Home Novel Seram/Misteri KUBUR BERNYAWA
BAB 6 : Geng-Geng Kolej Imansyah bermalam di dalam van

Era Kasmiran membuka matanya perlahan-lahan. Terasa bahang mentari mencucuk-cucuk isinya pada saat itu. Terkebil-kebil Era Kasmiran cuba mencernakan fikirannya dengan memandang di sekeliling.

“Kita di mana ni?” suara Era Kasmiran telah mengejutkan teman-temannya yang masih diulit mimpi. Akibat keletihan, mereka semua tidak sedarkan diri.

Aziham juga turut membuka matanya. Kantung matanya masih berbaki sisa mengantuk. Namun, dia tidak mahu terus tidur. Aziham juga melebarkan sayap matanya ke sekeliling dan seketika kemudian dia teruja apabila melihat pantai.

“Eh, kita ada di tepi pantailah. Firdee, bila masa kau berhenti kat sini?” tanya Aziham dengan mata yang bercahaya.

Sementara itu, Husnarisyam, Nisrinah dan Zunika juga sudah bangun dari lena masing-masing. Mereka meregangkan otot seketika sambil melepaskan menguap yang masih bersisa.

“Entahlah. Aku mengantuk sangat semalam. Tak larat lagi nak drive jauh-jauh. Aku tengok pot ni macam okey aje, aku berhentilah. Lagipun, nyawa orang-orang yang aku sayang lebih berharga.” Firdee Aqasha melontarkan kenyitan matanya buat teman-teman yang berada di sisinya.

“Astagfirullahalazim,” tiba-tiba Jhaznarul mengucap panjang. Beberapa kali dia meraup wajahnya.

Teman-teman yang lain sedikit kehairanan melihat tingkah Jhaznarul. Mereka tidak faham kenapa Jhaznarul kelihatan begitu tegang sekali.

“Kau ni kenapa Jhaz? Tegang semacam saja aku tengok? Cer citer ... cer citer ...” Khirulnizan melantunkan lawak jenakanya di awal pagi.

“Cer citer kepala hotak kau. Kita dah terkantoi Subuh ni. Aku rasa macam tak lengkap aje hari aku.” Jhaznarul menggeleng-gelengkan kepalanya. Masih menyesal kerana hanyut dek hasutan syaitan yang menutup kantung mata mereka dari bangun mengerjakan solat Subuh. Ini semua akibat dari rasa mengantuk yang teramat sangat. Jhaznarul menarik nafasnya dalam-dalam.

Bahu Jhaznarul ditumbuk mesra oleh Firdee Aqasha. “Kau ni menakutkan kami sajalah. Ingatkan apalah tadi hal yang besar sangat. Dah darurat, nak buat macam mana. Nanti kita kadho ajelah. Apa susah.” Firdee Aqasha melayangkan sengihan mesranya buat Jhaznarul.

Mencebik Jhaznarul mendengar frasa yang meniti dari bibir Firdee Aqasha. “Senangnya kau cakap. Perintah ALLAH boleh kau buat main-main ya?” Jhaznarul tidak berapa gemar dengan sikap temannya itu.

“Ooppss. Maaflah aku tak sengaja. Aku ter ...” Firdee Aqasha masih menayang wajah orang yang tidak berdosa.

“Kami nak mandi dulu ni. Kau orang bawa keluar apa-apa yang patut untuk sarapan kita pagi ni.” Era Kasmiran memecahkan suasana yang tegang itu, lalu mengajak teman-teman Hawanya untuk bermandi-manda.

Sebaik sahaja kaum Hawa selesai mandi, mereka mengarahkan kaum Adam pula untuk membersihkan diri. Sementara itu, kaum Hawa telah menyediakan sandwich tuna. Sarapan yang mudah dan ringkas. Malas hendak masak sarapan yang berat-berat. Nanti kalau terjumpa mana-mana warung, mereka akan singgah untuk mengisi perut masing-masing. Air pula, mereka hanya meneguk air mineral yang masih lagi berbaki.

Mereka bersantai-santai sekejap sebelum beredar dari tepi pantai yang indah itu. Jika tidak dapat menikmati percutian mereka di dalam hutan, biarlah mereka menikmati baki percutian yang ada di tepi pantai untuk seketika. Nasib baik pantai ini jauh dari Hutan Simpanan Kaffi. Masing-masing sudah mampu menarik nafas lega.

“Yang kau tertonggeng-tonggeng tu cari apa Azi?” tegur Zunika ketika melihat Aziham sedang mencari sesuatu di dalam van sewa mereka.

