Pondok pesantren itu biasa
sahaja. Kalau boleh hendak dikatakan daif tidaklah terlalu daif. Kalau hendak
dikatakan moden tidaklah moden. Sederhana sahaja. Lengkap api, air, pondok asrama
dan sebagainya. Ia diasaskan oleh Tuan Guru Muhammmad Muhyidin atau lebih
dikenali dengan Tuan Guru Muhyidin. Tuan Guru Muhyidin adalah anak murid kepada
Tuan Guru Muhammad Zainuddin Abdul Madjid, ulamak terkemuka Pulau Lombok dan
antara yang dikenali di Nusantara.
“Assalammualaikum,” ucap Salim
dari bawah rumah.
“Waalaikummusalam. Masuklah
anakku Salim. Bawa masuk kawan engkau dari Malaysia itu sekali,” kata satu
suara dari dalam rumah. Ia adalah suara Tuan Guru Muhyidin.
“Mari kita masuk, bang. Tuan guru
ada di dalam rumah,” kata Salim.
“Eh, hang ada beritahu ke pada
tuan guru yang kita nak datang?” tanya Karim yang berasa pelik.
Salim menggeleng sambil
tersenyum. “Kita masuk dulu bang. Tuan guru mungkin memang menanti kita.”
Karim mengangguk lalu mengekori Salim.
Mereka menunduk untuk masuk ke dalam rumah suku sasak itu. Persis seperti masuk
ke dalam gua sebuah gunung. Tuan Guru Muhyidin menanti mereka di bale luar,
ruang menyambut tetamu dan tidur bagi bapak dan anak-anak lelaki keluarga suku
sasak.
“Jemput duduk encik,” ucap Tuan
Guru Muhyidin sebaik melihat kelibat Karim. Tuan Guru Muhyidin sedang duduk di
atas lantai. Di hadapannya sebuah kitab lama. Dia sedang menekuni kitab lama
itu.
Salim dan Karim duduk bersila
mengadap Tuan Guru Muhyidin. Karim memperkenalkan dirinya kepada Tuan Guru
Muhyidin. Menghulur salam dan disambut.
“Anakku Salim, tuangkan airnya.
Air kosong sahaja. Buat segarkan tekak,” kata Tuan Guru Muhyidin sambil menutup
kitab lama itu. Pada kulit kitab lama itu tertulis Miftahul Murid : Fi Ilmi
Tauhid.
Karim melihat pada kulit kitab
lama itu. Dia tahu membaca Al-Quran dan jawi. Tajuk kitab lama itu
diketahuinya. Tetapi dia diam sahaja. Tidak memberi sebarang reaksi sebaik
melihat kitab lama itu.
“Minum, minum,” pelawa Tuan Guru
Muhyidin.
Mereka bertiga sama-sama meneguk
air kosong. Tekak yang kering terasa begitu segar.
Selepas bertanya khabar tuan
gurunya dan menjawab beberapa pertanyaan tuan gurunya tentang pengalamannya di
Malaysia, Salim terus sahaja kepada tujuan sebenarnya dia menemui tuan gurunya
itu.
“Saya datang ke sini ada hajat
tuan guru,” kata Salim. “Kawan saya ni, Abang Karim ni, dia hendak belajar
agama daripada tuan guru.”
“Ya, ya. Pondok pesantren ini
memang terbuka untuk semua. Tidak memilih-milih. Tidak perlu kelayakan apa-apa.
Baik umur atau lulusan pendidikannya. Yang penting hati mesti betul-betul mahu
belajar dengan ikhlas,” jawab Tuan Guru Muhyidin.
“Jadi diterima, tok guru?” tanya
Karim, ghairah.
“Ya, ya. Encik boleh tinggal
dengan beberapa orang murid lain yang saya kira hampir sebaya dengan encik,”
jawab Tuan Guru Muhyidin.
“Tahniah, bang. Mudah-mudahan apa
yang dihajat abang akan tercapai dengan izin Allah,” kata Salim, tersenyum
gembira.
“Anakku Salim, pergi ke pondok
belakang. Cari murid bernama Abang Lan. Panggil dia ke mari,” arah Tuan Guru
Muhyidin.
