Jhaznarul sudah mampu
bangun memandangkan keadaan dirinya semakin sihat dari semalam. Jhaznarul rasa
bertenaga sekali. Begitulah keadaan dirinya setiap kali selepas diubati oleh
pada ustaz yang hadir. Namun, keadaan diri Jhaznarul harus sentiasa
diperhatikan kerana kesihatan pemuda ini bila-bila masa sahaja akan merosot
secara mendadak. Jadi, mereka perlu berhati-hati dengan keadaan diri Jhaznarul.
“Wei, bangun-bangun. Matahari dah meninggi ni. Tidur apa lagi? Nanti rezeki
tak masuk. Aku tak apalah sebab dikecualikan.” Jhaznarul menyengih ketika
mengejutkan rakan-rakannya dari terus diulit mimpi yang indah. Siang-siang pun
masih nak bermimpi lagi. Teruk betul perangai masing-masing. Itulah akibat dari
tidur lepas Subuh. Beginilah jadinya.
Teman-teman Jhaznarul mengeliat dan masih berada di atas katil sebelum mereka
membawa tuala masing-masing menuju ke tandas. Hendak tergelak Jhaznarul melihat
keadaan itu dan berasa sedikit pelik.
“Dia orang ni nak mandi secara berjemaah ke? Semua masuk tandas sekali?
Entah-entah dia orang tak sedar lagi.” Jhaznarul masih berdiri di muka pintu
biliknya sambil memerhatikan gelagat Firdee Aqasha, Syed Dahuri dan
Khirulnizan. Nasib baiklah Zularman berkongsi bilik dengannya, jadi Zularman
selamat dalam acara mandi secara berjemaah itu kerana tandas berada di dalam
bilik mereka. Zularman menikmati mandian paginya dengan agak selesa. Seketika
kemudian, Jhaznarul terdengar pekikan dari dalam tandas. Dia sudah agak mereka
masih mamai dan masuk beramai-ramai. Syed Dahuri dan Khirulnizan keluar dari
tandas itu memberi laluan kepada Firdee Aqasha menunaikan hajatnya terlebih
dahulu. Jhaznarul melepaskan ketawanya di saat melihat batang tubuh Syed Dahuri
dan Khirulnizan yang masih bertuala menutup di bahagian sulit.
“Suka kau ya Jhaz? Hampagas sungguh,” jegil Syed Dahuri pada Jhaznarul
membuatkan tawa jejaka itu makin meledak.
“Tandas bilik kau dah kosong? Aku nak masuklah. Sakit perut ni.”
Khirulnizan meminta izin pada Jhaznarul untuk menggunakan tandas yang berada di
dalam biliknya.
“Pergilah masuk kalau Zular dah keluar.” Jhaznarul mengizinkannya sebelum
mengatur langkah ke dapur bagi menyediakan sarapan buat dirinya dan juga
teman-teman yang lain.
Namun, langkah kakinya terhenti ketika melihat apa yang terhidang di
hadapan matanya. Tidak berkelip-kelip Jhaznarul memandang pada sarapan yang sudah
molek disediakan untuk mereka berlima pada pagi itu. Di atas meja terdapat nasi
lemak, sambal ikan bilis, telur goreng mata satu dan daging salai. Semakin
menghairankan Jhaznarul ialah, bila masa pula teman-temannya yang lain
menyediakan sarapan pagi sedangkan mereka semua baru sahaja bangun dari tidur.
Dan bila masa pula mereka membeli daging salai yang agak mahal harganya itu.
Bagi pelajar seperti mereka tidak mungkin dapat membeli daging salai selain
lauk pauk yang biasa-biasa sahaja.
“Siapa yang menyediakan sarapan ni? Takkan dia orang nak kenakan aku lagi?
Mustahil. Aku yang kejut mereka tadi,” persoalan demi persoalan menerjah ke
tempurung akalnya menyebabkan Jhaznarul sedikit sesak.
