nak fitnah dia pelik atau merepek tapi sudah hakikatnya dia memang pelik di mata dan telinga aku. 


Shou tak ramai kawan. Aku rasa dia langsung tak ada kawan di asrama ini kecuali aku, si penghuni baru. Siapa aje yang boleh tahan berkawan dengan dia jikalau dia suka sangat kacau orang tengah belajar, tengah sedap tidur, tengah mandi, tengah berangan (ini penting) dan tengah makan. Dia kacau orang bukan dengan tegur baik-baik atau cakap perkara berfaedah tapi suka sangat cakap benda merepek macam; 


“Kau suka ya tidur dalam bilik ni?” sambil tayang sengihan melampau dia tu. Sengihan yang disengajakan untuk menggetarkan hati berani aku. 


Tak pun; 


“Kau tahu tak, ada seorang nenek tua ni suka sangat renung kau dekat pintu tu. Mata dia merah. Bibir dia hitam legam. Muka dia berkedut dan berkudis. Of course bau dia busuk gila nak mampus!” Cara Shou bercerita seolah dia sedang meyakinkan aku tentang kewujudan si nenek tua berkudis tu. 


Ataupun;


“Weh! Nenek tu senyum-senyum kat kaulah. Aku rasa dia dah mula sayang kau.” Sambil jari telunjuk tangan kanan menghala ke arah katil double dacker di dalam cermin. “Nenek tua tu tenung kau aje. Aku yang nampak kewujudan dia, dia langsung tak peduli.” 


Apa kejadah ada nenek dalam bilik aku ni? Aku tahu dia suka takutkan aku. Mentang-mentang dia dah lama tinggal dekat asrama ni, sesuka hati dia aje nak takutkan aku. 


Tet! Memang salah oranglah! 


Walaupun aku tidaklah berani mana tapi aku yakin Allah tu ada. Jin dan syaitan tu sama saja seperti manusia kerana mereka juga makhluk Tuhan. Mereka juga turut diciptakan sebagai penghuni bumi ini. Maka tak hairanlah mereka wujud di sekeliling manusia. 


Ada suatu hari tu, ketika malam yang tenang, sunyi dan sejuk. Aku dah siap berselubung bawah selimut tebal. Tubuh rasa penat sangat dengan aktiviti seharian.


Malam itu memang sunyi sebab aku matikan kipas dek kedinginan permulaan musim sejuk. Mata rasa berat semacam tanda aku benar-benar mengantuk. Tiba-tiba tanpa sebarang signal, pintu bilik aku dikuak dari luar. 


“Weh... bangunlah! Bangunlah!” 


Arghh! Ya Tuhan.. kenapalah bilik aku ditempatkan bersebelahan dengan bilik makhluk aneh si pengacau ni? 


“Bangunlah.. teman aku pergi tandas. Please!” 


Dengan malas bin mengantuk, aku buat bodoh aje. Sampai bila weh aku kena jadi dia punya peneman tatkala dia mahu ke tandas? Penat! Sumpah aku penat! Habis selama aku bukan penghuni asrama ini, siapa yang teman dia? Pelik lagi menyusahkan! 


“Joy, aku tahu kau tak tidur lagi. Teman aku please! Aku janji ini malam terakhir aku suruh kau teman aku.” Pujuk dia lagi di telinga kiri aku. 


Aku mendengus kasar. Serius aku penat nak layan makhluk ini! 


“Joy, pleaselah.. Joy...” kali ini Shou gongcang bahu aku. 


“Esok kau kacau tidur aku lagi, aku campak kau dari aras 3 ni.” Aku tolak selimut ke tepi. Sarung sweater dan selipar jepun. Jalan hentak-hentak tanda protes yang amat sangat! 


Shou hadiahkan sengihan biasa dia. “Kurang asam punya jiran. Okeylah, kalau aku takut esok, aku sendiri akan campakkan diri aku ke bawah, okey?” 


Aku mencebik. Ingat aku percaya? Tunggulah, esok mesti dia kacau tidur aku lagi! 


Shou jalan dua langkah di hadapan aku.


Aras 3 ni ada empat belas bilik. Disusun dari nombor 301 sampai 307. Kemudian 308 yang berhadapan dengan 307 sampailah 314 yang berdepan dengan 301. Tandas berada di depan tangga. Yaitu di sebelah 301. 


Bilik aku 306 manakala bilik Shou 305. Sebelah 307 dan 308 ada balkoni berdebu yang kami panggil tempat jin bertandang. Di balkoni berdebu itu, ramai penghuni nampak pelbagai makhluk di situ. Seram! Aku yang tak ada deria keenam pun rasa seram semacam apatah lagi mereka. Dah lah balkoni itu cuma selang satu bilik dari bilik aku. 


