Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 5

Bab 5

Syarikat pelaburan Pak Lang itu sah lingkup. Bakar mundar mandir macam cacing kepanasan. Dia teringatkan semua kliennya yang menuntut semula wang pelaburan mereka. Pak Long Kerbau yang paling menyinga marah. Pak Long Kerbau memberi tempoh seminggu kepadanya untuk mengembalikan wang pelaburannya. Malah Pak Long Kerbau mengupah Jaiz, tukang pukul dan kuncu-kuncunya untuk mengawasinya siang malam sejak dua hari lepas. Mujurlah dia sempat menghantar isteri dan anak-anaknya ke rumah mertua di Kubang Semang pada hari tembelang skim pelaburan itu pecah.

Bakar sudah mengira wang pelaburan yang perlu dikembalikannya jika mahu bertanggungjawab. Jumlahnya ialah hampir dua juta ringgit. Di mana dia hendak cari duit sebanyak itu?

Bakar bangun dari sofa dan mengintai ke luar tingkap. Sebuah Proton Saga biru masih menunggu di simpang masuk rumahnya. Di dalamnya ada tiga orang lelaki berbadan kekar sedang berbual sambil menghisap rokok. Samseng-samseng itu terkenal dalam menyelesaikan kerja. Jarang sekadar memberi amaran.

Bakar tidak mahu mengalami nasib yang sama seperti Dahlan. Berita yang sampai ke telinganya menyatakan bahawa Dahlan sekarang terlantar di unit rawatan rapi Hospital Bukit Mertajam. Dahlan cuba melarikan diri semalam. Tetapi berjaya ditangkap oleh kuncu-kuncu Jaiz dan dikeronyok sehingga koma dan dibiarkan terlentang di sisi jalan berliku Bukit Lengkok. Kuncu-kuncu Jaiz itu kemudiannya menyerang rumah ibu bapa Dahlan. Berjaya memaksa bapa Dahlan yang berharta itu menyerahkan beberapa keping geran tanah. Jika Dahlan yang ibu bapanya ada tanah itu pun dikeronyok sampai koma apatah lagi dia yang sebatang kara dan tidak punya walau sekangkang kera tanah. Mereka diupah oleh salah seorang klien Dahlan.

Fikiran Bakar ligat bekerja mencari jalan untuk menyelesaikan perkara itu. Dia tahu dia perlu berjumpa dengan klien-kliennya bagi menerangkan situasi yang sebenar. Klien pertama yang perlu ditanganinya ialah Pak Long Kerbau. Dia selamat jika berjaya meyakinkan Pak Long Kerbau bahawa dirinya tidak bersalah.

Bakar mengambil kunci kereta di atas meja kopi. Keluar rumah dan memandu menghala ke rumah Pak Long Kerbau. Proton Saga biru mengekori Hondanya. Dia turun dari kereta selepas menenangkan diri dan terus memberi salam. Pintu depan itu dibuka. Pak Long Kerbau tercegat di hadapan pintu itu.

“Saya ni Pak Long,” kata Bakar. Sudah naik di anak tangga pertama beranda.

“Apa hang buat datang rumah aku malam-malam buta begini?” tanya Pak Long Kerbau.

“Saya nak bincang tentang pelaburan Pak Long tu,” jawab Bakar.

“Hang nak bayar balik malam ni ke?” tanya Pak Long Kerbau.

“Bukan. Saya tak ada duit…”

Pak Long Kerbau pantas memotong kata-kata Bakar, “Kalau bukan sebab nak bayar tak payahlah jumpa aku malam-malam buta begini!”

“Saya tak bersalah Pak Long,” rayu Bakar.

“Habis tu siapa yang bersalah? Hang ada sekali masa perbincangan hari tu kan? Komisennya pun hang dapat kan?” balas Pak Long Kerbau.

“Saya tak dapat pun komisen untuk pelaburan Pak Long tu. Gaji kami tak masuk pun bulan ni,” jawab Bakar.

“Tak dapat komisen konon! Hang beli kereta baru tu dengan duit mana? Hang buat kabinet dapur baru dengan duit mana? Bukan dengan duit aku tu?!” bentak Pak Long Kerbau.