“Wah, sarapan dah siaplah. Menyelerakan. Jom makan.” Syed Dahuri nampak
teruja dengan hidangan yang cukup menyelerakan pada pagi itu dan terus sahaja
menarik kerusinya. Begitu juga dengan Firdee Aqasha, Khirulnizan dan Zularman.
“Tapi siapa yang sediakan sarapan ni? Aku turun-turun dah ada.” Jhaznarul
tidak bernafsu hendak menjamah sebarang hidangan yang terhampar di hadapan
matanya selagi tidak tahu dari sumber mana sarapan itu diperolehi.
“Siapa kisah siapa yang sediakan sarapan. Janji dah di depan mata, kita
ngap sajalah. Sedapnya sarapan ni macam nasi lemak kampung. Mesti orang lama
yang menyediakan. Marilah Jhaz,” ajak Firdee Aqasha.
Jhaznarul menggeleng-gelengkan kepalanya. “Aku macam tak ada selera nak
makan selagi tak tahu siapa yang sediakan sarapan kita pagi ni. Takkan
tiba-tiba sarapan ni terhidang dengan sendiri? Masih berasap pula tu. Mustahil.
Siapa di antara kau orang sediakan sarapan ni? Tolonglah jangan kenakan aku
lagi,” nada suara Jhaznarul semakin meninggi.
“Kita sama-sama baru bangun Jhaz. Takkanlah kami yang sediakan pula. Kau
yang turun dulu, mungkin kau sedia dalam tak sedar kot.” Zularman berlelucon
membuatkan Jhaznarul mencebik.
“Kau orang ingat aku main-main ya? Aku tak sediakanlah sarapan ni. Siapa
sebenarnya yang sediakan sarapan ni?” Jhaznarul masih statik dengan satu
pertanyaan yang sukar untuk dijawab oleh sesiapa pun.
“Sedap cu, sarapan yang nenek sediakan? Makanlah lagi. Banyak nenek masak
untuk cucu semua.” Tiba-tiba kelihatan seorang nenek tua muncul dengan membawa
sejag air kopi yang masih berasap.
Tersentak mereka memandang nenek tua yang muncul semula di hadapan mereka
terutama sekali Jhaznarul. Sungguh mereka tidak menyangka kehadiran nenek tua
itu di saat mereka hendak melupakan seraut wajahnya. Rupanya nenek tua itu bisa
muncul pada bila-bila masa sahaja yang dia suka tidak mengira pagi mahupun
malam.
“Makanlah lagi. Bukan selalu nenek dapat sediakan sarapan ni untuk cucu.”
Melihat sahaja nenek tua itu menyeringai dengan menampakkan taring-taring
giginya yang rentung, terhenti suapan mereka lalu pandangan masing-masing
diluruskan pada Jhaznarul yang sudah pun terkaku.
Wajah Jhaznarul sudah berubah pucat lesi. Dan dia menutup mulutnya di saat
memandang pada makanan yang sedang dijamah oleh teman-teman serumah. Roman
wajahnya yang cukup menjengkilkan membuatkan teman-teman yang lain turut
menghala pandangan ke pinggan masing-masing.
Tiba-tiba sahaja tekak mereka rasa meloya apabila melihat nasi yang sedang
dijamah adalah ulat-ulat putih yang masih hidup. Daging salai itu pula sudah
berbau busuk sehingga menusuk ke rongga hidung mereka. Sambal ikan bilis
merupakan belalang yang telah digoreng dan telur mata satu pula merupakan telur
busuk. Masing-masing tidak mampu menahan diri lagi lalu berlari keluar dari
rumah itu sambil memuntahkan segala isi perut yang sudah terisi dengan juadah
sarapan sebentar tadi.
“Cu ... tak sedap ke nenek masak? Ha ha ha ....” Telinga mereka masih dapat
menangkap ketawa nenek tua itu mengilai-ilai.