Salim keluar rumah untuk mencari
Abang Lan. Meninggalkan Karim bersendirian dengan tuan gurunya.
“Encik tahu kitab ini?” tanya
Tuan Guru Muhyidin sambil menyerahkan kitab Miftahul Murid itu.
Karim mengambil kitab itu.
Membaca tajuk kitab itu. “Miftahul Murid,” katanya.
“Pernah tahu atau belajar kitab
ini?” tanya Tuan Guru Muhyidin.
Karim menggeleng. “Nipis,” Soal
nipis kitab itu yang menjadi perhatiannya.
Tuan Guru Muhyidin tersenyum.
“Ya, nipis. Tetapi ilmu di dalamnya luas. Cukup untuk dijadikan pegangan akidah
yang sahih. Tahu siapa pengarangnya?”
Karim menggeleng.
“Kitab ini karangan Sheikh Zainal
Abidin bin Muhamad al-Patani. Lebih dikenali sebagai Tuan Minal. Tahu? Kenal?”
kata Tuan Guru Muhyidin.
Karim menggeleng juga.
“Dia antara ulamak yang hebat di
nusantara ini. Kitab-kitabnya tersebar meluas. Saya tidak pernah jemu membaca
kitab-kitabnya. Makin didalami makin banyak yang perlu dipelajari. Setara
dengan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Patani, Sheikh Muhammad Arsyad bin
Abdullah al-Banjiri, Tok Kenali, Sheikh Daud Bin Abdullah al-Patani dan lain-lain,”
kata Tuan Guru Muhyidin lagi.
Karim mengangguk-angguk.
Tuan Guru Muhyidin hanya
tersenyum. Tahulah tuan guru itu bahawa Karim memang tidak pernah ambil peduli
tentang ilmu agama sebelum ini. Jika tidak dia mesti tahu siapa Tuan Minal.
“Boleh saya tanya sesuatu tuan
guru?” tanya Karim.
“Ya, silakan. Jika saya mampu
menjawabnya, saya jawab. Jika tidak, maafkan saya yang kurang pengetahuan ini,”
jawab Tuan Guru Muhyidin.
“Berapa lama masa yang saya akan
ambil untuk belajar di sini? Maksud saya sehingga saya betul-betul dapat
akidah, syariat dan tasauf itu,” tanya Karim.
“Terpulang. Ada yang cepat. Ada
yang lambat. Tetapi insyallah, jika ikhlas dan bersungguh-sungguh, bantuan Allah
pasti akan turun,” jawab Tuan Guru Muhyidin.
Mata Karim terkebil-kebil. Ah,
pasti lambat. Detiknya di dalam hati.
“Tidak apa lambat asalkan sampai.
Sampai itu yang penting. Tidak guna cepat jika tidak sampai,” kata Tuan Guru Muhyidin.
Karim merah mukanya. Termalu. Berasa
seperti Tuan Guru Muhyidin tahu apa yang terdetik di hatinya sebentar tadi.
Salim sampai bersama Abang Lan.
Mereka duduk mengapit Karim.
“Lan, mulai hari ini Karim duduk
dengan engkau. Engkau tunjukkan dia apa yang patut,” beritahu Tuan Guru
Muhyidin.
Abang Lan mengangguk. Bersalaman
dengan Karim. Kemudian mereka berdua terus ke pondok belakang. Salim tinggal
seketika dengan tuan gurunya. Berjanji akan berjumpa dengan Karim sebelum
berangkat pulang nanti.
“Saya sedikit khuatir, tuan
guru,” kata Salim tiba-tiba.
Tuan Guru Muhyidin tersenyum.
“Maksud anak, tentang tujuannya?”
Salim mengangguk. “Dia lebih
terpesona dengan ilmu batin daripada mahu belajar asas agama.”
“Itu janganlah dirisaukan. Manalah
tahu hatinya berubah nanti bila sudah dapat merasai kemanisan menuntut ilmu
agama. Berasa nikmatnya kenal Tuhan. Sehingga terlupa niatnya yang sebenar.
Kita tengok dulu perjalanannya,” jawab Tuan Guru Muhyidin
Salim mengangguk, bersetuju.