“Saya guna duit simpanan. Sumpah saya tak pakai duit Pak Long tu,” jawab Bakar.

“Hang ingat aku akan percaya bulat-bulat?!” jerkah Pak Long Kerbau sambil menjegilkan matanya.

“Saya tak bersalah Pak Long,” rayu Bakar.

“Daripada hang buang masa dekat sini baik hang pi cari duit untuk bayar hutang aku tu. Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum tempoh seminggu,” kata Pak Long Kerbau dan segera menutup pintu rumah.

“Pak Long, Pak Long, saya tak ber…” Bakar berhenti berkata. Dia terpaku bila mendengar degar kasar pintu yang ditutup keras oleh Pak Long Kerbau.

Sudahnya Bakar melangkah longlai ke kereta. Diam lama di dalamnya dengan fikiran yang bersimpang siur. Dia mengeluh pendek dan kemudian menjerit memaki hamun Karim dan Pak Lang. Dia menghentak-hentakkan kepalanya ke stereng dan akhirnya menangis seperti anak kecil.

Bakar tahu dia tiada jalan lain selain lari dari situ. Dia memandu keretanya keluar dari halaman rumah Pak Long Kerbau. Proton Saga biru terus mengekorinya. Dia memandu dalam kelajuan biasa sambil menunggu masa yang sesuai untuk bertindak. Kini dia mengekori sahaja di belakang buntut sebuah treler panjang. Peluang itu sampai bila sebuah treler dilihat berada di lorong bertentangan. Bakar memotong treler di hadapan ketika treler di lorong bertentangan berjarak tiga buah treler untuk berselisih dengan treler di hadapan itu. Dia berjaya memotong treler itu dan terus memecut laju meninggalkan treler yang dipintasnya. Proton Saga biru yang mengekorinya sejak tadi tidak kelihatan lagi di dalam cermin pandang belakang.

Dia membelok masuk ke simpang Air Merah. Dia akan ke rumah sepupunya di Tasik. Isteri dan anak-anaknya ada di situ. Dia menyuruh adik iparnya menghantar ke situ tengah hari tadi kerana bimbang kuncu-kuncu Jaiz dan klien-kliennya tahu rumah mertuanya di Kubang Semang. Setahunya tiada siapa tahu rumah sepupunya di Tasik itu. Dari Tasik dia akan membawa keluarganya lari ke Taiping dan kemudian terus ke Johor Bahru. Adiknya tinggal di Johor Bahru. Dia akan memulakan kehidupan baru di sana.

Matanya mengesan dua buah kereta proton saga putih yang pakir di tepi jalan, tiga kilometer dari Balai Polis Tasik. Tiga orang lelaki berbadan kekar kelihatan sedang mengawasi kenderaan yang melalui jalan itu. Darah Bakar berderau. Dia menekan brek secara mengejut. Tayar berdecit dan terus menarik perhatian tiga orang lelaki berbadan kekar itu. Salah seorang daripada mereka menunjuk-nunjuk ke arah Bakar. Ketiga-tiganya segera menaiki kereta.

Bakar membuat pusingan U. Segera memecut kereta menghala ke simpang Air Merah semula. Matanya sentiasa memeriksa cermin pandang belakang. Apa yang ditakutinya benar-benar berlaku. Dua buah proton saga putih itu sedang mengejarnya. Kedua-duanya memasang lampu tinggi sehingga menyebabkan pandangannya bersilau setiap kali memandang belakang. Dia kecut perut. Dirinya gelabah. Hondanya baru melepasi MRSM PDRM Kulim dan tak lama kemudian melepasi pula Sekolah Teknik Kulim dan Kolej Mara Kulim. Akhirnya di depan sana muncul juga simpang ke Bukit Mertajam dan Kulim. Dia sempat memeriksa cermin pandang belakang. Imej dua buah kereta Proton Saga putih itu masih kelihatan. Pengejar-pengejar itu akan tahu ke mana pun dia membelok.

Di saat genting itu, dia mengambil keputusan untuk membelok ke kanan, ke arah Kulim. Kakinya automatik menekan brek sebaik memasuki simpang itu. Dua buah kereta Toyota SL dan Proton Saga sudah pun melintangi jalan tersebut. Beberapa orang lelaki bersenjatakan kayu berdiri di tengah-tengah jalan.