Muntah mereka makin menjadi-jadi. Jhaznarul menarik nafas lega kerana dia
tidak turut terjebak di dalam sarapan pagi yang disediakan oleh nenek tua itu.
Era Kasmiran yang sedang menyidai baju, berkerut dahinya melihat kaum Adam
yang berlainan dari kebiasaan. “Eh, apa dah jadi tu? Baik aku bagi tahu yang
lain.” Era Kasmiran meninggalkan baju yang sedang disidai lalu memberitahu
teman-teman yang lain tentang buah hati masing-masing. Dengan pantas kesemua
kaum Hawa keluar untuk menemui buah hati masing-masing yang masih memuntahkan
makanan yang dijamah sebentar tadi. Entah apa pula yang berlaku pada mereka
kali ini.
“Kenapa kau orang ni?” Era Kasmiran bertanya dengan perasaan cemas.
“Habib okey?” sempat pula Husnarisyam bertanya khabar pada kekasih hatinya.
“Habib dah sihat habibi. Jangan bimbang.” Jhaznarul kelihatan amat tenang
sekali.
“Apa dah jadi pada mereka ni? Kenapa mereka muntah?” tanya Husnarisyam lagi
kerana dia melihat kaum Adam pada pagi itu amat berlainan sekali.
“Roh nenek tua sediakan sarapan untuk mereka. Nasi lemak dari ulat putih
yang hidup. Daging salai busuk, telur busuk dan sambal ikan bilis belalang. Sebab
itulah mereka muntah. Nasib baik habib tak ikut makan.” Jhaznarul menunjukkan
ekspresi geli geleman.
“Biar betul nenek tua tu masak untuk kau orang?” Era Kasmiran seakan-akan
tidak mahu mempercayainya.
“Betul. Kalau tak percaya, pergilah tengok atas meja tu.” Firdee Aqasha
memberitahu dengan bersungguh hati.
Era Kasmiran bersama-sama kaum hawa yang lain melangkah laju masuk ke dalam
rumah kaum Adam untuk melihat sendiri sarapan yang disediakan oleh nenek tua
itu. Namun, apa yang mereka dapati, tiada sebarang sarapan yang terhidang di
atas meja. Pandangan kaum Hawa saling bertelagah sesama sendiri.
“Mereka ni biar betul? Entah-entah mereka pun berhalusinasi macam Jhaz
juga. Jom.” Nisrinah mengajak teman-temannya keluar dari rumah kaum Adam.
“Ada sarapan yang kami makan tadi?” tanya Khirulnizan.
Pantas kesemua kaum Hawa menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Tak ada sebarang sarapan pun. Kau orang ni berhalusinasi ya?” tanya
Zunika.
“Eh, takkanlah. Kami memang makan tadi.” Tegas Khirulnizan.
“Mana ada apa atas meja tu. Kosong aje.” Aziham juga menegaskan apa yang
mereka lihat.
Pandangan kaum Adam bertelagah sesama sendiri lalu mereka bergegas masuk ke
dalam rumah semula dan apa yang kaum Hawa katakan memang benar. Tiada sarapan
di atas meja itu. Pelik mereka dengan kejadian yang berlaku hanya sesaat.
“Kami betul-betul makan sarapan nenek tua tu tadi. Buat apa kami nak menipu
kau orang.” Firdee Aqasha menegaskan setelah mereka keluar semula. Takut pula
mereka dikatakan penipu oleh kaum Hawa.
“Kalau begitu, perkara ni sudah tidak boleh pandang remeh lagi. Perkara ni
semakin lama semakin rumit. Roh nenek tua tu dah mula mengganggu kau orang
pula. Kita harus berbincang perkara ni.” Nisrinah menegaskan dan mendapat
sokongan daripada teman-teman gadisnya yang lain.
“Baik. Jom kita bincang di luar.” Akhirnya kaum Adam terpaksa mengalah
dengan apa yang sudah berlaku pada mereka.