7
Qasyaf hanya mengikut adik-beradiknya mengayuh basikal menuju ke sekolah mereka. Sekolah baru untuk Qasyaf. Sekolah ini agak di atas bukit, jadi sampai sahaja di jalan yang menuju ke sekolah, mereka berempat turun dari basikal dan berjalan sambil menolaknya naik ke atas.
“Abang macam biasa!” Qaseh terus mengambil beg sandangnya dalam raga dan berlari menaiki tangga menuju ke tapak perhimpunan.
“Macam biasa jugak.” Qoyyim sengih sambil turut mengikut jejak langkah adiknya.
“Kurang asam!” Qausar mengetap bibir. Geram dengan perangai dua orang adiknya itu. Setiap kali hari isnin semenjak mereka tidak tinggal di asrama, pasti dia dibuli untuk meletakkan basikal ditempat khasnya. Dan mengunci basikal dua orang adiknya itu. Alasan mereka, dah lambat. Pengawas kena datang awal ke tapak perhimpunan.
Telinga Qausar terdengar gelakkan orang yang berada di belakangnya.
“Tak sangka abang kena buli dengan budak berdua tu. Kesian-kesian. Orang sangat bersimpati.” Perli Qasyaf dengan mimik muka kesian untuk menyakat abangnya. “Teruskan usaha. Tolong yang ni sekali ya? Sayang abang.” Dia melangkah menaiki tangga yang dinaiki dua orang adiknya itu.
“Syaf!” Nasib badan. Malas nak menjerit memanggil Qasyaf lagi, Qausar terus menyusun satu-persatu basikal adiknya dan mengunci tayar basikal pada tiang yang dikhaskan.
Langkahan Qasyaf mati saat dia terpandang empat bangunan yang agak lusuh di sebelah kanannya. Dua di hadapan dan dua dibelakang. Bangunan didepan tertulis ‘Aspura’ dan bangunan dibelakang tertulis ‘Aspuri’. Pemisah antara dua bangunan hadapan dan belakang ialah sebuah bangunan panjang setingkat. Mungkin dewan makan asrama.
Matanya menangkap makhluk berbulu yang bertaring dan besar dibelakang asrama Aspuri. Makhluk itu bermata merah. Di atas bumbung dewan makan pula, ada satu makhluk yang bertenggek tanpa kepala dan kaki. Setiap aras bangunan Aspura dan Aspuri pula, ada pocong yang tergantung dengan kepala terkeluar dari kain kapan. Umpama pocong-pocong itu penjaga di setiap aras asrama.
“Gila!” Itu saja yang mampu dia lafazkan sekarang.
Kakinya terpaku dengan apa yang berada dihadapannya. Kalau semua makhluk itu berada dekat dengannya sekarang, pasti dia sudah berlari macam orang tak betul. Macam manalah pelajar sekolah ni boleh bertahan tinggal di asrama yang terlampau banyak penghuni. Penghuni yang sangat menyeramkan. Patutlah sebelum ni Qaseh bersungguh-sungguh minta pada papa dan bunda tak nak duduk asrama.
“Oi! Sekolah atas lagi.” Qausar menyergah Qasyaf yang terpaku memandang bangunan asrama sekolah mereka.
Dek kerana terkejut dengan sergahan Qausar, dia memukul lengan abangnya. “Ish! Abang ni… terkejut lah.”
Qausar sengih tak bersalah. “Kenapa? Ada nampak hantu ke dekat asrama tu?”
“Ada. Sebelah abang pun ada hantu bertenggek dekat tiang.” Sakatnya.
“Betul ke?” Qausar tidak berani berpaling.
Qasyaf melepaskan tawanya apabila menyedari kepucatan muka Qausar. Kalaulah ada hantu dekat tiang itu, pasti dia sudah lama larikan diri. “Main-main je lah. Penakut!”
Pantas tangan Qausar menyekih kepala adiknya itu. Sejak matanya menjadi saksi betapa hodohnya makhluk yang dipanggil hantu itu, dia sangat takut kalau dia terserempak dengan makhluk itu lagi. Seram. Buat tak lena tidur saja.
“Abang! Mati lemas orang macam ni.” Rungut Qasyaf yang sedaya upaya berusaha melepaskan dirinya.
Bunyi loceng sekolah memberhentikan perbuatan Qausar. Dia melihat jam ditangannya. “Syaf, perhimpunan dah nak mula. Kalau tak nak tayang muka dekat astaka sekolah, silalah berangan di sini lagi.” Qausar melangkah meninggalkan Qasyaf.
Qasyaf berlari anak menaiki tangga untuk berjalan seiring dengan abangnya itu.
“Petang ni tunggu abang. Kita balik sama-sama. Selalunya hari isnin, Ayim dan Qaseh ada perjumpaan pengawas lepas sekolah. Syaf tunggu dekat gazebo tepi padang tu.” Sambil jari Qausar menghala ke arah gazebo yang dimaksudnya. “Nak abang tunjukkan kelas ke?”
“Tak apa. Nanti orang tanya pelajar lain. Bye.”
Qausar terus menuju ke barisan sebelah kanan manakala Qasyaf ke sebelah kiri yang menempat barisan pelajar perempuan.
Selesai perhimpunan yang memakan masa tiga puluh minit, semua pelajar bersurai masuk ke kelas masing-masing. Qasyaf yang berada di antara orang dibarisan terakhir, memberi laluan kepada pelajar dibelakangnya berjalan dahulu. Dia memandang bangunan yang gah berdiri dihadapannya sambil menggaru kepala. Tak tahu nak pergi ke bangunan yang mana satu. Tak perasan pula ada lima blok semuanya. Kalau dia tahu ada sebanyak ini, baik dia jawab ‘ya’ saja tadi bila abangnya tanya nak dia tunjukkan kelas ke tidak.
Akhirnya dia memilih untuk ke astaka yang terdapat seorang perempuan bertudung litup berwarna putih. Dari segi pemakaiannya, mungkin perempuan itu seorang guru atau pun salah seorang pekerja disekolah ini. “Tumpang tanya? Kelas form 4 dekat mana?”
Perempuan bertudung litup yang berkulit putih bersih mengangkat mukanya dari kertas yang dibacanya tadi.
Qasyaf terpana melihat wajahnya. Mulutnya terkunci rapi. Masihkah dia bermimpi?
“Syaf?” Dia menegur Qasyaf yang masih terpana. “Ya Allah! Penat akak cari Syaf.” Dia terus memeluk Qasyaf yang jelas masih terpaku dihadapannya.
“Ka..kak Nada?”
Nada tersenyum. Terselah lesung pipit dikedua-dua pipinya. “Yalah, siapa lagi si comel berlesung pipit ni. Syaf pindah ke sekolah ni ke?”
Tak! Dia tak patut berhubung dengan kak Nada lagi. Itu janji dia pada diri dia sendiri.
Tanpa membalas sebarang kata pada Nada yang menanti jawapan daripadanya, Qasyaf melangkah meninggalkan Nada. Dia berjalan ke arah laluan yang penuh dengan papan kenyataan. Terdapat beberapa orang pelajar yang berpakaian sama sepertinya berdiri membaca notis yang tertampal di papan kenyataan tersebut.
“Tumpang tanya. Kelas form 4 kat mana?” Soal Qasyaf pada seorang pelajar perempuan yang berkulit hitam manis. Dia memandang Qasyaf atas bawah dan menjelingnya tajam sebelum berlalu meninggalkannya.
What the? Aku ada buat salah ke sampai dia jeling aku macam tu sekali? Qasyaf pun balas dengan jelingan. Tak luak langsung kalau dia tak nak tolong.
“Apa nama kelas awak?” Lelaki yang berdiri dibelakang Qasyaf bertanya.
Qasyaf berpaling sebelum menjawab. “Saya tak tahu pula apa namanya. Kalau macam itu pejabat di mana?” Lupa pula nak tanya papa. Masa dia tidak sihat minggu lepas, papa yang mendaftarkan persekolahanya dan mengguruskan buku teks dan kelasnya. Tak ada pula papa memberitahu nama kelasnya.
“Biar saya tunjukkan. Kau masuk kelas dulu.” Pelajar lelaki itu mengarahkan kawannya masuk ke kelas dan berjalan seiring dengan Qasyaf menuju ke pejabat. Selesai bertanya kerani pejabat, dia menuju ke bilik guru mencari guru yang menguruskan perihal pelajar tingkatan empat.
Dari blok C, mereka menuju ke blok D. “Sorry susahkan. Saya Qasyaf, awak?”
“Bukannya susah sangat pun. Aqil. Awak dari sekolah mana?”
“Saya sekolah asrama penuh kat Kuantan dulu. Jauh sangat.. tu yang pindah sini.”
Aqil sekadar mengangguk. Langkahnya terhenti apabila mereka melepasi tangga aras dua bangunan blok D. Dia menjenguk sedikit ke dalam kelas yang bersebelahan tangga. “Okay, kelas awak sebelah tangga ni. Kelas saya dekat aras bawah. Pergi dulu. Good luck.” Dia melangkah tanpa berpaling. Laju betul dia meninggalkan Qasyaf sendirian.
Qasyaf terjeda seketika melihat gaya Aqil. Tak sempat dia nak ucapkan terima kasih, Aqil sudah melangkah meninggalkannya. Laju pula tu. Aku ada salah cakap apa-apa ke tadi? Pelik.
Sampai dipintu kelasnya, Qasyaf mengetuk pintu kelas dan memberi salam.
“Cari siapa?” Guru yang berada di dalam kelas itu bertanya. Matanya memandang Qasyaf dengan muka bengisnya. Nak tercabut jantung Qasyaf melihatnya. Ini ke sebab Aqil tergesa-gesa meninggalkannya tadi? Itu yang bermain difikiran Qasyaf.
“Saya pelajar baru kelas ni.” Qasyaf menjawab. Dia tidak selesa dengan pandangan guru yang berada dihadapannya ini. Pelik sangat ke tudung aku hari ni? Kenapa pulak cikgu ni pandang aku macam nak makan je?
“Masuk! Lain kali jangan lambat lagi masuk kelas saya. Lepas perhimpunan jangan singgah mana-mana.” Arahnya tegas.
Wow! Hari pertama dah kena warning. Aku baru je daftar masuk kot. Bukannya aku tahu selok belok sekolah ni.
“Wuu.. wuu..” Riuh suara lelaki dikelas itu. “Cantik wehh budak baru!”
Muka Qasyaf merah menahan malu. Dia melangkah ke belakang dan menarik meja yang diletakkan dipenjuru kelasnya. Tarikan meja tersebut mengeluarkan bunyi. Sekali lagi pelajar-pelajar lelaki kelas itu bersuara.
“Minah saleh!” Guru bermuka bengis itu menjerit memanggil Qasyaf.
Qasyaf yang tidak menyedari panggilan itu untuk dirinya, tetap menarik meja tersebut. “Minah saleh mata biru!” Sekali lagi suaranya bergema nyaring. Kali ini lebih kuat dari sebelumnya.
Terhenti beberapa saat detak jantung Qasyaf mendengar jeritan yang nyaring itu. Pergerakannya termati. Dia memandang guru itu dengan muka tidak bersalah. Jari telunjuk kanannya menunjukkan dirinya sendiri.
“Kamulah. Siapa lagi dalam kelas ni mata biru!” Seoktaf suaranya dilaungkan.
Oh.. panggil lah baik-baik. Manalah dia nak ingat matanya warna biru dalam keadaan begini. Mata biru ini dia warisi daripada neneknya sebelah bunda yang berdarah belanda. Ayah bunda berketurunan kesultanan Jawa di Indonesia yang ada gelaran ‘Raden’ dan berkahwin dengan ibu bunda yang berdarah belanda. Hanya Qasyaf satu-satunya cucu yang mewarisi warna mata neneknya.
“Letak balik meja tu di tempat kamu ambil tadi. Sebelah sana tu kosongkan? Duduk saja di situ.”
Tanpa membantah, Qasyaf meletakkan kembali meja tersebut ditempat asalnya. Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang dimaksudkan gurunya tadi. Bukannya dia tidak perasan tempat duduk ini kosong tadi. Tapi dia ingatkan sekolah ini sama seperti sekolah lamanya, pelajar perempuan tidak dibenarkan duduk disebelah pelajar lelaki. Pelajar lelaki disebelahnya siap boleh tidur lagi. Guru garang yang memarahinya dari mula dia mengetuk pintu kelas ini, tak pula memarahi pelajar lelaki disebelahnya.
Adakah ini namanya diskriminasi? Sekolah apakah yang aku jejaki ni? Menyesal tak siasat dengan abang, Ayim dan Qaseh sebelum masuk sini. Apa yang guru garang itu bebelkan dihadapan, langsung tidak dipedulikan.
“Itulah minah saleh gatal yang aku cakap tadi. Minah saleh sesat! Ada hati nak dekat dengan hubby aku.” Pelajar yang berada dihadapan sebelah kiri Qasyaf berbisik pada rakannya disebelah.
“Cantik wei mata dia. Muka pun boleh tahan. Kau tercabar ke?” Rakan disebelahnya membalas sambil mencuri pandang Qasyaf yang juga memandang mereka berdua. “Wei dia dengarlah.”
“Lantak lah dia nak dengar ke apa. Aku tetap nombor satu kat sekolah ini.”
Qasyaf menggeleng perlahan. Rupanya itulah sebab kenapa budak hitam manis dan juga orang yang sama mengumpatnya di dalam kelas menjelingnya tajam tadi. Alasan kebudak-budakkan. Ekor mata Qasyaf ternampak lambaian Nada dipintu hadapan kelas. Nada tersenyum padanya. Muka Nada betul-betul mengharapkan Qasyaf datang padanya sekarang. Mata Nada yang mula berair hampir membuatkan Qasyaf kalah dengan ajakkan Nada.
“Linda! Siti! Apa yang kamu sembangkan dibelakang? Penat saya mengajar didepan, boleh pula kamu bersembang.” Laung suara nyaring milik guru bermuka bengis itu.
Laungan nyaring itu membuatkan Qasyaf memandang semula ke hadapan kelas. Sesaat kemudian dia memandang ke pintu hadapan semula. Nada sudah tidak berdiri di situ. Kan betul? Ah!