“Selamat datang ke Hutan Simpanan Kaffi!” Firdee Aqasha mengalu-alukan kedatangan kumpulannya dari Kolej Imansyah yang terletak di Bandar Seri Ramen. Sebetulnya mereka datang dalam 10 orang bermakna ada 5 pasangan di sini. Cuti semester pertama sudah pun bermula dan mereka mengambil kesempatan untuk mengunjung ke sini bagi merehatkan minda yang berserabut dengan sesi pembelajaran di kolej. Sekurang-kurangnya dengan hamparan fauna dan flora semula jadi di Hutan Simpanan Kaffi ini mampu menenangkan pemandangan mereka.
“Kau pernah datang ke sebelum ni ke Hutan Simpanan Kaffi?” tanya Nisrinah mengejek.
Firdee Aqasha hanya melukis senyuman janggal sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Elok aje dia mengalu-alukan kedatangan kita macamlah dia dah biasa dengan hutan ni.” Zunika pula menambah rencah pada ejekan Nisrinah.
“Tak salah apa kalau aku mengalu-alukan kedatangan kumpulan berpacaran kita ke sini. Selain memadu asmara, boleh juga menghirup udara segar. Kan sayang?” Firdee Aqasha melorongkan pandangannya ke arah Era Kasmiran untuk meminta sokongan gadis kecintaan hatinya itu.
Era Kasmiran hanya ketawa halus. “Belum halal tak boleh memadu asmara lagi. Nanti bila dah halal kita boleh memadu asmara, ya bang.” Lain yang diharap, lain pula yang didapat oleh Firdee Aqasha sehingga menetas ketawa di pinggir bibir teman-temannya yang lain.
“Huh, tak boleh diharap. Sokonglah sikit buah hati awak ni.” Firdee Aqasha memuncungkan bibirnya sedepa panjang.
“Ala ... laa .... laa ... janganlah marah. Gurau-gurau manja pun nak ambik hati.” Era Kasmiran mula memujuk pula si buah hati pengarang jantung.
“Sudah, jangan nak buat babak asmara Filipina kat sini, jom tolong aku pasangkan khemah. Hari dah nak beransur petang ni. Dahuri dan Nizan tolong buat unggun api ya?” Jhaznarul mematikan babak asmara dana antara uda dan dara ini yang baru ingin meletus serta arahan diberi buat Syed Dahuri dan Khirulnizan bagi mempercepatkan tugasan mereka pada petang itu.
“Aku nak buat apa?” tanya Zularman yang tidak diberi apa-apa tugasan.
“Kau buat pandai dahlah,” spontan Khirulnizan mengusik Zularman. Tidak semena-mena Zularman menayang penumbuk di skrin mata Khirulnizan membuatkan ketawa menetas semula di pinggir bibir masing-masing.
“Kau tolong Aziham pergi ambil air untuk masakan kita malam ni. Perut aku dah makin bergendang sakan. Lepas solat nanti kita masak ramai-ramai,” arahan sudah pun dikeluarkan oleh Jhaznarul.
“Nak ambil air kat mana? Di sini bukannya ada sungai. Aku tak nampak sebarang sungai pun masa kita lalu di sini.” Aziham kembali melorongkan pandangannya pada Jhaznarul.
“Adalah. Aku ternampak air terjun di hujung sebelah sana masa kita datang tadi. Cuba kau orang berdua pergi tengok. Nah, botol-botol kosong untuk isi air.” Jhaznarul menunjukkan ke arah di mana terdapatnya air terjun.
“Kenapa aku tak perasan ya tadi?” Aziham merungut pada dirinya sendiri.
“Sudahlah manis, jom kita pergi sekarang sebelum hari malam.” Ajak Zularman. Aziham tidak membantah dan terus membuntuti Zularman.
“Hati-hati dalam perjalanan tu. Kau Zular, jangan nak memadu asmara pula dengan Azi. Aku dengar kau buat tak senonoh, siap kau aku kerjakan,” pesan Husnarisyam beramaran.
Zularman memekarkan sengihan. Baru aje aku nak menyendeng-nyendeng dengan Azi, kacau air betullah si Risyam ni. Omel Zularman di dalam hati. “Kau jangan bimbanglah, takkan aku nak buat apa-apa kat si manis aku. Kan?” lirikan mata menggoda singgah pada Aziham. Aziham malas hendak membalas kata lalu mampu menyedekahkan senyumannya yang manis.
Selepas menyediakan segala kelengkapan untuk sesi perkhemahan pada hari itu, kaum Hawa telah mengambil giliran untuk menyegar badan mereka yang melekit di kolam air terjun yang begitu indah. Seketika kemudian, kaum Adam pula yang mengambil giliran untuk bermandi-manda. Masing-masing terasa segar dengan air terjun semula jadi. Selesai sesi menyegarkan diri, Jhaznarul selaku ketua pada perkhemahan hari itu, telah melaung pada rakan-rakannya untuk bersedia solat berjemaah bersama-sama. Itu rutin yang wajib dilakukan setiap kali terdapat sesi perkhemahan walau di mana sahaja mereka mengadakannya. Bukankah solat itu tiang kehidupan, jadi Jhaznarul tidak mahu tiang itu rapuh seandainya mereka tidak melakukan. Itu pegangan Jhaznarul sejak dari dahulu lagi.
