Home Novel Seram/Misteri KUBUR BERNYAWA
BAB 17 : Jhaznarul Dirasuk Kembali

Jhaznarul hadir ke kelas selepas pulih sepenuhnya dari sakit bukan kebiasaan yang dialaminya. Jhaznarul kelihatan amat bertenaga sekali pada hari itu dan kesemua teman-temannya berharap agar Jhaznarul akan sentiasa kekal sihat sebegini.

“Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Pada hari ini kita akan belajar konsep editorial di dalam sesebuah penulisan.” Puan Mirna meminta mereka menyalin nota yang akan dibekalkan sebagai bahan rujukan untuk peperiksaan yang bakal menjelang nanti.

Jhaznarul bersama teman-temannya yang lain terus mengeluarkan buku nota masing-masing dan mula menyalin apa yang tertera di papan putih. Masing-masing seolah-olah leka menyalin nota berselang-seli dengan penerangan daripada Puan Mirna. Puan Mirna memang pandai memikat hati para pelajarnya untuk terus setia bersama dirinya. Oleh sebab itulah, tiada siapa yang mahu ponteng kelas Puan Mirna. Teramatlah ruginya jika mereka berniat begitu kerana apa jua tips yang diberikan oleh Puan Mirna merupakan subjek yang akan keluar di dalam peperiksaan nanti. Bijakkan Puan Mirna. Bila penekanan diberi, para pelajar harus memusatkan akal mereka di situ dan memahami konsepnya. Pelajar yang bijak pasti akan dapat menangkap cara pengajaran Puan Mirna dan pasti juga akan lulus dengan cemerlang di dalam subjek pensyarah itu. Oleh yang demikian juga, Puan Mirna merupakan salah seorang pensyarah kesayangan para pelajarnya.

Mata Jhaznarul yang sedari tadi leka menulis di dalam buku notanya, tiba-tiba terpaku dengan tubuh menegak secara tiba-tiba. Air liur yang menuruni lorong rengkungnya juga bagaikan sudah tidak terasa. Objek yang berada di hadapannya kini sedang tersengih sambil menampakkan ketajaman taring-taring giginya. Jarak di antara Jhaznarul dengan objek itu hanya seinci sahaja. Bau hangus terbakar mula meresapi ke rongga hidung Jhaznarul. Hendak menjerit suaranya seakan-akan ditahan oleh sesuatu. Hendak bergerak, tubuhnya seakan-akan diikat. Sengihan objek itu semakin melebar. Aturan pernafasan Jhaznarul mula berselerakan. Biji mata Jhaznarul semakin lama semakin membulat meluruskan ke arah objek itu.

“Cu ... nenek datang.” Suara nenek itu kelihatan berbisik ke lubang telinga Jhaznarul.

Kini mulut Jhaznarul pula sedikit ternganga. Pemuda itu mengumpul kekuatan dirinya sebelum melemparkan buku nota yang berada di atas meja di dalam dewan kuliah pada hari itu. Kesemua teman-teman sekelas Jhaznarul cukup terperanjat melihat tingkah pemudah itu berubah secara tiba-tiba, termasuklah Puan Mirna yang baru hendak memulakan penerangan kepada subjek seterusnya.

“Kenapa dengan Jhaz tu?” Puan Mirna agak kelam-kabut melihat pada keadaan yang semakin tidak terkawal apabila Jhaznarul menjerit, terpekik dan terlolong bagaikan orang tidak betul.

“Tak tahu puan. Tiba-tiba sahaja dia mengamuk.” Zunika mula berasa cuak. Dia yakin Jhaznarul pasti melihat roh nenek tua itu lagi. Jika tidak, Jhaznarul tidak akan berkelakuan di luar kawalan seperti itu.

“Cu .... nenek cuma nak minta tolong cu?” suara nenek tua itu tetap kekal iramanya yang mendayu-dayu sehingga meremang buku tengkuk Jhaznarul yang mendengarnya.

“Nak minta tolong apa? Saya tak ada kaitan dengan nenek. Tolong jangan ganggu saya,” apa yang terpendam di dalam hati Jhaznarul kini mula terluah satu persatu setelah lama Jhaznarul cuba melarikan dirinya daripada nenek tua itu.

“Kejar dia. Jangan sampai dia terlepas lari. Kita tak tahu dia akan buat apa,” arahan dikeluarkan oleh Puan Mirna secara tiba-tiba apabila dia melihat Jhaznarul mula telah mula melompat dari meja ke meja di dalam dewan itu dan cuba untuk keluar dari terus berada bersama-sama mereka.

