Bab
5
Sungai
Cicir, Tasik Kenyir
LOKMAN dan Shuib berjalan perlahan-lahan
di tebing sungai, hati mereka begitu teruja untuk memancing Tapah setelah
melihat aksi ikan tersebut menyambar kera liar. Setelah mendirikan khemah yang
boleh memuatkan dua orang di dalamnya berhampiran dengan tebing sungai, mereka
berdua berehat seketika kerana kepenatan masih lagi jelas terasa.
“Man, kau fikir kita dapat
tak pancing ikan Tapah?” Shuib bertanya. Dia melihat Lokman sedang berbaring di
dalam khemah yang mereka dirikan.
“Ikan Tapah yang kecik-kecik
mungkin kita dapat, tapi kalau yang macam tadi aku tak yakin,” ujar Lokman. Dia
berbaring dengan berbantalkan lengannya.
“Kenapa pulak tak yakin,
malu kita pada pak Rajib kalau kita tak dapat naikkan ikan Tapah yang
besar-besar.” Shuib mengerutkan dahinya.
“Aku bukan apa, kau tengok
tak tadi bagaimana ikan tu boleh sambar kera? Lepas tu Pak Rajib cakap babi
hutan pun dia boleh telan. Aku takut dengan kita-kita sekali masuk dalam perut
ikan Tapah tu.” Bersungguh-sungguh Lokman bercerita. Ada sedikit rasa gentar di
dalam hatinya selepas melihat dengan sendiri betapa ganasnya ikan Tapah.
“Aku tak kira, selagi aku
tak dapat ikan Tapah, aku tak akan balik.” Shuib bertegas. Dia benar-benar mahu
menewaskan ikan Tapah.
“Sudahlah, hari dah nak
malam, esok pagi-pagi kita buru ikan Tapah tu.” Lokman berlembut, tidak guna dia
bertegang leher dengan Shuib.
EZUAN tersedar dari lenanya, dia masih
bernyawa, apa yang dia tahu dia terikat dan tergantung di dalam gua. Tali dari
akar kayu hutan yang diikat dicelah-celah batuan kapur begitu kuat sekali
memaut pergelangan tangannya. Tubuhnya semakin lemah, tiada makanan yang dapat
mengisi perutnya yang kelaparan. Dia tidak tahu sudah berapa hari dia
tergantung di dalam gua, mujur jugalah ada titis-titis air yang mengalir di
celah-celah batu gua lalu jatuh mengena kepalanya, dapat juga dia membasahkan
sedikit rasa kehausan yang melanda. Dia sendiri tidak pasti berapa lama lagikah
dia mampu bertahan, kedinginan gua batu kapur ini juga begitu menyiksakan,
sehingga terasa ke tulang sum-sumnya.
Ezuan memandang ke
sebelahnya, kelihatan Nazri juga tergantung sepertinya. Tetapi Nazri kelihatan
lebih lemah dari dia. Wajah pucat Nazri menggambarkan dia sudahpun menyerah
diri kepada takdir semata-mata.
“Nazri... bangun, bangun...”
Ezuan memanggil Nazri, tetapi hanya rengekkan lemah sahaja yang kedengaran.
Nazri cuba juga mendongak memandang Ezuan.
“Wan... aku... tak mau
mati...” kedengaran suara Nazri berkata-kata dengan sedaya-upayanya dan
terketar-ketar.
“Kau kena kuat, jangan
biarkan binatang tu makan kita...” Ezuan memberi semangat dalam berbisik.
Dia risau suaranya akan
membuatkan binatang yang dimaksudkan oleh Ezuan terjaga dari lenanya. Kata-kata
semangat itu bukan untuk Nazri sahaja, tetapi untuk dirinya juga.
Nazri menoleh ke arah Ezuan,
dia tersenyum tawar. Entah kenapa Nazri masih sempat tersenyum kepadanya.
Setiap kata semangat yang dilaungkan oleh Ezwan seolah ungkapan yang sekadar
mengalas rasa gundah di hatinya sahaja.
“Nazri, kau kena kuat.