Makan malam mereka pada hari itu ialah nasi lemak, sambal sotong (yang dibungkuskan di dalam tin) dan sayur goreng kacang buncis. Jadilah untuk melapik perut mereka yang bergendang sakan. Seusai makan malam, mereka mengadakan pula sesi unggun api, di mana kesemua mereka berhibur sambil menyumbangkan suara masing-masing. Apa yang menariknya, setiap lagu yang disumbangkan merupakan luahan hati pada pasangan masing-masing. Bertapa romantiknya mereka. Jhaznarul? Takkan si geng surau hendak mengaji pula pada kekasih hatinya, kan? Sudah pastilah dia juga turut menyumbangkan suara tetapi lagu ala-ala akapela. Lagu dendangan Kopratasa yang berjudul Kau Isteriku menjadi pilihan Jhaznarul buat Husnarisyam. Termalu-malu kucing Husnarisyam ketika mendapat lagu itu. Malu lagi dengan usikan teman-temannya. Memerah sahaja wajah Husnarisyam di kala itu.
“Dah dekat pukul 1 pagi ni. Kami ingat nak masuk tidur dululah,” pinta Era Kasmiran kerana matanya sudah mulai layu. Mereka yang lain (teman-teman gadisnya) sudah mulai menguap menahan mengantuk. Maklumlah setelah menempuhi perjalanan yang panjang, mananya tidak penat.
“Iyalah. Mata aku dah tak tahan lagi. Rasa dah tak larat nak buka,” sokong Husnarisyam pula.
“Pergilah tidur dulu, habibi. Esok pagi dah nak bangun. Ada aktiviti bersenam.” Jhaznarul selesa memanggil kekasih hatinya dengan panggilan ‘habibi’ yang bermakna sayangku di dalam bahasa Arab.
Tersenyum senang Husnarisyam sambil mengangguk kepalanya. “Selamat malam habib,” begitu pula panggilan Husnarisyam buat Jhaznarul. Barulah sedondon, kan? Manisnya panggilan mereka berdua, lain dari kebiasaan. Sekilas pandang kelihatan rakan-rakannya yang lain mencebir bibir ke arah mereka berdua. Keadaan itu langsung tidak terkesan di hati pasangan itu, malah mereka membutakan mata sahaja.
Sesudah kaum Hawa masuk ke dalam khemah masing-masing untuk berehat, kaum Adam pula berpandangan sesama sendiri. Hendak masuk tidur, mata belum mengantuk lagi. Jadi, apa yang patut mereka lakukan untuk mengundang rasa mengantuk di tubir mata.
“Kita nak buat apa ni? Aku belum mengantuk lagi.” Firdee Aqasha memandang sahabat-sahabatnya.
“Aku pun sama. Tadi rasa letih tapi bila dah nyanyi-nyanyi, rasa segar pula mata ni.” Syed Dahuri menyokong Firdee Aqasha.
“Haa ... kita cipta lagu nak? Manalah tahu kita boleh proposed kaset sulung kita ke syarikat penerbitan, boleh juga jadi artis bila dah keluar kolej nanti,” cadang Khirulnizan pula.
“Idea yang bagus. Aku setuju. Zaman sekarang ni, lagu rancak menjadi pilihan. Jadi, apa kata kita cipta lagu rancak berunsurkan nasihat macam lagu Kalau Berpacaran.” Zularman pula mengeluarkan ideanya dari kotak simpanan minda.
“Hmm ... aku suka idea tu.” Firdee Aqasha tertarik dengan idea yang diutarakan oleh Zularman. Walaupun blurtetapi kadang-kadang idea spontannya bernas. Cayalah.
“Kau Jhaz, nak join kami?” lirikan mata Firdee Aqasha kini melurus ke arah Jhaznarul.
Jhaznarul menggeleng-gelengkan kepalanya. “Tak kot. Aku rasa nak berjalan-jalanlah di sekeliling Hutan Simpanan Kaffi ni. Cantik kawasannya. Hati aku terpanggil untuk membuat sesi lawatan malam,” ujar Jhaznarul sambil tergelak kecil.
“Ikut suka kaulah tapi hati-hati sikit. Walaupun tempatnya cantik, ia tetap hutan,” pesan Syed Dahuri beramaran.