“Aku cari beg plastik. Tadi masa mandi, aku tengok kepah besar-besar. Aku teringin nak makanlah. Nanti aku nak suruh ibu aku masak kepah bercili.” Aziham masih mencari beg plastik walaupun mulutnya segera menjawab pertanyaan Zunika. Manakala hatinya pula teruja melihat saiz kepah yang terlalu besar itu. Tidak pernah pun di dalam seumur hidupnya melihat saiz kepah sebesar itu. Di tempat lain tidak mungkin ada.

“Kau ni memang hantu kepahlah.” Zunika menggeleng-gelengkan kepalanya melihat telatah Aziham.

“Dah tahu tanya buat apa?” akhirnya Aziham menemui beg plastik bersaiz besar lalu dia berlari ke tepi pantai semula dengan satu tujuan iaitu mengutip kepah bersaiz besar itu.

“Eh, Azi nak ke mana tu?” tanya Zularman pelik dengan tingkah kekasihnya.

“Dia nak pergi kutip kepah. Kau bukan tak tahu dia tu memang hantu kepah.” Zunika menjawab segala kemusyikilan Zularman membuatkan teman-teman yang lain berada di situ tersengih lucu.

“Hah, kau tak nak kutip kepah Jhaz? Kau pun hantu kepah jugak, kan?” tiba-tiba soalan Nisrinah melorong ke arah Jhaznarul yang seangkatan dengan Aziham. Jika ke mana-mana warung, pasti kepah akan mereka cari dahulu. Entah apalah yang sedapnya kepah itu.

“Malaslah. Aku tak ada moodnak kutip kepah hari ni. Aku masih lagi teringat kejadian semalam.” Jhaznarul meluruskan pandangannya ke arah laut yang biru itu. Terundang sedikit kedamaian di dalam hatinya.

“Jangan ungkitlah peristiwa semalam habib. Orang dah nak lupakan. Cukup ngeri. Pertama kali berhadapan dengan situasi macam tu.” Husnarisyam menegah Jhaznarul dari terus mengungkit apa yang telah mereka alami pada malam semalam. Jhaznarul akhirnya mengalah pada kehendak Husnarisyam. Roman wajah masing-masing masih lagi terpalit dengan kengerian yang mereka alami.

Sementara itu, Aziham semakin leka mengutip kepah di tepi pantai. Makin lama dia berjalan, makin banyak kepah yang dia perolehi sehingga tidak sedar kakinya telah membawa dirinya jauh dari teman-teman yang menunggu. Namun, Aziham tidak peduli asalkan dia dapat mengumpul kepah-kepah itu dalam kuantiti yang banyak. Bukan senang hendak makan kepah percuma tanpa mengeluarkan satu sen pun.

Seketika kemudian, Aziham dapat merasakan bahawa dia tidak berseorang di tepi pantai itu mengutip kepah kerana dia dapat melihat tubuh seseorang yang turut membantunya mengutip kepah juga. Walaupun sedikit kehairanan, namun Aziham ambil sikap tidak peduli. Baguslah kalau ada orang ingin membantunya, cepat sikit dia pulang ke van setelah beg plastiknya penuh.

“Cu, boleh bantu nenek?” suara nenek yang membantunya kelihatan cukup mendayu sehingga meruntun hati Aziham.

“Boleh nek. Nenek nak minta tolong apa?” sebaik sahaja Aziham memaliskan wajah memandang nenek tua yang berada di sebelahnya, tiba-tiba sahaja lututnya terasa longgar. Air liur yang menuruni rengkungnya rasa berpaku. Nenek tua itu masih tersengih memandang roman wajah Aziham yang sudah kelihatan pucat lesi.

“Cu, betul cucu boleh tolong nenek?” tiba-tiba nenek tua itu menyeringai dalam ketawa yang cukup menggerunkan membuatkan Aziham mencampak kepah-kepah yang dikutipnya lalu melarikan diri sekuat hati tanpa menoleh ke belakang lagi. Suara ketawa nenek tua itu masih kuat di telinga Aziham.

“Ya ALLAH, dia sampai di sini juga? Aku ingatkan kami dah selamat. Tidak!” Aziham semakin memantaskan gerak kakinya dengan membuat acara pecutan lari bermeter-meter. Bagaikan tidak cukup tanah sahaja dia melarikan diri.

Aziham tercungap-cungap sebaik sahaja tiba di tempat rakan-rakannya. Aturan pernafasannya berselerakan. Peluh mula membasahi di segenap ruangan dahi dan juga tubuh badannya. Baju kemeja T yang dipakai oleh Aziham basah lencun bagaikan baru mandi sahaja lagaknya.

