Sejak kebelakangan
ini, kesihatan Jhaznarul agak merosot akibat kerap diganggu oleh roh nenek tua
itu dan sering meracau di dalam tidurnya. Kadang-kadang Zularman yang tidur di
sebelah Jhaznarul pun kecut perut apabila jejaka ini bertindak di luar kawalan.
Seringkali Zularman mengejutkan Jhaznarul dan memintanya untuk solat sunat dan
melagukan ayat-ayat suci al-Quran. Tidur Jhaznarul hanya tenang dalam dakapan
naskah al-Quran. Dirinya juga bisa lega apabila berada di dalam surau atau
masjid. Namun, apabila dia bersendirian, pasti dirinya akan diganggu lagi.
Keadaan Jhaznarul ini cukup merunsingkan teman-temannya. Sudah berbuih
mulut mereka menasihati diri Jhaznarul agar melupakan apa yang telah terjadi,
namun nasihat mereka bagaikan mencurah air ke daun keladi. Jhaznarul hanya
memasukkan nasihat mereka di telinga kanan dan mengeluarkannya selepas itu di
telinga kiri.
Husnarisyam kelihatan risau dan resah melihat keadaan Jhaznarul yang sudah
mula cengkung ketika mereka semua berbual di hadapan pintu pagar rumah kaum
Adam pada malam itu. Husnarisyam sudah tidak sanggup lagi memendam rasa.
“Aku tak sampai hatilah tengok Jhaz macam tu. Keadaannya benar-benar
berubah. Sudah tak ceria, mukanya pula pucat macam zombi. Apa kata kalau kita
bawa dia jumpa ustaz? Manalah tahu ustaz tu boleh ubatkan Jhaz kalau benar dia
tersampuk.” Husnarisyam sudah tidak sanggup lagi melihat keadaan kekasihnya
begitu. Dia rindukan keceriaan Jhaznarul yang dahulu. Dia rindukan panggilan
manja Jhaznarul. Dia rindukan segala-galanya tentang Jhaznarul ketika jejaka
itu sihat.
“Aku rasa betul juga apa yang Risyam cakap. Keadaan dia nampak teruk
sekali. Mungkin dengan perubatan secara tradisional Islam dapat mengeluarkan
Jhaz dari segala kemurungan.” Zunika bersetuju dengan cadangan Husnarisyam.
“Apa kata kau orang? Kita tak boleh biarkan Jhaz macam ni. Aku tak nak dia
kantoi dalam peperiksaan tahun akhir. Aku nak kita semua grad sekali.” Era Kasmiran pula menyatakan pendapatnya.
“Nampaknya, kita kena bawa juga Jhaz untuk jumpa dengan ustaz. Apa kata
kalau kita minta tolong Ustaz Shafiee di depan rumah tu. Aku rasa dia mungkin
tak ada masalah untuk membantu kita.” Syed Dahuri tidak membantah apa yang
dicadangkan oleh kaum Hawa.
“Kalau begitu, esok pagi lepas sarapan kita semua pergi jumpa Ustaz Shafiee
sebelum kita bawa Jhaz.” Firdee Aqasha bersetuju kerana dia juga sudah tidak
sanggup melihat keadaan sahabatnya begitu.
Teman-teman Jhaznarul mencuba sedaya yang mungkin untuk menyelesaikan
masalah sahabat mereka itu tanpa melibatkan keluarga Jhaznarul. Di atas sebab
itulah mereka berikhtiar sesama sendiri. Biarlah masalah ini mereka yang
uruskan kerana mereka yang mencari pasal dan oleh itu mereka harus
bertanggungjawab di atas segala-galanya.
Firdee Aqasha dan Syed Dahuri telah pergi ke rumah Ustaz Shafiee pada pagi
itu. Setelah berbual seketika, Ustaz Shafiee menyuruh mereka membawa Jhaznarul
waktu itu juga kerana perkara-perkara seperti ini jangan ditangguhkan lagi. Takut
merebak pula penyakitnya.
Ustaz Shafiee meluruskan pandangannya pada Jhaznarul yang kelihatan agak
lesu, pucat dan cengkung. Tumpah rasa kasihan pada Jhaznarul. Ustaz Shafiee
yakin, sudah pastilah Jhaznarul mengalami penderitaan hasil daripada gangguan
syaitan dalam situasi yang cukup teruk sekali. Jika tidak, tak mungkin keadaan
Jhaznarul akan terjadi begini.
