Resah mengerumus malam ini.
Bulan penuh sayu. Cengkerik berlagu pilu. Seisi rumah dilatari udam penuh duka.
Abang sedang duduk di sisi ibu. Yasin baru usai dibacakan. Putik-putik haruman
kesturi tiba-tiba menujah hidung. Lalu imej-imej silam pun mengembang jelas di
dalam kanta berkristal.
Ibu
melunaskan janjinya. Kita sangka ibu lupa tetapi sebenarnya tidak. Semua
keperluan sekolah sudah dibeli oleh ibu siang tadi. Segalanya serba baru.
Bermula dari baju hingga ke kasut sekolah. Dan dari pensil ke buku tulis. Wang
ibu melayang beratus ringgit. Malam itu kita sibuk mencuba baju sekolah baru.
Kemudian leka menyusun alat-alat tulis baru di dalam bekas pensil baru. Bekas
pensil kita bertingkat dan besar. Paling canggih dan mahal. Kita yang
memilihnya dan ibu menyetujui saja. Abang lihat adik begitu gembira, kita
gembira. Ibu yang melihat gelagat kita tersenyum puas.
Seminggu
lagi. Abang di tahun keenam dan adik pula kali pertama menjejak kaki ke
sekolah. Namun buku-buku teks sudah mula diguna oleh kita. Ibu jadi guru mula.
Bilik tidur kita jadi kelas awal. Di situlah kita mula mengenal huruf dan angka
dulu. Saksi bila kita dapat membaca, menulis dan mengira. Pada usia enam tahun,
3M yang asas itu sebati sudah dengan kita. Ibu guru yang garang dalam
penyayang. Jika silap, tapak tangan tetap merah dimamah rotan. Tetapi hati ibu
kerap juga tersentuh. Terutama bila kita bengap pada sesetengah pelajaran. Air
mata ibu mudah gugur. Kelas hari itu akan terhenti. Tetapi ibu tidak pernah
putus asa dan merungut. Menyumpah jauh sekali. Ibu faham bahawa setiap kata
yang keluar dari mulutnya untuk anaknya adalah doa. Esok, kelas bersambung
semula. Ibu benar-benar mahu menyiapsiagakan kita sebelum sesi persekolahan
bermula. Ibu mahu kita berada di hadapan berbanding budak-budak lain.
Hari
bermakna buat kita pun tiba. Ibu mengejutkan kita dari lena. Kita bangun,
kemudian mandi, lalu memakai baju sekolah baru. Tidak sabar hendak memperagakan
baju sekolah baru itu di depan rakan-rakan. Bagi kita awal sekolah hebat bila
segalanya baru. Dan ibu tahu itu.
Ibu
menghantar kita ke sekolah dengan kereta. Di dalam perjalanan ibu memberi
pesanan. Khusus untuk adik : Ramai kawan. Cikgu baik. Usah takut. Khusus buat
kita : Hormati guru. Belajar rajin-rajin. Tetapi bila sampai waktu, adik
menangis juga. Terpaksalah ibu menunggu adik hingga waktu terakhir.
Kita
pulang. Mandi, makan tengahari, bersolat Zohor dan kemudian berehat sebentar
sebelum ke sekolah agama pada jam dua petang. Di sekolah agama, ibu terpaksa
juga menemani adik hingga waktu terhujung. Adik takut hendak berenggang dengan
ibu pada hari pertama dan lima hari selepasnya itu. Jam lima, ibu mengajar kita
mengaji Quran dan Muqaddam di rumah. Selepas rehal dilipat dan disimpan di atas
almari, kita pun dibenar oleh ibu untuk bermain di halaman rumah.
Selepas
bersolat Maghrib, kita berlumba menyiapkan kerja sekolah. Seterusnya
mengulangkaji pelajaran sebelum menonton telivisyen. Ibu tak pernah menyekat
kita menonton rancangan kegemaran kita. Bersolat Isyak bila masuk waktu. Dan
penghujung malam bagi kita pada jam sepuluh setengah dengan diiringi dodoian ibu.
Nasyid-nasyid dari kumpulan Al-Suraya menjadi pilihan ibu. Bilik kita mula
sunyi bila jam sebelas malam. Sebenarnya
ibu tidak pernah tidur awal sebelum kita walaupun sekali. Bila subuh esok
menjelma, ibu bangun dulu untuk mengejutkan kita seperti selalu.
Kita
tinggal di asrama bermula dari tingkatan satu. Ibu ditinggalkan seorang diri.
Pengorbanan ibu berbaloi. Kita mendapat 8A. Baik untuk PMR atau SPM. Keluarga
kita jadi idola saudara mara dan orang kampung. Abang ke universiti tempatan.
Tolak segala tawaran belajar ke luar negara. Tetapi adik sebaliknya. Di
lapangan terbang, tangisan ibu mengiringi adik terbang ke Amerika Syarikat.
Sepanjang adik di sana banyak kali abang terserempak ibu menangis. Selalunya
bila adik mengadu sakit demam, selesema, terseliuh dan lain-lain.
Seminggu
ibu menemani adik di sekolah. Enam tahun ibu berembun menghantar kita ke
sekolah. Lima tahun ibu ditinggalkan seorang diri. Lima tahun ibu menanti
kepulangan adik dari luar negeri. Ah, tentunya sukar bagi seorang ibu tunggal seperti
ibu.
Mata
abang menakung air.
Razif,
sepupu kita, memanggil abang. Ada tetamu datang. Abang harap hanya seorang.
Terpelecok ketika berdoro laju di celah-celah kesesakan orang. Sampai di
halaman rumah, perasaan hampa pun menerkam. Pak Imam Leman, jiran kita, yang
datang melawat. Orang tua itu masuk untuk melihat ibu. Abang pula duduk di
tangga rumah. Meranggul ke langit yang berbulan penuh sunyi. Nyanyian cengkerik
terdengar gelisah. Imbasan silam yang tadi terputus bersambung semula.
Besok
awal Ramadhan. Kita akan mula berpuasa. Malam itu kita mula berterawih. Pada
awalnya hanya mampu lapan rakaat. Tetapi lama kelamaan dua puluh rakaat
bukan lagi masalah. Ibu bertadarus dan kita ikut serta. Itu berkat didikan ibu.
Bersahur
ibu yang mengejutkan. Lauk kegemaran kita sudah sedia terhidang. Baru dimasak
oleh ibu khas untuk membuka selera kita. Kita makan banyak. Waktu berpuasa
penuh dugaan. Dua tiga kali kita mencuri minum. Dapat ditangkap ibu dan diberi
nasihat. Bercakap benar. Andai tidak tahan berbukalah. Setahun dua mencuba
akhirnya kita berjaya berpuasa penuh. Ganjaran ibu mungkin mendorong kita.
Seringgit untuk sehari berpuasa. Bila usia semakin meningkat, upah bukanlah
lagi matlamat utama. Kewajipan yang kita dokong.
Waktu
berbuka penuh nikmat. Bila azan Maghrib berkumandang itulah tanda kemenangan
untuk kita yang bersabar menghadapi dugaan. Kita bermula dengan doa berbuka,
diikuti kurma dan disusuli dengan tegukan air. Kita bermula dengan makanan yang
ringan dahulu. Waktu ini kuih kegemaran kita menjadi santapan kita terlebih
dahulu. Badak berendam untuk abang dan lepat labu untuk adik. Kita menjamah
nasi hanya selepas bersolat Maghrib.
Kita
mengejar Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Ibu tekun
memperbanyakkan ibadah. Berharap dapat bertemu malam seribu bulan itu. Belum
pun lepas jam dua belas tengah malam, kita tersungkur berdengkur sedang ibu
masih di atas sejadah.
Satu
syawal esok hari. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu baru mengumumkannya.
Kita dan semua sepupu bersorak riang. Halaman rumah opah diterangi oleh
percikan bunga api. Langit diselubungi tasbih, tahmid, takbir, selawat dan doa
kepada Allah. Di belakang rumah, ketupat, lemang, rendang tok, ayam merah dan bermacam juadah
hari raya sedang dimasak. Perasaan gembira dan sedih bercampur gaul di malam
itu.
Sebelum
ke masjid kita menjamah hidangan bersama sanak saudara. Kita memakai baju
melayu baru siap dengan sampin dan songkok baru. Selepas ke masjid kita ke
kubur ayah dan atuk. Kemudian bermaaf-maafan sesama sanak saudara dan jiran
terdekat sebelum terus ke rumah nenek pula, ibu ayah. Besoknya, baru kita
berpeluang beraya sendiri tanpa ibu. Banyak duit raya yang kita dapat. Semuanya
ibu simpankan di dalam akaun Bank Simpanan Nasional kita.