Kesemua mata teman-teman yang masih bersantai melurus tepat ke wajah Aziham. Kelihatan roman wajahnya yang cukup pucat. Hal itu menimbulkan kehairanan di dalam hati masing-masing.

“Kau ni kenapa Azi?” tanya Era Kasmiran yang masih tidak lepas dari memandang Aziham.

“Kau buat acara pecutan bermeter ni, lari daripada siapa?” Zunika pula melantunkan pertanyaan.

“Relaks Azi. Tenangkan diri dan ceritakan pada kami apa yang dah berlaku?” Khirulnizan menenangkan Aziham.

Aziham mula mengatur semula pernafasannya yang berteraburan sebentar tadi. Kemudian, dia mula memandang wajah mereka satu persatu. Air mineral yang dihulurkan oleh Syed Dahuri diambil dan diminum dengan rakus. Apabila keadaan dirinya sedikit tenang, barulah dia mampu untuk bersuara semula.

“Aku jumpa nenek tua semalam kat tepi pantai tu. Dia tolong aku kutip kepah. Sebaik saja tengok muka dia, aku terus lari. Kepah pun aku buang.” Aziham menceritakan apa yang berlaku pada dirinya sehingga dia membuat acara pecutan sebegitu.

Teman-temannya saling berpandangan sesama sendiri sebelum masing-masing melepaskan ketawa. Aziham berasa pelik kenapa mereka ketawa sedangkan perkara itu tidak lucu langsung.

“Yang kau orang gelak ni kenapa? Aku cakap betullah. Aku bukan main-main. Nenek tua tu nampaknya tak nak lepaskan kita. Dia tetap ikut kita ke mana saja kita pergi.” Aziham mula meradang dengan sikap teman-temannya itu. Dia terasa dirinya dipersendakan mereka.

“Kalau betul apa yang kau cerita tu, kenapa plastik kepah masih ada di tangan kau?” Firdee Aqasha melirik ke arah tangan kiri Aziham sambil memandang sinis.

Aziham turut melirik ke arah tangan kirinya dan dia amat terperanjat melihat plastik kepah yang telah dibuangnya, kini molek sahaja berada di dalam genggamannya. Patutlah genggaman tangan kirinya terasa berat. Jelas kerutan terpancar di dahi Aziham.

Macam mana benda ni terjadi? Aku yakin, aku dah buang kepah-kepah ni tadi? Aziham sendiri tidak mengerti dengan kejadian itu.

“Sudahlah. Jangan layan sangat rasa takut tu. Kan dah berhalusinasi? Teruk kau ni Azi.” Syed Dahuri juga semakin galak mempersendakan Aziham.

Aziham menjeling sakit hati pada kaum Adam yang sedang memperlekehkan dirinya. Aziham mendengus sebelum membuat muka.

“Cu, nenek dah tolong kutipkan kepah ni. Cucukan suka kepah. Ambillah.” Tiba-tiba sahaja mereka mendengar satu lontaran suara nenek tua menawarkan kepah yang telah dikutip olehnya.

Tersentak mereka mendengar suara itu, lalu kepala masing-masing membuat pusingan 36 darjah selsius untuk melihat siapakah gerangan nenek tua yang rajin mengutip kepah untuk mereka. Sebaik sahaja mereka berpaling, terus jeritan terlontar keluar dari mulut masing-masing apabila wajah nenek tua yang mengganggu mereka semalam kini sedang tersengih sambil menghulurkan lima bungkus beg plastik yang terisi kepah. Terus acara pecutan larian masuk ke dalam van dilakukan. Tidak sanggup untuk berhadapan dengan apa-apa jua situasi. Cukuplah apa yang berlaku pada malam semalam.

Van terus dipecut oleh Syed Dahuri sebaik sahaja kesemua mereka berada di dalamnya. Huluran beg plastik yang terisi kepah juga tidak diambil oleh mereka.

“Cu ...”

Mereka masih boleh mendengar lantunan suara yang mendayu dari nenek tua itu. Apabila mereka menoleh ke belakang, nenek tua itu mempamerkan sengihan pada mereka sambil melambai-lambaikan tangan. Gerun mereka melihat situasi sebegitu. Kini ternyata apa yang dikatakan oleh Aziham ada benarnya. Menyesal mereka mempersendakan Aziham sebelum ini.

“Pandu laju sikit Dahuri,” arahan terpancut keluar dari bibir Zularman yang semakin mengecut urat nadinya. Syed Dahuri menurut tanpa banyak bicara.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.