Bab
8
Sudah seminggu Karim dan keluarganya
kembali ke Malaysia. Mereka sampai di rumah pusaka keluarga Kalsum pada tengah
malam. Menyelinap masuk ke dalam rumah tanpa diketahui oleh orang kampung. Mereka
sekeluarga mendiami seluruh tingkat atas rumah pusaka itu. Manakala keluarga abangnya mendiami seluruh tingkat bawah rumah pusaka itu. Tingkat
bawah dan atas rumah pusaka itu mempunyai ruang tamu, ruang makan, dapur dan
bilik air sendiri.
Cerita Karim dan keluarganya yang
kini tinggal di rumah pusaka keturunan Haji Zainul itu tersebar di seluruh
kampung. Yang membawa cerita tidak lain tidak bukan ialah Kak Ani, jiran yang
rumahnya berada di seberang jalan. Kebetulan pagi itu dia ternampak kelibat
Kalsum. Dia bergegas ke rumah pusaka itu untuk memastikan apa yang dilihatnya
itu benar. Selepas salamnya dijawab, dia terus masuk ke dalam ruang tamu di
tingkat bawah. Apa yang dilihatnya benar bila mendapati Kalsum sedang berbual
dengan Halimah di ruang tamu itu.
Melalui perbualannya dengan
Kalsum tahulah Kak Ani tentang beberapa perkara. Pertama, Karim ditipu oleh
kawan lamanya sehingga menyebabkan keluarga itu terpaksa pulang ke Malaysia.
Kedua, Karim sebenarnya tidak bersalah di dalam skim cepat kaya itu. Dia hanya
jadi tukang kutip wang pelaburan yang diserahkan kepada orang atasan setiap
hari. Ketiga, Kalsum dan anak-anaknya akan tinggal di situ untuk beberapa
ketika. Keempat, Karim tiada di situ dan sekarang bekerja di Kuala Lumpur.
Pada pagi itu juga Kak Ani
membawa mulut tentang empat perkara itu di Kedai Runcit Kudin ketika membeli
ikan dan sayur untuk dibuat lauk pada hari itu. Lama kelamaan cerita tentang
keluarga Kalsum yang sudah tinggal di rumah pusaka itu pun tersebarlah.
Sebenarnya cerita itu hanya hangat sebentar sahaja. Ini kerana tiada penduduk
kampung itu yang terkena tipu skim pelaburan Pak Lang itu. Walaupun begitu,
perkara keempat yang dikhabarkan oleh Kak Ani terus menjadi tanda tanya beberapa
orang penduduk kampung termasuklah Abang Min, suami kepada Kak Ani.
“Betul ke Karim tiada di rumah
pusaka tu?” tanya Budin.
“Aku dengar begitulah. Tapi ada
orang ternampak kelibat dia dalam rumah tu,” jawab Manan.
“Betul ke, Abang Min?” tanya
Budin sebaik melihat Abang Min mendekati meja yang diduduki mereka berdua.
“Apa yang betul?” tanya Abang Min
yang baru sampai di kedai kopi yang terletak di pangkal jalan masuk ke kampung
itu. Kedai Kopi Mail itu amat terkenal. Penuh sesak saban pagi. Ia dikunjungi
bukan sahaja oleh penduduk kampung itu tetapi juga penduduk-penduduk sekitar
Kulim dan Bukit Mertajam.
“Betul ke Karim tak ada di rumah
pusaka tu?” tanya Budin.
“Tapi ada orang nampak kelibat
dia dalam rumah tu,” tekan Manan.
Abang Min tidak terus menjawab. Memesan kopi O panas dan nasi lemak terlebih
dahulu. Kemudian barulah dia mengeluh lalu menjawab, “Aku sendiri pun nampak
kelibat dia.”
“Betullah ni?” tanya Manan,
teruja.
“Kak Ani sudah tanya Kalsum. Tapi
dia nafikan,” jawab Abang Min. Kopi O panas dan nasi lemaknya sampai di
hadapannya. Dia mencicip kopi O panas itu dahulu sebelum menyambung kata, “Tapi
aku yakin dia memang ada di dalam rumah tu. Dia takut orang cari dia. Hangpa
bukan tak tahu kes skim pelaburan Pak Lang tu. Kalau orang yang dia aniaya tu
tahu dia ada di sini, mampuslah dia…”
“Betul jugak kata Abang Min.
Abang tak tanya Mazlan?” kata Manan. Kata-katanya lebih terarah kepada Budin.
“Aku tak sempat nak tanya dia.
Payah nak jumpa dia sekarang. Selalu sahaja ke Klang. Hari ni pun dia ke Klang.
Dia balik sekejap sahaja tadi untuk ambik anak-anaknya,” jawab Abang Min.
“Betul ke dia ada di sini,
abang?” Seorang lelaki yang duduk di meja sebelah bertanya dengan tiba-tiba.
Dia memasang telinga sejak tadi. Matanya pada Abang Min.
“Apa?” tanya Abang Min yang
sedikit terkejut bila ditanya oleh lelaki itu.
“Betul ke Karim sudah balik dan
ada di sini?” tanya lelaki itu.
“Hang siapa?” tanya Abang Min
lalu mencicip kopi O panas.
“Saya Bakar. Saya bekerja bawah
dia dulu. Saya dah lama cari dia. Saya ingat dia masih di London. Bila dia
balik?” jawab Bakar.
“Dia tipu hang juga ke?” tanya Abang
Min.
“Tak adalah. Saya nak jumpa dia
sahaja. Kami kawan rapat dulu,” jawab Bakar.
“Aku tak tahu dia ada ke tak di
sini. Aku nampak kelibat dia saja. Tidak nampak betul-betul batang tubuh dia,”
jawab Abang Min.
“Kak Kalsum?” tanya Bakar.
“Ha, dia memang ada di sini. Dia
dengan anak-anak dia,” jawab Abang Min.
“Mana rumah depa tu, bang?” tanya
Karim.
“Ikut jalan kampung ni,” sampuk
Manan, “Rumah pertama sebelah kanan itulah rumahnya.”
“Terima kasih,” jawab Bakar. Dia
segera bangun, bersalam dengan Abang Min, Manan dan Budin, membayar harga
makanannya, berjalan tempang ke motosikalnya dan berlalu pergi dari situ.
Bakar memecut laju motosikalnya.
Dia mahu segera ke rumah Dahlan. Dalam perjalanan ke sana dia terkenangkan
peristiwa-peristiwa penting yang berlaku kepada mereka berdua yang ditinggalkan
terkapai-kapai oleh Karim menghadapi semua klien. Paling segar di ingatannya
ialah tindakan Pak Long Kerbau menghantar Jaiz dan kuncu-kuncunya untuk
memukulnya. Terngiang segar di telinganya bunyi desas batang besi yang dihayun
Jaiz. Yang diikuti pula oleh bunyi derak tempurung lututnya yang pecah akibat
hentakan batang besi itu. Akibatnya dia menjadi tempang seumur hidup.
Terpampang jelas juga di fikirannya bagaimana geran tanah ibu mertuanya
bertukar milik dan wang sebanyak 300 ribu ringgit bertukar tangan. Mengenangkan
semua itu hatinya pedih, kecewa dan marah.
Bakar sampai di rumah Dahlan.
Dahlan sedang mencuci kereta.
“Ha, Bakar lama tak jumpa hang.
Hang apa khabar?” tanya Dahlan sebaik melihat Bakar memberhentikan motosikal di
hadapan rumahnya.
“Aku macam ni lah…” jawab Bakar,
menghulurkan salam bila Dahlan menghampirinya.
Dahlan menyambut salam Bakar.
“Ada apa hal?” tanyanya kemudian.
“Ada hal penting,” jawab Bakar.
“Apa?” tanya Dahlan.
“Aku dengar Karim dah balik,”
jawab Bakar.
Dahlan terkejut bukan kepalang.
“Betul ke Bakar?”
“Aku dengar dari orang kampung bini
dia. Aku sarapan di Kedai Kopi Mail tadi. Terdengar orang-orang kampung bercerita,”
jelas Bakar.
Dahlan bergegas masuk ke dalam
rumah. Meninggalkan Dahlan menunggu di luar rumah. Kemudian dia kembali ke luar
rumah. Kali ini lengkap berseluar panjang dan berkemeja.
“Kita cari dia! Hang tunggu apa
lagi?! Ikut aku! Motosikal tu hang letak dalam pagar,” kata Dahlan.
Bakar bergegas turun motosikal
dan kemudian meletakkan motosikal di tempat yang disuruh oleh Dahlan. Selepas
itu dia masuk ke dalam kereta. Dahlan segera menekan pedal minyak. Memecut laju
keretanya ke kampung keluarga Kalsum. Mereka sampai di rumah pusaka keturunan
Haji Zainul tidak sampai setengah jam kemudian.
Kalsum terkejut dengan kemunculan
Dahlan dan Bakar. Dia sedang menyidai pakaian ketika Zakiah, anak sulungnya
memberitahu ada orang datang.
“Abang Karim ada kak?” Dahlan
terus bertanya. Dia memang sudah lama hendak bersemuka dengan Karim. Dia koma, harta
keluarganya terjual dan diperli oleh adik beradiknya gara-gara Karim. Pendek
kata Karimlah yang membuatkan hidupnya tidak seperti dulu sekarang.
Kalsum diam sahaja. Ketiga-tiga
anaknya yang bermain di halaman rumah berhenti bermain. Lutfi, anak keduanya
mendekati dan memegang baju kelawarnya.
“Saya tanya kakak ni!” jerkah
Dahlan. “Abang Karim ada ke?!”
“Dia… dia tak ada di sini,” jawab
Kalsum, terketar-ketar.
“Kak jangan tipu!” jerkah Dahlan
lagi. Dia menyinsing lengan kemeja. Bersedia melanggar Kalsum untuk masuk ke
dalam rumah.
“Memang dia tiada di sini. Dia
kerja di Kuala Lumpur sekarang. Hal dulu tu bukan salah dia. Dia pengurus
cawangan sebelah sini sahaja. Orang atas yang tipu hangpa,” kata Kalsum.
“Tak bersalah kak kata?!” Kali
ini Bakar pula yang naik minyak. “Dia ambik juga pelaburan klien saya walau pun
dia tahu syarikat tu sudah gulung tikar. Bukan sikit kak. 500 ribu! Kak tengok
kaki saya ni! Sampai tempang dikerjakan samseng! Mana dia kak?!”
“Kak dah cakap dia tiada di
sini,” jawab Kalsum.
“Dia ada di dalam rumah kan?!”
tanya Dahlan, marahnya mula mendaki puncak.
“Dia tiada di sini,” kata Kalsum.
Di seberang jalan, Kak Ani dan Abang Min keluar rumah bila
mendengar bunyi bising. Pasangan suami isteri itu bergegas mendapatkan Kalsum. Abang
Min terkejut bila mendapati salah seorang lelaki itu adalah lelaki yang
bertanya kepadanya di kedai kopi tadi tentang benar ke tidak Karim dan
keluarganya ada di sini.
“Kenapa kecoh-kecoh ni?” tanya
Kak Ani.
“Kami datang ni nak cari Karim
keparat tu!” jawab Dahlan.
“Dia betul tiada di sini. Berapa
kali kak nak cakap,” kata Kalsum yang air matanya mula mengalir ke pipi.
Kesemua anaknya sudah berkumpul di sekelilingnya. Zakiah dan Lutfi sudah
menangis. Soraya melihat tajam Dahlan dan Bakar.
“Tapi ada orang nampak dia di
dalam rumah ni,” kata Bakar lalu melihat Abang Min.
Abang Min menjegilkan mata
memberi isyarat agar Bakar tidak mendedahkan namanya.
“Siapa yang kata?” tanya Kalsum.
“Argh! Tak kisahlah kami dapat
tahu dari mana! Sekarang ni panggil dia keluar! Kami nak jumpa dengan dia! Kami
masuk cari sendiri nanti baru kak tahu langit tinggi rendah!” tempik Dahlan.
Marahnya sudah berada di puncak. Kakinya sudah ringan hendak melanggar Kalsum.
“Hoi Karim! Keluarlah! Kami tahu hang ada di
dalam!” jerit Bakar berkali-kali.
Orang kampung sedikit demi sedikit
berkumpul di halaman rumah pusaka itu untuk mengetahui apa yang berlaku. Semakin
lama bilangan mereka semakin ramai. Mereka berbisik sesama sendiri.
Dahlan dan Bakar sudah hilang
sabar. Mereka melanggar Kalsum yang cuba mengepung. Kalsum terjelepuk ke tanah.
Tetapi sebelum sampai ke pintu, mereka berdua ditahan oleh Ustaz Yahya. Dia dari
bandar dan dalam perjalanan pulang ke rumah. Dia menjenguk apa yang berlaku di
balik kerumunan orang. Bila melihat kekalutan sebentar tadi dia terus melangkah
ke hadapan untuk menghalang Dahlan dan Bakar dari memasuki rumah pusaka itu.
Dahlan dan Bakar berhenti melangkah. Ustaz Yahya memperkenalkan dirinya.
“Cukuplah encik. Tak elok buat
begini. Ini bukan cara yang betul,” nasihat Ustaz Yahya.
Dahlan dan Bakar berhenti
melangkah. Amarah mereka menyejuk bila melihat muka Ustaz Yahya.
“Tidak baik masuk ke dalam rumah
tanpa kebenaran tuannya,” nasihat Ustaz Yahya lagi. “Kita bersangka baiklah.
Mungkin benar apa yang dikatakan Kalsum bahawa suaminya tiada di sini. Saya pun
tidak pernah nampak kelibat Karim sejak Kalsum pulang ke sini.”
Kata-kata Ustaz Yahya, imam
masjid kampung itu, meredakan terus kemarahan Dahlan dan Bakar.
Dahlan dan Bakar berpandangan
sesama sendiri. Mereka berdua melihat sekeliling. Baru tersedar ramainya khayalak yang melihat perbuatan
mereka itu. Kini mereka berasa malu pula.
“Baiklah. Kami berdua turut
nasihat ustaz,” kata Bakar.
“Suruh dia jumpa kami kak sebelum
kami jumpa dia,” kata Dahlan pula.
Bakar dan Dahlan beredar dari
situ. Penduduk kampung juga bersurai beransur-ansur setelah diarah oleh Ustaz
Yahya.
Di tingkat atas rumah, dari celah
tingkap, Karim memerhati seluruh kejadian itu. Badannya bermandikan peluh. Dia
berasa lega kerana Bakar dan Dahlan beredar dari situ. Beberapa detik kemudian
dia menyumpah seranah mereka berdua kerana telah memalukan dirinya dan
keluarganya.