Bakar semakin gelabah. Dia masuk gear undur. Menekan pedal minyak sekuat-kuatnya. Tayar kereta berdecit menggesel keras permukaan jalan. Hondanya berpusing 180 darjah. Masuk gear satu dan kereta itu meluncur laju menghala ke Bukit Mertajam. Belum sempat dia melepasi simpang tiga itu, keretanya dilanggar oleh salah sebuah Proton Saga putih yang mengejarnya dari Tasik. Keretanya itu diseret hingga melanggar tebing. Kepala Bakar terhantuk pada cermin tingkap. Cermin itu diperciki darah yang tersembur deras dari pelipis kepalanya. Dia pening dan pandangannya kabur. Tidak lama kemudian dia dapat dengar seseorang membuka pintu dan menariknya keluar. Dia diheret ke atas tebing dan dibiarkan terlentang beberapa saat sebelum satu terajang hinggap di pipinya. Kepalanya berdengung dan darah tersembur keluar dari mulutnya. Satu terajang lagi hinggap di dadanya dan badannya terhenyak kasar ke tanah.

“Hang ingat hang boleh lari dari Jaiz ya. Ini Jaizlah. Orang aku ada di mana-mana. Hang tahu tak?!” Suara Jaiz kedengaran marah.

Bakar tahu suara itu suara Jaiz. Penglihatannya yang kabur tadi beransur-ansur jelas. “Ampunkan aku Jaiz. Aku tak bersalah…”

“Aku tak peduli hang bersalah ke tak. Aku dibayar untuk tuntut duit daripada hang,” balas Jaiz. Salah seorang kuncunya memberikan batang besi kepada Jaiz.

“Depa yang bersalah Jaiz. Aku tukang kutip saja…” rayu Bakar sambil cuba mengesot menjauhi Jaiz.

“Aku tak tahu itu. Kenapa lari kalau hang tak bersalah!” bentak Jaiz yang sudah menghayun-hayunkan batang besi. Desas-desis batang besi itu membelah angin kedengaran.

Bakar ketakutan. Cepat-cepat hendak bangun dan lari dari situ. Tetapi dia tidak mampu mengangkat badannya yang lemah itu. Belum sempat badannya mencecah tanah semula kedengaranlah desas batang besi dihayun. Batang besi itu hinggap di lututnya. Bunyi derak tempurung lutut pecah kedengaran. Dia meraung kesakitan dan seterusnya terjelepuk di atas tanah. Matanya berpinar tetapi telinganya dapat juga menangkap bunyi siren polis. Dia tidak sedarkan diri.

Bakar tersedar. Segera mendapati dirinya di dalam wad ortopedik Hospital Kulim. Isteri dan anak-anaknya gembira melihat dia sedar semula. Dia mendapat tahu Jaiz dan kuncu-kuncunya berjaya diberkas polis. Oleh kerana ketakutan ditangkap sama, Pak Long Kerbau datang berjumpa isteri dan mertuanya. Mereka menyelesaikan masalah itu secara baik. Ibu mertuanya terpaksa menjual tanah untuk membayar balik kerugian yang dialami oleh Pak Long Kerbau. Pak Long Kerbau bersetuju menerima 300 ribu ringgit sebagai ganti rugi berbanding 500 ribu ringgit. Ibu mertuanya juga telah membayar kerugian semua kliennya yang datang mencarinya sepanjang dia berada di dalam koma itu.

Bakar menangis mendengar penjelasan isterinya itu. Dia mengucapkan terima kasih kepada mertuanya itu. Jauh di sudut hatinya dia berasa amat malu.

Sementara di London, Karim bersenang lenang dengan keluarganya. Tidak peduli dengan nasib yang menimpa anak-anak buahnya itu. Dia berasa dirinya sudah selamat. Tetapi Allah Maha Adil dan Maha Perancang. Dia tidak sedar Allah merancang sesuatu yang akan menyebabkannya kembali ke Malaysia.

Habshah memasang telinganya betul-betul. Dia tidak pasti sama ada apa yang didengarnya tadi benar atau khayalan sahaja. Jam dinding menunjukkan sekarang tepat pukul dua belas tengah malam.

Habshah melihat ke katil sebelah. Bibik Aminah sedang tidur nyenyak. Dengkur perempuan tua itu kedengaran nipis. Dia terdengar lagi suara itu. Bertingkah di antara dengkur nipis pembantu rumahnya itu dengan bunyi detik jam.

Suara itu terus kedengaran nipis di telinga. Suara itu ialah suara seorang perempuan sedang ketawa. Dia tersentak lalu pantas melihat sekeliling. Bulu romanya meremang.

“Kih, kih, kih…”

Suara ketawa perempuan itu kedengaran semakin jelas. Mata Habshah melingas ke arah dari mana suara itu datang. Bibik Aminah masih tidur dengan nyenyaknya. Dan ketika dia menarik matanya daripada terus melihat turun naik perut Bibik Aminah itu, matanya terpandang kelibat sesuatu sedang berdiri di bahagian katil sebelah sana pembantu rumahnya itu. Pandangannya yang sekilas lalu itu tidak dapat mengesan dengan jelas apakah yang dilihatnya tadi.

Habshah menoleh semula ke arah katil Bibik Aminah. Melihat semula turun naik perut pembantu rumahnya itu. Lama dia begitu tetapi tiada apa-apa yang muncul.

“Kih, kih, kih…”

Suara ketawa seorang perempuan kedengaran semakin jelas. Kali ini dari sebelah kanan pula. Habshah menoleh pantas ke kanan. Matanya memeriksa semua benda yang berada di bahagian kanan katilnya itu. Kini matanya melekat pada almari baju kayu lama yang tersandar pada dinding. Almari baju kayu lama itu adalah almari baju yang diwarisi daripada arwah ibunya. Menurut arwah ibunya almari baju itu diwarisinya daripada arwah opahnya.

Almari baju itu bergegar. Kedua-dua daun pintu almari baju itu terbuka perlahan-lahan. Keriut engselnya bergema, menyeramkan. Kini pintu almari baju itu terkangkang. Pakaian-pakaian Bibik Aminah kelihatan tergantung kemas di dalam almari baju itu. Pakaian-pakaian itu terketar-ketar ditiup angin kipas.

Habshah ternampak sesuatu di antara celahan pakaian-pakaian itu. Dia memfokuskan pandangan ke kawasan tengah ruang dalam almari baju itu. Mulutnya terlopong bila mendapati apa yang dilihatnya itu adalah rambut yang panjang mengurai menutup kepala satu lembaga. Dia terkejut besar.

“Kih, kih, kih…”

Suara ketawa perempuan itu kedengaran lebih nyaring. Kali ini ia bergema di telinga kirinya. Habshah menoleh ke arah katil Bibik Aminah setelah lembaga di dalam almari itu hilang. Dilihatnya seorang perempuan berwajah jelita sedang tersenyum kepadanya dari bahagian katil sebelah sana. Perempuan itu ghaib sepantas kilat.

Habshah ketakutan. Dia cuba mengejutkan Bibik Aminah. Tetapi tidak berjaya. Suaranya tidak mampu melepasi kerongkong. Matanya masih melekat pada katil Bibik Aminah.

“Ambillah aku…”

Rayuan perempuan itu bergema di kedua-dua belah telinga Habshah.

Habshah semakin takut.

“Ambillah aku!”

Suara perempuan yang tadi merayu lembut kini bertukar keras dan kasar. Habshah terperanjat lagi. Dirinya menggeletar ketakutan. Dia meronta-ronta hendak meninggalkan katil. Mulutnya ternganga-nganga cuba memanggil Bibik Aminah. Namun dia tidak berdaya menegakkan diri dan bersuara. Seperti ada sesuatu yang sedang memegang kaki, pinggang, badan dan bahunya. Ada sesuatu juga yang menghalang suaranya keluar dari kerongkong.

Habshah terus meronta-ronta. Perempuan itu perlahan-lahan mendekatinya. Selepas beberapa ketika ia sudah berdiri di sisi kiri katil. Perempuan itu mendepakan tangannya, minta diambil dan dipeluki. Habshah menggelengkan kepala berkali-kali. Enggan memenuhi permintaan perempuan itu.

Perempuan itu tersenyum melihat gelengan Habshah. Ia tersengih sehingga menampakkan giginya yang rapat-rapat dan tajam. Kemudian dia terus memeluk Habshah dengan mukanya dibenamkan ke bahu kanan Habshah. Habshah dapat merasakan kedinginan tubuh perempuan itu. Dia yang tidak berdaya itu meronta-ronta untuk melepaskan diri dari pelukan perempuan itu. Tetapi usahanya gagal. Perempuan itu tetap melekap pada badannya.

Habshah terus meronta-ronta dengan lebih kuat sehingga menggegarkan katil. Kiut keras katil itu masih tidak dapat mengejutkan Bibik Aminah dari tidur. Habshah mulai berasa sakit pada bahu kanan. Sesuatu yang tajam sedang menusuk masuk ke dalam daging bahu kanannya itu. Dia mula berasa lemah. Tidak mampu lagi meronta-ronta. Berasa amat mengantuk. Matanya tertutup perlahan-lahan. Tetapi telinganya masih jelas mendengar suara perempuan itu ketawa, memanggilnya dan merengek bertali arus.

Mata Habshah terpejam rapat.

Bibik Aminah terbidas bangun. Terjaga mengejut dari tidur. Bulu romanya merinding. Matanya terus mencari Habshah. Dia ternampak kelibat seorang perempuan muda menjauhi katil Habshah mengarah ke tingkap dan menghilang. Dia pantas beristighfar dan terus mendapatkan Habshah.

“Puan, puan,” panggil Bibik Aminah sambil menepuk-nepuk bahu kiri Habshah. Habshah tidak memberi reaksi. Matanya terus pejam. “Puan, puan,” panggil pembantu rumah itu lagi. Habshah tetap tidak memberi sebarang reaksi. Pembantu rumah itu meletakkan jari telunjuknya pada hidung Habshah. Segera bersyukur kepada Allah SWT kerana Habshah masih bernafas. Dia segera pula memeriksa nadi pada pergelangan tangan Habshah. Bersyukur lagi kerana nadi Habshah masih berdenyut.

“Puan, puan,” panggil Bibik Aminah. Kali ini dia menepuk-nepuk bahu kiri Habshah dengan lebih kuat. Habshah belum memberi reaksi. Pembantu rumah itu merasa leher Habshah. Ada bahagian yang panas dan ada bahagian yang dingin. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena pada Habshah. Segera membaca ayat kursi dan ditiup pada Habshah. Kemudian cuba mengejutkan Habshah beberapa kali lagi. Badan Habshah bergerak sedikit tetapi sekejap sahaja. Matanya masih terkatup rapat.

Beberapa saat selepas itu hidung pembantu rumah itu menangkap bau busuk dan hanyir. Bau itu meloyakannya. Bulu romanya semakin merinding. Dia segera menekan suis lampu bilik. Bilik itu terang berderang. Ketika itulah dia melihat ada darah bercampur nanah mengalir keluar dari bahu kanan Habshah.

Bibik Aminah terkejut besar. Bergegas ke tingkat atas untuk memanggil Johan. Mereka berdua bergegas kembali ke bilik di tingkat bawah itu. Habshah tetap baring kaku. Darah dan nanah terus mengalir keluar dari bahu kanannya itu. Bau darah nanah itu semakin lama semakin busuk dan hanyir. Johan terperanjat melihat keadaan tersebut. Terburu-buru menggoyang badan Habshah untuk mengejutkan isterinya itu.

Tetapi Habshah masih tidak jaga.

Bibik Aminah membaca ayat kursi dan meniupkannya ke arah Habshah sekali lagi. “Cuba encik kejutkan puan sekali lagi,” kata pembantu rumah itu sesudah meniup ayat kursi pada Habshah.

Johan menggoncang badan Habshah sekali lagi. Dengan izin Allah SWT, Habshah mula memberi reaksi.

“Kak Limah, tolong Sah kak. Kak Limah, tolong Sah kak…” kata Habshah yang masih terpejam matanya itu.

Selepas itu Habshah diam kaku semula untuk beberapa ketika sebelum kelopak matanya bergerak-gerak perlahan dan kemudian pantas. Kepalanya pula terketar-ketar dan badannya terenjat-renjat sebelum diam kaku semula.

“Sayang…” panggil Johan.

Habshah membuka matanya serta merta. Johan terundur beberapa langkah ke belakang. Pembantu rumah itu terlopong.

Mata Habshah kekuningan dan meliar disertai dengus nafas yang menyeramkan. Pandangan dan pernafasannya itu berlainan sekali dengan pandangan dan pernafasan orang biasa.

Johan segera menghubungi emak tirinya. Mak Siti yang dibawa oleh Rais sampai ke rumah itu setengah jam kemudian. Mak Siti membaca mantera sambil memegang ibu jari Habshah. Habshah pulih seperti sedia kala. Darah nanah pada bahu kanannya berhenti mengalir. Dia tertidur semula sejurus pulih.

Mak Siti ke dapur mencari Bibik Aminah. Sementara Johan dan Rais ke ruang tamu.

“Tak boleh dibiarkan ni bang,” kata Rais kepada Johan, abang kandungnya itu.

“Abang pun rasa begitu,” balas Johan.

“Apa kata emak?” tanya Rais.

“Mak belum kata apa-apa lagi,” jawab Johan.

“Rasanya elok abang dan kakak tinggal di rumah emak. Bolehlah emak tengok dan halau apa yang patut kalau ia datang menganggu lagi,” cadang Rais.

Johan mengangguk setuju. Tetapi keberatan hendak menyusahkan Mak Siti. Lagi pula dia takut hendak menyuarakan hasratnya itu. Mak Siti bomoh terkenal. Rumahnya penuh dengan pesakit saban malam.

Di dapur, Mak Siti mendekati Bibik Aminah yang sedang membuat air. Pembantu rumah itu terkejut bila mendapati Mak Siti sudah berdiri di sebelahnya. Dia benar-benar tidak sedar kehadiran Mak Siti. Mak Siti tersenyum melihat reaksi pembantu rumah itu.

“Mak Siti, terkejut saya,” kata Bibik Aminah.

“Sudah siap air untuk budak-budak tu?” tanya Mak Siti.

Pembantu rumah itu mengangguk sambil meletakkan seteko kopi O panas dan sepinggan biskut ke dalam dulang.

“Pandai jugak engkau ya,” kata Mak Siti tiba-tiba.

Bibik Aminah terkejut mendengar kata-kata Mak Siti itu. Dia faham maksud Mak Siti tetapi dia berpura-pura tidak mengerti.

“Kopi O ni biasa-biasa sahaja, Mak Siti. Puan Habshah yang ajar saya bagaimana membancuhnya,” jawab Bibik Aminah.

Mak Siti tersenyum lalu menepuk bahu Bibik Aminah. “Jangan pandai-pandai berani…” kata Mak Siti lalu menghilang ke ruang tamu.

Bibik Aminah segera merasa sakit pada bahu yang ditepuk oleh Mak Siti itu. Dia mengangkat juga dulang untuk dibawa ke ruang tamu. Tangannya terketar-ketar kerana tiba-tiba tidak berapa berdaya menampung berat dulang itu. Dia berasa tangannya sangat lemah dan ada bisa yang sedang menjalar ke seluruh tangan kiri itu.

“Bawa Sah ke rumah mak. Biar mak yang jaga dia. Kalau di sini akan semakin teruk jadinya,” kata Mak Siti sebaik sampai di ruang tamu.

Johan dan Rais berpandangan.

“Mak macam tahu sahaja apa yang kami bualkan,” kata Rais.

Mak Siti tersenyum. “Bawa pagi nanti juga. Tidak boleh tangguh.”

Johan mengiakan.

Bibik Aminah sampai ke ruang tamu. Tangannya yang terketar-ketar semasa meletakkan dulang di atas meja disedari oleh Johan.

“Kenapa bibik?” tanya Johan.

“Gak apa-apa,” jawab Bibik Aminah.

Bibik Aminah berlalu dari situ dan sempat menjeling khuatir ke arah Mak Siti. Mak Siti yang tahu dirinya dipandang curi oleh pembantu rumah itu senyum sengaja.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin