Jam dinding berdenting. Jarum jam menunjukkan sekarang tepat
pukul 12 tengah malam.
Di Klang, Mak Siti meneruskan
rancangan untuk menghapuskan Habshah pada malam itu juga. Dia mengambil patung
jerami. Terus membaca mantera sambil memejamkan mata. Dia membayangkan Habshah
sebagai patung jerami itu. Tangannya menjalar pada patung jerami itu. Dia
menekan pada leher patung jerami itu sambil membaca mantera khas dengan niat
mahu membisukan Habshah.
Di Pulau Pinang, Habshah
tersentak dari pukau. Dia terbidas bangun sehingga mengejutkan Bibik Aminah
yang baru hendak mendirikan solat isyak. Habshah berasa lehernya seperti baru
ditekan keras oleh seseorang. Dia cuba bersuara tetapi suaranya tidak keluar.
“Kenapa puan?” tanya pembantu
rumah itu.
Habshah cuba bersuara untuk
memberitahu apa yang sedang dirasainya. Tetapi suaranya tidak mahu keluar.
Bibik Aminah segera ke ruang tamu
untuk memanggil semua yang ada di situ. Mak Siti menggerakkan tangannya pada
dada patung jerami itu pula. Dia menekan-nekan patung jerami itu dengan ibu
jari dan jari telunjuk.
Habshah menjerit tanpa suara.
Dadanya terasa seperti dirobek sesuatu. Pedihnya tak tertanggung. Dia dapat
merasakan sesuatu sedang menembusi dada dan belakang badannya. Badannya
terhempas ke tilam. Tangannya meraba-raba dada lepernya yang sedang sakit itu. Dia menggeliat dan meronta-ronta.
Pada ketika yang sama, di dalam
rumah berdekatan masjid, Ustaz Yahya yang tidur selepas solat isyak, terbangun
mengejut. Dia beristighfar sambil mengurut dada. Dia mendapat alamat sesuatu
yang buruk sedang berlaku di rumah pusaka keturunan Haji Zainul. Dia lekas bersiap dan
kemudian terus berjalan laju ke rumah pusaka itu.
Salim terkejut melihat keadaan
Habshah. Dia berdiri di sisi Habshah lalu memejamkan mata. Dia nampak jari-jari
yang sedang menembusi bahagian depan dan belakang dada patung jerami. Tetapi
bila diimbas untuk melihat pelakunya, imej yang dilihatnya kabur sahaja.
Salim agak tersentak melihat
keadaan patung jerami itu. Tidak dinampaknya benang atau paku atau lilin atau
cuka atau apa sahaja pada patung jerami itu. Ia semata-mata patung jerami. Maka
sedarlah dia bomoh yang dihadapinya ini memang bukan calang-calang. Dia bukan sahaja
menggunakan jin untuk mencapai maksudnya tetapi juga punya ilmu makrifat hitam.
Boleh menyeksa malah mematikan sesiapa tanpa perantaraan barang-barang seperti
benang, paku, lilin, cuka dan sebagainya.
Salim membaca ayat 81 dan 82 surah Yunus lalu meniupkannya pada Habshah.
Habshah sedikit tenang.
Mak Siti pula berasa ibu jari dan
jari telunjuknya kebas sedikit. Tahulah dia Salim sedang cuba menawarkan
sihirnya. Dia sudah menilik kemampuan Salim awal-awal tadi. Memang berisi
tetapi tidak setanding dirinya. Dia terus mahu menyeksa Habshah dengan
disaksikan oleh saka keturunan Habshah itu. Saka itu tersenyum dan ketawa
sehingga hilaiannya memenuhi ruang rumah pusaka itu. Dia menggerakkan pula
kedua jarinya itu ke kaki patung jerami itu.
Salim memagar dirinya dengan ayat
84 surah An-Nisa’ dan ayat 64 surah Yunus. Kemudian dia berzikir dengan kalimah
tauhid lailahaillallah lalu memejamkan mata. Dia menggunakan kaedah tepuk. Menjurus
dari jauh untuk menghancurkan patung jerami itu. Patung jerami itu kekal
begitu. Tidak terkesan sedikit pun.
Mak Siti menekan kaki kiri patung
jerami itu. Bermula dari paha hingga ke pergelangan kaki. Habshah di Pulau
Pinang mengerang tanpa suara. Hanya bunyi derak-derik kaki tulangnya yang patah
sahaja yang kedengaran.
