Bab
9
Mereka sampai di Pulau Pinang
selepas lima jam perjalanan dari Selangor. Hari sudah hampir masuk maghrib.
Sebentar lagi cerah siang akan pergi dan gelap malam akan menyelubungi.
Halimah dan Bibik Aminah memapah
Habshah masuk ke dalam rumah. Kalsum yang baru tersedar akan kepulangan mereka
tergesa-gesa turun ke tingkat bawah. Dia membantu mengangkat beg-beg Habshah.
“Kenapa dengan hang, Sum?” tanya
Mazlan sebaik melihat muka Kalsum. Kedua-dua belah matanya kelihatan bengkak,
bekas menangis.
“Bekas kawan-kawan sekerja Karim
datang tadi. Depa nak masuk dalam rumah cari Karim. Cek halang tetapi depa
rempuh juga. Nasib baik Ustaz Yahya ada,” jawab Kalsum, ambil beg Habshah dari
dalam bonet.
“Karim tak keluar?” tanya Mazlan.
“Matilah kalau dia keluar. Patah
riuk nanti dikerjakan kawan-kawan dia tu,” jawab Kalsum.
“Orang kampung kerumun?” tanya
Mazlan.
Kalsum mengangguk lemah. “Malu cek.”
Mazlan mengeluh perlahan. “Kena
bertanggungjawab. Kena berdepan dengan depa tu. Lepas ni mesti ramai lagi yang
akan cari. Hang kata apa pada bekas kawan-kawan sekerja dia tu?”
“Cek kata Karim tiada di sini.
Karim kerja di Kuala Lumpur,” jawab Kalsum.
Mazlan mengeluh lagi. “Lambat
laun pasti ada orang yang nampak,” katanya kemudian.
Kalsum tidak menjawab. Apa yang dikatakan oleh
Mazlan itu benar. Dia terus membawa beg Habshah ke dalam rumah dan menyertai
Halimah, Bibik Aminah dan Habshah yang sudah berada di dalam bilik. Habshah
ditempatkan di bilik tengah. Bilik tengah itu dikapit oleh bilik Azlan dan
bilik Mazlan dan Halimah. Bilik tengah itu bilik Raudhah. Sementara Habshah ada
di situ, Raudhah akan tidur bersama Mazlan dan Halimah.
“Terima kasih kak, bibik dan
Kalsum,” kata Habshah sebaik sudah berasa selesa di atas katil. Dia melihat
Raudhah lalu menyambung kata, “Terima kasih Raudhah sebab bagi pinjam bilik ni
pada Mak Usu.”
“Sama-sama,” jawab Raudhah lalu
keluar bilik untuk ke ruang tamu.
Halimah, Kalsum dan Bibik Aminah
mengemas apa yang patut. Pakaian Habshah dikeluarkan dari dalam beg-beg dan
disusun kemas di dalam almari. Langsir bilik itu juga ditukar dengan yang baru.
Selepas habis berkemas di bilik itu, Halimah dan Kalsum membawa diri ke ruang
tamu.
“Sudah selesai kemas bilik tu?”
tanya Mazlan sebaik melihat Halimah dan Kalsum datang ke ruang tamu.
Azlan dan Raudhah yang tidur
sepanjang perjalanan kini segar bugar dan sedang bermain kejar-kejar di ruang
tamu itu.
“Sudah,” jawab Halimah. “Abang ke
masjid nanti?” tanyanya kemudian.
Mazlan mengangguk.
“Azlan pergi mandi dulu. Bersiap
cepat. Tak nak ikut abah ke masjid?” kata Halimah.
Azlan berhenti bermain serta
merta dan terus ke bilik air untuk mandi.
“Nanti abang beli lauk untuk
makan malam. Mah masak nasi sahaja ya,” kata Mazlan.
“Baik bang,” jawab Halimah.
“Nanti hang makanlah sekali
dengan kami, Sum,” ajak Mazlan.
“Cek sudah makan pukul enam tadi.
Karim lapar sangat,” jawab Kalsum.
Halimah meneliti muka Kalsum.
Dapat mengesan bekas menangis pada muka Kalsum.
Azlan berhenti mencedok air dari
dalam kolah. Kemudian dia memusing kepala paip. Air berhenti terjun ke dalam
kolah. Dia memasang telinga. Bulu romanya meremang. Segera mencapai tuala.
Membuka kain basahannya dan cepat membalut badannya dengan tuala. Dia seperti
terdengar bunyi desir angin yang amat perlahan. Disusuli pula oleh bunyi ngiau
kucing dan tangisan budak lelaki. Tidak lama kemudian terdengarlah bunyi
sesuatu mencakar dinding.
“Srtttt...” Bunyi cakaran semakin
menjauhi bilik air itu. Ia menghala ke bilik-bilik tidur.
Azlan keluar dari bilik air. Dia
berlari anak. Berhenti sebentar di hadapan bilik Raudhah. Pintu bilik itu
tertutup. Lantas dia terus ke ruang tamu.
“Kenapa badan tu masih basah,
Azlan?” tanya Halimah bila melihat Azlan yang berdiri di pintu yang memisahkan ruang
tamu dan ruang belakang itu.
Mazlan bangun untuk mandi dan
bersiap ke masjid. “Lain kali lap badan tu sampai kering dulu. Dah, pi pakai
baju.”
“Ibu, abah, benda tu dah datang…”
kata Azlan.
“Apa?” tanya Halimah.
“Abang kata benda tu dah datang,”
kata Raudhah, mengulangi kata-kata Azlan.
Mazlan, Halimah dan Kalsum
melihat Azlan.
“Betul ibu, abah, Makcik Kalsum,”
kata Azlan.
“Apa yang datang?” tanya Mazlan.
Belum sempat Azlan membuka mulut,
dari dalam bilik Raudhah kedengaran suara Habshah menjerit, “Pergi dari sini!
Pergi dari sini! Pergi dari sini!”
Semua yang berada di ruang tamu
itu bergegas ke bilik Raudhah.
“Kenapa ni bibik?” tanya Halimah
yang sudah mendekati Habshah yang tangannya menunjuk-nunjuk ke arah tingkap.
Langsir dan tingkap itu
ternganga. Kedua-duanya tidak ditutup oleh Kalsum kerana terlupa.