Aras 3 merupakan aras paling keras dan paling kerap penghuninya diganggu. Shou pernah ajak aku pindah bilik dia kerana aku dan dia tinggal sendirian tanpa teman sebilik. Namun tak usah ditanya, semestinya aku tolak tanpa perlu berfikir panjang. Aku lebih rela tidur seorang diri daripada bertemankan orang seperti dia. Si pengacau ketenteraman awam! 


“Joy, kau tunggu betul-betul depan pintu tandas aku tau?” pinta Shou sebelum masuk ke dalam kubikel pertama. 


“Hmm..” walhal aku malas nak mendekat. Aku berdiri terpacak aje depan sinki. 


Beberapa minit sesudah kami berdiam diri. 


“Joy?” Shou seru nama aku lagi. 


“Ya.” 


“Joy?” 


“Hisy kau ni! Diamlah! Nak membuang tu membuang je lah. Aku tunggu kat luar ni. Kira baiklah aku teman kau sampai sini.” 


Shou tergelak. Aku tak tahulah dia gelak sebab berjaya buat aku marah atau dia gelak sebab berjaya kenakan aku. 


Lebih kurang sepuluh minit macam tu, Shou keluar dengan senyuman tak lekang dari bibirnya. 


“Sorry lama. Perut aku sakit sangat malam ni.” Tangan kanan menggosok perutnya. 


“Bila aje perut kau tak sakit hah?” Rungut aku lalu melangkah pergi. 


“Weh tunggulah aku!” Mungkin sempat sebilas aje dia larikan air di kedua tapak tangannya sebelum membuka langkah seribu mengejar aku. 


“Thanks teman aku. Esok aku janji tak akan kacau kau lagi.” Ucap dia setibanya di pintu bilik 305. 


“Hmmm yalah sangat. Kau jadi penakut macam ni sebab suka sangat takutkan orang dengan cerita merepek kau tu. Fasal nenek renung kat pintulah, tingkaplah, cerminlah. Cuba kau tak takutkan orang, kau pun tak akan ada rasa takut.” Ikhlas aku lontarkan nasihat itu meskipun dalam nada dingin. Memang begini sifat aku. Dingin tapi aku prihatin. Nampak keras hati tapi hati aku kenyal. Senang dilentur biarpun kelihatan sebaliknya. Mungkin kerana itu Shou suka sangat kacau hidup aku. 


Shou sengih lagi. Kerja dia adalah menyengih 24 jam. Tak faham aku! 


*** 


Pagi hujung minggu yang dingin. Aku demam selama beberapa hari. Sakit kepala, batuk dan selsema. Memang aku akan sakit tiap kali musim bertukar. Tubuh aku tidak berapa boleh menerima perubahan iklim. Pagi ini, aku rasa semakin sihat dan bertenaga. Aku tatap jam dinding bersaiz comel. Sudah pukul 10.30 pagi. 


Aik! Jarang aku dapat tidur lena tanpa diganggu makhluk aneh si pengacau yang menghuni bilik sebelah. Lantaklah! Mungkin disebabkan Shou tak kacau aku, aku boleh sihat macam ni sekali. 


Dengan hati penuh riang, aku lipat selimut tebal dan sarung sweater ke tubuh. Kaki kanan meraba lantai untuk mencari selipar jepun yang sering aku pakai di dalam bilik.


Tak jumpa. Lantas aku tunduk, mata aku melilau di bawah katil, masih lagi tidak kelihatan. Malas mahu terus mencari, aku melangkah ke luar dengan tuala dan perkakas mandi di tangan kanan. 


Saat aku limpas pintu bilik Shou, bibir aku mengukir senyum bahagia. Bahagia sebab aku dapat rasakan yang Shou tiada di dalam bilik. Mungkin dia pergi ke rumah sewa kawan sekuliahnya. Asyik! 


“Morning.” Aku tegur Kei yang sedang menggosok gigi. Kei penghuni bilik 313. 


“Morning. Nampak sihat je?” Balasan Kei itu kurang jelas dek sisa ubat gigi memenuhi ruang mulutnya. 


“Of course!" Aku masuk ke dalam bilik air. 


Terasa sungguh lama aku tak mandi aman seperti ini. Selalunya Shou akan ajak mandi sama-sama. Bilik air asing-asing tapi demi merasakan kewujudan aku, dia akan ajak aku bersembang sepanjang waktu. Semestinya hidup aku tak aman! Aku sukakan ketenangan dan kesunyian. Ada masa aku akan berkawan namun bukan tiap detik seperti Shou. 


“Joy?” 


Aku telan liur. Sudah, itu suara makhluk aneh si pengacau. Aku baru nak syok hidup aman tanpa kau Shou! 