Halimah panik. Air matanya
bercucuran lebat. Begitu juga dengan Bibik Aminah. Kalsum mengepung mulut
sambil menahan air mata keluar. Mazlan juga tidak tahu hendak membantu apa.
Hanya mampu membaca ayat-ayat Al-Quran yang lazim dan terus berdoa kepada Allah
mudah-mudahan Habshah selamat daripada sihir yang kejam itu. Salim cuba
membantu sedaya upaya. Dia nampak hanya satu jalan. Habshah hanya boleh
diselamatkan jika bomoh yang menyeksanya itu tumbang.
Salim terus berzikir di dalam
hati dan memejamkan mata. Imej kabur bomoh itu terpampang lagi dalam pandangan
batinnya. Dia cuba memeriksa pendamping-pendamping bomoh itu. Dia mendapat
melihat dengan jelas pendamping-pendamping itu melindungi bomoh tersebut di
empat penjuru. Kemudian dia memeriksa tahap ilmu bomoh tersebut dengan sepantas
kilat. Sahlah bomoh yang dihadapinya ini seorang yang amat tinggi ilmu
hitamnya.
Mak Siti tersenyum. Dia sedar Salim
sedang mengimbasnya. Kali ini dibiarkan sahaja dirinya diimbas Salim. Dia mahu
lawannya itu tahu betapa hebat ilmu hitam yang dimilikinya. Dia mahu Salim
berundur tanpa melawan. Tetapi mengikut firasatnya Salim tidak sedia berundur.
Dia mengarahkan pendamping-pendampingnya itu untuk bersiap sedia. Dia sendiri
sudah melindungi dirinya dengan mantera. Dia akan habiskan Salim jika pemuda
itu mengganggu-gugatnya. Tumpuannya masih pada Habshah. Dia mesti melunaskan
janjinya pada saka itu. Sekarang adalah masa yang terbaik untuk menunaikan
janji itu. Dia sukakan Habshah tetapi dia lebih sayangkan saka itu.
Mak Siti menjalarkan ibu jari dan
jari telunjuk pada kaki kanan patung jerami pula. Dia menekan kedua-dua jari
itu bermula dari pangkal peha menurun ke pergelangan kaki. Habshah
meraung-raung tanpa suara. Sejurus kemudian bergemalah bilik Raudhah itu dengan
derak-derik tulang patah. Semua orang diserang panik. Tidak ada daya untuk
membantu. Mereka hanya mampu melihat Habshah meraung tanpa suara sehingga
badannya melentik-lentik, tangannya yang menggenggam kuat cadar dan air matanya
yang terus-terusan mengalir membasahi pipi. Kini tangan Mak Siti menjalar naik
pula. Melepasi lutut, peha, perut dan kini kembali pada dada patung jerami itu.
Habshah segera meraba-raba dada bila merasai dadanya sedang dipegang sesuatu.
Mengikut apa yang dipelajarinya, Salim
tahu cara untuk menumbangkan bomoh tersebut ialah dengan menghapuskan dahulu
pendamping-pendampingnya. Salim segera membaca ayat Kursi dengan niat untuk
membakar keempat-empat pendamping bomoh itu. Pagar sekeliling rumah bomoh itu
perlahan-lahan berjaya ditembusi.
Mak Siti tersentak bila
mengetahui pagar kukuhnya yang selama ini hanya mampu ditembusi oleh seorang
dua, kini berjaya pula ditembusi oleh Salim. Dia terlalu memandang rendah
kepada Salim. Budak hingusan itu rupa-rupanya mampu mencabarnya.
Mak Siti melepaskan patung
jerami. Tumpuannya kini kepada Salim. Habshah tidak lagi merasai sesuatu sedang
menekan dadanya. Mak Siti membaca mantera lalu menghembuskannya pada imej Salim
yang terpampang dalam pandangan batinnya. Salim dapat merasakan kedatangan
angin sihir itu kepadanya. Dia membaca ayat pelindung dan pemusnah sihir iaitu
ayat 84 surah An-Nisa’ bersama surah ayat 64 surah Yusuf dan ayat 81 serta 82
surah Yusuf. Angin sihir yang besar itu sebahagiannya berjaya juga menembusi
pendinding itu. Sebahagian angin sihir yang terlepas itu berjaya dikecilkan
oleh ayat pemusnah sihir tetapi tidak sampai menghapuskannya. Akhirnya ia kena
juga pada Salim. Serentak dengan itu Salim terbatuk kecil dan kemudian keras
sehingga memuntahkan darah.
“Salim, hang tak apa-apa?” tanya
Mazlan.