Kaum Adam cuba menuruti arahan Puan Mirna, manakala kaum Hawa pula hanya mampu menelan air liur. Mereka tidak menyangka begini rupanya keadaan Jhaznarul yang sebenarnya menyebabkan jejaka itu sering tidak hadir ke kelas. Kalau beginilah keadaannya, sesiapa yang melihat pun akan berasa gerun.

“Jhaz? Siapa yang minta tolong dengan kamu? Siapa yang ganggu kamu?” Puan Mirna cuba berkomunikasi dengan Jhaznarul setelah pemuda itu dipegang oleh Firdee Aqasha dan Syed Dahuri. Manakala yang lain-lain pula cuba mengawal Jhaznarul dengan mengelilingi jejaka itu.

Apa yang Jhaznarul lihat pada ketika ini bukanlah Puan Mirna tetapi roh nenek tua itu sedang menyeringai ke arahnya dengan nada suara yang berbeza daripada Puan Mirna.

“Mana cucu nak lari? Cucu tak boleh lari dari nenek.” Suara berbisik itu seolah-olah sedang mengejeknya apabila tiba-tiba Jhaznarul melihat nenek tua itu ketawa tidak cukup ruang.

“Cucu milik nenek. Ha ha ha ... Cucu hanya milik nenek.” Suara nenek tua itu menyenda Jhaznarul pula sehingga jejaka itu hilang terus kawalan dirinya. Habis pembentengan diri yang diajar oleh Ustaz Shafiee tidak diingatinya langsung untuk diucapkan.

“Tidak! Saya bukan milik nenek. Saya tak ada kaitan dengan nenek. Faham?” Jhaznarul cuba memegang batang tengkuk Puan Mirna yang disangkakan nenek tua itu. Nasib baik Khirulnizan sempat menolak Puan Mirna. Jika tidak pasti Puan Mirna akan menjadi mangsa kerakusan Jhaznarul yang bakal bergelar pembunuh di dalam keadaan diri yang tidak terkawal.

“Jhaz, kau gila ke nak bunuh Puan Mirna?” tengking Khirulnizan untuk menyedarkan Jhaznarul tetapi jejaka itu semakin nyaring terlolong.

“Dia tak baca ke ayat benteng diri masa keluar tadi?” pernafasan Zularman juga semakin tidak keruan di kala melihat Jhaznarul separuh menggila.

“Entah. Aku tak tahu. Mungkin dia terlupa,” balas Khirulnizan cuba membangunkan Puan Mirna.

“Jangan ganggu aku. Aku bukan milik kau. Aku tak ada kaitan dengan kau. Pergi! Pergi!” Itulah ayat ulangan yang sering berkumandang di pinggir bibir Jhaznarul dengan tangan yang menggawang ke langit seolah-olah sedang menghalau sesuatu.

Puan Mirna cuba memegang tangan Jhaznarul tetapi tiba-tiba jejaka itu memegang batang tengkuknya sendiri sambil mencekik. “Tolong jangan bunuh aku. Aku tak buat salah pada kau!” Jhaznarul melihat Puan Mirna yang telah menyerupai nenek tua itu cuba mencekiknya, walhal itu semua halusinasi Jhaznarul sahaja.

“Firdee, tarik tangan dia dari terus pegang batang tengkuk. Dia akan bunuh dirinya sendiri.” Jerit Puan Mirna apabila keadaan semakin tidak terkawal.

Husnarisyam tidak mampu untuk menghampiri Jhaznarul langsung. Dia memeluk Nisrinah dan Era Kasmiran sambil menangis tersedu-sedan.

“Kenapa roh itu mengganggu habib aku saja? Kenapa?” Semakin kuat raungan Husnarisyam selari dengan pekikkan Jhaznarul pada waktu itu.

“Kau harus banyak bersabar Risyam. Kalau kau lemah, Jhaz pasti akan semakin lemah juga. Jhaz perlukan sokongan kau pada waktu ini.” Nisrinah memujuk Husnarisyam yang hampir hilang kawalan diri juga. Dia risau, Husnarisyam akan turut tersampuk sebagaimana Jhaznarul.

