Home Novel Seram/Misteri Rakus
Bab 17 (Bahagian 2)

Belum sempat Kalsum menjawab, Hartini tiba-tiba bingkas bangun dari sofa, menarik kerusi malas berdekatan lalu melayangkannya ke arah Karim. Karim sempat tunduk. Kerusi malas itu menghentak tingkap dan kemudian jatuh ke lantai.

Semua orang terkejut. Hartini terus menerkam Fauziah. Mencekik leher Fauziah. Khalid cuba menarik tangan Hartini tetapi tidak berjaya. Tenaga Hartini sekuat beberapa orang lelaki dewasa. Fauziah bernafas tersangkak-sangkak. Matanya sudah terbeliak.

Mazlan dan Halimah kumat kamit membaca ayat-ayat Al-Quran tetapi mereka dipandang sinis oleh Hartini. Hartini terus mencekik leher Fauziah sambil tersenyum seram.

“Biar saya yang uruskan abang,” kata Karim pada Khalid.

Khalid memberi kebenaran kepada Karim. Karim kumat kamit membaca mantera lalu menghembus ke arah Hartini. Hartini tumbang sepantas kilat. Cekakannya pada leher Fauziah terlerai. Dia terbaring tidak sedarkan diri di kaki Fauziah.

Fauziah tersangkak-sangkak menarik nafas supaya normal semula. Dia terbatuk-batuk sehingga air liurnya bertali panjang lalu menitik di lantai. Lehernya berbirat merah kesan cekikan Hartini. Khalid mengurut-ngurut belakang Fauziah. “Kenapa Tini, Karim?” tanya Fauziah.

“Dia kerasukan kak. Sebab itu dia mampu lempar kerusi malas tu macam tu sahaja,” jawab Karim. “Ambilkan abang air, Sum. Nak buat air jampi untuk Tini minum bila dia sedar nanti.”

Kalsum berlari untuk mengambil air.

“Apa yang merasuk Tini, Karim?” tanya Fauziah.

“Susah nak cakap,” kata Karim, bermain tarik tali.

“Hang cakap saja Karim. Beritahu kak ni,” kata Fauziah lagi.

“Saya tak berani cakap,” jawab Karim.

Karim melihat Hartini yang sedang terlentang itu. Dia membaca mantera di dalam hati. Hartini bergerak perlahan-lahan. Mulai sedar semula.

“Kak Fauziah, Abang Khalid duduk di ruang tengah. Abang Mazlan dan Kak Limah pun duduk di ruang tengah. Dia sudah jaga semula. Benda tu masih ada dalam badan dia,” arah Karim. “Sum letak air tu di situ dulu. Nanti abang jampi. Nak keluarkan benda tu dari badan dia dulu,” sambungnya, berkata kepada Kalsum yang tiba di ruang tengah dari dapur.

“Abang nak pergi mana?” tanya Halimah kepada Mazlan bila melihat suaminya itu bergegas ke pintu.

“Abang nak pergi cari Ustaz Yahya,” jawab Mazlan.

“Dia sudah balik ke dari rumah anak dia?” tanya Halimah.

“Sepatutnya malam ni dia sudah ada di rumah,” jawab Mazlan.

Halimah mengangguk. “Cepat panggil Ustaz Yahya bang.”

Belum sempat Mazlan turun tangga, Fauziah menegurnya, “Hang nak ke mana Mazlan?”

“Cari Ustaz Yahya kak,” jawab Mazlan.

“Tengah-tengah malam macam ni?” tanya Fauziah.

“Insyallah, dia tak kisah kak,” jawab Mazlan.

“Karim pun boleh uruskan hal ni bang,” kata Kalsum pula.

“Kalau ada Ustaz Yahya lagi baik rasanya,” jawab Mazlan. Dia terus turun tangga tanpa menunggu lagi.

Hartini bangun dari baring. Duduk bersila dengan kejap. Dia mengeliat-ngeliatkan leher dan badan. Bunyi tulang berderak-derak kedengaran. Kemudian dia memejamkan mata dan duduk dengan gaya tersendiri. Tangannya pada posisi seperti seorang sami Buddha sedang bermeditasi. Mulutnya kumat kamit membaca mantera entah apa.