Salim mengangguk kerana berasa
masih mampu melawan Mak Siti. Dia mengesat bibir yang berlumuran darah.
Mak Siti ketawa besar. “Engkau
berempat pergi serang budak tu. Kerjakan dia cukup-cukup!” Dia kembali
mengambil patung jerami.
Salim diserang oleh
pendamping-pendamping Mak Siti. Dia cuba bertahan.
Di luar rumah pusaka itu
kedengaran suara orang memberi salam. Mazlan mengarahkan Karim melihat siapa
yang datang. Azlan tanpa disuruh menemani Karim ke ruang tamu. Karim melihat
dari lubang pintu. Ustaz Yahya di balik pintu. Dia menggelabah dan terus
kembali ke bilik Raudhah memberitahu kedatangan Ustaz Yahya. Lantas Karim
bergegas ke tingkat atas. Dia tidak sepatutnya dilihat oleh orang kampung.
Azlan yang tidak berganjak di pintu terus sahaja membuka pintu itu sebaik
dilihatnya Karim menghilang. Mazlan sampai ke ruang tamu sejurus kemudian.
“Assalammualaikum, Mazlan dan
Azlan,” ucap Ustaz Yahya.
“Masuk, masuk, ustaz,” kata
Mazlan.
Ustaz Yahya masuk lalu mengusap
ubun-ubun Azlan dengan penuh kasih sayang. “Ada apa-apa yang boleh saya
tolong?” tanya Ustaz Yahya.
Mazlan terkejut dengan pertanyaan
itu.
“Siapa di dalam selain hang?”
tanya Ustaz Yahya.
“Kawan saya,” jawab Mazlan.
“Bagaimana keadaannya?” tanya
Ustaz Yahya.
Mazlan yang kehairanan menjawab
juga, “Saya tak tahu. Ustaz tengok sendiri. Dia ada di dalam bilik. Sedang
bertarung dengan bomoh yang menyihir adik ipar saya. Ikut saya Ustaz.”
Ustaz Yahya mengangguk-angguk.
Kemudian terus mengekori Mazlan ke bilik Raudhah. Mereka sampai ke dalam bilik
Raudhah itu. Ustaz Yahya tidak masuk terus ke dalam bilik Raudhah itu. Dia
berdiri beberapa ketika di ambang pintu sebelum masuk. Sebaik masuk dia
mendapat bayangan apa yang sudah dan sedang berlaku di situ dengan izin Allah
SWT.
Mak Siti sudah bersedia hendak
mengambil nyawa Habshah. Dia menekan dada patung jerami itu dengan ibu jari dan
jari telunjuknya. Habshah tersangkak-sangkak nafas dan meronta-ronta kesakitan.
Mak Siti membayangkan dia sedang meramas jantung Habshah. Sementara Salim yang
bersila kejap tadi mula terhoyong hayang dan tak lama kemudian tumbang. Dia
cuba bangun semula tetapi tumbang sekali lagi dan tidak sedarkan diri.
Ustaz Yahya membaca Al-Fatihah.
Suaranya kedengaran di rumah Mak Siti. Patung jerami terlepas dari tangan Mak
Siti lalu terbakar dan musnah. Keempat-empat pendampingnya terpelanting dari
rumah pusaka keturunan Haji Zainul dan merekot kesakitan di dalam bilik
khasnya. Mak Siti pula berasa badannya panas dan bisa. Dia perlahan-lahan
baring dan mengerang kesakitan.
Selepas dapat menumbangkan Mak
Siti dan menghalau pendamping-pendamping Mak Siti, Ustaz Yahya menumpukan
perhatiannya kepada Habshah dan Salim. Dia membaca Al-Fatihah, tiga kul dan
ayat kursi disertakan niat meminta bantuan Allah SWT untuk memulihkan mereka
berdua. Kedua-duanya berjaya dipulihkan dengan izin Allah SWT. Salim tersedar
semula dan Habshah tenang semula.
Ustaz Yahya meletakkan tapak
tangannya pada dada Salim dan kemudian membaca doa pembatal sihir. Salim berasa
dadanya yang sakit itu bernasur-ansur pulih.
“Alhamdulillah, sihirnya tidak
kena semua walaupun tepat. Jika tidak hanya Allah SWT sahaja yang tahu
akibatnya,” kata Ustaz Yahya.
Salim memegang tangan Ustaz
Yahya. “Terima kasih, kiyai.”
Ustaz Yahya tersenyum. “Hanya
kepada Allah SWT kita meminta bantuan dan berserah.”