“Cuba ceritakan pada ustaz, apa sebenarnya yang telah terjadi pada kawan
kamu ini? Ke mana kamu semua pergi sehingga dia mengalami gangguan seperti
ini?” Ustaz Shafiee meminta salah seorang daripada teman-teman Jhaznarul
menceritakan hal yang sebenarnya.
Mereka saling bertelagah pandangan seketika sebelum Firdee Aqasha mengambil
keputusan untuk menceritakannya secara ringkas. Tidak perlu terlalu mendalam
kerana Ustaz Shafiee harus tahu yang asas sahaja. Sebaik sahaja selepas
bercerita, Ustaz Shafiee mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia menghadiahkan
senyuman buat mereka sebelum menghuraikan apa yang bermain di kepalanya.
“Kemungkinan besar, kawan kamu ini telah mengejutkan roh yang telah lama
bersemadi. Kemungkinan besar juga dia telah terkena badi roh tersebut. Ini
hanyalah pendapat ustaz sahaja.” Ustaz Shafiee senyum lagi.
“Kadang-kadang syaitan ini sengaja ingin mengusik kita untuk menguji sejauh
mana kita mentaati ALLAH. Syaitan telah berjanji pada ALLAH untuk menyesatkan
kita anak cucu Adam. Jadi, kalau pembentengan diri kita ampuh, pasti dengan
mudahnya syaitan ini menguasai diri kita,” sambung Ustaz Shafiee menerangkan
tentang kehadiran syaitan di sisi kita.
“Ustaz, bagaimana untuk mengukuhkan pembentengan diri kita dari dikuasai
atau dirasuki oleh syaitan?” tanya Zularman ingin menambahkan ilmu
pengetahuannya.
“Bagi setiap pembentengan diri terdapat syarat-syarat yang tertentu,
menjadikan seseorang yang ingin membentengi dirinya, keluarganya dan rumahnya
untuk melawan dan menghindari musuh. Maksud benteng-benteng di sini ialah
berasal dari al-Quran dan al-Sunnah,” terang Ustaz Shafiee.
“Yang pertama adalah keimanan yang matang. Kedua, amal soleh dan banyak
mengerjakan ketaatan. Ketiga zikir dan bersuci dan keempat ikhlas.
Benteng-benteng ini harus dilakukan secara teliti dan tertib insya-ALLAH kita
akan selamat dari sebarang gangguan yang tak diingini,” sambung Ustaz Shafiee
semula.
“Terima kasih ustaz kerana memberikan kami tips ini. “ Khirulnizan
mengucapkan terima kasih pada Ustaz Shafiee kerana memberikan mereka sesuatu
yang amat berguna untuk mereka amalkan.
“Sama-sama. Kawan kamu ini biar ustaz berubatkan dia. Mudah-mudahan urusan
kita ini dipermudahkan ALLAH swt.” Ustaz Shafiee kelihatan tenang sekali.
Seketika kemudian, Ustaz Shafiee beredar ke tandas untuk mengambil wuduk.
Kemudian, dia membawa sebaldi air, tujuh biji limau purut dan senaskah
al-Quran. Bagi permulaan perubatan secara tradisional ini, mereka melihat Ustaz
Shafiee membaca beberapa surah al-Quran dan menghembuskannya ke dalam segelas
air dan menyuruh Jhaznarul meminumnya.
Jhaznarul hanya menuruti apa yang disuruh kerana dia sudah tidak berdaya
ingin melancarkan sebarang perbalahan. Tubuh badannya yang lemah membuatkan dia
reda. Mudah-mudahan dia mendapat sedikit semangat daripada perubatan itu.
Selepas Jhaznarul minum air yang telah dijampi, terlihat beberapa garis
kedutan yang timbul di dahi Ustaz Shafiee. Tiada perubahan pada diri Jhaznarul.
Dia tidak pengsan mahupun bertukar suara. Ustaz Shafiee begitu pelik dengan
situasi sebegitu yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Sekali lagi Ustaz
Shafiee memberikan Jhaznarul minum air jampi yang telah dijampi buat kali yang
kedua setelah pembacaan ayat-ayat suci al-Quran selesai berada di dalam air
itu.
Keadaan Jhaznarul masih seperti biasa. Tiada sebarang perubahan. Ini
bermakna Jhaznarul tidak dirasuk. Tiada juga benda yang menumpang dirinya.
Namun, Ustaz Shafiee tidak menyerah kalah. Kali ini dia memegang pula sebilah
keris yang bersaiz kecil yang disucikan dengan limau purut, dilayur di atas
kemenyan dan dibaca beberapa potong ayat-ayat al-Quran. Kemudian, dia
meletakkan keris itu di buku lali Jhaznarul. Tidak pula dia melihat Jhaznarul
menjerit atau bertukar suara. Keadaan ini semakin pelik dirasakan oleh Ustaz
Shafiee.