“Aku tak suka engko, celaka! Pergi dari sini!!!” jerit Hartini. Jari telunjuknya lurus menunjuk Karim.

Karim tersenyum membalas makian Hartini itu. Dia mula mengambil tempat. Bersila kejap di hadapan Hartini. Mereka berdua berjarak dua langkah sahaja.

Karim mengemaskan silanya. “Bismi…” ucap awalnya dan terus tidak kedengaran lagi mantera seterusnya.

Hartini tiba-tiba menjadi garang. Menderam dengan mata buas menikam pandangan Karim. “Celaka! Aku tak suka engko! Pergi dari sini!”

“Siapa hang?” tanya Karim.

Hartini naik angin. Dihentaknya telapak tangan pada lantai ruang sorong itu. Bunyi hentakan itu mengejutkan semua. Sejurus selepas itu dia mula membuka bunga silat sambil terus menderam.

Sementara Karim membuka buah silat juga. Kemudian dia duduk tegak menunggu serangan batin daripada Hartini.

Hartini melihat ke arah Karim dengan pandangan yang begitu tajam dan riak muka yang amat bengis. Tidak lama kemudian dia terus menarik tangannya mendekati ketiak lalu meluruskannya sepantas kilat untuk melakukan jurus jarak jauh.

Serentak itu tangan Karim bergerak pantas menepis jurus jarak jauh Hartini itu. Ditepisnya jurus jarak jauh itu ke arah tingkap. Tingkap terbuka dan daunnya tergeleng-geleng menampar dinding luar. “Hang jangan degil! Beritahu aku siapa hang?!” jerkah Karim kemudian.

Hartini tersenyum sinis. Kemudian menderam lalu kumat kamit membaca mantera sambil mengangkat tangannya tinggi ke udara. Selepas itu dia pun menjatuhkan tangannya dengan laju. Menghentak lantai papan sehingga bergema rumah pusaka itu. Menyebabkan Azlan yang tidur nyenyak di bilik tidurnya terjaga. Serentak itu juga ada pusar angin yang menerpa ke arah Karim. Bajunya terketar-ketar dan daun tingkap yang terbuka tadi semakin galak menampar-nampar dinding luar. Karim berjaya menahan serangan batin Hartini itu dengan menampan pusaran angin batin itu dengan kedua tapak tangannya.

Hartini yang melihat keadaan Karim yang tidak apa-apa itu mulai ketakutan. “Pergi dari sini! Aku tak suka engko! Jangan kacau aku!”

Karim tersenyum sinis. “Katakan pada aku siapa hang?!” jerkah Karim.

“Pergi dari sini!!!” jerit Hartini.

“Hang degil ya. Hang masih tak kenal aku siapa aku, ya. Nah rasakan!” kata Karim lantas terus kumat kamit membaca mantera yang tidak dapat didengar lalu meniupkannya ke arah Hartini.

Hartini terhempas ke lantai. Berguling-guling sambil memegang-megang lehernya.

“Apa dah jadi Karim?” tanya Fauziah yang risau melihat keadaan Hartini. Dia bangun untuk mendapatkan Hartini.

“Jangan ke mari kak. Yakin pada saya. Saya bukan seksa Hartini. Saya dera benda yang ada dalam badan dia. Degil sangat tetapi syaitan ni pasti mengalah,” kata Karim.

Hartini meronta-ronta keras. Kedua-dua kakinya menghentak keras lantai. Matanya terbelalak berair. Air liurnya keluar meleleh merayap ke dagu yang sebahagiannya mencari leher dan sebahagiannya mencari lantai.

“Hang nak aku bunuh hang?!” tanya Karim.

“Celaka engko!!!” lawan Hartini walaupun kelihatan amat terseksa.

Karim kumat kamit membaca mantera lalu meniupkannya ke arah Hartini.

