Home Novel Lucu BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
Rizal Rahman
17/8/2017 01:09:59
81,202
Kategori: Novel
Genre: Lucu
Bab 6


So far so good. Kami sekarang berada di atas sampan di tengah laut menuju ke pulau Auf. Terus terang aku cakap, aku tak pernah mendayung sampan seumur hidup aku. Macam nak tercabut urat lengan aku. Tapi apo nak buek, terpaksalah mencuba. Lagipun takkan aku nak biar budak dua ekor tu saja yang berdayung. Nasib baik juga malam ini laut tak bergelora.

“Aku rasa tak sedap hatilah,” Kuzi bersuara memecahkan kesunyian. Mulalah nak celupar tu.

“Don’t worry, kawan. Barua-barua Jef tak kan dapat nak trace kita bila dah tengah laut camni,” jamin Razin. “Diaorang tu bukannya berani keluar malam-malam buta ke laut. Eksyen je lebih. Kecualilah bot-bot peronda-peronda bangsa Gayat.”

“Maksud kau, bot yang macam tu?” Kuzi menuding ke arah sebuah bot yang nampak samar-samar di belakang kami.

“Ha’ah. Diaorang tu biasalah malam-malam macam ni meronda... eh! Alamak! Mampus kita! Alahai, macam mana ni, kalau dia jumpa kita alamat rosak la rancangan.”

“Ala, kata la kita memancing,” aku mencadangkan. Bila fikir lagi sekali, aku rasa cadangan itu bodoh pula sebab kalau memancing, mana pancingnya? Satu alat memancing pun tak bawa.

“Diaorang dah keluarkan undang-undang yang sesiapa pun tak boleh ke laut pada malam hari kecuali ada pas. Ajep ada simpan pas tu tapi tak sempat bagi kat aku. Adoi!”

“Kalau takde?” tanyaku.

“Bunuh.”

“Aaaa... amacam ni, apa kita nak buat?” Kuzi mula ketar. Aku pun sama. Ingat boleh main-main ke benda macam ni?

“Apalagi, terjun le!”

“Takde alternatif lain ke Zin?” aku bab-bab macam ni yang aku tak suka ni.

“Kalau kau nak kena sula, kau tunggu la atas sampan ni. Aku tak mahu!” balas Razin sambil terjun ke dalam air.

“Hoi! Aku pun tak mahulah!” mahu tak mahu terpaksalah juga aku mencemar duli berendam dalam air.

“Pergi jauh sikit dari sampan tu. Ha, dia datang. Selam!”

Inilah saat yang paling suspen dalam hidup aku. Menyorok dalam air? Tak pernah langsung aku terfikir adegan macam ni. Nasib baik kami menyelam jauh dari sampan. Boleh juga timbul sembunyi-sembunyi ambil nafas. Dan nasib baik jugalah malam itu bulan tak ada! Dan nasib baik jugalah setan-setan tu tak lepak lama kat area tu. Aku pun tak tahu macam mana metodologi kerja mereka. Kalau jumpa sampan kosong tengah-tengah laut, check-check lah mana tahu tuan punya sampan tu menyorok kat dalam air. Ini tidak. Tak sampai seminit diaorang dah blah. Malas kerja la tu.

“Fuh, macam nak pecah dada aku ni!” Kuzi timbul tercungap-cungap. “Hah, diaorang pecahkan sampan kita! Jahanam punya bot. Aku sumpah…”

“Sssyy, pelan-pelan le sikit. Nanti dia datang balik baru kau tau,” marahku. Macam ni rupanya cara mereka bekerja. Main pecah-pecah sampan. Terpaksalah kami berpaut ke papan serpihan sampan.

“Apa nak buat ni, Zin?” aku tenggelam punca.

“Apalagi, berenang la ke pulau Auf,” pintas Kuzi.

“Ha, takde cara lain lagi ke?”

“Ada. Kau menjerit panggil bot tu suruh hantar kita ke sana.”

“Ceh, bodoh.”

“Korang ni masa macam ni pun nak main-main,” Razin memotong. “Sudah. Jom kita berenang. Bukannya jauh sangat pun. Dah nak dekat dah. Ada dalam sepuluh batu lagi.” Hah, sepuluh batu tu dia kata dekat?

“Laut macam ni punya luas, takde jerung ke, Zin?” tanya Kuzi dengan innocentnya.

“Hoi, apa celupar sangat mulut engkau ni!” marah Razin. “Buatnya binatang tu datang betul, baru kau… Alamak, dia ada kat belakang korang!”

Aku dan Kuzi menoleh ke belakang. Jerung-jerung harimau sedang memecut dengan lajunya ke arah kami!

“Cabut!”

Bertempiaran kami berenang melarikan diri. Nak lari ke mana? Kenapalah banyak sangat musibah ni! Memekik-mekik kami menjerit minta tolong. Siapa yang dengar? Jerung-jerung semakin dekat. Alahai… Aku dengar Kuzi dah mula mengucap. Ini yang buatkan aku hilang semangat.