“Saya tak tahu. Saya sedang kemas
pakaian. Tiba-tiba sahaja puan menjerit-jerit,” jawab Halimah.
“Dia ada di sini kak! Dia ada di
sini kak!” jerit Habshah lagi.
“Siapa yang ada di sini?” tanya
Halimah yang terpinga-pinga.
Habshah menunjuk-nunjuk ke arah
tingkap yang terbuka. “Perempuan muda, kakak! Perempuan cantik, kak! Kak tak
nampak?” jeritnya.
Halimah dan lain-lain melihat ke
arah di mana jari telunjuk Habshah dihalakan. Di luar sana, di bawah pokok buah
star atau buah kundang, tidak kelihatan sesiapa. Mereka berpandangan sesama
sendiri.
“Dia ada di situ kak. Dia lambai
ke arah saya. Dia bawa budak lelaki tu sekali. Saya dengar suara budak tu
menangis, kak,” kata Habshah terus.
“Tiada apa-apa di situ Sah. Tiada apa-apa,”
balas Halimah sambil memegang badan Habshah. Dia cuba menenangkan adiknya itu.
“Dia ada di situ kak. Tengok. Dia
lambai saya,” kata Habshah, ketakutan.
“Tak ada sesiapa di sana, Sah.
Istighfar banyak-banyak,” kata Halimah.
Habshah beristighfar. Kelibat
langsuir itu hilang sebentar. Tetapi muncul semula selepas beberapa saat. Kali
ini dengan muka yang lebih menyeramkan. Tangisan budak lelaki yang dibawanya
semakin kuat pada pendengaran Habshah. Habshah hampir menangis kerana
ketakutan.
“Dia tak mau pergi kak! Tolong
aku kak, Abang Mazlan, bibik, Kalsum, Azlan… . Azlan nampak tak perempuan tu?
Azlan nampak kan?” kata Habshah.
Semua mata memandang ke arah
Azlan. Azlan diam tidak menjawab pertanyaan Habshah itu.
“Azlan?” tanya Halimah.
Azlan mengangguk. “Dia baru
datang mak. Masa Azlan mandi tadi. Benda tu ada di bawah pokok stak tu.
Perempuan muda dan budak lelaki tu.”
“Perempuan muda dan budak lelaki?”
tanya Halimah.
“Ya, kak. Aku takut kak,” balas
Habshah.
Halimah, Mazlan, Bibik Aminah dan
Kalsum terlopong. Mazlan segera ke tingkap untuk menutupnya. Bulu romanya
meremang. Dia terdengar suara tangisan kanak-kanak perempuan. Dia tidak
menghiraukan apa yang didengarnya itu. Tetap menutup tingkap. Kemudian dia
menarik pula langsir. Ketika langsir itu hampir tercantum kedengaranlah suara
nyaring tangisan budak lelaki. Tangisan itu dapat didengar oleh semua orang
yang berada di dalam bilik itu. Masing-masing terperanjat dan mereka semakin
kumat kamit membaca ayat-ayat Al-Quran yang diingati waktu itu. Tangisan yang
nyaring itu disertai pula dengan bunyi cakaran pada dinding luar. Semakin lama
kedua-dua bunyi itu semakin kuat. Habshah, Kalsum, Bibik Aminah sampai
menekap-nekap telinga kerana tidak mahu mendengar bunyi-bunyi yang menyeramkan
sampai meremangkan bulu roma itu.
“Kenapa?” Satu suara tiba-tiba
muncul dari belakang.
Mazlan menoleh. Kelihatan Karim
dan anak-anaknya sudah turun ke bawah.
“Saya dengar suara budak lelaki
menangis dan kucing mengiau,” kata Karim.
Mazlan mengangguk. “Baca apa
surah yang patut.”
Karim terus kumat kamit membaca
Al-Fatihah.
“Aku sayangkan kamu, Sah…” Suara
langsuir itu terus bergema.
“Pergi dari sini! Jangan kacau
aku!” jerit Habshah.
Keadaan itu mengejutkan Karim. Bulu
romanya meremang. Dia menelan air liur beberapa kali. Dia juga dengar suara
langsuir itu. Suara itu datang dari luar rumah.
“Aku ingin bersama kamu Sah…”
Suara itu terus bergema.
“Apa yang hang mahu?!” Halimah meninggikan
suara, memberanikan diri.
“Habshah. Dia adalah aku. Aku
adalah dia! Ha, ha, ha!”
“Dia adalah dia. Dia bukan
engkau. Dan engkau bukan dia!” bentak Halimah.
“Aku telah pilih dia. Dia juga sudah terima
aku.” Suara langsuir itu bergema lagi. Mengilai
tetapi tidak semena-mena hilaiannya itu bertukar menjadi jeritan yang
menakutkan.
“Allahuakbar, Allahuakbar.” Suara
azan kedengaran dari arah masjid.
Keadaan kembali seperti biasa.
“Abang kena jemput Salim malam ni
juga,” kata Halimah.
Mazlan mengangguk. “Abang akan
terus ke Prai untuk ambik dia selepas sembahyang maghrib di masjid nanti.”
Mazlan segera mandi dan bersiap
lalu terus ke masjid bersama Azlan. Dalam keadaan tergesa-gesa itu Azlan sempat
berkata kepada Mazlan.
“Abah, dia ada atas bumbung rumah
kita.”
Mazlan terus sahaja memimpin
Azlan melangkah ke masjid. Mereka sampai di situ ketika Ustaz Yahya sudah
mengangkat takbiratul ihram.
Mazlan dan Azlan bergegas menjemput
Salim selepas menunaikan solat maghrib. Karim kekal di rumah. Setidak-tidaknya
ada lelaki dewasa di rumah itu jika berlaku apa-apa yang buruk kepada
Habshah.
Iswara yang dipandu Mazlan terasa
berat. Seolah-olah ia seperti membawa beban yang amat berat. Mazlan tidak
henti-henti membaca ayat-ayat Al-Quran. Al-fatihah, ayat kursi dan tiga kul
diulang baca berkali-kali. Sementara Azlan mengikut apa yang dibaca oleh
Mazlan. Perakam kaset terus menerus memainkan ayat-ayat suci Al-Quran. Pada
beberapa tempat di sepanjang perjalanan itu mereka berdua nampak Mak Siti
berbaju kurung kedah berdiri di bahu jalan. Mak Siti merenung tajam dan
menyerigai marah.