Terukir bunga senyuman di bibir Jhaznarul sebelum menganggukkan kepalanya. “Jangan risau. Aku tau jaga diri.” Jhaznarul tidak menunggu lebih lama untuk membuat sesi lawatan malam itu. Lalu langkahnya terus melorong ke arah kawasan perhutanan yang berada di hadapan mereka. Sementara itu, Firdee Aqasha, Syed Dahuri, Khirulnizan dan Zularman berkumpul dan mula menekan kod di gitar masing-masing untuk menghasilkan lagu nasihat yang mampu boomdi pasaran.
Langkah kaki Jhaznarul semakin lama semakin jauh ke dalam hutan tanpa dia menyedarinya kerana dia begitu terpegun dengan bunga-bunga hutan yang begitu unik di pandangan matanya. Setelah penat berjalan, dia akan berhenti seketika untuk menghirup udara malam yang segar, ditambah pula dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang semakin galak menampar wajahnya membuatkan hati Jhaznarul semakin lapang dan tenang.
Seketika kemudian, kaki Jhaznarul tersepak sesuatu sehingga dia meraung kesakitan. Itulah, siapa suruh jalan dengan mata memandang ke atas (kononnya hendak melihat panaroma malam dan menghayati keindahan pokok-pokok yang terbentang indah), kan sudah tersepak sesuatu. Inilah dikatakan keterujaan mendatangkan mudarat pada diri sendiri.
Jhaznarul terduduk sambil menggosok-gosok kakinya. “Entah apalah yang aku tersepak ni. Keras semacam,” lalu Jhaznarul menghalakan lampu suluhnya ke arah benda yang disepak. Seketika kemudian, mata Jhaznarul seakan-akan terpaku pada pembentangan di hadapannya. Mulut Jhaznarul seakan-akan terkunci untuk meluahkan sebarang bicara. Air liur yang mengalir di rengkungnya terasa bagaikan berbatu. Sukar sekali untuk menelan.
“Ya ALLAH batu ni macam ....” mulut Jhaznarul terasa agak berat untuk menuturkannya. Nafas Jhaznarul mula tidak teratur. Sukar sekali untuk menyusunnya dengan sempurna apabila dada dipalu dengan gong perasaan yang begitu kuat.
“Macam batu nisan,” akhirnya lambat-lambat Jhaznarul menuturkan apa yang tersekat sebentar tadi.
“Tapi macam mana batu nisan boleh ada di sini? Takkan kubur sesat kot? Mustahil. Siapa yang pacakkan batu nisan di tengah-tengah hutan ni. Ke ada orang nak menakutkan pengunjungnya?” Jhaznarul mula membuat teorinya sendiri.
“Biar aku periksa dulu. Betulkah ada kubur sesat di sini.” Jhaznarul mula memeriksa batu nisan yang terpacak dua di situ. Makin lama dibelek, makin dia yakin bahawa itu sememangnya batu nisan tetapi batu nisan ini tidak bertanda. Siapalah yang tergamak menguburkan jenazah di tengah-tengah hutan begini agaknya. Jhaznarul menggeleng-gelengkan kepalanya. Jatuh rasa simpati pada jenazah yang bersemadi di sini seorang diri.
Jhaznarul merasakan batu nisan yang sedang dipegangnya itu tiba-tiba bergegar membuatkan pantulan perasaannya semakin ganas berombak di dasar dada. Sekali lagi Jhaznarul tertelan liur apabila dia melihat secara tiba-tiba tanah yang rata mula membukit seakan-akan kubur yang baru ditimbus. Spontan Jhaznarul bergerak ke belakang dengan mengengsot dirinya. Terkejutnya bukan kepalang lagi.
Tiba-tiba kubur sesat itu berasap dan bergoyang seolah-olah bernyawa. Seketika kemudian, asap berkepul-kepul mula menjulang naik dan dari kubur itu kelihatan muncul seorang nenek tua di mana mukanya terbakar hangus dan darah merah pekat masih mengalir di celah-celah isi daging. Isi muka yang menggeleber turun membuatkan Jhaznarul tersentak. Nafas Jhaznarul rasa tersekat. Mukanya semakin pucat tidak berdarah. Hendak membaca apa pun sudah tidak boleh lagi. Lidahnya seakan-akan terkunci untuk mengucapkan kalimah ALLAH. Kemunculan nenek tua di hadapannya cukup mengerikan.
“Cu .... tolong nenek cu ...”
Dada Jhaznarul semakin terhempas dan matanya mula membeliak. Ayat yang sama kedengaran berulang-ulang dalam nada yang cukup sayu sekali. Tangan nenek tua yang sedikit hangus itu seolah-olah melambai-lambai ke arahnya. Apabila nenek tua itu mula berjalan tanpa kaki ke arahnya, Jhaznarul tidak tunggu lama lalu berlari dengan sekuat hati dengan nama ALLAH meniti di bibirnya walaupun hingga ke saat ini dia masih tidak mampu untuk menutur sebarang kalimah ALLAH.
Jhaznarul hanya boleh berharap agar nenek tua itu tidak mengikutnya sehingga ke khemah mereka. Dia tidak mahu menakutkan rakan-rakannya yang lain.