Bab
4
Sungai
Cicir, Tasik Kenyir
Tahun
2012
RAJIB memperlahankan KD Kelisanya ketika
menyelusuri Sungai Cicir, dia memutarkan kemudi botnya dengan perlahan-lahan
agar tidak berlanggar dengan dahan-dahan pokok yang rendah hingga menyentuh dipermukaan
air. KD Kelisa merupakan sebuah rumah bot yang dikhaskan untuk pelancong dan
juga kaki pancing yang datang ke Tasik Kenyir untuk beriadah dan berkelah,
rekaannya juga amat mesra pengguna. Suasana damai jelas terasa dengan kicauan
burung-burung bersama suara unggas-unggas membuatkan melodi rimba terus berkumandang
bagaikan mendendangkan lagu ke telinga Shuib dan Lokman.
Tiba di satu kawasan di mana
akar-akar kayu daripada pokok-pokok berhampiran berjuntaian menyentuh permukaan
air. Shuib tertawa apabila melihat sekawan kera liar bermain-main di pokok
tersebut. Ada yang bergayut dari pohon ke pohon dan ada juga yang hanya duduk
di atas dahan memerhatikan aksi kawan-kawannya.
Rajib memberhentikan
seketika botnya dari jarak hampir sepuluh meter dari sekawan kera liar itu. Sesekali
dia juga tertawa melihat kenalan kera hutan bermain-main antara satu sama lain.
Satu pemandangan yang biasa dilihat disekitar Sungai Cicir. Lokman tertarik
melihat seekor kera yang sedang bergayut pada akar pokok yang berjuntai,
lekas-lekas dia merakam aksi berani mati kera tersebut dengan kamera videonya.
Lokman terperanjat apabila
air berkocak dengan secara tiba-tiba dan seekor ikan yang begitu besar melompat
dari dalam sungai dan menyambar kera yang sedang bergayut itu. kera-kera yang
lain bertempiaran melarikan diri apabila melihat rakannya disambar. Sambaran
yang cukup menggerunkan, sang kera yang malang itu langsung tidak menduga
riwayatnya pada hari ini akan habis di mulut ikan pemangsa.
Kera malang itu masih
meronta-ronta walaupun tubuhnya sudah berada di dalam mulut ikan yang besar
saiznya, kelihatan tubuh kera itu tenggelam-timbul di permukaan air. Rontaan
kera itu semakin lemah dan akhirnya tidak bergerak-gerak lagi. Perlahan-lahan
ikan itu tenggelam semula ke dasar sungai bersama-sama santapannya. Tidak lama
kemudian air sungai yang hijau bertukar kemerah-merahan dengan warna darah.
“Pak Rajib, ikan apa itu? ya
ALLAH besarnya!” laung Lokman yang terus berlari ke hujung bot. Wajahnya
kelihatan seperti tidak percaya.
“Ikan tu makan kera!” Shuib
pula terlopong mulutnya setelah menyaksikan seekor kera hutan disambar oleh
ikan yang begitu besar saiznya.
“Kalau korang nak tahu,
itulah ikan yang korang nak pancing sangat. Ikan Tapah. Dan ini adalah lubuknya.”
Tenang Rajib menjawab
walaupun dia sendiri sedikit terperanjat melihat aksi kera dibaham oleh ikan
Tapah. Anak Rajib, Jehan sekadar memerhati dari dalam bot sahaja, dia berasa
gentar untuk hampir dengan air. Dia juga tidak pernah melihat aksi kera
disambar oleh seekor ikan yang bersaiz besar. Dan aksi yang jarang-jarang
disaksikan itu telah terakam di dalam kamera video Lokman.
Rajib sudah biasa dengan
pemandangan tersebut. Malah banyak kali juga dia mendengar cerita ikan Tapah
membaham kera-kera yang bergayut berhampiran dengan sungai. Pernah suatu ketika
dia terlihat seekor babi hutan yang sedang minum air di tebing sungai juga
disambar oleh ikan Tapah yang bersaiz dua kali ganda besarnya dari babi hutan
tersebut. Keganasan ikan Tapah hampir menyamai dengan keganasan ikan Arapaima Gigas
yang biasa ditemui di hutan sungai Amazon.
“I... ikan Tapah?” Shuib
bagaikan tidak percaya. Mulutnya ternganga.
“Kenapa besar sangat?”
Lokman bertanya. Wajahnya kelihatan tegang.
“Memang ikan Tapah
besar-besar dan memang ikan Tapah makan apa sahaja asalkan makanannya itu
berdaging.” Ujar Rajib seraya tersenyum.
Diam seketika Lokman dan
Shuib. Mereka berdua belum lagi pernah melihat aksi ikan Tapah menyambar
mangsanya dari dalam air. Melompat seperti ikan lumba-lumba yang terlatih
layaknya.
“Kalau tak salah, ikan Tapah
yang paling besar pernah dinaikkan oleh pemancing bersaiz lebih kurang dua
meter lebih dan beratnya menghampiri lima puluh kilogram. Dan dengar khabar
pemancing tersebut sampai terseliuh tangannya ketika cuba menewaskan ikan Tapah
itu. Korang berdua masih nak teruskan ke rancangan memburu Tapah?” Rajib
bertanya secara sinis.
“Kami akan buru ikan Tapah
yang lebih besar lagi.” Ujar Shuib dangan penuh yakin. Sebenarnya dia tidak
mahu kalah dengan cerita Rajib. Dia mahu Rajib kagum dengannya. Manakala Lokman
sekadar tersengih sahaja.
“Semoga korang berdua
berjayalah hendaknya.” Rajib hanya tersenyum dengan semangat yang ditunjukkan
oleh Shuib dan Lokman. Dia tahu darah orang muda sentiasa mudah tercabar dengan
cerita-cerita yang mengujakan dan mencabar.
Kuala
Lumpur
BANGSAR UTAMA sibuk seperti biasa, kereta
berpusu-pusu datang dari setiap arah menandakan pemandunya mempunyai urusan
yang perlu dilaksanakan dengan segera. Suasana sebegini adalah satu pemandangan
yang biasa kita lihat, terutama sekali ketika di waktu puncak. Adi Putra
meminta pemandu teksi menurunkannya di hadapan bangunan Maybank sahaja. Di situ
dia akan berjalan perlahan-lahan menuju ke bangunan bersebelahan.
Adi Putra merupakan seorang
penulis novel seram, hari ini dia akan menghantar salinan manuskripnya ke
Syarikat Pena Prima Sdn Bhd. Dia berharap benar ceritanya kali ini mendapat
tempat di hati pembaca, setelah novel pertamanya tidak begitu memberangsangkan
hasil jualannya.
Adi Putra menaiki anak
tangga Syarikat Pena Prima dengan perlahan-lahan, dia tidak mahu tergesa-gesa
untuk sampai ke destinasinya. Apabila sampai di bahagian pentadbiran dan bilik
pengarah Syarikat Pena Prima. Belumpun sempat Adi Putra memulas tombol pintu
terlebih dahulu pintu pejabat Pena Prima terbuka. Seperti ada seseorang yang
menolaknya dari dalam.
Seorang gadis muda dengan berbaju
kurung jingga bertudung bawal terkejut melihat Adi Putra tercegat di
hadapannya. Adi Putra hanya tersenyum tatkala mata mereka berdua bertentangan
antara satu sama lain.
“Er... maaf, encik
handak berjumpa dengan siapa?” bibir mongel gadis itu bergerak-gerak menuturkan
soalan kepada Adi Putra.
Adi Putra terpaku
melihat wajah lembut yang sedang berdiri dihadapan matanya, gadis yang berkulit
kuning langsat, mata yang berkaca dan ada tahi lalat manis di dagu kiri
menambahkan keayuan sang pemilik ini dan membuatkan Adi Putra ternganga.
“Encik... encik cari
siapa?” sekali lagi soalan yang dilontarkannya kepada Adi Putra setelah
pertanyaan yang pertama tidak terjawab. Gadis itu memandang Adi Putra dengan wajah
kehairanan.
“Oh, maafkan saya...
saya hendak berjumpa dengan May, saya ingin menghantar manuskrip novel saya.”
Jujur Adi Putra.
“May ada di dalam, mari
saya bawa encik berjumpa dengannya.” Senyuman manis terus bergayut di bibir
gadis berbaju kurung sutera ini.
“Eh, tak perlulah
susah-susah. Saya boleh masuk sendiri, lagipun saya sudah biasa dengan May.”
Terang Adi Putra, dia menolak dengan baik.
“Oh kalau begitu encik
masuklah ya,” gadis itu berlalu sambil tersenyum ke arah Adi Putra, Adi Putra
sekadar mengangguk dan anak matanya langsung tidak berkerdip dari memandang
wajah gadis muda yang baru sahaja berlalu menuruni anak tangga.
“Mesti pekerja baru...”
gumam Adi Putra sendirian.
Adi Putra menolak pintu
pejabat Syarikat Pena Prima dengan perlahan-lahan. Adi putra berjalan
perlahan-lahan menuju ke arah May. Kelihatan May sedang sibuk melakukan
kerja-kerja di mejanya, dia langsung tidak memandang Adi Putra yang sudah
tercegat berdiri dihadapannya. May merupakan setiausaha yang sudah bekerja
hampir lima tahun di syarikat itu. Wajahnya masih kelihatan muda walaupun
usianya sudah menghampiri empat puluh tahun.
“Hello May, sibuk sangatkah?” Adi Putra bertanya.
“Oh Adi, sorry May tak perasan. Bila you sampai?” May mendongak seraya
bertanya.
“Dah hampir dua minit Adi berdiri
di sini. Er, Tuan Haji Ali ada dalam bilik dia tak?” soal Adi Putra sambil
tersenyum-senyum.
“Oh ada-ada, dia baru sahaja
masuk. Apa mau?” kali ini giliran May pula yang bertanya.
“Tak ada apa-apa, Adi mahu
hantar ini manuskrip dan softcopy
novel Adi yang terbaru, itu sahaja.” Ujar Adi Putra.
“Wah, ada novel terbaru? Apa
tajuk?” pelat cina masih lagi menebal di lidah May.
“Er, tajuk dia Kebangkitan.”
Adi Putra tersenyum-senyum ke arah May.
“Pendeknya, kenapa tak buat
tajuk yang panjang-panjang macam novel lepas?” May bertanya lagi. Wajahnya
kelihatan tidak berpuas hati dengan tajuk yang diberikan oleh Adi Putra.
“Okeylah tu tajuk
Kebangkitan, kalau Adi tulis tajuk Bangkit, lagilah pendek. Macam tajuk untuk
kuih bangkit sahaja...” Adi Putra menyanggah kritikan May secara berseloroh,
dia tidak mahu menyakiti hati sesiapa. Lagipun dia masih baru dengan May dan dalam
dunia penulisan.
“Yelah, apa-apa sahajalah...
you letaklah dahulu manuskrip you atas meja May, nanti May beri pada
editor. Younak jumpa dengan Tuan
Haji Ali ka?” tanya May lagi.
“Er, tak payahlah. Kirim
salam sahaja pada dia ya. Saya mahu cari kedai makan, perut saya sudah berbunyi
lagu keroncong ni...” seloroh Adi Putra lagi.
“Macam-macam sahajalah...”
May mencebik, dia
kembali menyambung kerja-kerjanya. Adi Putra hanya tersenyum dan selajur itu
juga dia menuju ke pintu untuk keluar dari pejabat Pena Prima. Tetapi dia
terhenti dari melangkah dan berpaling kembali ke arah May.
“Er...
May, siapa budak perempuan yang keluar tadi?” soal Adi Putra dengan
teragak-agak. Dia berpatah balik ke arah May.
“Oh
nama dia Nurul Farhana, dia budak praktikal kat sini. Kenapa?” soal May
kembali.
“Tak
mengapalah, sahaja bertanya.” Adi Putra tersengih-sengih. Kemudian dia meminta
diri untuk pulang.
“Kalau
nak berkenalan nanti May sampaikan pada dia.” May tersenyum sinis.
“Er...
tak mengapalah, tak payah susah-susahlah... May, saya beransur-ansur dahulu
ya.” Ujar Adi Putra, seraya tersengih-sengih bagaikan kerang busuk.
Adi Putra menuruni anak
tangga dengan perlahan-lahan, tujuan asalnya sudah tercapai, kini dia perlu
mencari kedai makan untuk mengisi perutnya yang sudah berkeroncong. Dalam
hatinya dia berharap novel ke duanya ini akan menjadi novel yang terlaris
jualannya nanti. Ini kerana percubaan pertamanya dengan mempertaruhkan novel
yang bertajuk Apabila Senja Menjelang tidak mendapat sambutan yang
menggalakkan. Adi tidak pernah berputus asa malah menganggapnya sebagai satu
cabaran untuk terus berjuang dalam arena penulisan.
Sedar tidak sedar Adi Putra
sudahpun tiba di hadapan restoran Mamak yang berhampiran. Dia melabuhkan
punggungnya ke sebuah kerusi kayu, di atas meja kelihatan beberapa bungkus nasi
lemak yang dibungkus dengan lipatan surat khabar lama. Adi Putra mengambil
sebungkus, pagi ini perutnya yang masih lagi belum terisi akan diisi dengan
sebungkus nasi lemak.
Usai menikmati nasi lemak
bungkus, Adi Putra meneguk perlahan-lahan teh tarik yang dipesannya. Dia
tersandar kekenyangan, sesekali terdengar dia tersendawa. Dalam pada dia sedang
bersandar, matanya terpandang pada satu tajuk di kertas surat khabar yang
menjadi bungkusan kepada nasi lemak yang dimakannya.
“Tiga pelajar Universiti
hilang secara misteri?” Adi Putra membaca dengan perlahan-lahan.
Lekas-lekas dia mengambil
kertas bungkusan nasi lemak itu dan membacanya tajuk kehilangan misteri pelajar
institusi awam itu dengan penuh minat. Wajahnya berkerut tatkala membaca
coretan wartawan akhbar tempatan itu. Adi Putra kelihatan berminat untuk
mengetahui dengan lebih lanjut lagi, tetapi malangnya dia hanya sempat membaca
sedikit sahaja, ini kerana surat khabar lama itu sudah terkerat separuh.
“Cerita kehilangan pelajar
Universiti ini boleh aku garapkan ke dalam novel aku yang seterusnya.” Adi
Putra bercakap dengan dirinya sendiri.
Selepas dia membayar harga
makanan dan minuman, Adi Putra terus bergegas mendapatkan teksi. Dia mahu
segera pulang ke rumahnya dan melayari jalur lebar dengan niat ingin mencari
kesudahan cerita dari akhbar tempatan tentang kehilangan pelajar-pelajar
terbabit. Adi Putra bagaikan tertinggal dengan dunia luar, segala berita dan
cerita langsung tidak dipedulikan, apatah lagi kalau hal ehwal semasa dan
politik, semuanya tidak pernah menjadi keutamaannya selagi novelnya tidak siap
dengan sepenuhnya.
Semenjak dia mengalami
kekecewaan dalam percintaan, Adi Putra banyak menghabiskan masanya dengan
menulis. Dengan cara ini dia berharap dapat melupakan Rahayu Razlan bekas
kekasihnya yang kini sudahpun bergelar isteri orang. Mereka terpisah bukan
kerana pergaduhan atau persengketaan, tetapi hati Rahayu Razlan sebenarnya
telah berubah dengan serta-merta. Malah merelakan dirinya dirampas oleh seorang
lelaki yang habis-habisan memburuk-burukkan Adi Putra agar Rahayu Razlan menjadi
miliknya. Dan yang paling menghiris hati Adi Putra, Rahayu Razlan mempercayai setiap
fitnah yang dilemparkan.
Apa yang tinggal pada Adi
Putra, hanyalah satu kesan luka yang merobek-robek di dalam jiwanya. Kesan dari
kecurangan Rahayu Razlan membuatkan Adi Putra tidak mempercayai lagi pada
cinta. Dia tidak pernah berdendam dengan Rahayu Razlan dan pasangannya, tetapi
dia sudah kehilangan rasa percaya pada golongan kaum hawa. Biarlah dia bercinta
dengan ALLAH dan RasulNYA sahaja, apa yang pasti cinta hakiki akan tetap kekal
selama-lamanya. Walaupun pada hakikatnya rasa cinta terhadap Rahayu Razlan masih
lagi utuh di dalam sukma Adi Putra.
Akan
kerana kekecewaan itulah yang menyebabkan Adi Putra menjadi penulis, dan kini
keterujaannya itu mula bercambah apabila terbaca akan berita tentang kehilangan
pelajar di Tasik Kenyir. Tidak mustahil kalau dia ke hutan Kenyir demi
menggarap satu naskah yang pasti akan lain dari naskah-naskah miliknya sebelum
ini.