Selepas hampir empat puluh lima
minit mereka berdua sampai juga di rumah sewa Salim di Taman Pelangi, Perai. Salim
tersenyum menyambut mereka. Belum pun sempat Mazlan dan Azlan turun dari
kereta, Salim terus menerpa ke arah mereka. Salim mengarahkan mereka berdua
kekal di dalam kereta. Azlan mundur ke kerusi belakang. Salim masuk ke dalam kereta dan terus sahaja
mengarahkan Mazlan memandu semula ke rumah. Dia duduk di sebelah Mazlan.
“Diganggu sepanjang perjalanan
tadi, bang?” tanya Salim.
“Ya,” jawab Mazlan. “Kereta ni
rasa berat. Benda tu menanti di bahu-bahu jalan,” jelasnya pula.
“Syaitan ni kalau tak mengganggu
bukanlah namanya mahluk yang dilaknat Allah,” balas Salim.
“Tetapi sekarang tidak berasa
berat lagi. Tak juga nampak benda tu menunggu di bahu-bahu jalan lagi,”
beritahu Mazlan.
“Alhamdulillah. Adiknya Kak Limah
sampai tadi?” balas Salim.
“Ya. Abang dan Kak Limah pergi
ambil dia di Klang pagi tadi. Kami baru sampai sebelum maghrib tadi. Tak berapa
lama selepas sampai dia pun menjerit-jerit,” beritahu Mazlan lagi.
Salim mengangguk-angguk. Tekun
mendengar setiap butir maklumat daripada Mazlan.
“Dia kata dia nampak perempuan
muda. Perempuan tu bawa budak lelaki,” sambung Mazlan lagi.
“Anak abang Mazlan ni nampak
benda tu kan?” tanya Salim.
“Ya, ya,” jawab Mazlan. Hairan
kerana dia tidak pernah beritahu sesiapa tentang kebolehan Azlan dapat melihat
makhluk halus.
“Azlan, perempuan tua tepi jalan
tu pakai lengan baju paras ini kan?” tanya Salim yang menoleh ke belakang
sambil meletakkan tangan kirinya pada sepertiga tangan kanannya.
Azlan mengangguk.
“Budak lelaki tu telinganya tajam
ke atas? Dan giginya rapat-rapat dan tajam?” tanya Salim lagi.
“Ya, pakcik,” jawab Azlan.
Salim mengangguk-angguk. “Lama
lagi ke hendak sampai bang?” tanyanya.
“Lagi dua puluh minit,” jawab
Mazlan.
“Boleh pandu lebih laju?” pinta Salim.
“Ya, ya,” jawab Mazlan dan terus
menekan minyak.
Di rumah pusaka keturunan Haji
Zainul, keadaan yang tenang seketika lebih sejam yang lalu itu kini tegang
semula. Bunyi debum sesuatu mendarat di atas bumbung rumah kedengaran jelas.
Kalsum, Karim dan anak-anak mereka yang kembali ke tingkat atas terperanjat
besar. Kalsum membawa anak-anak turun semula ke tingkat bawah untuk menyertai
Halimah, Habshah dan Bibik Aminah. Karim memilih untuk berada di tingkat atas
itu seketika. Dia ingin tahu benar apa sebenarnya yang menganggu mereka itu.
Dia memang berani sejak kecil lagi. Rumah keluarganya berdepan dengan kubur. Dan
ketika kecil dia tidak takut sedikit pun bila lalu di hadapan kubur itu pada
malam hari ketika pulang dari belajar mengaji.
“Trap…. Trap… Trap….” Bunyi sesuatu
bergolek di atas bumbung kedengaran jelas. Kini bunyi itu berhenti betul-betul
di atas kepala Karim. Karim mendongak dan menunggu sesuatu. Dia mendengar ngiau
kucing dari atas bumbung itu. Bulu romanya meremang lagi tetapi dia tidak
terdetik untuk cabut lari. Malah dia mencabar jin itu.
“Hang ingat aku takut?! Apa hang
sebenarnya?!” lawan Karim. Suaranya tidak begitu kuat tetapi tegas. Seolah-olah
mahu kata-katanya itu didengar oleh dirinya sendiri dan jin itu sahaja.
Ngiau itu kedengaran lagi. Kali
ini nadanya lebih kuat.
“Aku tak takutlah…” kata Karim
dengan nada sinis.
Tingkap di ruang sorong tiba-tiba
terbuka. Deru angin menampar telinga. Daun daun tingkap yang terbuka
menampar-nampar dinding luar. Karim yang berada di ruang tengah itu berjalan ke
sorong. Dia sampai ke tingkap yang terbuka dan berdiri di situ. Dia melepaskan pandangan
ke luar – ke tengah jalan kampung. Di situ dia melihat seorang perempuan muda
yang amat elok paras rupanya sedang memimpin tangan budak lelaki yang galak
mata dan tajam telinganya. Kedua-dua lembaga itu merenung tajam ke arahnya
sambil berjalan menuju ke rumah pusaka itu. Karim berlari turun ke tingkat
bawah untuk melihat apa yang berlaku.
“Dia nak masuk kak! Dia nak masuk
kak!” jerit Habshah tiba-tiba. Dia tidak nampak kedua lembaga itu tetapi dia
merasakannya dengan hati.
Halimah, Bibik Aminah, Raudhah,
Kalsum dan anak-anaknya yang sudah berkumpul di bilik Raudhah sejurus mendengar
bunyi-bunyi pelik dari luar rumah tadi terkejut dengan kata-kata Habshah itu.
Kalsum segera keluar dari bilik itu untuk melihat ke arah pintu utama.
Terperanjat bila terserempak dengan Karim yang baru sampai di bilik Raudhah
itu.
“Abang ni…. Terperanjat saya!”
marah Kalsum.
“Abang lihat perempuan muda dan
budak lelaki berjalan masuk ke ruang tamu tingkat bawah ni. Ada nampak apa-apa
masuk?” tanya Karim, tidak menghiraukan marah Kalsum.
“Tak ada apa-apa. Saya baru
jenguk ke pintu tu tadi,” jawab Kalsum sambil memuncungkan bibirnya ke arah
pintu di ruang tamu itu.