Hayati,
isteri abang, memanggil abang masuk ke dalam bilik. Ibu terbaring lemah. Tangan
ibu menggamit lesu. Abang mendekati dan duduk di sisi ibu. Mulut ibu kumat
kamit berkata sesuatu. Tersekat-sekat dan tidak jelas. Abang melekapkan telinga
ke mulut ibu. Rupa-rupanya ibu hendak ke bilik air. Abang mendukung ibu ke
bilik air dengan berhati-hati.
Ibu
ingin mandi. Abang mandikannya. Setiap kali air dari gayung mencurah badan ibu,
hati abang disentuh pilu. Kenangan ibu memandikan kita menobros ke sukma abang.
Belum sempat air mata gugur, abang pantas menyapunya di mata. Khuatir ibu
menyedari, desakan pilu itu abang redakan. Selepas mandi, ibu mengambil wuduk.
Sebentar kemudian ibu terlantar semula di atas katil. Mendirikan solat Isyak.
Abang
ke halaman rumah semula. Suara cengkerik yang tadi gelisah kini menyayukan
pula. Angin bertiup lembut. Haruman kesturi memecahkan wangi yang misteri
puncanya. Orang berbisik-bisik.
Abang
duduk pula di pangkin dan kenangan pun berkembang semula.
Kepulangan
adik dari luar negara disambut gembira oleh ibu. Kenduri kesyukuran diadakan
secara besar-besaran. Kami bangga kerana adik berjaya membawa pulang segulung
ijazah universiti terkemuka. Kemudian adik pun bekerja di Pulau Pinang. Tak
lama kemudian adik mula bermain cinta. Detik hitam pun menitis. Setitik demi
setitik.
Hingga
di situ sahajalah bahagia kita. Sejak adik melangkah keluar tanpa salam tiada
kenangan indah yang mampu dicipta lagi. Ibu putih mata. Abang makan hati. Luka
ini belum mahu mati.
Apa
yang menyebabkan adik terlara? Keengganan ibu membenarkan adik bekerja di Pulau
Pinang? Atau keengganan ibu menerima kekasih adik? Tentulah ibu ada sebabnya.
Pasti juga ada rahsianya. Rahsia dari sejuta rahsia yang tidak mungkin dapat
dibongkari oleh kita. Cukuplah sekadar kita tahu bahawa semua tindakan ibu
kerana sayangnya kepada kita.
Atau
barangkali ini : “Ibu pilih kasih!” Kebebasan memilih hanya untuk abang :
tempat kerja, kerja dan isteri. Itukah? Ah, adik, adik. Bagaimana adik boleh
terbabas hingga ke situ? Selama ini ibukan bersikap adil. Ibu juga terima kita
seadanya sejak kita di dalam rahimnya. Biar pun ibu belum melihat wajah kita,
cacat atau tidaknya kita, namun cinta murninya sudah ditumpahkannya kepada
kita. Sembilan bulan ibu mengandungkan kita. Berdoa setiap hari, siang malam,
agar kita selamat lahir ke dunia. Kelahiran adik paling sukar kerana distosia.
Adik hampir lemas kerana hyproxia. Bila tangisan adik bergema, ibu menangis
syukur. Ayah melaungkan azan di dalam tangis. Pak Long mengisahkan ini. Bukan
ibu.
Atau
mungkin : “Siapa saya sebenarnya?” Mengucaplah adik. Kita berdua anak ibu. Di
dalam darah kita, darah ibu mengalir. Pada wajah kita, wajah ibu tercermin.
Pada suara kita, suara ibu terselit. Tiada siapa yang dapat menafikan hakikat
ini.
Jika
benar adik menganggap ibu bersalah, bersalahlah ibu walaupun itu salah. Andai
ya pun, kesalahan ibu hanyalah sekelumit berbanding selangit kesalahan yang
pernah kita lakukan terhadap ibu. Tidakkah setitik hitam boleh dihapuskan oleh
selaut putih? Apa pernah kita belikan baju baru untuk ibu? Sanggupkah kita
bangun awal pagi untuk mengejutkan ibu? Nyenyakkah tidur ibu? Buat sarapan? Ke
pasar? Bikin makanan kegemaran ibu? Dan pelbagai perkara lain yang kita tidak
pernah ambil tahu. Kita hanya tahu meminta dan menyoal. Agak janggal untuk
menuduh ibu itu dan ini sedang kita tidak pernah mengenali dirinya sepenuh
hati.
Syurga
di bawah tapak kaki ibu. Derhaka terhadap ibu neraka menunggu. Taat terhadap
ibu pintu syurga terbuka. Adik juga tahu itu. Jadi mengapa adik masih
berpaling?
Masih
ingatkah adik pada kisah Malin Kundang yang pernah diceritakan oleh ibu dulu?
Kisah anak derhaka yang disumpah menjadi batu itu. Atau kisah Alqamah yang
terseksa di ambang maut? atau kisah Jahimah yang ingin ke medan perang?
Bahagiakah
adik? Abang dengar adik menderita. Kekasih adik sudah meninggalkan adik. Adik
menunggu mati kerana kecewa yang mencengkam. Kerana itukah adik malu hendak
pulang?
Usah
malu untuk pulang kerana kitakan sekeluarga. Keluarga yang pernah bahagia dan
dikurniakan manis dalam segala. Bahagia dan manis itu masih wujud asalkan adik kembali.
Masih belum terlewat untuk mengembalikan apa yang pernah kita miliki dahulu.
Benar, zaman kanak-kanak dan remaja yang indah itu tidak mungkin dapat dirasai
oleh kita lagi. Tetapi kita masih boleh mencipta waktu-waktu indah lain untuk
dewasa ini. Pokoknya pulanglah.
Sudah
terlalu lama adik pergi. Sudah sampai waktu adik kembali. Abang yakin yang adik
masih ingat jalan pulang. Masih ingatkah adik pada kata-kata ibu : “Sejauh mana
kita pergi kita pasti kembali. Yang mengembara akan pulang. Yang merantau
rindukan halaman. Hidup ini bulatan. Permulaan itu hujung. Dan hujung adalah
permulaan.”
Sudah
ke serata tanah abang cuba menjejaki adik. Tidak jumpa. Khabar terakhir adik di
luar negara. Benarkah? Tetapi sebulan sebelum ibu jatuh sakit, kata ibu dia
bertikam jejak dengan adik di Hutan Melintang. Cuba mengekori tetapi terlepas
kerana dihalang kesesakan lalulintas. Benarkah? Sudah pulangkah adik?
“Ayah,
ibu panggil. Opah! Opah!” Ahmad, anak sulung abang menjerit. Pecahlah
imbasan-imbasan silam itu dan diganti dengan ketakutan realiti. Abang bergegas
ke bilik.
“Ibu
ampunkan kesalahan abang dan adik. Juga Hayati. Tolong maafkan semua salah ibu.
Bila adik kembali nanti, beritahu dia yang ibu minta maaf darinya,” kata ibu dalam
syahdu. Kata-kata ibu itu menggigit hati pilu abang. Air mata tidak dapat
diseka lagi. Setelah lama berdiam, akhirnya ibu pun melafazkan dua kalimah
syahadah yang suci itu. Terang dan lancar. Mata ibu memandang tepat ke bahagian
kanan bilik itu. Bibir ibu mengukir senyum. Dahi ibu pecah dengan keringat.
Lalu ibu pun memejamkan matanya buat selamanya. Serentak itu haruman kesturi
pun menaburkan wanginya ke segenap ruang. Abang terkedu. Kak Hayatimu tertunduk
di kaki ibu. Ahmad, Aziz, Akmal dan Siti, anak-anak abang itu berdiri kaku di
muka pintu bilik. Sanak saudara, jiran-jiran dan sahabat handai turut bersedih.
Talqin
selesai dibaca. Cerek berisi air yang berbaur dengan beberapa jenis bunga itu
sudah kering. Orang ramai sudah beransur meninggalkan tanah perkuburan. Tanah
perkuburan itu kini lenganglah. Abang masih duduk di sisi kubur ibu. Masih
mengharap adik akan pulang. Tetapi bayang adik belum juga kelihatan. Hati abang
terhiris. Di manakah adik berada?
Adik,
pulanglah. Jika adik membaca luahan ini segeralah berangkat ke sini. Kakak ipar
dan anak-anak saudara adik sedang menunggu dalam merindu. Begitu juga kubur
ibu. Masih sempat belum pernah terlewat.
Pulanglah!
Ingat, hidup ini bulatan!