“Joy?” 


“Apa? Kau nak apa?” 


Shou gelak seperti biasa. “Rindu aku?” 


“Gila, memang taklah!” Cepat-cepat aku bersihkan diri, shampoo rambut, gosok gigi segala bagai. Malas nak layan Shou punya fasal, dah gaya mandi kerbau aku di pagi hujung minggu yang nyaman ini. 


“Joy?” 


Aku merungut. “Apa lagi?” 


“Aku rindu kau.” 


Kejadahnya dia nak rindu aku? Aku ada saja di asrama ini sepanjang aku demam. Siap tak pergi kuliah lagi. Entah nama aku dah kena blacklist ke tidak, aku pun tak pasti. 


“Sorry Shou, aku tak pernah rindu kau.” 


“Aku tahu.” Terdengar gelakkan kecilnya di bilik air sebelah. “Joy, nenek tu ada kacau kau? Atau kau ada kacau nenek tu?” 


Tangan aku yang sedang mengelap rambut, terjeda. Fasal nenek tu lagi! 


“Joy, jangan kacau dia ya. Biarkan aje dia dalam bilik kau. Kau pindah bilik aku. Aku tak kacau kau. Aku baik.” Tambah Shou lagi. Suaranya seolah sedang memujuk aku untuk pindah masuk ke dalam bilik dia lagi.


“Please lah hentikan kemerepekan kau Shou. Aku penat nak dengar. Dan jangan mimpilah aku akan percaya kata-kata kau. Aku tahu nenek tu cuma kemerepekan kau yang suka sangat takutkan aku.” Aku kuak pintu bilik air dalam keadaan marah dan muak. Muak dengan kemerepekan makhluk aneh si penghuni bilik sebelah aku, Shou si pengacau! 


“Mak kau!” telatah aku saat wajah Kei betul-betul berada di depan pintu bilik air. “Kei, terkejut aku!” 


Raut wajah Kei pucat ketakutan. Tangannya menggeletar. Matanya berkaca seakan menahan tangis dan air mata.


“Kei, kau okey tak? Nak masuk ke? Masuklah. Aku dah siap.” Aku membuka langkah untuk segera beredar sebelum Shou keluar dari bilik air sebelah. 


“Joy, kau cakap dengan siapa tadi?” tegur Kei dengan riak cuak. “Shou?” 


Aku berkerut dan angguk malas. Adeh! Jangan diseru makhluk aneh itu, Kei! 


“Joy, kau lupa ke?” Persoalan Kei itu mematikan langkah kaki aku. 


"Lupa? Lupa apa?"


“Kau dah lupa ke yang Shou dah tak ada?” 


Kerutan di dahi aku terlakar hebat. “Apa kau merepek ni Kei? Baru aje Shou borak dengan aku dalam bilik air sebelah.” Anak mata aku pandang pintu bilik air yang terbuka sedikit. Kerutan di dahi semakin banyak. Liur ditelan. Biar betul? 


Kei tolak pintu bilik air yang sepatutnya tempat Shou mandi sebentar tadi.


Terbuntang mata aku melihatnya. Kosong! Bilik air itu kosong! 


“Tadi.. tadi dia.. cakap dengan aku..” Lemah longlai lutut aku. Perkakas mandi yang berada di tangan turut terjatuh ke lantai.


Meremang! 


Tak percaya!


“Dari tadi, dalam tandas ini cuma ada kau dan aku sahaja.” Kei langkah mendekati aku. Dia letak kedua tangannya di kedua-dua bahu aku. “Joy, kau cakap sorang-sorang. Shou dah setahun tinggalkan kita.” 


“Apa kau merepek ni?” Aku membentak. Otak aku langsung tak boleh hadam. 


Kei bawa aku menghadap jadual bertugas aras 3. Aku mencari nombor bilik 305 tapi tidak kelihatan. 


“Kau sendiri yang buat jadual ni awal tahun hari tu. Cuba tengok, mana ada nombor bilik Shou.” Jarinya berlari di setiap nombor bilik. Ya, tiada nombor 305. “Kau tak ingat ke yang kau sendiri mandikan jenazah dia dulu?” 


Butir bicara itu amat menyakitkan telinga aku apatah lagi hati aku yang tersiat-siat menerima kenyataan pahit itu. Lantas, aku berlari menuju ke bilik Shou. Aku ketuk biliknya bertalu-talu. Aku pulas tombol pintu biliknya sambil menjerit memanggil namanya. Shou! 


“Joy.. kau dah kenapa ni? Bukan ke kau dah move on dengan pemergian Shou?” Kei tampak risau dengan ketidak warasan akal fikiran aku. 