Dari dalam bilik, terdengar
Habshah menjerit lagi. “Dia ada depan pintu kak! Tolong halau dia kak!” Habshah
tidak keharuan. Dia berusaha hendak bangun untuk meninggalkan katil. Dia mahu
menyembunyikan diri di mana-mana.
“Sabar Sah. Kejap lagi kawan
Abang Mazlan datang. Istighfar banyak-banyak. Minta bantuan Tuhan,” kata
Halimah menyabarkan.
“Ya, sabar Sah. Tak ada apa-apa
yang masuk Sah,” kata Kalsum pula.
Bunyi cakaran terdengar di dinding luar bilik
Raudhah itu. Sayup-sayup kedengaran pula tangisan nyaring budak lelaki. Ditokok
pula dengan bunyi sesuatu mengetuk pintu belakang dan hadapan dengan kuat.
Keadaan menjadi lebih runcing. Habshah yang ketakutan dilihat hampir menangis.
Kalsum masuk semula ke dalam bilik Raudhah dan memeluk Zakiah dan Lutfi yang
sudah pun menangis. Soraya berlagak biasa. Raudhah pula memegang tangan
Halimah. Halimah sedaya upaya menenangkan semua orang.
Karim ke ruang tamu. “Hei
syaitan! Hang nak apa?!”
Ketukan kuat pada pintu hadapan
itu berhenti mengejut bila dijerkah Karim.
“Tahu pun takut dengan aku,” kata
Karim lalu tersenyum sinis bangga sendirian.
Serta merta juga bunyi cakaran
dan ketukan pada pintu belakang berhenti.
Karim berasa dirinya hebat.
“Taklah hebat mana…” ejeknya lalu tergelak sendirian.
“Dia dah nak masuk kak!!!” jerit
Habshah yang dapat didengar hingga ke ruang tamu.
Mereka semua terperanjat.
Termasuklah Karim. Belum sempat Karim melangkah ke bilik Raudhah untuk melihat
apa yang berlaku, tiba-tiba sahaja pintu hadapan rumah pusaka itu terkuak
keras. Angin yang entah dari mana terburu-buru masuk lalu melanggar dada Karim.
Karim terpelanting sehingga terduduk di atas lantai.
Kalsum bergegas keluar dari bilik
Raudhah selepas mendengar bunyi bising di luar. Terkejut bila mendapati Karim
terduduk di lantai sambil mengaduh. Dan di muka pintu hadapan rumah pusaka itu
pula berdiri perempuan muda yang memimpin budak lelaki yang menyerigai marah.
Dalam ketakutan kaki Kalsum melangkah juga untuk mendapatkan Karim.
“Abang tak apa-apa?” tanya
Kalsum.
“Dada aku ni sakit Sum. Bisa,”
jawab Karim sambil meramas-ramas dadanya.
“Kita berkumpul dalam bilik
Raudhah bang. Mari saya papah abang,” kata Kalsum lalu mengangkat Karim.
Mereka berdua beredar dari ruang
tamu itu. Kalsum sempat menoleh untuk melihat pintu hadapan. Perempuan muda dan
budak lelaki itu tersenyum melihatnya. Hilaian ketawa yang panjang dan
menyeramkan bergema di seluruh rumah pusaka itu. Kalsum menutup pintu yang
memisahkan di antara ruang tamu dan ruang tengah dan dapur itu. Ketika dia
hendak menyelak pintu itu, ketukan yang amat kuat telah menggegarkan pintu
tersebut. Mereka berdua terkejut.
Halimah keluar dari bilik Raudhah
untuk melihat apa yang berlaku. Meninggalkan sementara Habshah ditemani Bibik
Aminah dan lain-lain.
“Saya rasa benda tu dah masuk ke
ruang tamu,” kata Kalsum kepada Halimah.
“Cepat masuk ke dalam bilik.
Pintu takkan membantu. Tak dapat halang benda macam ni,” kata Halimah.
Kalsum pantas memimpin Karim ke
bilik Raudhah. Akhirnya kesemua mereka berjaya berkumpul di bilik Raudhah.
Karim yang duduk tersandar di dinding masih meraba-raba dadanya yang berasa
sangat berbisa. Bisa itu dapat dirasainya semakin merebak dan sekarang seperti
turun ke perut.
“Pang!”
Bunyi daun pintu ditolak kasar
dan menampar dinding kedengaran di luar.
Kalsum dan Bibik Aminah berpandangan sesama
sendiri. Zakiah dan Lutfi terus menangis. Raudhah memegang tangan Halimah. Halimah
melihat Habshah sepintas lalu. Habshah memejamkan matanya. Berasa letih untuk
menghadapi semua ini.
“Srtt…. Srtt….. Srtt…” Bunyi
cakaran terdengar dari arah bilik tidur Mazlan dan Halimah menuju ke bilik
tidur Raudhah.
“Hi… Hi… Hi…” Bunyi hilaian ketawa
juga terdengar menghampiri bilik Raudhah itu.
“Dia dah ada dalam rumah puan,”
kata Bibik Aminah kepada Halimah.
“Baca apa yang perlu. Hanya
kepada Allah kita meminta pertolongan,” balas Halimah.
Masing-masing membaca ayat-ayat
Al-Quran yang diingati pada waktu itu. Halimah paling lantang melantunkan Ayat
Kursi. Kedua lembaga itu hanya berlegar di luar bilik Raudhah. Belum sampai
menerpa masuk ke dalam bilik. Bunyi cakaran pada dinding dan hembusan angin
kedengaran berlanjutan.
“Tuk! Tuk! Tuk!”
Bunyi ketukan pada pintu bilik
tidur Raudhah itu memeranjatkan semua orang kecuali Habshah. Habshah kelihatan
seperti sedang tidur.
“Hi, hi, hi….” Hilaian ketawa
langsuir bergema.
Anak-anak Kalsum melompat memeluk
ibu dan bapa mereka. Raudhah menggenggam tangan Halimah dengan lebih erat.
Halimah tidak lepas membaca Ayat Kursi. Dia memohon kepada Allah SWT agar jin
yang mengacau mereka itu tidak mengapa-apakan mereka.
Bunyi cakaran dan hilaian ketawa
itu lenyap. Masing-masing berasa lega. Dari ruang tamu kedengaran orang memberi
salam. Hampir semuanya keluar dari bilik tidur itu. Kecuali Bibik Aminah dan
Karim.
“Siapa?” tanya Halimah dari balik
pintu yang memisahkan di antara ruang tengah dan ruang tamu itu.