“Kebush!” tiba-tiba kedengaran bunyi debur air yang kuat. Air laut memercik macam tempias hujan. Eh eh bukan air saja tapi darah... Darah! Aaaaaaaa Razin dengan Kuzi dah kena baham ke? Mana diaorang ni? Aku cuba mencari mereka tetapi tidak berjaya. Yang aku nampak cuma jerung-jerung terloncat-loncat macam ikan lumba-lumba beberapa meter di hadapanku. Kenapa jerung-jerung itu berkumpul di situ? Kenapa tak kejar aku?

Air laut sekelilingku mula berbau hanyir. Jerung-jerung itu sudah tidak kelihatan. Mungkin mereka sedang meratah mangsa mereka di dalam air. Razin dan Kuzi sudah mati. Mati! Aku tak sangka begini kesudahannya. Selepas mereka membaham Razin dan Kuzi, giliranku pula akan tiba. Tidak ada apa lagi yang dapat aku buat sekarang.

“Isyk... Kuzi... Razin... Macam mana boleh jadi macam ni... Isykk....Tolong! Tolong!” aku mula meraung tak tentu hala. Lantaklah kalau bot Gayat dengar, aku dah tak peduli dah.

“Hoi! Diamlah!” hah, suara siapa pulak ni. Mesti bantuan sudah sampai. Tak kisahlah bangsa Gayat ke, mayat ke, yang pentingnya aku lebih rela mati di darat daripada mati dibaham jerung. Eh, mana pula orangnya ni? Ha, tu dia, tu dia. Tapi kenapa mereka berenang aje? Ada kapal selam ke?

“Encik, tolong saya encik. Jerung tengah baham kawan-kawan saya. Bawa saya ke tempat yang selamat sebelum jerung-jerung tu serang saya pulak...”

“Apa berencik-encik ni, Dil?” itu suara Razin!

“Jerung baham siapa?” itu suara Kuzi!

“Alamak, mimpi ke aku ni? Macam mana korang boleh hidup lagi?”

“Bila masa pulak aku dengan Kuzi mati?” Razin hairan.

“Aku mati-mati ingat korang dah dimakan jerung.”

“Ya Rabbi, ngerinya sangkaan kau tu. Kitaorang menyelamlah nak lari dari jerung-jerung tu. Menyelam dalam air lagi laju dari berenang, tau tak?” Razin bersungguh-sungguh memberitahu.

“Tapi kenapa jerung-jerung tu tak kejar kita lagi? Mana samdol-samdol tu pergi?” tanya Kuzi.

“Manalah aku tahu. Sedar-sedar je aku tengok binatang-binatang tu terloncat-loncat lepas tu hilang. By the way, kenapa banyak sangat darah ni?” aku pula bertanya balik.

“Korang, aku rasa, aku tahu apa yang terjadi. Jerung-jerung tu dah kena baham...” suara Razin merendah.

“Maksud kau, ada binatang lain kat dalam air yang baham diaorang?” ini yang buat aku tak sedap hati ni. Ada naga ke kat laut ni?

“Aku rasa...” Razin tak jadi hendak meneruskan kata-katanya kerana tiba-tiba air di depan kami berkocak kuat, berbuih-buih macam ada benda besar nak timbul. Bala lagi. Dalam keadaan yang gila suspen tu, aku rasa macam nak pitam apabila melihat benda tu muncul dengan gagahnya di depan kami. Killer whale!

Ini rupanya yang membaham jerung-jerung tu. Lari! Lari! Aku berteriak dalam hati tetapi kakiku macam dah terlekat di air. Razin dan Kuzi pun sama. Kami tak larat nak berenang dah.

“Aaa, dia tengok kita, Dil. Habis la kita. Lepas satu-satu,” Kuzi menggeletar.

Hancurlah harapan kami bertiga untuk menyelamatkan pulau Goma dan pulau Auf. Punahlah segala impian aku selama ini untuk menamatkan zaman bujangku dengan Mira Filzah. Kami semua tak dapat hendak berkata apa-apa lagi. Aku lihat budak-budak tu memejamkan mata dengan mulut terkumat-kamit. Berdoalah tu. Aku pun ikut sama. Hanya itu yang dapat dilakukan dalam menghadapi saat-saat akhir ini.

Masa berlalu tetapi tak ada apa-apa yang berlaku.

“Engkau tak kenal aku ke, Nerau?”

“Aku memang kenal kau. Kau Adil.”

“Eh, Razin. Bukan aku yang bercakap tu.”

“Aku pun bukan,” kata Kuzi.

Kami membuka mata. Ikan paus itu sedang merenung muka kami.

“Kau tak kenal aku lagi ke Nerau?”

Aaaa, ikan paus boleh bercakap!


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rizal Rahman