Aku yakin kita akan diselamatkan.” Ezuan terus-terusan memberi semangat kepada
Nazri.
Seketika kemudian Ezuan
terkejut apabila telinganya terdengar suara garau menderam kasar, sesekali
terdengar seperti kuku tangan bergeser dengan dinding gua. Suasana yang kelam
membuatkan Ezuan tidak dapat melihat dengan betul rupa makhluk yang menangkap
dan menculik mereka.
Bau hamis dan masam
menyucuk-nyucuk ke lubang hidung Ezuan ketika ini. Apa yang pasti binatang itu bertubuh
seperti manusia, wajahnya, gaya ketika berjalan dan juga seperti manusia. Malah
ianya juga bijak, masakan seekor binatang mampu mengikat dia dan Nazri di dalam
gua. Dan ikatan binatang tersebut ternyata begitu kuat sekali.
Suara menderam kini sudah
berada berhampiran Nazri. Ezuan tidak mampu berbuat apa-apa, melainkan diam dan
berpura-pura pengsan. Nazri meraung apabila binatang tersebut mencengkam
rambutnya dengan kuat. Nazri sempat memandang wajah makhluk aneh itu yang mulai
menyeringai menampakkan baris giginya yang menggerunkan. Makhluk itu mula
merapatkan wajahnya dengan wajah Nazri. Menjerit-jerit Nazri ketakutan, dia
cuba meronta dengan menggunakan sisa-sisa terakhir kudratnya.
Tanpa rasa belas,
kepala Nazri digigitnya dengan rakus. Darah terpercik ke baju Ezuan yang
tergantung di sebelahnya. Nazri menggelupur kesakitan, suaranya tenggelam
timbul bersama-sama dengan suara rakus makhluk aneh itu tatkala membaham kulit
dan daging muka Nazri.
Ezuan tidak mampu berbuat
apa-apa, terketar-ketar tubuhnya apabila mendengar Nazri menjerit kesakitan.
Tidak lama kemudian suara sahabatnya itu tidak lagi kedengaran. Nazri mati
dibaham hidup-hidup oleh binatang yang tidak berhati perut itu.
Kerakusan binatang misteri
itu jelas ketara apabila mayat Nazri dirobek-robek dengan semahu-mahunya.
Makhluk itu merenggut akar berselirat yang mengikat tangan Nazri dengan kuat
agar mudah ia melahap tubuh Nazri yang jauh lebih berisi dari Ezuan. Ezuan
hanya mampu menangis, tetapi ditahan-tahan suaranya agar tidak didengari oleh
binatang rakus itu. Kalau boleh biarlah dia hidup lebih lama sedikit lagi, dia
tidak mahu mati pada hari yang sama dengan Nazri.
Ezuan tahu lepas ini
nasibnya akan sama seperti dua orang rakan-rakannya. Ini adalah kali pertama
dia menyaksikan satu kekejaman yang terjadi betul-betul di hadapan matanya.
Binatang itu terlebih dahulu telah membaham Ajis hingga ke tulang-belulang dia
ratah. Buktinya tengkorak Ajis tergolek di satu sudut di dalam gua,
bersama-sama dengan rangka-rangka yang lain. Mungkin rangka binatang di hutan
Kenyir ini.
Dalam
ketakutan Ezuan sempat melirik ke arah binatang aneh tersebut yang kini sedang
mengunyah jantung sahabatnya itu dengan pelahap sekali. Ezuan lekas-lekas memejamkan
matanya kembali, dia tidak sanggup melihat kekejaman yang berlaku di hadapan
matanya kini. Ianya bukan sahaja mengerunkan malah menghiris hatinya tatkala
melihat jasad sahabatnya menjadi hidangan sang makhluk yang tidak diketahui
asal dan usulnya itu.
Selepas kekenyangan,
binatang aneh yang menyerupai manusia itu akan tidur untuk beberapa hari. Ezuan
hanya mampu berharap agar ada penyelamat yang datang apabila binatang itu tidur,
tetapi harapannya itu umpama angan-angan kosong dan ianya cukup tipis sekali. Ketika
binatang aneh itu sedang asyik menikmati makanannya ia secara serta merta ia
berhenti dari meratah Nazri. Kepalanya berkalih ke suatu arah, hidungnya
bergerak-gerak seperti terhidu sesuatu.
Makhluk itu menyeringai dan
menderam, giginya yang tajam kelihatan mengerikan kerana cebisan daging dan
darah mangsanya masih lagi tersisa. Kemudian mayat Nazri diheretnya ke hujung
gua dan menghempas dengan kuat ke dinding gua. Dalam kegelapan, Ezuan dapat
melihat mata binatang aneh itu menyala-nyala seperti sinaran cahaya api, merah
menyala!
Kemudian dia melompat dan
melekat ke dinding gua. Dengan kekuatan dari cengkaman kuku tangan dan
kakinya makhluk itu mampu melekat dengan kukuh di dinding gua. Dari dinding
gua yang licin dan bergerutu, makhluk aneh berupa seperti manusia itu merayap
bagaikan seekor labah-labah. Gerakannya begitu pantas, sekejap sahaja dia hilang
dari pandangan.
LOKMAN dan Shuib baru sahaja selesai
menikmati makan malam. Unggun api menjadi peneman mereka berdua malam ini.
Sebenarnya mereka berdua langsung tidak mengetahui tentang kehilangan tiga
orang pelajar Universiti di hulu Sungai Cicir. Kini mereka tiba di tempat yang
sama di mana kejadian itu berlaku. Cuma kawasan mereka sedikit jauh dari tempat
kejadian di mana Ezuan dan rakan-rakan diserang.
“Shuib, kau tambahlah
sedikit kayu ke dalam unggun api tu. Biar terang sedikit kawasan ni.” Arah
Lokman.
“Kenapa, kau takut?” Shuib
tersenyum sinis.
“Dalam hutan aku tak berani
nak cakap aku ni hebat ke apa ke. Kata orang-orang tua, mulut jangan cabul
kalau masuk hutan. Lagipun ini bukan kawasan kita.” Lokman memberi nasihat
kepada Shuib.
“Yelah aku tambah kayu api.”
Shuib akur. Dia mengambil beberapa batang kayu sebesar lengan dan
dicampakkannya ke dalam api yang marak.
“Aku nak masuk tidur dulu,
kau tak nak tidur?” Lokman membuka zip khemah, dia sudah sedia untuk masuk
beradu.
“Aku tak mengantuk lagi, kau
masuklah dulu. Aku nak ambil angin malam sekejap.” Ujar Shuib.
“Jangan lewat-lewat tidur,
nanti tak terjaga subuh nanti.” Lokman menghadiahkan senyuman sebelum dia masuk
ke dalam khemah.
Lokman melabuhkan kepalanya
di atas beg galasnya. Dalam beberapa saat kemudian matanya terpejam dan alam
mimpi mulai diterokainya. Shuib pula sedang mendengar lagu dari telefon
bimbitnya, dia memasang alat mendengar ke dua-dua belah telinganya. Baginya
lebih baik dia mendengar lagu-lagu dari telefon bimbitnya dari mendengar suara
cengkerik yang menyanyi irama rimba.
Shuib menyanyi-nyanyi kecil
sambil bersandar pada sebatang pokok kayu yang tumbang. Dia langsung tidak
menghiraukan suasana sekeliling, di mana ketika ini cengkerik sudah tidak
menyanyi-nyanyi lagi. Umpama takutkan pada sesuatu, sesuatu yang kini sudah
berada berhampiran dengan kawasan perkhemahan Lokman dan Shuib.
Mata binatang yang menyerang
Ezuan dan rakan-rakan kini merenung tajam ke arah Shuib di sebalik sepohon
kayu, jaraknya hanya beberapa meter sahaja dengan Shuib. Nafasnya
terhembus-hembus dari lubang hidungnya, mulutnya menyeringai menampakkan
barisan giginya yang bertaring. Kelihatan masih lagi ada sisa-sisa cebisan
daging Nazri terlekat di celah-celah giginya.
Shuib langsung tidak
menyedari dibelakangnya kini berdiri sesusuk tubuh yang menggerunkan. Shuib
hanya terkejut apabila hidungnya terbau hamis dan masam. Dan bau yang meloyakan
itu seolah-olah berada dekat dengannya. Pantas dia berkalih ke kiri dan ke
kanan, hatinya mula diserang rasa risau. Bulu romanya mula berdiri tegak
seiring dengan rasa takut yang mengaru-garu perasaannya. Apabila dia menoleh ke
belakang satu tamparan hinggap ke pipinya. Shuib menjerit kesakitan, tubuhnya
melambung berpusing dan terhentak ke tanah.
Jeritan Shuib mengejutkan
Lokman dari tidur. Lekas-lekas dia keluar dari khemahnya. Alangkah terkejutnya
apabila melihat seekor binatang berupa manusia berdiri seraya menyeringai memandang
ke arahnya. Dia berkalih pandang pula kepada Shuib. Shuib masih menggelupur
kesakitan sambil menekup mukanya yang berdarah dengan kedua-dua belah
tangannya.
“Shuib!” Lokman berlari
mendapatkan Shuib.
“Sakitnya...” Shuib
terpejam-pejam matanya menahan kesakitan. Kulit pipinya tercarik akibat
tamparan dari makhluk misteri itu. darah berjejeran mengalir dari pipinya.
Makhluk aneh tersebut
merangkak perlahan-lahan bagaikan bersedia untuk menerkam mangsanya. Cahaya
unggun api membuatkan Lokman dapat melihat dengan jelas wajah dan susuk tubuh
makhluk yang menyerang rakannya.
Lokman memberanikan diri
dengan berlari mendapatkan puntung kayu dari unggun api. Dilibas-libasnya
puntung kayu yang masih menyala ke arah makhluk aneh tersebut. Tindakan Lokman
membuatkan makhluk ganas itu semakin marah, lalu dia menerkam ke arah Lokman.
Terkamannya yang pantas itu langsung tidak dapat dijangka oleh Lokman. Tetapi
mujurlah dia sempat melibas puntung kayu yang menyala tepat mengenai kepala
makhluk tersebut. Meraunglah ia apabila mukanya terkena sambaran api yang masih
menyala dari puntung kayu yang dipegang oleh Lokman.
Menggelupur seketika makhluk
aneh tersebut di atas tanah. Lokman yang terduduk akibat diserang terus bangun
mendapatkan Shuib. Dia perlu lari dari kerakusan binatang yang hampir menyerupai
manusia ini.
“Shuib, bangun cepat! Kita
kena lari dari sini!” arah Lokman. Shuib yang masih lagi di dalam kesakitan
bangun dengan terketar-ketar.
Darah yang mengalir
dari wajahnya terus membasahi baju yang dipakainya. Lokman memimpin Shuib
meninggalkan kawasan perkhemahan mereka.
Belumpun sempat Lokman dan
Shuib melarikan diri, satu pukulan yang kuat hinggap ke kepala Shuib, dan
pemuda itu rebah tidak bernyawa. Kepalanya robek sehingga menampakkan isi
otaknya. Lokman ternganga melihat rakannya yang sudah kaku tidak bernafas.
Tangannya terketar-ketar tatkala memegang puntung kayu yang masih menyalakan
api yang sedikit kecil. Umpama jamung.
Makhluk misteri itu
terus berlegar-legar di sekeliling Lokman, mencari peluang untuk menyerang
Lokman pula. Gerakannya cukup pantas, hanya sambaran angin berbau hamis sahaja
yang singgah di hidung Lokman.
Lokman di dalam ketakutan yang amat
sangat ketika ini, lemah lututnya disaat cuba mempertahankan nyawanya yang
masih bertakung di dada. Apabila dia berkalih pandang ke belakang, makhluk
tersebut kini bersedia menerkam ke arahnya pula. Lokman hanya mampu menjerit
tatkala satu libasan yang pantas hinggap ke tubuhnya.