“Abang,” jawab satu suara yang
mirip suara Mazlan.
“Betul ke Abang Mazlan?” tanya
Kalsum, was-was.
“Insyallah betul. Memang suara
Abang Mazlan,” jawab Halimah yang sudah pun memegang selak pintu untuk
membukanya.
“Kak yakin?” tanya Kalsum.
“Insyallah,” jawab Halimah lalu
membuka selak dan menguak pintu itu.
Berdiri di ruang tamu itu ialah
Mazlan, Azlan dan Salim.
Halimah dan Kalsum berasa amat
lega.
“Apa yang berlaku ni?” tanya
Mazlan. “Pintu depan dibiar ternganga. Pintu ni pulak berkunci rapat,”
sambungnya.
Halimah beritahu apa yang
berlaku.
“Kak, boleh saya tengok Abang
Karim?” tanya Salim sebaik Halimah habis menceritakan kejadian yang berlaku
sebelum mereka bertiga sampai di rumah itu.
“Dia di
dalam bilik, Salim. Ikut saya,” kata Halimah.
Mereka ke bilik Raudhah. Karim
masih meramas-ramas dadanya yang sakit. Salim melihat Habshah yang terbaring
tenang di atas katil itu sepintas lalu. Dia mengisyaratkan kepada Bibik Aminah yang
berada hampir dengan sisi katil supaya menjauhkan diri dari situ. Kemudian dia
memberikan perhatian kepada Karim.
“Bahagian mana yang sakit bang?”
tanya Salim.
Karim menekan-nekan dadanya. “Dada
ni rasa bisa sangat,” jawab Karim.
“Mari saya tengokkan. Insyallah,
mudah-mudahan tidak apa-apa,” kata Salim.
Karim mengangguk-angguk,
membenarkan dirinya diperiksa Salim.
Salim meletakkan tapak tangan
kanannya pada dada Karim. Dia membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Diikuti dengan Bismillah Lima sebanyak tujuh kali. Dengan izin Allah, bisa yang
menjalar pada dada dan perut Karim itu beransur hilang. Karim berasa amat lega.
“Lain kali berhati-hati ya bang,”
kata Salim sambil menepuk-nepuk bahu Karim.
Karim mengangguk-angguk.
Salim memberi perhatian kepada
Habshah pula.
“Kak ni yang sakit tu kan, Kak
Limah?” tanya Salim.
“Ya,” jawab Halimah.
“Dia pejam mata dari tadi?” tanya
Salim lagi.
“Masa benda tu kacau tadi, dia
menjerit-jerit kata benda tu nak masuk rumah. Tetapi tiba-tiba dia diam dan
terus tidur,” beritahu Halimah.
Salim berdiri di hujung katil.
Dia membaca surah Al- Fatihah. Belum pun ibu Al-Quran itu selesai dibaca, Habshah
yang seperti tidur tadi pantas mencelikkan mata. Kedua-dua biji matanya meliar
melihat sekeliling. Dadanya berombak-ombak deras. Kedua-dua belah tangannya
menggeletar dan kemudian terangkat ke udara. Tidak semena-mena badannya
terbidas tegak.
“Celaka engkau!” Habshah menjerit
memarahi Salim.
Salim tersenyum sahaja.
“Aku tak suka engkau!!! Puih!”
jerit Habshah lagi sambil meludah ke arah Salim.
Salim tidak berganjak. Air ludah
Habshah tidak sampai kena padanya. Hanya berceretek pada selimut yang menutupi
kaki Habshah itu. Dia masih membisu terhadap makian yang dihamburkan oleh
Habshah. Dadanya dipenuhi dengan zikir lailahaillallah. Zikir yang paling mulia
itu berdetak di dalam hatinya tanpa putus sejak tadi.
“Pergi dari sini!!! Ini antara
aku dan dia!!!” jerit Habshah lagi.
“Siapa engkau sebenarnya?” tanya Salim
dengan nada tenang.
“Engkau tak tahu aku siapa?”
tanya Habshah yang diikuti dengan hilaian ketawa yang panjang.
“Engkau langsuir?” tanya Salim
buat kali kedua. Nada suaranya kekal tenang tapi terkandung ketegasan yang
lebih kuat.
Habshah mengilai menyeramkan.
“Aku saka keturunan dia,” jawab Habshah yang sebenarnya sudah dirasuki oleh
langsuir, saka keturunannya.
“Mengapa engkau seksa dia
begini?” tanya Salim.
“Dia melanggar janji,” jawab
Habshah.
“Bukan dia yang berjanji,” kata Salim.
“Keturunannya yang berjanji,”
balas saka itu.
“Bukan salah dia. Dia tidak
pernah mahukan engkau,” kata Salim.
“Hah! Itu aku tak peduli! Dia mesti terima
balasan kerana melanggar janji!” balas Habshah.
“Siapa tuan engkau sekarang?”
tanya Salim.
“Dialah tuan aku sekarang,” jawab
Habshah.
“Siapa tuan engkau sekarang?”
tanya Salim lagi. Kali ini dengan nada suara
yang lebih tegas.
“Siapa lagi kalau bukan dia,” jawab Habshah.
“Jangan bohong. Jangan paksa aku
dera engkau supaya bercakap benar.” Salim memberi amaran.
“Ha, ha, ha. Dia memang tuan aku,
bodoh!” balas Habshah sambil menjelir-jelirkan lidahnya ke arah Salim.
Salim menghela nafas. “Jangan
paksa aku,” katanya.
Habshah membetulkan letak
duduknya. Dia bersila kemas di atas katil itu. Menggamit tangannya ke arah Salim
sambil bibirnya mengukir senyuman sinis. Dia mencabar Salim.
“Baiklah, jika itu yang engkau mahukan,” kata Salim.
“Bawakan saya sebaldi air kak,” pinta Salim kepada Halimah pula.
“Di sini ada rumpun buluh kuning
kan? Di belakang rumah, betul?” tanya Salim kepada Mazlan.
“Ya, ya, memang ada,” jawab
Mazlan.
“Ambilkan sebatang buluh kuning
untuk saya bang,” pinta Salim.
Halimah segera ke bilik air dan
kembali dengan sebaldi air. Salim sudah pun bersila di lantai beberapa langkah
dari hujung katil. Dia hampir bersandar pada dinding bilik di bahagian itu.