“Ya. Nisrin betul. Kau harus kuat demi Jhaz. Jangan kau menjadi lemah kerana Jhaz pasti akan terus lemah. Mari kita baca ayat-ayat al-Quran agar Jhaz tidak terus dicengkam oleh sebarang roh lagi.” Aziham pula menenangkan Husnarisyam. Dia juga takut Husnarisyam akan menjadi histeria pula. Sudahlah Jhaznarul masih tidak mampu dikawal, Husnarisyam pula terkena histeria pasti keadaan akan semakin gawat.

“Lepaskan aku! Kenapa kau orang semua mengganggu aku, hah? Apa salah aku pada kau orang?” Jhaznarul menengking pada teman-teman Adamnya yang berada di hadapan setelah tangan Jhaznarul berjaya dirungkaikan dari terus memegang batang tengkuk sendiri.

“Jhaz, kau jangan buat kami macam ni. Kami sayangkan kau Jhaz. Sedarlah diri.” Firdee Aqasha cuba menyedarkan Jhaznarul yang semakin kuat rontaannya.

Jhaznarul meluruskan pandangannya ke wajah Firdee Aqasha. Matanya semakin membeliak. Pernafasannya semakin tidak teratur. Naik turun naik turun dan semakin kencang.

“Mamu Arries! Apa dosa saya pada mamu? Kenapa mamu ikut saya ke sini?” Jhaznarul menengking pula pada Firdee Aqasha.

“Mamu Arries? Takkan Mamu Arries tu pun roh juga? Mamu Arries tu kan masih hidup.” Syed Dahuri mula meremang bulu tengkuknya dengan gelagat yang tidak masuk akal ditunjukkan oleh Jhaznarul pada waktu itu.

“Mana aku tau. Aku yakin Mamu Arries tu manusia biasa dan bukannya hantu.” Firdee Aqasha menegaskan.

“Hei, Jhaz. Kau jangan cakap yang bukan-bukan. Bila masa aku jadi Mamu Arries pula ni?” Firdee Aqasha mula bengang dengan sikap Jhaznarul. Pandangannya tepat diluruskan pada Jhaznarul.

“Jangan ganggu saya Mamu Arries. Saya tak ada kaitan dengan mamu.” Tiba-tiba sebiji tumbukan padu yang kuat dilepaskan oleh Jhaznarul tepat mengenai muka tampan Firdee Aqasha.

Terpelanting Firdee Aqasha ke belakang sambil memegang hidungnya yang berdarah. Kuat betul tumbukan Jhaznarul seolah-olah bukan jejaka itu yang melepaskan tumbukan. Jhaznarul mana biasa menumbuk orang sesuka hati.

Pegangan yang longgar membuatkan Jhaznarul berjaya melepaskan diri dari cengkaman mereka dan mula membuka langkah yang pantas untuk melarikan diri daripada wajah-wajah yang menakutkan dirinya.

“Kejar Jhaznarul, jangan sampai dia mencederakan dirinya sendiri.” Puan Mirna memekik nyaring. Syed Dahuri dan Khirulnizan tidak membuang waktu lagi lalu mengejar Jhaznarul yang semakin kuat lariannya. Termengah-mengah mereka mengejar jejaka itu.

“Kuat betul Jhaz lari. Dia nak ke mana?” Khirulnizan mula rasa tidak sedap hati.

“Manalah aku tahu. Alamak, dia naik limosinlah. Macam mana ni?” Syed Dahuri mula berpeluh melihat pada keadaan itu.

“Jom, kita naik limosin juga kejar Jhaz.” Khirulnuzan terus membuat usulan spontan dan mereka mendapatkan limosin yang kebetulan masih tersadai di tempat penungguan limosin yang berdekatan dengan Kolej Imansyah.

Sementara itu, Era Kasmiran cuba membantu Firdee Aqasha yang sedang kesakitan. Puan Mirna membawa Firdee Aqasha ke klinik yang berdekatan dengan ditemani oleh Zularman dan Aziham. Firdee Aqasha harus diberi rawatan. Puan Mirna tidak menyangka sama sekali begini rupanya keadaan Jhaznarul. Dia beristighfar di dalam hati dan meminta mereka membawa Jhaznarul berubat secara tradisional. Keadaan Jhaznarul semakin tidak terkawal. Dia takut sesuatu yang tidak diingini bakal berlaku. Dia tidak mahu kehilangan pelajar yang cukup cemerlang. Firdee Aqasha berjanji pada Puan Mirna akan cuba berubat Jhaznarul sekali lagi. Mereka pun hairan juga kerana Jhaznarul sudah lama tidak diganggu setelah dipulihkan oleh Ustaz Shafiee.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.