Hartini meronta-ronta dengan lebih kuat. Dia menjerit kesakitan lalu terpacullah dari mulutnya, “Tolong aku tuan! Tolong aku tuan!”

“Siapa tuan hang? Cakap!!!” tekan Karim.

Hartini terus meronta-ronta kesakitan. “Tuan aku, tuan aku ialah…” Hartini melihat kea rah ruang tengah. “Aku takut. Nanti dia dera aku.”

“Cakap!” balas Karim.

Mata Hartini sekejap ke ruang tengah dan sekejap pada muka Karim.

“Hang ni memang degil! Hang memang suka diseksa. Hang masih tak kenal siapa aku ya. Rasakan!” Karim menggengam kesemua jari tangan kanannya dan membaca mantera pada kepalan jari itu. Kemudian isi berupa mantera di dalam kepalan jarinya itu dilontar pada Hartini.

“Aduh sakit!!! Tolong aku tuan!!!” Kali ini pandangan Hartini terpacak pada Halimah.

Halimah tersentak bila dipandang begitu oleh Hartini.

“Siapa tuan hang?! Cepat cakap!!!” jerkah Karim lagi.

Hartini menahan sakit sehingga keluar air matanya. “Aku takut!” balasnya dan sekali lagi memandang tepat ke arah Halimah.

Halimah berasa tidak sedap hati. Dia tertanya-tanya sudahkah Mazlan ke sini bersama Ustaz Yahya.

Di rumah Ustaz Yahya, Mazlan sudah memberi salam untuk kali ketiga. Ketika dia berkira-kira hendak melangkah pulang, salamnya itu dijawab oleh seseorang. Pintu dibuka dan Ustaz Yahya tertegak di muka pintu.

“Ustaz, saya nak minta tolong. Anak menakan saya kerasukan,” kata Mazlan.

“Kerasukan? Siapa? Di mana?” tanya Ustaz Yahya.

“Anak Fauziah. Di rumah, ustaz,” jawab Mazlan.

“Kalau macam tu kita pergi lekas,” kata Ustaz Yahya lantas bergegas masuk semula ke dalam rumah dan kembali dengan tongkat dan kain selempangnya.

Karim tahu Ustaz Yahya sedang menuju ke rumah pusaka itu. Dia segera meneruskan rancangannya. “Cakap, siapa tuan hang?”

Badan Hartini melentik dan kemudian terhempas keras berulang kali. Akhirnya dia mengiring, melihat ke arah ruang tengah. Kemudian dia menangis dan berkata, “Sakit tuan! Sakit tuan!”

“Siapa tuan hang?!” jerkah Karim. Kali ini dia menarik nafas sehingga kedengaran deramnya.

Hartini terkebil-kebil hingga nampak mata putihnya. Mulutnya mulai berbuih.

“Cakap!!!” jerkah Karim lagi. “Aku akan tamatkan nyawa hang sekarang!”

“Maafkan aku tuan…” kata Hartini tersekat-sekat. Lalu dia pun menyambung kata, “Tuan aku, dia!” Jari telunjuk Hartini tepat ke arah Halimah.

Fauziah dan Khalid terkejut besar. Begitu juga dengan Kalsum yang benar-benar tidak menyangka tuduhannya selama ini kononnya benar. Kelima-lima pasang mata menikam muka Halimah.

Halimah yang paling terkejut, terkedu dengan kata-kata Hartini itu. Belum sempat dia menjawab, Karim terlebih dahulu bercakap.

“Siapa hang?” tanya Karim pada Hartini.

“Aku saka keluarga dia. Dia tuan aku sekarang,” kata Hartini lemah sambil menunjuk kea rah Halimah.

“Kenapa hang buat macam tu pada Tini, Limah? Hang tak suka kami mai sini ka? Hang tak suka Kalsum duk rumah ni ka?” tanya Fauziah yang beremosi.

“Apa kak cakap ni? Saya tak tahu langsung pasal saka ni,” jawab Halimah.

“Saka tu dah pecahkan tembelang Kak Limah. Kak Limah nak kata apa lagi? Sebab tu kak berani pujuk Abang Mazlan supaya jangan jual tanah Permatang Tinggi tu kan?” Kalsum mula masuk campur.

“Apa yang hang kata ni Sum?” balas Halimah dengan nada suara yang lembut.

“Hang nak bolot semua ke Limah? Sampai hati hang!” tanya Fauziah dengan suara yang tinggi. Dia marah bukan kepalang. Halimah dilihatnya dengan penuh kebencian.

Halimah tersentak. Hatinya terhiris dengan kata-kata kakak iparnya itu. Dia yang tidak tahu hujung pangkal itu mendapati dirinya diserang dari segenap penjuru.

“Cek tak sangka kak Limah sanggup nak halau cek sekeluarga,” kata Kalsum bernada sayu.

Halimah sekejap tersentak dan sekejap terpinga-pinga. Tidak faham dengan tuduhan-tuduhan liar ipar-duainya itu. “Apa yang Sum dan Kak Fauziah cakap ni. Saya tak faham. Saya tak pernah nak halau sesiapa dari rumah pusaka ni. Saya tak pernah nak bolot semua harta arwah abah.”

“Habis tu kenapa benda Kak Limah ni kacau kami?!” tanya Kalsum, mengherdik Halimah.

“Benda apa?” tanya Halimah.

“Hantu yang ada dalam badan Tini tu,” jawab Kalsum selepas ketawa sinis.

“Kak tak membela hantu!” balas Halimah, tegas. “Kak masih tahu halal haram dalam agama ni. Kak tahu akibat syirik! Tak cium bau syurga!”

Kalsum ketawa menyindir lagi. “Sudah pecah tak kan hendak mengaku…” katanya kemudian sambil menjuih mulut.

“Limah, cepat panggil hantu tu keluar dari badan anak aku!” kata Fauziah.

Hartini terkebil-kebil matanya dan badannya menggeletar. Kemudian dia rebah ke lantai. Kepalanya menghentak kuat lantai. Dia menggelepar deras.

“Apa jadi pada Tini ni, Karim?” tanya Khalid.

“Tuan dia suruh saka ni seksa Hartini,” jawab Karim.

Hartini terus menggelupur macam ayam baru lepas disembelih. Dadanya turun naik laju dan matanya terkebil-kebil.

Fauziah yang melihat keadaan Hartini itu menangis semahu-mahunya. Dia melihat Halimah. “Jangan seksa anak aku, Limah. Tolong, Limah…” katanya lalu menyembah Halimah.

Halimah yang tidak tahu apa-apa ikut menangis. “Saya tak tahu apa-apa kak. Demi Allah saya tak tahu apa-apa kak.”

“Jangan suka-suka hati bersumpah dengan nama Allah, kak. Nanti makan diri!” marah Kalsum.

Halimah terus menitiskan air mata.

“Keluarkan hantu hang tu Halimah! Aku kata keluarkan hantu hang tu Halimah!” tengking Khalid.

Halimah ketakutan. Yang mampu dibuatnya adalah menitiskan air mata.

Fauziah beralih kepada Karim. “Tolong anak kakak Karim. Tolong Tini, Karim,” rayunya.

“Saya boleh tolong. Kalau saya tarik benda itu, tuan dia pasti tumbang,” jawab Karim.

“Tarik cepat Karim. Tarik!” arah Fauziah.

Azlan yang terjaga sudah berada di muka pintu. Dia mendengar kebisingan dari tingkat atas. Terus naik tangga dan kini berdiri di muka pintu. Sebaik sampai ke situ dilihatnya kekalutan yang berlaku di ruang tengah dan sorong itu. Dia melihat Hartini yang menggelepar dan tangis Fauziah dan ibunya. Anak tangga berkeriut dipijak orang. Azlan memandang ke bawah. Abahnya dan Ustaz Yahya baru sampai.

Karim membaca mantera dan serta merta Hartini tidak lagi menggelepar-lepar dan beberapa saat kemudian dia pun pulihlah. Serentak dengan itu, di ruang tengah, Halimah yang bersimpuh sejak tadi tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri.