Halimah meletakkan sebaldi air di hadapan Salim seperti yang diarahkan. Tidak
lama kemudian Mazlan pula kembali dengan sebatang buluh kuning. Dia mengambilnya
di belakang rumah. Ada serumpun buluh kuning hidup di situ. Buluh kuning itu
diberikan kepada Salim.
Habshah menjuihkan mulutnya.
Begitu sinis.
“Bila saya sampai pada surah
yasin nanti, saya minta semua ikut baca enam ayat pertama Yasin tu bersama-sama
saya. Kita sama-sama berdoa dan berserah kepada Allah semoga dengan limpah
kurnia-NYA, DIA membantu kita menghadapi dugaan ini,” kata Salim.
Semua yang ada di situ
mengangguk.
Salim membaca basmallah. Lalu meneruskan
dengan membaca surah Al-Fatihah. Habis membaca Al-Fatihah, dia meniup air di
dalam baldi tersebut. Habshah yang pada mulanya mengajuk dan mengejek-ngejek
semakin lama semakin berubah fiilnya. Selepas Al-Fatihah, Salim terus
melantunkan ayat 255 surah Al-Baqarah pula. Usai membaca ayat itu dia meniupnya
pada air di dalam baldi. Habshah mula kelihatan gelisah. Matanya meliar-liar
seperti ketakutan. Salim membaca pula ayat 1 hingga 8 surah Al-Insyirah lalu
meniupnya pada air di dalam baldi selepas habis membacanya. Badan Habshah
terhempas ke katil. Dia meronta-ronta dan sesekali badannya melentik-lentik
kerana menahan kesakitan.
Salim mencelup air itu dan
merenjisnya ke badan Habshah.
“Sakit! Sakit! Sakit!!!” jerit
Habshah sebaik air jampi itu terkena pada badannya. Dia berasa pijar pada tengkuk.
Salim tidak mempedulikan keadaan
Habshah itu. Halimah cuba mendekati Habshah untuk menenangkannya tetapi
dilarang oleh Salim.
Badan Habshah semakin melentik,
terhempas dan meronta-ronta.
“Aku sakitlah bodoh!!!” jerit
Habshah.
Salim menggelengkan kepala.
“Wahai makhluk yang dilaknat Allah. Ternyata engkau seorang yang bongkak!”
Habshah menderam. Dia bangun lalu
merangkak sekeliling atas katil. Kemudian dia berhenti bila posisinya mengadap Salim.
Rambutnya yang panjang dan kusut masai terurai ke bawah menutupi hampir
keseluruhan mukanya. Tetapi dari celah-celah juntaian rambut itu ternampak juga
sepasang matanya yang melontarkan pandangan yang amat tajam kepada Salim. Dia
melihat sekeliling sepintas lalu. Kalsum menyembunyikan diri di belakang Bibik
Aminah. Sementara Zakiah dan Lutfi menyembunyikan muka masing-masing di balik
belakang Kalsum. Halimah dan Bibik Aminah saling berpegangan tangan sambil
mulut mereka berdua kumat kamit membaca ayat-ayat Al-Quran. Raudhah memeluk
Mazlan yang juga tidak lepas membaca ayat-ayat Al-Quran. Azlan dan Soraya pula
berdiri tegak menentang mata Habshah. Pandangan Habshah jatuh lama pada Azlan
sebelum tumpuannya beralih kepada Salim.
“Lepaskan aku!” bentak Habshah.
“Aku takkan lepaskan engkau
selagi engkau tidak menjawab beberapa pertanyaan aku. Dengan izin Allah, aku
sudah kunci jalan-jalan keluar engkau pada tubuh dia. Hah, beritahu aku siapa
tuan engkau yang sebenarnya sekarang?” kata Salim.
Habshah menderam kasar, panjang
dan lama. Enggan menjawab pertanyaan Salim itu.
“Beritahu aku sekarang!” tegas Salim.
Habshah terus menderam kasar,
panjang dan lama. Tetap berdegil.
“Baiklah, jika itu yang engkau
mahu,” balas Salim.
Salim membaca Basmallah sebelum
mencelupkan separuh buluh kuning ke dalam air di dalam baldi. Kemudian dia
terus melantunkan Al-Fatihah. Disusuli pula dengan 10 ayat surah Al-Baqarah
iaitu lima ayat, ayat 255, 256 dan 257 dan tiga ayat terakhir dari ayat 284,
285 dan 286. Kemudian dia membaca Ayat Kursi. Disusuli dengan membaca enam ayat
pertama surah Yasin yang diikuti oleh semua yang berada di dalam bilik itu.
Sepanjang pembacaan itu Salim memusingkan buluh kuning di dalam air di dalam
baldi itu mengikut arah lawan jam.
Habshah menjerit-jerit kesakitan.
“Aku gatal! Miang! Gatal!!!” jeritnya sambil menggaru-garu tubuhnya.
“Sekarang cakap siapa tuan engkau!”
tegas Salim.
Habshah bersila kejap. Mula menderam
lagi. Masih degil walaupun kesakitan.
Di Klang, Mak Siti mendapat
lintasan bayangan sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di rumah pusaka keturunan
Haji Zainul itu. Dia menunda sesi rawatan pada malam itu. Lalu meminta semua
pelanggannya beredar dari rumahnya dengan serta merta. Mak Siti segera masuk ke
dalam bilik khasnya. Lalu bersila kejap di hadapan meja pemujaan. Dia
memejamkan mata dan membaca mantera. Apa yang berlaku di rumah pusaka keturunan
Haji Zainul itu terpampang dalam pandangan batinnya. Dia nampak jelas
jalan-jalan keluar pada tubuh Habshah itu telah dikunci. Dia membuka
kunci-kunci itu dengan mantera-mantera. Kunci-kunci itu terbuka satu persatu.
Di Pulau Pinang, langsuir yang
degil mula lunak bila ditekan berkali-kali oleh Salim.
“Cepat cakap! Siapa tuan engkau
sekarang?” kata Salim.
Mulut Habshah ternganga-nganga
seolah-olah mahu mengucapkan sesuatu tetapi terencat kerana tidak semena-mena
badannya terhempas ke tilam. Habshah terlentang dengan tangan yang terdepa luas
di atas tilam itu. Sejurus kemudian terdengarlah hilaian ketawa yang
menggerunkan.
Salim terkejut menghadapi keadaan
itu. Dia segera memejamkan mata. Melihat apa yang berlaku dengan pandangan
batin. Tahulah dia bahawa kunci-kuncinya pada jalan-jalan keluar di tubuh badan
Habshah itu sudah dibuka oleh seseorang. Orang yang membuka kunci-kunci itu pula
bukan calang-calang orang. Dia tidak dapat melihat orang itu dengan jelas.
Imejnya kabur dalam pandangan batinnya.
Salim dan Mak Siti menilai
kekuatan dan kelemahan lawan masing-masing. Pertarungan batin di antara mereka
berdua pun berlangsung.
“Saka tu dah keluar. Kak, tolong
tengokkan Kak Habshah,” kata Salim kepada Halimah.
Halimah segera mendapatkan
Habshah. Air matanya gugur sebaik melihat adiknya yang terlentang dan
tercungap-cungap keletihan itu.
“Apa yang jadi kepada Sah, kak?”
tanya Habshah dengan suara yang lemah.
“Langsuir tu masuk dalam badan
hang, dik. Baru sahaja keluar. Syukur,” jawab Halimah.
Habshah memejamkan mata
perlahan-lahan. Dadanya berombak-ombak tanda dia masih bernyawa. Halimah
membiarkan sahaja Habshah kerana mengandaikan adiknya tentu sangat keletihan.
Salim mula kumat kamit membaca
surah Al-Fatihah dan meniupkannya ke empat penjuru rumah itu sebagai pagar
pelindung dari sihir. Selain dirinya dia juga perlu melindungi semua yang ada
di dalam rumah itu. Kemudian dia membaca ayat 84 surah An-Nisa’ dan ayat 64
surah Yusuf. Memasang badan untuk bersedia menghadapi ancaman Mak Siti.
Mak Siti tersenyum sinis. Dia
tahu pemuda di hadapannya itu berisi. Tetapi isinya tidak melebihi ilmu yang
dimilikinya. Dia sudah menilik sedalam-dalamnya. Dia malas hendak berdepan
dengan Salim. Dia lebih memusatkan perhatiannya kepada Habshah. Habshah mesti
dihapuskan. Dia tahu Habshah sudah mendapat alamat bahawa dia adalah dalang di
sebalik semua itu. Untuk itu dia mesti berundur dahulu. Biar Salim dan
lain-lain berasa menang. Tengah malam nanti akan dikerjakan ritual yang akan
menamatkan segalanya. Buat masa ini Habshah haruslah dibisukan dan dia perlu
mengelirukan Salim.
Mak Siti membayangkan Habshah di
dalam pandangan batinnya. Membaca mantera pukau dan meniupnya ke atas imej
Habshah itu. Habshah tertidur lena.
Mak Siti melihat dengan pandangan
batin penduduk-penduduk kampung berdekatan rumah pusaka keturunan Haji Zainul
itu. Dia mendapati ada seorang jiran Mazlan dan Halimah yang membela. Orang itu
adalah Kak Ani, isteri Abang Min. Kak Ani mewarisi hantu raya daripada ayahnya.
Sebab itulah mulutnya lancang ikut sedap hati tanpa menghiraukan perasaan
orang.
“Hai, anakku hantu raya kepunyaan
Mahani Binti Som. Sekarang ini aku tuan sementara engkau. Pergi kepada Halimah Binti Badariah. Kacau
keluarganya. Jika engkau tidak pergi, aku sumpah engkau. Engkau menderhaka
kepada Allah. Engkau menderhaka kepada Rasullullah. Engkau menderhaka kepada
aku!”
Kalimah penuh syirik itu
diucapkan oleh Mak Siti dengan sepenuh hati. Hantu raya belaan Kak Ani mengikut
perintahnya.
Muka Salim bergetar. Isyarat adanya hantu raya. Dia segera bangun, menguak
langsir, membuka tingkap dan melihat ke luar tingkap. Di bawah pokok stak itu
dilihatnya seorang perempuan.
“Siapa tu? Abang kenal?” tanya Salim
kepada Mazlan.
Karim dan Kalsum turut ke tingkap. Halimah, Bibik
Aminah, Raudhah dan Azlan kekal memerhati Habshah.
“Itu Kak Ani!” jerit Kalsum,
spontan.
“Siapa dia tu?” tanya Salim.
“Jiran hadapan rumah,” jawab
Kalsum.
Mazlan membisu.
“Dia bela hantu ke?” tanya Karim.
“Hantu dia ke yang kacau kita
sejak tadi?” tanya Kalsum pula.
Salim tidak menjawab soalan
daripada Karim dan Kalsum itu. Sebaliknya dia berkata, “Sihir ini banyak tipu
dayanya. Kita kena berhati-hati daripada menuduh orang.”
Hantu raya yang menyerupai Kak
Ani itu hilang secepat kilat. Beberapa saat kemudian terdengarlah bunyi
keriat-keriut alang rumah pusaka itu.
“Bawakan saya 40 tangkai cabai
kering, sedikit garam, sedikit arang, bekas kemenyan, pemetik api dan semangkuk
air,” pinta Salim.
Mazlan menyuruh Halimah ke dapur
untuk mengambil semua barang yang diminta oleh Salim. Nasib baik semua barang
itu ada. Halimah yang kembali semula ke bilik Raudhah menyerahkan kesemua
barang itu kepada Salim.
Salim membaca Al-Fatihah dan
kemudiannya mematahkan satu demi satu tangkai 40 cabai kering itu sehingga
menjadi tiga bahagian bagi setiap tangkai. Selepas beberapa lama, di hadapannya
kini ada 120 bahagian cabai kering daripada 40 tangkai cabai kering itu. Kini
dia beralih membaca ayat kursi sebanyak 33 kali yang ditiupkannya ke atas
semangkuk air itu. Air yang sudah dibacakan 33 kali ayat kursi itu lalu
direnjiskannya ke atas garam dan arang.
Bunyi berdentum dentam kedengaran
dari tingkat atas rumah berbaur dengan bunyi keriat-keriut alang rumah yang
semakin galak.
