Bab
11
Kampung
Telaga
Tahun
1712
PENGHULU JANTAN mengajak Tamar ke kebunnya seketika, dia tahu Tamar mesti
bosan duduk berbaring di dalam rumah sahaja. Lagi pun tidak manis kalau
dibiarkan Tamar berada di rumah tatkala dia tiada bersama, ini kerana Penghulu
Jantan tiada anak lelaki. Hanya Melur dan isterinya sahaja yang menjadi peneman
hidupnya.
“Tamar,
bagaimana dengan dada? Masih sakit lagikah?” Penghulu Jantan bertanya kepada
Tamar.
“Alhamdulillah, rasa seperti
sudah sembuh.” Tamar tersenyum. Dia yang membantu Penghulu Jantan membersihkan
kawasan kebun kelihatan bersemangat melakukan tugas-tugasnya.
“Baguslah kalau begitu, Tuk
ada perkara yang ingin katakan kepada Tamar.” Penghulu Jantan berhenti dari
menebas tumbuh-tumbuhan liar yang hidup subur di kebunnya, dia melabuhkan
punggungnya di atas rumput hijau berhampiran dengan sepohon kayu yang rendang.
Tamar juga begitu, perlahan-lahan dia mendapatkan Penghulu Jantan.
“Ada apa yang Tuk ingin
katakan?” Tamar terus bertanya setelah punggungnya dilabuhkan bersebelahan
dengan Penghulu Jantan.
“Tuk tiada anak lelaki, Tuk
risau tentang masa depan keluarga Tuk seandainya Tuk pergi dahulu sebelum
mereka.” Penghulu Jantan memulakan rentak bicara sambil menyalakan rokok
daunnya.
“Maksud Tuk?” Tamar masih
lagi belum dapat meneka kiasan Penghulu Jantan.
“Tuk tengok Melur betul-betul
sayangkan Tamar, Tuk juga perasan yang Tamar juga sukakan Melur.” Penghulu
Jantan berkalih pandang ke arah Tamar seraya tersenyum.
“Er... Tamar kurang mengerti
apa maksud Tuk.” Wajah Tamar mula berubah. Degup jantungnya juga berdetak kencang.
“Tuk bukan mahu memaksa
Tamar, lagipun Tamar dan Melur sudah besar panjang. Tahu yang mana buruk dan
yang mana baiknya. Baiklah, Tuk mahu bertanya pada Tamar. Adakah Tamar
betul-betul sukakan anak Tuk?” satu soalan yang membuatkan Tamar terkedu.
“Cakaplah secara jujur dari
hati, Tuk tak marah.” Penghulu Jantan menghembuskan asap dari rokok daunnya
berkepul-kepul ke udara.
“Er... saya... er... ya, Tamar
sukakan Melur.” Berat untuk meluahkan, Tamar terasa hangat pada wajahnya. Malu
ketika berterus-terang di hadapan Penghulu Jantan.
“Baguslah kalau begitu, apa
kata hujung minggu ini Tamar dan Melur bertunang.” Dengan bersahaja Penghulu
Jantan berkata.
Tamar terdiam, malah tidak
tahu untuk berkata apa-apa. Baginya terlalu awal untuk dia dan Melur mengikat
tali pertunangan. Perkenalan yang belum lagi menjejak usia matang antara sebab
kenapa Tamar terkedu mendengar keputusan Penghulu Jantan.
“Tapi...”
“Tamar jangan bimbang,
segala urusan akan Tuk selesaikan dan akhir bulan ini Tamar dan Melur akan
diijab kabulkan.” Kata Penghulu Jantan lagi.
“Akhir bulan kahwin?” Tamar
ternganga.
“Ya, genap sebulan bertunang
lepas itu kamu berdua terus kahwin. Lepas kahwin Tamar tidak payah bekerja
mengambil upah membuat lukah dan bubu lagi. Dan Tamar bolehlah tinggal di rumah
Tuk.” Ujar Penghulu Jantan lagi. Wajahnya kelihatan ceria.
“Tapi Tamar tak cukup duit
untuk meminang Melur.” Jujur Tamar meluahkan isi hatinya.
“Tuk tidak mahu apa-apa dari
Tamar, cukuplah sekadar menghadiahkan kitab Al-Quran tanda mas kahwin.
Selebihnya biar Tuk yang uruskan.” Ulas Penghulu Jantan, dia faham dengan keadaan Tamar.
“Kalau begitu, Tamar
setuju...”
Tamar menunduk,
dia akur dengan ketentuan ILAHI terhadapnya. Tamar langsung tidak tersangka
hari ini Penghulu Jantan telah ‘meminang’ Tamar untuk anak gadisnya, Melur. Dia
yang segak berkulit cerah kelihatan cukup sepadan dengan kecantikan Melur.
“Alhamdulillah, kalau begitu
mari kita pulang. Tuk nak sampaikan berita gembira ini kepada isteri Tuk dan
semestinya Melur juga gembira mendengarnya.” Penghulu Jantan menepuk-nepuk bahu
Tamar yang tegap itu. Dia ternyata gembira dengan kata putus yang keluar dari
mulut Tamar.
“Eh, bukankah kita baru
sampai di kebun?” Tamar hairan dengan tingkah laku Penghulu Jantan. Belum pun
panas mentari singgah ke ubun-ubun, Penghulu Jantan sudah mahu berangkat
pulang.
“Esok
sahajalah kita sambung. Hari ini adalah hari yang paling gembira buat Tuk. Ayuh
kita pulang.” Gesa Penghulu Jantan dan Tamar hanya menurut sahaja.
JALUK dan Ajak ketika ini sedang
meredah hutan mencari akar dan rotan. Mereka tahu Tamar masih lagi belum pulih
dan tinggal di rumah Penghulu Jantan. Bagi mereka ini adalah waktu yang sesuai
untuk mencari rotan untuk membuat lukah dan bubu yang setanding dengan hasil
tangan Tamar.
“Jaluk, kita dah masuk jauh
ke dalam hutan ni. Aku risau kita akan tersesat.” Ajak menyeka peluh yang
berjejeran membasahi wajahnya.
Kelihatan juga di bahunya
segulung rotan yang telah diikat dengan kemas dan terbongkok-bongkok dia
menggalas rotan yang berat itu.
“Kau jangan banyak cakap,
kalau sudah memang dasar penakut, semuanya perkara kau akan fikir yang
bukan-bukan.” Marah Jaluk.
Dia berjalan kehadapan
sedikit sambil menghayun parang pendeknya, menebas setiap pokok-pokok renek
yang menghalang laluannya. Ajak pula hanya menuruti dari belakang sahaja, dia
bagaikan orang suruhan Jaluk, akur dan tunduk dengan perintah dari pemuda
bertubuh kurus dan tinggi itu.
“Kita berehat dahulu, aku
penat.” Ajak bersuara lagi. Wajahnya jelas sekali menggambarkan sudah kehausan
tenaga.
“Ah, ada-ada sahaja.” Bentak
Jaluk. Mereka berdua berhenti seketika di bawah pohon Cengal yang merendang.
“Jaluk, bila kita mahu pulang?
Aku sudah tidak sanggup meredah hutan lagi.”
Ajak tersandar
di banir Cengal yang besar, gulungan rotan yang digalasnya disandarkan
dicelah-celah banir pokok. Dan dengan perlahan-lahan dia meneguk air yang
dibawanya di dalam buluh. Aliran air yang dingin membuatkan rengkungannya
terasa tenang.
“Masih terlalu awal untuk
kita pulang, kita mesti cari rotan dengan lebih banyak lagi. Aku tidak mahu
kalah dengan si Tamar.” Jaluk menekan sedikit suaranya.
“Api amarah mu masih menjulang
tinggi anak muda.”
Tersentak Jaluk dan Ajak,
serta-merta mereka berdua berpaling ke arah datangnya suara yang datang
menyapa. Kelihatan seorang lelaki tua berjubah hitam datang dengan membawa
tongkat panjangnya perlahan-lahan ke arah Jaluk dan Ajak. Lelaki tua itu adalah
Namtar!
“Siapa kamu? Kenapa kamu
boleh berada di dalam hutan sebegini?” Jaluk dapat menghidu sesuatu yang buruk
terhadap lelaki tua berjubah hitam itu. lekas-lekas dia mengacukan parangnya.
“Kamu berani wahai Jaluk,
aku suka dengan semangat dan api amarah kau itu.” Namtar bersikap tenang. Gerak
langkahnya diteruskan walaupun Jaluk mengancamnya dengan parang.
“Bagaimana kamu tahu nama
aku?!” bentak Jaluk dengan keras.
“Jaluk... aku
rasa dia datang hendak membantu kita.” Ajak berdiri dan berbisik di sebelah
Jaluk. Dia bagaikan dapat membaca niat Namtar walaupun sekadar menekanya
sahaja.
“Ya, aku datang kerana ingin
membantu kau Jaluk.” Ujar Namtar. Dia kini sedang berdiri dalam sedepa dari
Jaluk dan Ajak.
“Bantu aku? Kau siapa dan hebat
sangatkah kau sampai mahu membantu aku?” Jaluk tersenyum mengejek.
“Aku boleh buat rotan itu
dibaluti emas, dan aku juga boleh membuat parang kamu bertukar menjadi batu.”
Namtar yang berwajah lelaki tua itu tersenyum menyeringai menampakkan barisan
gigi yang kekuningan.
“Kau memang pandai berborak
orang tua!” Jaluk tidak percaya dengan kata-kata Namtar.
“Jaluk, kenapa dengan parang
kau?” Ajak tersentak tatkala melihat parang yang dipegang oleh Jaluk bertukar
menjadi batu.
Jaluk juga terperanjat,
cepat-cepat dia melepaskan parangnya itu ke tanah. Kata-kata yang terluah dari
mulut lelaki tua itu kini menjadi kenyataan. Jaluk memandang pula pada gulungan
rotan pada banir pokok ketapang. Wajahnya berubah serta-merta apabila melihat
gulungan rotan itu memancarkan cahaya keemasan. Melihatkan perubahan yang
berlaku hati Jaluk mula diserang rasa kagum dengan kebolehan Namtar.
“Emas, emas...” Ajak terus
mendapatkan gulungan rotan dan terus memeluknya. Wajahnya begitu gembira
apabila melihat kekayaan di depan mata.
“Siapa kamu wahai orang tua?
Dari mana kamu mendapat kuasa sebegini?”
Jaluk tidak
seghairah Ajak tatkala terlihatkan emas. Dia masih tetap berdiri tegap mengadap
Namtar. Jaluk masih berjaga-jaga, dia tahu dia kini berhadapan dengan seorang
yang mempunyai ilmu yang cukup tinggi.
“Namaku Namtar. Aku datang
kerana aku tahu apa keinginanmu anak muda.”
“Apa yang kamu mahu beri
pada aku, wahai Namtar?” soal Jaluk.
“Ambillah kalung ini. Kamu
pakailah, nescaya apa sahaja yang menghalang cita-citamu akan tersungkur
menyembah bumi.” Ujar Namtar seraya menghulurkan kalung berwarna hitam kepada
Jaluk. Jaluk menerima dengan berhati-hati, wajahnya berselirat dengan seribu
persoalan.
“Apa
lagi kehebatan kalung pemberian mu ini Namtar?” Jaluk masih tidak berpuas hati.
“Kamu akan jadi kebal dan
kuat. Tapi ingat, jangan sesekali kamu biarkan kalung itu terkena darah kamu
sendiri, nescaya buruk padahnya!” tegas Namtar.
“Aku juga mahu, aku mahu
kalung seperti Jaluk...” Ajak yang masih memeluk gulungan rotan yang bertukar
emas terus mendapatkan Namtar. Ketamakkannya jelas terserlah.
“Ajak, jangan biadap!” marah
Jaluk pada ketamakkan Ajak.
“Pada kamu, aku hadiahkan
badik emas ini. Kamu asapkanlah setiap malam jumaat dengan kemenyan dan
mintalah apa sahaja yang kamu inginkan. Tetapi dengan syarat, sebut namaku
sebanyak tiga kali. Sembahlah aku...” Namtar menghulur sebilah badik kecil
kepada Ajak.
“Aku pulang dahulu.” Usai
memberi hadiah kepada Jaluk dan Ajak, Namtar berpusing dan berjalan
perlahan-lahan meninggalkan dua pemuda tersebut.
“Nanti dahulu Namtar, tunggu
sebentar!” Jaluk memanggil Namtar yang kini sudahpun menghilang di sebalik
pohon kayu yang merendang.
Jaluk cuba mengejar Namtar
tetapi usahanya hanya sia-sia. Namtar sudah tidak kelihatan lagi. Jaluk hairan
kenapa orang tua itu mahu menolongnya, dan bagaimana orang tua yang bernama
Namtar itu mengetahui isi hatinya. Jaluk melihat kalung hitam yang masih digenggamannya.
“Jaluk, kau tunggu apa lagi?
Pakai sahajalah kalung itu. hari ini adalah hari bertuah kita!” canang Ajak.
Ajak bagaikan
hilang segala kepenatan yang melandanya sebentar tadi. Dia melompat kegembiraan
kerana memiliki sesuatu yang tidak pernah dimilikinya sepanjang hayatnya. Emas
dan kekayaan dunia.
Jaluk tersenyum melihat
kegembiraan Ajak. Dengan perlahan-lahan dia memakai kalung pemberian Namtar ke
lehernya. Dengan tiba-tiba Jaluk dapat merasakan ada satu kuasa datang meresap
ke dalam tubuhnya. Jaluk terasa otot-otot di badannya mengembang dan dia dapat
merasakan dirinya kini gagah dan tegap, tidak seperti dahulu.
Jaluk ketawa dengan
sekuat-kuatnya, dia merasakan dirinya semakin kuat. Jaluk begitu gembira dengan
perubahan yang berlaku. Rancangan untuk membunuh Tamar semakin menjadi
kenyataan.
“Tamar, mayat kau akan aku cincang hingga
lumat. Ha ha ha...!” Jaluk ketawa lagi. Dia dan Ajak bagaikan lupa dengan kuasa
ALLAH. Kini mereka berdua sudah menjadi hamba kepada Namtar, sang iblis makhluk
terkutuk.