“Awak ada rasa apa-apa?” tanya Ustaz Shafiee pada Jhaznarul. Dia ingin
melihat reaksi pemuda itu.
Jhaznarul menggelengkan kepalanya. “Saya tak rasa apa-apa pun,” jawab
Jhaznarul tenang.
“Tak rasa sakit?” tanya Ustaz Shafiee lagi. Nampak seperti tidak puas hati.
Sakali lagi Jhaznarul menggelengkan kepalanya. “Tak rasa sakit langsung.”
Ustaz Shafiee menarik nafas panjang. “Nampaknya dia tidak terkena sebarang
badi mahupun dirasuk. Dia sihat sebenarnya. Mungkin ada sesuatu yang mengganggu
fikirannya. Tak apalah, ustaz akan bagi beberapa ayat al-Quran dan mandikan dia
sebelum kamu semua balik.” Ustaz Shafiee membaca beberapa potong ayat al-Quran
ke dalam baldi itu dan memerah limau purut sebanyak tujuh biji. Kemudian, Ustaz
Shafiee meminta Jhaznarul untuk ke tandas kerana ustaz itu mahu memandikan dia.
Jhaznarul hanya menurut tanpa banyak songeh.
Sebaik sahaja selepas dimandikan dengan air jampi, Ustaz Shafiee
menyerahkan sebotol air jampi untuk diminum jika Jhaznarul berasa resah.
“Untuk membentengi diri kita dari segala sampukan atau unsur-unsur yang
tidak sihat, pertama kita haruslah menjaga solat. Walau apa pun terjadi, jangan
sesekali kita meninggalkan solat. Kedua, baca surah al-Waqi’ah sebelum keluar
dari rumah setiap pagi. Ketiga, baca surah al-Mulk kerana surah ini banyak
mengandungi pelbagai faedah yang luar biasa. Surah al-Mulk ustaz galakkan
membacanya selepas mengerjakan solat Zohor. Keempat, baca surah Yasin kerana
surah ini mengandungi pelbagai ayat yang jelas serta dapat mengusir syaitan dan
penyakit was-was. Bacalah selepas solat Asar. Dan yang kelima, banyakkan
membaca istighfar. Yakni dilakukan lepas solat Maghrib. Insya-ALLAH, ia akan
dapat menjadi pembentengan diri yang kukuh,” panjang lebar Ustaz Shafiee
memberikan petua kepada mereka berlima.
“Sebelum tidur ustaz, ada tak ayat-ayat pembentengan diri yang boleh
diamalkan?” Khirulnizan pula ingin tahu. Jika boleh, dia ingin menjadikannya
satu amalan agar dirinya terhindar dari segala hinggapan benda-benda yang tidak
elok. Nauzubillah min zalik. Dia tidak mahu menjadi salah seorang mangsa yang
bakal diganggu. Hee ... menyeramkan. Tengok keadaan Jhaznarul sudah cukup.
Merosot dari sehari ke sehari.
“Mudah saja ayat-ayatnya. Sebelum tidur, ambillah wuduk terlebih dahulu
kerana wuduk adalah senjata orang yang beriman. Bacalah surah al-Fatihah kerana
di dalam surah ini terdapat kepujian, sanjungan dan penyerahan diri kepada
ALLAH. Bacalah ayat al-Kursi selepas itu kerana ayat ini merupakan pengetua
ayat-ayat al-Quran al-Karim lainnya. Di dalam ayat ini terdapat keberkahan dan
penyembuhan. Dan penutupnya, bacalah surah al-Baqarah sebagai benteng dan juga
pengaman dari pelbagai gangguan pada waktu malam hari.” Ustaz Shafiee
menyudahkannya dengan sebuah senyuman.
“Terima kasih ustaz kerana mengubati sahabat kami dan juga berikan kami
tips-tips pembentengan diri. Kami minta diri dululah ya ustaz. Ini ada
sumbangan sikit dari kami semua.” Syed Dahuri meminta diri dengan menghulurkan
sedikit sumbangan ikhlas dari mereka semua.
Ustaz Shafiee menyambut pemberian mereka dengan penuh kesyukuran. Jhaznarul
pula kelihatan lebih bertenaga dari hari sebelumnya. Mudah-mudahan keadaan
Jhaznarul akan kekal sebegini. Doa mereka di dalam hati.