Aku tak peduli. Aku nak buktikan yang Shou masih hidup dan baru sahaja bersembang dengan aku tadi. Terus sahaja aku berlari turun ke bawah. Aku masuk bilik warden tanpa kebenarannya. Curi kunci pendua bilik 305 yang tergantung di dalam papan kenyataan berkaca dalam bilik warden. 


“Joy, kamu nak buat apa dengan kunci bilik kosong tu?” 


Ah! Pedulikan dengan pertanyaan terkejut warden asrama. 


Sesampai sahaja di depan bilik Shou, aku terus membukanya. Denyut nadiku seakan terhenti. Air mataku bertakung di tubir mata. Lantai bilik ini sudah berhabuk. Tilam, kerusi, meja dan laci sudah ditutupi kain. Almarinya juga kosong. 


Dengan hati yang membentak, aku tepis kain yang menutupi laci lalu membuka satu persatu laci demi kepuasan aku sendiri. Kosong. Bilik Shou memang sudah kosong tidak berpenghuni! 


“Joy, kau jangan macam ni. Kau buat kita orang risaulah.” Tegur Kei yang sudah berdiri di sebelah aku bersama beberapa penghuni aras 3 yang lain. Riak mereka sama, risau. 


Kepala aku hanya mampu tergeleng-geleng. Mungkin kerana aku demam panas berhari-hari buat aku terlupa tentang Shou. Buat aku terdengar suara dia. 


Hati aku terasa amat sakit tatkala teringatkan rasa kehilangan seorang kawan yang aku gelar makhluk aneh si pengacau itu. Sesal, sungguh aku sesal kerana menganggapnya pengacau yang sering kali mengacau hidup aku. 


Walhal saat aku kehilangannya, seakan aku kehilangan separuh dari hidup aku. Kehidupan bingit aku secara tiba-tiba bertukar menjadi teramat-amat sunyi. 


Ketika aku mahu mengikut langkah mereka keluar dari bilik Shou, ada sekeping gambar polaroid yang menarik perhatian mata aku. Lalu aku menariknya keluar dari celahan laci. 


Jantung aku seolah mahu meletup! Sungguh aku meremang melihat gambar tersebut. Aku ingat lagi, sehari sebelum aku ugut Shou yang aku akan campak dia dari aras 3 jikalau dia masih lagi kacau tidur aku, Shou ada tunjuk kamera polaroid barunya pada aku. Dia ajak aku bergambar tanda kenang-kenangan di hari tua nanti. Gambar itu diambil di dalam bilik aku. 


Sepatutnya hanya ada aku dan Shou namun, seraut wajah tua yang berkudis terpamer di belakang aku. Dalam gambar itu aku kelihatan menayangkan senyuman terpaksa, manakala Shou kelihatan menjeling tajam nenek tua itu. 


“Aku tak merepek. Kau patut bersyukur dapat kawan yang boleh lihat apa yang orang lain tak boleh lihat. Iya, aku mengaku yang aku ni penakut. Itupun sebab aku takut dengan apa yang aku nampak. Aku selalu kacau kau sebab aku tak nak kau diganggu nenek dalam bilik kau tu. 


Untuk pengetahuan kau, sebelum aku kacau kau tadi, nenek tu baru masuk bilik kau. Dia tunggu masa je nak kacau kau. Sebab itu aku kacau kau setiap malam sebelum nenek tu kacau kau. Kau nak yang mana, aku yang kacau kau atau nenek yang kau tak nampak tu kacau kau?” terngiang-ngiang ucapan terakhir dia pada malam aku teman dia ke tandas. Aku ingat. Sangat ingat! 


Dan rupa-rupanya itulah kata-kata terakhir dia yang masuk ke dalam corong telinga aku. Kerana keesokkan paginya kami dikejutkan dengan berita kematian Shou. Shou tidak mati kerana ugutan aku mahu mencampaknya dari aras 3 tetapi dia mati ketika sedang tidur. Wajahnya sangat tenang semasa aku mandikan jenazahnya. Seolah dia sedang lena dibuai mimpi.


Shou, aku rindu sikap pelik kau yang suka kacau ketenteraman hidup aku dan aku juga rindukan kemerepekkan kau. 

Dulu aku selalu cakap dengan diri sendiri supaya jangan percaya Shou. Jangan termakan dengan kata-kata kau. Kerana aku rasa kau suka merepek. Kau pelik. Tapi.. saat ini. Tidak. Disaat aku kehilangan kau, aku sangat menyesal kerana tidak percayakan kau. 


Dan, aku sangat-sangat menyesal kerana tidak menghargai kewujudan kau dalam hidup aku. Kau seorang kawan yang terlalu baik untuk orang yang macam aku, Shou. 


Sumpah aku rindu gila dekat kau, Shafiya Imani! 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.