Salim membakar arang tadi di
dalam bekas kemenyan sehingga membara. Lalu cabai kering dan garam tadi dibakar
dengan bara arang itu. Sedikit demi sedikit sehingga habis. Ia mengambil masa
yang agak lama. Asap dan gas dari kedua-dua barang itu menerawang ke udara
lantas merebak ke seluruh ruang rumah. Terdengarlah bunyi deram hantu raya yang
kesakitan. Tidak lama kemudian bunyi dentum dentam dan keriat-keriut alang
rumah pun senyaplah.
“Alhamdulillah, benda tu sudah
lari. Esok kita tengok apa jadi pada tuannya,” kata Salim.
Selepas itu tiada lagi apa-apa
gangguan yang berlaku terhadap mereka. Salim memeriksa Habshah yang kelihatan
lena sejak tadi. Dia mengangguk-angguk.
“Semuanya baik ke Salim?” tanya
Halimah.
“Baik buat masa sekarang,” jawab Salim.
“Alhamdulillah, Allah lindungi dia buat masa sekarang.”
“Siapa punya kerja ni, Salim?”
tanya Kalsum tiba-tiba.
“Saya tak berani hendak kata,”
jawab Salim.
“Kak Ani?” tanya Kalsum. “Mungkin
benda yang kacau Habshah di Klang tu dah tak ikut sampai ke mari. Benda belaan
Kak Ani pula yang ambil kesempatan untuk makan si Habshah ni.”
“Wallahu a’lam. Tetapi dalam
permainan sihir ni, apa yang dinampak tak seperti yang dinampak,” jawab Salim.
“Maksud Salim?” tanya Mazlan.
“Maksudnya, bomoh yang tinggi
ilmunya mampu menyembunyikan diri di belakang orang lain. Orang lain yang dituduh. Dia terlepas begitu
sahaja,” jawab Salim.
“Begitu halnya dalam kejadian
tadi?” tanya Mazlan.
“Mengikut firasat saya
begitulah,” jawab Salim.
“Jadi siapa dalang yang sebenar?”
tanya Halimah.
“Saya nampak tak berapa jelas.
Kabur. Jadi tak berani hendak kata. Insyallah, kalau Allah izinkan, pasti
abang-abang dan kakak-kakak tahu juga nanti. Jika tidak, tak perlulah berburuk
sangka,” jelas Salim.
Melihat Habshah tidur tenang, Salim,
Mazlan, Karim, Kalsum, Halimah dan anak-anak kecil itu beredar dari bilik
Raudhah itu dan berkumpul di ruang tamu. Mereka berbual-bual di situ sambil
menjamah kopi O panas dan beberapa jenis biskut. Pembantu rumah menunggu
Habshah di dalam bilik Raudhah.
“Salim tidurlah di sini malam ni. Besok pagi
kita sama-sama ke kilang. Macam mana?” tanya Mazlan.
“Baiklah,” jawab Salim ringkas.
“Salim boleh tidur di bilik
Azlan. Azlan tidur dengan kami malam ni,” kata Mazlan.
“Di mana-mana pun tidak mengapa
bang. Usah susah-susah,” jawab Salim sambil memerhati sepintas lalu Azlan.
Azlan tersenyum padanya.
“Anak abang ini istimewa,” kata Salim
yang tiba-tiba menumpukan perbualan pada Azlan. “Dia boleh lihat makhluk halus
dengan izin Allah. Dia juga boleh berhubung atau bercakap dengan mereka.”
Mazlan dan Halimah berpandangan
sesama sendiri. “Memang dia boleh lihat benda-benda halus tu tetapi kami tak
tahu pula dia boleh bercakap dengan mereka.”
“Kami terkejut bila dia beritahu
yang Kak Ani tu ada bela hantu dulu. Satu hari masa kak pergi rumah Kak Ani,
dia terlepas cakap depan Kak Ani, bertanya kenapa dia nampak Kak Ani melintas
masuk bilik air sedangkan Kak Ani ada bersama kami di ruang tamu. Kak Ani
melenting marah. Lama juga dia tak bertegur sapa dengan kami walaupun kak minta
maaf dan beri alasan budak-budak mana tahu apa,” terang Halimah pula.
Salim mengangguk dan tersenyum.
“Jika dia mahu, dia juga boleh panggil mereka. Tetapi belum sampai masanya lagi
sebab dia masih kecil. Abang kena hantar dia belajar agama pada orang yang
betul. Takut nanti kelebihannya itu disalahgunakan.”
“Insyallah,” jawab Mazlan sambil
mengusap-usap ubun-ubun Azlan.
“Dari mana Salim belajar ilmu
begini?” tanya Karim, menyampuk perbualan itu tiba-tiba.
Salim mengalihkan pandangannya
pada Karim lalu tersenyum. “Dari kiyai saya di pesantren.”
“Pesantren mana?” tanya Karim
yang lebih teruja untuk tahu bagaimana anak muda di hadapannya itu boleh jadi
hebat dan sampai boleh melawan dan menghalau hantu.
“Di Indonesia. Lebih tepatnya di
Lombok,” jawab Salim.
“Hebat ke ilmu di sana?” tanya
Karim, matanya bersinar. Ingin tahunya menyala dengan lebih terang.
“Di sana ilmu putih pun kuat,
ilmu hitam pun boleh tahan. Tetapi yang haq sentiasa akan mengatasi yang batil.
Malangnya yang haq itu tak ramai yang kejar atau mahu. Tetapi yang batil itulah
yang ramai orang berlumba-lumba hendak dapatkan,” jawab Salim.
“Jika saya mahu dapatkan ilmu
macam Salim ini bagaimana?” tanya Karim, tersengih tetapi memaksudkan
kata-katanya itu.
“Abang pergi mengaji. Insyallah,
dengan keikhlasan hati, tuan guru abang kelak pasti akan turunkan ilmu rahsia
ini kepada abang,” jawab Salim.
“Kalau saya hendak mengaji dengan
guru Salim di pesantren di Lombok tu, boleh?” tanya Karim.
“Ya, ya, boleh saja. Tiada
salahnya,” jawab Salim. “Tetapi di Malaysia ini, di Tanah Melayu ini, ramai tok
guru yang hebat. Malah lebih hebat atau setara dengan tok-tok guru di kepulauan
Indonesia.”
“Kalau Salim bawa saya berjumpa dengan guru Salim,
mungkin lebih senang diterima,” kata Karim.
“Baiklah,” jawab Salim. “Jika
niatnya ada eloklah diteruskan.”