Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 1

Langit gelap gelemat. Bulan tidak kelihatan. Bintang-bintang bersembunyi. Karim memecut laju Mercedes Benz S320 membelah kepekatan malam menuju ke Cherok Tok Kun. Ramlan mahu berjumpanya dengan segera.

Hujan mulai merintik ketika Karim sampai di perkarangan rumah Ramlan. Ramlan sedang menantinya di atas beranda rumah. Di bawah cahaya kuning lampu mentol kelihatan sepupunya itu sedang menghisap rokok dengan rakus. Asap rokok berkepul-kepul keluar dari mulutnya selang beberapa saat sambil pandangan resahnya dilepaskan ke dada langit yang gelap gelemat itu.

“Assalammualaikum, bang,” ucap Karim sebaik tiba di anak tangga pertama.

Ramlan terkejut juga walaupun memang menjangkakan kehadiran Karim itu. “Ha, naik, naik. Aku dah lama tunggu hang ni,” balasnya.

Karim naik ke atas beranda rumah. Duduk di kerusi berdekatan Ramlan. Seteko kopi O panas, dua biji cawan – sebiji sudah berisi dan sebiji lagi masing kosong dan sepinggan biskut kering siap sedia di dalam dulang di atas meja kopi di hadapan mereka.

“Awat minta aku datang malam-malam buta begini bang?” tanya Karim.

“Hang isi kopi O panas tu dulu. Lepas tu baru kita sembang,” balas Ramlan.

Karim mengisi cawan yang masih kosong itu dengan kopi O panas. Mencicip kopi O panas itu selepas menuangnya.

“Awat bang?” tanya Karim lagi, tidak sabar-sabar.

“Aku ada hal penting nak beritahu hang,” jawab Ramlan sambil menenyeh putung rokok yang sudah kontot pada dasar bekas abu. Dia menarik rokok Dunhill lain dari kotak, menyalakannya dan menghisapnya.

“Penting sangat sampai tidak boleh tunggu hingga esok?” tanya Karim. Dia baru sahaja bermimpi indah dihujani duit sebelum isterinya menggerakkannya secara mengejut memberitahu Ramlan di talian.

“Pentinglah. Soal hidup atau mati aku dan hang tahu tak!” balas Ramlan.

“Awat bang?!” tanya Karim, gelabah.

“Aku, Kak Maznah dan anak-anak nak ke Kuala Lumpur esok. Lepas tu…”

“Bukan ke abang baru balik dari Kuala lumpur?” potong Karim.

“Inilah aku nak bagitau hang. Dengar dulu apa aku nak cakap. Ini bukan soal hidup mati aku seorang sahaja tapi hang juga,” balas Ramlan.

Karim diam.

“Besok aku sekeluarga nak ke Kuala Lumpur lagi. Lusa kami akan terbang ke New York,” sambung Ramlan.

“Jenguk Razak?” tanya Karim.

Ramlan menggeleng kepala. “Kami mungkin menetap terus di sana.”

Karim kehairanan kerana sepupunya itu mengambil keputusan sebegitu drastik. Dia tahu Ramlan hanya bekas guru sekolah rendah. Pekerjaan apa yang menantinya di kota metropolitan mat salleh itu. Dia tersenyum bila fikirannya terlintaskan sesuatu. Dia teringat kata-kata Ramlan sebulan yang lalu.

“Syarikat kita nak kembangkan sayap ke sana ke, bang? Kalau begitu memang abanglah yang paling layak menjadi ketua di sana,” kata Karim.

Ramlan mengeluh panjang lalu rakus menyedut asap rokok sehingga terbatuk-batuk kasar. Kemudian meneguk kopi O panas sehingga habis secawan dengan sekali teguk.

“Biar sahajalah aku berterus terang dengan hang, Karim. Begini, syarikat pelaburan Pak Lang tu sudah nak gulung tikar. Semua orang atas sudah hendak cabut. Dividen untuk bulan ini tetap akan dibayar. Tetapi tidak pada bulan berikut dan seterusnya. Ada khabar angin yang kuat bahawa Pak Lang akan diheret semula ke mahkamah. Kali ini dia tidak mungkin akan terlepas lagi,” terang Ramlan.

Karim terkejut dengan khabar terbaru itu. Dia merenung muka Ramlan antara percaya dengan tidak. Bukankah syarikat pelaburan mereka itu semakin maju sejak kes mahkamah tempoh hari. Bukankah Bank Negara tidak ada kuasa untuk menghalang operasi syarikat pelaburan mereka itu. Dia teringatkan pelaburan yang dibuatnya melalui Ramlan hampir setahun yang lalu, sebulan sebelum dia nekad berhenti kerja sebagai guru matematik di sekolah menengah untuk menjadi agen pelaburan sepenuh masa syarikat pelaburan Pak Lang itu. Wang pelaburannya sebanyak seratus ribu ringgit hasil penjualan tanah pusaka arwah ayahnya itu masih berbaki sebulan untuk pulang modal.