Mazlan dan Ustaz Yahya sampai di tingkat atas.

“Hah Mazlan, sampai pun hang. Bawak bini hang ke bawah. Aku tak nak tengok muka dia lagi!” marah Fauziah sebaik melihat Mazlan.

Mazlan yang tidak tahu apa yang berlaku tersentak dengan kata-kata Fauziah. “Apa yang terjadi ni, kak? Cek tak faham,” katanya.

“Dialah punca semua ni! Hang tu dah terkena dengan dia apa!” balas Fauziah.

“Apa kakak cakap ni?” tanya Mazlan.

“Sudahlah kak, abang, jangan sebab Kak Limah ni kita adik beradik bergaduh,” celah Kalsum.

“Cepat bawa dia turun. Aku tak nak tengok muka dia lagi!” jerit Fauziah.

Mazlan mencepung Halimah. “Apa salah isteri saya ni kak?” tanya Mazlan.

“Dia bela hantu! Saka dia tu yang kacau Tini. Hang tak faham lagi?!” marah Fauziah. “Nasib baik anak aku tak mati!”

Ustaz Yahya dan Mazlan beristighfar hampir serentak.

“Tak elok tuduh yang bukan-bukan, Fauziah,” kata Ustaz Yahya.

Fauziah buat tidak dengar nasihat Ustaz Yahya. Dia terus pergi mendapatkan Hartini. Memeluk anak sulungnya itu dengan penuh kasih sayang. Hartini menangis dan Fauziah ikut menangis.

“Saya kenal isteri saya kak. Dia takkan buat benda-benda syirik macam tu,” kata Mazlan.

“Takkan Kak Limah nak beritahu abang…” kata Kalsum.

Mazlan memandang tajam Kalsum. “Hang cakap baik-baik sikit Sum. Hang ada bukti? Tunjukkan aku bukti Kak Limah ni membela.”

“Benda dalam badan Tini yang mengaku tuannya Kak Limah,” jawab Kalsum, penuh yakin.

Mazlan menggeleng-gelengkan kepala. Berasa meluat dengan jawapan Kalsum itu. “Hang tahu apa benda yang merasuk Tini tadi?”

“Saka Kak Limahlah. Apa lagi?” Kalsum menjawab. Nadanya melawan.

“Hang kenal saka tu?” tanya Mazlan.

Kalsum diam.

“Kalau hang tak nampak, macam mana hang percaya cakap dia? Kalau dia menipu?” tanya Mazlan.

“Sudahlah bang. Bawa sajalah Kak Limah tu ke bawah. Nanti entah siapa lagi yang kena rasuk,” balas Kalsum.

Mazlan merah mukanya kerana menahan marah dan terus beredar dari situ. Ustaz Yahya dan Azlan mengekorinya turun ke tingkat bawah. Sementara Mazlan masuk ke dalam bilik tidur untuk meletakkan Halimah di atas katil dan diikuti oleh Azlan, Ustaz Yahya pula ke ruang tamu seperti yang diminta oleh Mazlan.

Halimah kembali sedar sebaik badannya diletakkan oleh Mazlan di atas tilam di dalam bilik tidur mereka itu. Badannya terus terbidas tegak sebaik melihat Mazlan dan terus memeluk erat suaminya itu. Dia menangis di bahu suaminya itu.

“Mah tak salah bang…” kata Halimah dalam nada yang amat menyayukan.

“Ya, ya, abang tahu,” jawab Mazlan. “Mah rehat dulu. Abang nak pergi jumpa Ustaz Yahya sekejap. Dia berseorangan di ruang tamu. Azlan, jaga ibu ya?”

“Ya, abah,” jawab Azlan dan terus naik ke atas katil.

Halimah melepaskan pelukan dan kemudian mengesat air mata.

Mazlan ke ruang tamu lalu berbual dengan Ustaz Yahya.

“Apa pendapat ustaz?” tanya Mazlan.

“Isteri engkau tak bersalah,” kata Ustaz Yahya.

“Kenapa benda tu kata ia saka isteri saya?” tanya Mazlan.

“Tipu daya syaitan, Mazlan. Kena hati-hati. Ia sembunyi dalam terang dan menjelma dalam gelap,” jawab Ustaz Yahya.

“Habis tu benda tu siapa yang punya?” tanya Mazlan lagi.

“Wallahu a’lam,” jawab Ustaz Yahya. “Saya balik dululah Mazlan. Berdoa banyak-banyak. Insyallah, Allah akan tunjukkan kebenaran,” sambungnya.

Mazlan mengangguk. “Baik, ustaz. Terima kasih kerana datang sini. Maafkan saya jika ganggu tidur ustaz.”

“Tak ada apa-apa Mazlan. Pergilah tengok Halimah tu,” balas Ustaz Yahya lalu bangun dari sofa dan terus menuju ke pintu.

Ustaz Yahya pulang ke rumahnya. Mazlan kembali ke bilik tidur.

Halimah menceritakan kepada Mazlan semua yang berlaku sebaik suaminya itu keluar rumah untuk memanggil Ustaz Yahya sehinggalah sebelum dia jatuh pengsan tadi.

“Abang, Mah tak pernah ada niat setitik pun dalam hati ini hendak kuasai rumah pusaka dan tanah peninggalan arwah abah,” kata Halimah. Dia sebak dan kemudian menangis tersedu sedan.

Mazlan memegang tangan isterinya. “Abang faham. Maafkan kakak dan adik abang. Mereka berdua terlalu mengikut perasaan. Sudah tak nampak yang mana benar dan tidak. Tambah-tambah lagi Si Sum tu. Mulutnya bukan Mah tak tahu. Lancang,” katanya.

Halimah mengangguk. Tetapi dia tidak dapat rela dengan tuduhan itu. Tuduhan itu terlalu berat.

“Mah bersabar ya,” kata Mazlan.

Halimah diam seketika. Dia memandang wajah Mazlan. “Abang…” katanya sebak bila memikirkan peristiwa beberapa hari sebelum arwah bapa mertuanya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir. “Mah rasa eloklah kita berpindah dari sini. Dan abang setujulah jual tanah Permatang Tinggi tu. Itu dapat mematikan tuduhan adik beradik abang tu.”

“Mah sudah lupa pesan arwah bapa?” tanya Mazlan yang berat hendak setuju dengan saranan isterinya itu.

“Mah ingat, abang. Tetapi keadaan memaksa kita melupakan pesanan itu,” jawab Halimah. Air matanya bercucuran lagi. Azlan memeluknya lalu menangis teresak bersamanya. Dia terkenangkan semula peristiwa hari-hari terakhir sebelum kematian bapa mertuanya itu. Dia ternampak bapa mertuanya yang berbaring lemah di atas katil itu menggamit Mazlan dan dirinya. Terngiang di telinganya kata-kata bapa mertuanya itu, “Hangpa berdua mesti tinggal di rumah ni tak kira apa jadi. Jangan sesekali tinggalkan rumah ni. Jaga rumah ni elok-elok. Ini rumah pusaka. Di sekeliling rumah ni dulu penuh pondok mengaji.” Beberapa orang tua di kampung ini yang menziarahi bapa mertuanya ketika itu menjadi saksi akan peristiwa itu.

“Bagi abang masa untuk fikir. Hal ni hal besar. Tak boleh terburu-buru buat keputusan. Sabar ya,” jawab Mazlan.

Halimah mengangguk. Dia tahu Mazlan keberatan untuk menerima saranannya itu. Dia teringat Mazlan pernah berkata kepadanya jikalau boleh, dia mahu mati di dalam rumah pusaka ini. Diziarahi oleh orang-orang kampung yang datang membacakannya yasin sepanjang hari sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Seperti yang berlaku kepada arwah datuk dan abahnya. Dia mahu mengikuti jejak langkah mereka di hari-hari terakhir menemui maut.

Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FitriHussin