Salim mengangguk mengerti.
Ustaz Yahya bangun lalu mendekati
katil. Halimah, Bibik Aminah dan Kalsum menangis melihat keadaan Habshah itu.
“Ustaz, tengokkan adik saya ni
Ustaz,” rayu Halimah.
“Insyallah,” jawab Ustaz Yahya.
Ustaz Yahya mengimbas Habshah.
Bayangan apa yang berlaku kepada Habshah terpampang dalam pandangan batinnya.
“Bagaimana Ustaz?” tanya Halimah.
“Memang sudah teruk. Tetapi
dengan izin Allah SWT sahajalah adik hang ini masih hidup. Terlalu banyak sihir
yang ada padanya. Kena buang satu persatu supaya suci. Selepas itu kita
berserah kepada Allah SWT,” jawab Ustaz Yahya.
“Ustaz boleh tolong buangkan
semua tu?” tanya Halimah.
“Insyallah. Tanyakan pada dia
adakah dia mahu buang semua yang diambilnya itu?” tanya Ustaz Yahya.
Halimah mendekatkan mulutnya pada
telinga Habshah. “Adik, ustaz tanya, adakah engkau mahu buang semua yang engkau
ambil itu?”
“Ya…” jawab Habshah dengan suara
yang terketar-ketar dan lemah.
“Alhamdulillah,” ucap Ustaz
Yahya.
Kemudian Ustaz Yahya pun
memulakan tugasnya membantu Habshah. Dia menawarkan semua sihir yang ada pada
badan Habshah. Sihir minyak dagu, pelbagai susuk dan tuju-tuju. Kemudian dia
menawarkan pula sihir patung jerami. Bisa-bisa sihir patung jerami itu berjaya
dibuang. Kemudian Habshah dibawa ke hospital dengan segera bagi mendapatkan
rawatan untuk kakinya yang patah itu. Ambulan dari Hospital Daerah Bukit
Mertajam datang mengambilnya.
Ustaz Yahya tersenyum kepada
Azlan yang melihat semua kejadian itu. Kemudian berkatalah lelaki berusia
hujung lima puluhan itu, “Mazlan, anak hang ini istimewa. Dalam diri dia aku
lihat arwah bapa, tok dan ulamak-ulamak besar dalam keturunan engkau. Bawalah
dia berjumpa denganku bila usianya sesuai nanti untuk belajar ilmu agama. Seperti
aku belajar dengan datuk hang dahulu.”
Mazlan mengangguk. “Terima kasih
ustaz,” katanya.
Salim bersalaman dengan Ustaz
Yahya. “Terima kasih ustaz,” katanya sekali lagi.
Ustaz Yahya menepuk bahu Salim.
“Semuanya dengan izin Allah SWT.” Lalu Ustaz Yahya berjalan pulang ke rumahnya.
Di Klang, Mak Siti terus
mengerang kesakitan. Dia menjerit, “Celaka engkau!”
Di Pulau Pinang, Ustaz Yahya yang
sedang berjalan pulang dan mendengar makian Mak Siti itu berkata di dalam hati,
“Kembalilah ke jalan yang benar. Allah SWT sahajalah yang berkuasa ke atas
sesuatu. Allah SWT sahajalah tempat setiap makhluk meminta pertolongan.”
“Celaka engkau!” jerit Mak Siti
lagi.
“Jangan engkau apa-apakan
keluarga ini lagi. Aku memegang amanah arwah ayah Mazlan supaya menjaga mereka.
Dengan izin Allah SWT, jika engkau menganggu mereka lagi, aku tidak
teragak-agak membalas perbuatan engkau
itu,” kata Ustaz Yahya di dalam hati.
Mak Siti tidak membalas kata-kata
Ustaz Yahya itu. Yang kedengaran sekarang hanyalah rintihannya dan raungan
pendamping-pendampingnya memenuhi bilik khas itu. Dendam memenuhi seluruh ruang
dada Mak Siti.
Selepas seminggu di hospital,
Habshah menghembuskan juga nafasnya yang terakhir. Dia pergi menemui Tuhan
dalam keadaan yang baik. Sebelum nyawanya keluar dari badan, dia sempat
mengucapkan dua kalimah syahadah. Dalam seminggu itu sempat juga dia bercerita
segalanya tentang apa yang dilaluinya kepada Halimah. Semua orang ada termasuk
Johan dan anak-anak ketika dia mengadap sakaratul maut. Mukanya bersih dan
bibirnya tersenyum selepas nyawanya ditarik malaikat Izrail.