Bab 19
SETIBANYA dia di
Lorong Setia, Muthu sengaja memarkir keretanya jauh sedikit dari kedai. Dari
dalam kereta, dia memerhati Kedai Beng yang sudah dibuka. Pekerja Beng yang
seramai lima orang sedang sibuk menyusun kerusi. Dapat dilihat juga adik lelaki
Beng mengarah itu ini. Apa yang tidak kelihatan ialah Beng yang berperut boroi
itu.
Dia percaya Beng
masih terlantar di ICU. Tetapi apa yang lebih penting, sekiranya kedai Beng
sudah dibuka hari ini, kedainya ada persaingan semula. Dia rasa sedikit risau
namun segera dipintas keyakinan yang menjalar apabila dia memegang bungkusan
yang diberi tok sami tadi. Akhirnya dia bersiul riang seraya meninggalkan
keretanya.
“Pooja,”
panggilnya sebaik sahaja masuk ke dalam kedai. Kali ini dia tidak lagi dapat
menyembunyikan perkara itu dari pengetahuan Pooja lantaran topeng yang dibawa
balik itu bukannya kecil dan boleh disembunyikan.
Mendengarkan
namanya dipanggil, Pooja segera menghampiri Muthu dengan wajah muram.
“Tadi aku pergi
sembahyang kuil.”
Pooja
terkebil-kebil.
“Ini ada barang
tok sami suruh letak dalam kedai.” Muthu tunjukkan bungkusan yang dibawanya.
Pooja pandang
sahaja.
Gelagat Pooja
menimbulkan kehairanan di hati Muthu. “Ada apa-apa masalah ka?”
“Tadi semasa
saya masuk kedai.. aiyoo… kedai ni banyak busuk. Saya sampai muntah dua kali,”
cerita Pooja laju. Mukanya sudah pucat.
“Busuk?” Muthu
tersentak ke belakang. Dia gosok batang hidung. Kemudian dia menggeleng laju.
“Tak bau pun.”
“Sudah hilang.
Tadi sembur minyak wangi satu kedai.”
“Tikus mati
kut.” Perasaan terkejut Muthu mula hilang. Selepas beberapa kejadian yang
mengejutkan sejak beberapa hari yang lalu, dia yakin Pooja mudah sangat
terkejut. Padahal dia tidak bimbang apa-apa pun.
Air muka Pooja
berubah. Ternyata dia tersinggung apabila Muthu tidak mempercayainya.
“Cari paku, aku
nak pasang benda ni,” arah Muthu.
Melihatkan Muthu
seperti tidak ambil berat kerisauan hatinya, Pooja akur. Dia melangkah ke stor
dan mula menyelongkar. Tidak lama kemudian dia bawa tiga batang paku dan
sebatang penukul. Diletakkan sahaja di atas kaunter.
“Balan macam
mana?”
“Balan?”
“Tadi awak pergi
tengok Balan, kan?”
Muthu tidak
dapat mengelak lagi tetapi dia juga tidak mahu mengatakan hal yang sebenar
kepada Pooja. Dia bimbang Pooja takut.
“Sudah bawa
klinik. Dia demam sikit,” balasnya.
Jawapan Muthu
membuat hati Pooja tenang. Tanpa sepatah kata, dia kembali ke ruang dapur untuk
menyambung kerja.
Dari jauh Muthu
tarik nafas lega. Dengan sepenuh keyakinan dia mula memasang topeng yang dibawa
balik dari kuil tadi. Selepas ini semuanya akan bertambah baik, fikirnya.
*****
PUKUL 9.00 pagi,
kedai mula didatangi pelanggan pertama. Agak lewat. Mungkin kerana kedai Beng
hari itu dibuka maka pelanggan lebih ramai ke sana berbanding ke kedai Muthu.
Satu perkembangan yang kurang sihat berbanding hari semalam. Tetapi Muthu tidak
risau. Dia masih yakin topeng yang dipasang di hadapan kedai akan melindungi
kedainya daripada sebarang masalah.
“Roti satu, teh
kurang manis satu,” pinta pelanggan lelaki Cina yang hanya datang berseorangan.
Dia memakai kasut
sukan dengan stokin putih lusuh. Seluar pula hanya seluar suka pendek hingga
menampakkan pehanya yang putih melepak. Sambil duduk, dia membelek akhbar
berbahasa Inggeris keluaran semalam yang ada di atas meja.
“Bos!”
panggilnya kepada Muthu. “Surat khabar pagi ni tak ada ka?”
Muthu bergerak
ke arah mejanya. Dia toleh sebentar ke arah hadapan kedai. Kemudian menjawab,
“Belum sampai. Patut sudah sampai.”
Pelanggan tadi
hanya menyambung bacaannya. Dia makin khusyuk.
Muthu baru
hendak membuka mulut bertanya tetapi tidak jadi. Raju sudah memanggil dengan
muka cemas. Spontan, hati Muthu juga jadi cemas.
“Apa?” Rasa
marahnya terus tiba.
“Basi,” bisik
Raju takut-takut.
Basi lagi? Nafas
Muthu tertahan sejenak. Biar betul? Dia lantas mengambil doh roti canai yang masih
lagi terasa sejuk. Dibawa ke hidung. Tengik dan masam! Ah! Sudah! Tidak usahkan
Raju, dia sendiri diasak rasa cemas.
“Cuba check semua. Mungkin ada yang elok.” Dia
tunduk mengambil besen besar yang mengandungi semua doh yang telah disiapkan
Raju petang semalam.
Raju mengeluh.
Setelah memeriksa apa yang ada, dia menggeleng.
Pada waktu itu,
Muthu sendiri terasa sangat hampa. Sambil menenangkan perasaannya sendiri, dia
menghampiri pelanggan tadi.
“Encik, kami tak
dapat buat roti pagi ni. Roti ada masalah sikit.”
Pelanggan tadi
menoleh sekejap ke arah kaunter roti, kemudian dia menutup surat khabar yang
dibaca. Diletak di atas meja elok-elok.
“Nasi ada?”
tanyanya kemudian.
“Tunggu sekejap,
saya tengok dapur.” Muthu terus menuju ke dapur pula. Besar harapannya agar
nasi putih dan beberapa lauk sudah siap dimasak.
“Nasi dah
masak?”
Pooja yang
sedang sibuk mengacau gulai di atas api tersentak. “Nasi? Dah masak,” katanya.
“Ada masalah
ka?” Muthu rasa tidak sedap hati melihat air muka Pooja. Pooja seperti memendam
perasaan.
Kali ini Pooja
berhenti mengacau gulai.
“Tadi... kuah
kari basi, sekarang gulai ni tak masin-masin,” katanya.
Selepas
mendengar aduan Pooja, Muthu segera merapati periuk gulai lalu menceduknya
sedikit dengan sudu kecil.
“Cit!!!” Dia
terus meludah ke dalam sinki. Dia berkumur beberapa kali. “Aiyoo… mau bunuh
orang ka?”
Muka Pooja
berubah pucat apabila dibentak. Dia menggelabah.
“Masin sangat?”
Muthu angkat
tangan. Kepalanya sudah pening. Apa yang dirasa hampir membuatnya termuntah.
Masam, masin dan meloyakan. Dia sudah tidak tahan lagi.Hendak muntah!
Dicapainya
sebiji pinggan kosong dan diisi dengan nasi. Masih terlalu awal untuk dia
membentang daun pisang seperti selalunya. Nasi itu dibawa ke ruang hadapan
dengan langkah yang laju. Sejujurnya dia sendiri bingung tetapi juga tidak mahu
pelanggan tadi lari meninggalkan kedai. Dia perlu berfikir pantas. Pelanggan
adalah duit.
Di dapur, Pooja
tersandar di tepi dinding. Tidak faham apa yang tidak kena dengan dirinya
sendiri. Dengan tiba-tiba sahaja lidahnya tidak dapat merasa apa-apa pagi itu.
“Mau lauk apa,
bos?’ tanya Muthu seraya meletakkan nasi ke hadapan pelanggan tadi.
“Kari ikan ada?”
Muthu
menggeleng. “Ayam goreng ada, sama sayur. Mau?”
Pelanggan tadi
angguk sahaja. Sudah tidak ada pilihan.
Dengan itu,
Muthu segera melangkah ke dapur untuk mengambil lauk namun belum sempat jauh,
dia terdengar pelanggan tadi terjerit, disusuli bunyi kerusi tertolak ke
belakang. Kemudian lelaki itu mengaduh di atas lantai. Terlentang.
“Aiyo...
kenapa?” Muthu berlari untuk membantu. Raju juga menerpa.
Lelaki itu
tergigil-gigil. Ditunjuknya ke arah meja di mana pinggan nasi masih terletak
elok walaupun gelas yang berisi teh kurang manis tadi sudah terlingkup dan
airnya telah membasahi lantai.
Melihatkan keadaan
lelaki itu, Muthu menoleh ke arah meja. Spontan dia bergerak setapak ke
belakang dan hampir jatuh apabila terlanggar Raju. Di atas meja, pinggan nasi
yang berisi nasi putih tadi kini dipenuhi ulat berenga yang beribu-ribu
jumlahnya. Menyeronot, menggeletik, melompat-lompat.
Muthu dan Raju
sama-sama menutup mulut menahan rasa geli.
Belum sempat
Muthu meminta maaf kepada pelanggan tadi, pelanggan tadi terus bingkas bangun
meninggalkan kedai.
“Encik!” Muthu
mengejar dan menahan lelaki itu. “Sorry,
ha…aku pun…”
Lelaki itu
tergamam dengan tindakan Muthu tetapi terus memintas dengan kasar. “Macam mana
awak berniaga? Mau kasi orang mati ka?”
Muka Muthu sudah
terasa kembang sekaki. Rasa malu bagaikan setinggi gunung.
“Tolong jangan
kasi heboh ini cerita. Ada orang kacau kedai aku,” katanya tergesa-gesa namun
sepenuh hati mengharapkan lelaki itu menerima alasannya.
Sayangnya,
lelaki tadi hanya menggeleng dan menepis tangan Muthu. Kemudian berlalu dengan
muka yang masih merah padam sampai ke cuping telinga.
Ketika itu Muthu
hanya mampu memandang. Sekujur jiwanya lesu. Kemudian diserbu rasa marah yang
menggila. Dia terus melangkah menuju ke kedainya semula. Dari luar sahaja, dia
sudah menjerit kepada Raju.
“Tutup kedai!”
*****
SETENGAH jam
kemudian, dia sudah tiba semula ke kuil. Kali ini dia hanya datang
berseorangan. Sayangnya, tok sami yang dicari tidak kelihatan di situ. Dia
terus mencari penjaga kuil yang selalu dilihatnya.
“Bila dia
balik?”
Penjaga kuil itu
hanya menggeleng.
“Aku tunggu,”
katanya sambil merengus geram.
Dia sudah nekad,
berapa lama pun dia akan tunggu tok sami itu datang ke situ semula. Dia akan
tuntut penjelasan tentang gangguan di kedainya yang bukan bertambah baik tetapi
bertambah teruk. Mujurlah beberapa minit kemudian tok sami itu tiba dari arah
pagar hadapan. Muthu terus menerpa.
Air muka tok
sami berubah pucat.
“Tok!” bentak
Muthu.
Tok sami angkat
tangan menahan.
“Kita cakap di
dalam,” katanya.
Kali ini Muthu
tidak jadi menyambung kata-katanya, sedikit sebanyak dia masih ada rasa hormat
kepada orang tua berkepala botak itu. Dengan langkah lemah dia mengikut sahaja
tok sami masuk ke ruang dalam sambil diperhati oleh penjaga kuil.
“Aku tahu,” kata
tok sami dengan tenang.
“Kenapa boleh
jadi macam ni, tok?”
“Mereka balas
lagi kuat.”
Untuk sesaat,
Muthu terdiam.
“Tok tak boleh
lawan ke? Lawan lagi kuat. Kasi buang semua.”
Tok sami hanya
diam termenung.
“Kalau boleh…
sudah lama boleh. Tapi ini benda dia orang hantar banyak kuat. Itu orang mati
punya tulang, dalam-dalam… kasi tanam.” Dahinya berkerut halus.
“Siapa yang
hantar?” Muthu makin tidak puas hati.
Dia tidak
peduli, tulang orang mati ke, tulang orang hidup ke yang penting kedainya
selamat. Dan kalau dia tahu siapa yang buat, biar dia sahaja yang tanam orang
itu dalam-dalam. Dia geram sungguh apabila memikirkan soal itu. Dia berniaga
baik-baik pun, orang masih mahu ganggu. Ada orang tidak senang hati. Dengki
pada dia.
“Orang mau kasi
bisnes tutup,” jawab tok sami.
Muthu tidak
terkejut langsung dengan jawapan itu. Siapa lagi yang sanggup dengki kepada
perniagaan dia kalau bukan pesaing?
“Aku tak peduli
berapa tok sami mau. Aku mau tok sami lawan juga.” Muthu merenung muka tok
sami. Antara percaya dan tidak sahaja tok sami itu tidak mampu melakukannya.
Tok sami hanya
termenung. Kemudian tok sami menggeleng. “Cari orang lain,” katanya. “Benda ini
banyak kuat.”
Seakan-akan
luruh semangat Muthu. Kalau tok sami pun mengalah, siapa yang boleh membantu
dia lagi? Dia tidak mahu kalah dengan Beng. Dia tidak mahu perniagaannya
lingkup.
Akhirnya dia
nekad. Ada satu saja jalan yang patut diambil. Jalan yang terakhir.
******
SEMENTARA itu di
gerai Pak Cik Kasim, Aunty May riuh bercerita. Hendak ditanya pada jiran sebelah
rumah, jiran sudah pergi melancong dan entah bila balik. Akhirnya dia gagahkan
juga ke gerai itu; mana tahu mungkin ada seseorang yang tahu apa yang sedang
berlaku di situ.
“Sudah dua malam
gua nampak.” Dahi tuanya berkerut. Dia bimbang dikatakan sudah gila atau
nyanyuk pula.
Pak Cik Kasim
dan Mak Cik Hanum tidak bersuara. Hanya mata yang terkebil-kebil.
“Itulah gua
datang sini mau tanya, kalau ada sesiapa nampak apa yang gua nampak,” tambah
Aunty May.
Kata-kata
terakhir Aunty May buat Pak Cik Kasim menarik nafas. Kepalanya mula pening.
Sejak beberapa hari yang lalu macam-macam cerita yang dia dengar mengenai
perempuan yang selalu ditemui orang di hadapan kedai Muthu. Bukan setakat pada
waktu malam; pada waktu siang pun ada. Ada juga yang jumpa pada waktu
penghujung senja. Pendek kata pada bila-bila masa sahaja. Anehnya ada pelbagai
versi.
Ada yang kata
makhluk itu berupa seorang perempuan yang sangat cantik, berkebaya nyonya
bersulam halus dari kain kasa hitam. Ada yang kata makhluk itu berupa seorang
perempuan yang berwajah hitam dan berdarah-darah dan ada pula yang kata makhluk
itu menyerupai sesiapa sahaja yang mereka kenal. Ada tiga rupa. Tetapi yang
bermain di kepalanya ialah siapa yang bawa makluk itu ke situ kerana sebelum
ini memang tidak ada.
“Tak ada pula,”
jawab Mak Cik Hanum.
“Cuma gua
seorang la?” tanya Aunty May lagi.
Pak Cik Kasim
merenung wajah Aunty May yang makin kusut dan sedih. Tetapi kalau dia
menceritakan hal yang sebenar, dia bimbang orang tua itu akan diburu rasa takut
yang berpanjangan.
“Mungkin tak ada
apa-apa tu, aunty. Mungkin ada orang balik kerja lambat. Tunggu orang jemput
ka.” Dia mengambil jalan singkat. Dia percaya Aunty May juga diganggu makhluk
itu tetapi buat sementara itu; biarlah mereka semua berhati-hati.
Aunty May
pandang muka Pak Cik Kasim kemudian mengangguk lesu.
Pak Cik Kasim
sekadar menelan air liur. Dia harap Aunty May tidak terlalu takut atau susah
hati. Dia akan memerhati keadaan.
“Kalau ada
apa-apa nanti, saya beritahu aunty ya,” tambahnya untuk menyedapkan hati.
“Gua balik
dulu.” Aunty May angkat punggung.
“Nah! Buat
makan-makan.” Mak Cik Hanum serahkan seplastik kecil keropok lekor yang masih
panas. Aunty May hendak membayar tetapi Mak Cik Hanum menolak.
“Terima kasih
ha.” Aunty May beredar perlahan-lahan. Plastik yang berisi keropok lekor
terbuai-buai apabila dijinjit.
Dari gerai Pak
Cik Kasim dan Mak Cik Hanum memandang dengan penuh rasa simpati. Gerai kembali
sunyi tetapi hati Pak Cik Kasim asyik berdebar-debar bagaikan ada yang tidak
kena.