“Aku bayar balik pelaburan hang tu. Aku sudah kira. Tinggal sebulan sahaja untuk balik modal,” kata Ramlan yang seolah-olah tahu apa yang sedang difikirkan oleh Karim.

Ramlan mencapai beg bimbit James Bond yang tersandar pada kaki kerusi rotan yang diduduknya itu. Dia mengeluarkan sebuku duit nota 50 ringgit lalu meletakkannya di atas meja kopi. “Ini ada 10 ribu ringgit. Aku bayar pada hang untuk cukupkan modal pelaburan engkau tu. Dividen untuk bulan ni anggap untung hanglah.”

Karim tidak tahu bagaimana mahu bereaksi. Hujan yang merintik bertukar lebat.

“Aku tak buat macam ni pada orang lain. Termasuklah dengan kawan-kawan baik aku. Aku bayar balik pada hang ni sebab hang tu sepupu aku. Biasalah pelaburan apa pun tentulah ada risikonya. Tak bolehlah hendak untung sahaja dan tak mahu fikir pasal rugi, kan?” kata Ramlan.

Karim menelan air liur. Mengangguk paksa sambil tersenyum payah. Dia pernah mengikut Ramlan berjumpa beberapa orang pelabur berpotensi beberapa kali. Ramlan menggunakan pelbagai cara sehingga pelabur-pelabur berpotensi itu melabur. Ini termasuklah dengan menjanjikan pulangan yang konsisten sampai bila-bila selagi ada bulan dan matahari. Soal kerugian tidak pernah sekali pun disebut. Segalanya untung dan untung sahaja. Kaedah Ramlan itulah yang dicontohinya dan berjaya sampai sekarang.

“Tapi bang, aku dah pakai duit dividen yang syarikat bagi tu. Bayar deposit rumah dan kereta baru tu. Sebab aku ingat akan terus dapat dividen setiap bulan selama-lamanya,” jawab Karim.

“Itu silap hanglah. Sepatutnya hang belanja bila dapat untung. Jangan belanja apa-apa sebelum balik modal. Aku dah pesan kat hang dulu kan?” balas Ramlan.

Karim tertunduk lemah. Memang Ramlan ada berpesan begitu kepadanya dahulu.

“Aku dah tak ada hutang apa-apa dengan hang. Simpan elok-elok duit sepuluh ribu ni. Klien hang tanggungjawab hang. Pandai-pandailah hang nak buat macam mana nanti,” sambung Ramlan lagi.

“Apa aku nak jawab pada klien nanti?” tanya Karim.

“Apa susah, hang katalah hang tak tahu apa-apa. Letakkan kesalahan pada pihak pengurusan. Katalah tugas hang kutip duit sahaja,” jawab Ramlan. Jawapan yang dia sendiri susah hendak katakan kepada klien-kliennya. Sebab itulah dia nekad mahu melarikan diri ke luar negara.

Ramlan berpura-pura menguap. Lantas meminta diri dengan alasan mengantuk. Dia perlu bangun awal esok. Penerbangannnya sekeluarga awal pagi esok.

Karim memandu pulang dalam keadaan bimbang. Dia tidak tahu bagaimana hendak menguruskan masalah tersebut. Sedar bahawa dia tidak akan mampu membayar balik semua pelaburan kliennya. Pelaburan yang dikutipnya sudah mencecah angka berjuta ringgit. Hanya sebahagian kecil daripada mereka yang sudah pulang modal. Sebahagian besarnya pula baru menerima tidak sampai separuh daripada modal pelaburan masing-masing. Dia tahu dia perlu melarikan diri seperti Ramlan. Tetapi dia tersenyum tidak semena-mena bila sesuatu terlintas di fikirannya.

Lagu Cepat Kaya nyanyian Senario yang sudah berputar sedikit dari sistem audio kereta mewahnya itu baru kedengaran di telinganya.

“Dipikat diikat biar sampai dapat. Nanti untung aku yang sebat. Ha, ha..” Dia menyanyi keriangan lalu ketawa besar. Akhirnya menjerit seronok seperti orang baru kena loteri.

Kilat berdenyar galak dan guruh berdentum dentam mengiringi hujan yang semakin lebat.

Hujan merintik, kilat sabung menyabung dan guruh berdentum-dentam di sekitar daerah Klang, Selangor. Termasuk dibasahi hujan ialah Taman Perumahan Sri Andalusia. Seorang wanita dalam awal usia 40an, Habshah, sedang tidur di sisi suaminya di salah sebuah rumah teres dua tingkat di taman perumahan itu.

Mukanya kelihatan tenang. Bibirnya mengukir senyuman. Dia sedang diulit mimpi.

Habshah berada di pangkal jalan masuk sebuah rumah. Dia terpegun melihat rumah kampung yang besar dan indah di hadapannya itu. Berasa takjub dengan halaman rumah yang bersih dan dipenuhi dengan pohon-pohon bunga raya, bunga puding dan bunga kertas pelbagai warna dan jenis. Di atas beranda pula tergantung berbelas pasu berisi pokok bunga teropong dan hati-hati pelbagai warna yang amat cantik. Dia gembira lalu tersenyum melihat keindahan rumah tersebut.

Dia amat kenal rumah itu. Rumah itu ialah rumah opahnya.

Dia berjalan ke arah rumah itu. Berhenti seketika di atas titi. Melihat parit yang dipenuhi air. Sebuah sampan sedang teroleng-oleng di atas permukaan parit. Sekumpulan ikan talapia hitam berenang menentang arus. Beberapa ekor katak terjelepuk tenang di atas daun teratai. Dan seekor ular hitam sebesar ibu jari menyusur di tengah parit menuju ke arah titi.

Ular hitam itu menyusur melepasi kelompok teratai. Tidak menghiraukan katak yang terjelepuk di atas daun teratai itu. Berhenti menyusur bila sampai di kaki titi dan membiarkan badannya dibawa arus dan tersangkut pada kelompok teratai.

Habshah terkejut bila berasa bahunya disentuh seseorang. Dia lekas mengalihkan pandangan ke kiri. Opahnya menyambut pandangannya dengan senyuman. Dia mengurut dada.“Opah ni buat terkejut saya saja,” kata Habshah dengan suara manja.

Opahnya tersenyum.

Habshah membalas senyuman opahnya. Kemudian melihat ke arah kelompok teratai. Ular hitam tadi sudah tiada di situ.

Mereka berdua berjalan ke tebing. Opahnya menarik tali sampan yang diikat pada batang pokok asam paya. Sampan itu merapat ke tebing. Opahnya mengarahkannya masuk ke dalam sampan itu.

“Kita nak ke beting ke opah?” tanya Habshah melihat sepintas lalu sekumpulan talapia hitam yang berenang di tepi sampan itu. Bila dia membuang pandangannya ke arah tebing dilihatnya opahnya tiada lagi di situ. Dia kehairanan.

“Opah di sini.” Suara opahnya menyapa telinganya.

Habshah terkejut melihat opahnya sudah berada di dalam sampan sambil memegang dayung. Dia kehairanan tetapi perasaan itu segera hilang bila teringatkan pertanyaannya tadi belum dijawab.

“Kita nak ke mana opah?” tanya Habshah. Dia amat senang sekali dengan keadaan itu. Selama ini opahnya selalu membawa kakaknya sahaja menaiki sampan. Mereka mudik ke hulu dan ke hilir parit itu dan kadang-kadang hingga ke beting di muara untuk mengutip kepah.

“Ke beting. Engko nak sangat ke sana kan?” jawab opahnya.

“Betul ke opah?!” balas Habshah, terlalu gembira. Dia menoleh ke belakang sekali lagi.

Habshah terkejut dengan kemunculan seorang bayi perempuan itu. Bayi perempuan itu sedang lena di dalam sebuah bakul emas. Badannya dibaluti kain kuning. Habshah menatap muka bayi perempuan itu. Dia jatuh hati pada paras rupa bayi perempuan yang amat comel itu. Wajah bayi perempuan itu berseri-seri bagaikan bulan purnama. Bibirnya merah delima. Kulitnya pula sungguh gebu.

“Engko suka dengan bayi perempuan ini?” tanya opahnya sambil terus mendayung sampan.

Habshah mengangguk. “Tapi bayi siapa ni opah?” tanyanya.

Opahnya tersenyum sebelum menjawab, “Engko boleh jadikan dia milik engko.”

Habshah tersenyum panjang. Gembiranya bukan kepalang. Dia memang teringinkan anak lagi. Tidak kira lelaki atau perempuan. Bayi perempuan itu menangis. Sampan teroleng-oleng keras.

“Dia takut dipukul ombak,” kata opahnya.

Habshah melihat ke hadapan. Mereka baru sahaja memasuki muara. Ombak di nganga muara itu sedikit deras. Langit yang biru bertukar kelam. Tetapi nun di sana kelihatan beting yang putih berkilau-kilauan. Habshah merasa takjub dengan apa yang dilihatnya. Tetapi perasaan itu singgah sekejap sahaja kerana telinganya disapa kembali oleh tangisan bayi perempuan itu. Pandangannya kembali tertumpu pada bayi perempuan itu. Tetapi kini dilihatnya opahnya itu sudah mendukung bayi perempuan tersebut. Sementara sampan itu terus meluncur seperti tetap didayung menuju ke beting.

“Cuba engko yang ambik. Dia tak mahu dah dengan opah. Manalah tahu dia diam bila diambil engko,” kata opahnya sambil mengunjukkan bayi perempuan itu kepada Habshah.

Habshah mengambil bayi perempuan itu. Segera mencium pipi bayi perempuan itu dan menggomol badannya kerana terlalu suka. Kulit bayi perempuan yang amat gebu itu begitu menyenangkannya. Tetapi bayi perempuan itu terus menangis. Habshah mendodoikan pula bayi perempuan itu tetapi tangisnya semakin keras.

“Diamlah sayang…” pujuk Habshah. “Mama ada di sini. Jangan takut,” sambungnya.

Bayi perempuan itu terus menangis.

“Cuba engko bagi dia susu,” kata opahnya.

Tanpa fikir panjang Habshah terus membuka butang baju kebaya. Menarik baju dalam sebelah kiri sedikit ke atas dan melekapkan bibir bayi perempuan itu ke puting. Bayi perempuan itu terus menghisap putingnya dengan rakus.

“Dia lapar. Belum diberi makan,” kata opahnya.

Habshah gembira kerana bayi perempuan itu kini diam dan tenang.

Suara riuh rendah kanak-kanak bergema di telinganya. Habshah menarik pandangannya dari bayi perempuan itu dan mencari arah suara tersebut. Sekumpulan kanak-kanak sedang berlari-lari di atas beting itu. Tenggelam timbul di sebalik rentangan kain-kain berwarna kuning, hijau, merah, hitam dan sebagainya.

Habshah menoleh melihat opahnya. Opahnya tersenyum. “Siapa mereka opah?”

Opahnya terus tersenyum dan menjawab, “Jaga dia baik-baik.”

Habshah mengangguk dalam gembira. Sejurus habis mengucapkan kata-kata itu tiba-tiba dia berasa putingnya sakit. Dia melihat dadanya. Bayi perempuan itu sedang menggigit-gigit putingnya itu sehingga berdarah. Habshah semakin sakit. Dia cuba menjauhkan mulut bayi itu dari putingnya. Tetapi mulut bayi itu tidak mahu melepaskan putingnya. Habshah menarik lagi dengan sekuat hati. Mulut bayi perempuan itu terlepas juga dari putingnya. Darah memancut-mancut keluar dari putingnya. Dia melihat bayi perempuan itu. Mulut bayi perempuan itu berlumuran darah. Tanpa diduga bayi perempuan itu membuka mata. Matanya yang merah menyala menjegil Habshah. Kemudian bayi perempuan itu membuka mulut luas-luas. Menampakkan susunan gigi tajamnya yang rapat-rapat. Mukanya yang amat comel tadi berubah amat hodoh. Kulitnya yang gebu dan putih bercahaya bertukar berkedut-kedut dan hitam legam. Habshah berasa terkejut tetapi tidak sampai melepaskan bayi itu dari pegangannya.

Habshah terbidas bangun dari tidur. Seluruh badannya dikuyupi peluh. Dia meraba-raba dada. Tergopoh-gapah menghidupkan lampu sisi. Memeriksa dadanya itu dengan sungguh-sungguh. Berasa lega kerana putingnya tidak berdarah. Dia tercungap-cungap menahan ketakutan. Suaminya terjaga dari tidur.

“Kenapa Sah?” tanya Johan, suaminya itu.

“Saya mimpi budak perempuan,” jawab Habshah.

“Kita nak dapat anak lagi ke, Sah?” tanya Johan, menenyeh-nenyeh matanya lalu bersila mengadap Habshah.

“Bayi perempuan tu gigit puting saya sampai berdarah,” beritahu Habshah.

“Mainan tidur sahaja tu. Tidurlah. Esok awak ada mesyuarat penting kan?” tanya Johan, kembali merebahkan badan dan menarik selimut.

Habshah ikut merebahkan badan dan menarik selimut. Ketika suaminya lena dan berdengkur semula, dia pula tidak dapat melelapkan mata sehinggalah hampir subuh. Dia bermimpikan bayi perempuan itu sudah tiga kali termasuk yang kali ini. Dua mimpi yang pertama dia tidak mengambilnya bila opah mengunjukkannya. Hanya melihatnya sahaja. Kali ini bukan sahaja dia mengambilnya tetapi menyusukannya pula. Apa petandanya?

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin