Home Novel Lucu BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
Rizal Rahman
17/8/2017 01:09:59
70,608
Kategori: Novel
Genre: Lucu
Bab 15


Macam bermimpi aje. Tup tup sudah seminggu berlalu sejak bangsa Gayat dikalahkan di pulau Auf. Aku paling tak boleh lupa peristiwa tawanan mengamuk di Penjara Izzie tu. Dapat saja senjata, semua tunjuk skill. Semua menyerbu keluar. Aku juga yang tertinggal di belakang. Sedar-sedar saja bila aku sampai di padang kawat, askar-askar Gayat sudah bergelimpangan atas tanah. Rasa-rasanya tak ada seorang askar Gayat pun yang tidak kena bunuh. Semuanya mampus. Brutal sungguh mereka ini. Faham-faham sajalah, dah lama kena siksa dalam penjara, kerja nak membalas dendam sampai puas hatilah. Nampak saja kurus kering tetapi rupa-rupanya power. Mana taknya, askar Gayat yang diserang itu langsung tak bersiap sedia. Mana mereka nak jangka yang orang penjara boleh terlepas dan menyerang serentak ramai-ramai.

Yang aku rasa nak tergelak ialah peristiwa penaklukan markas besar Gayat. Selepas kejayaan di Penjara Izzie, aku dengan machonya diiringi oleh tahanan-tahanan ke markas besar. Kononnya aku sebagai panglima besar dah kena tawanlah tu. Askar-askar di markas besar dengan bangangnya meletakkan senjata apabila melihat aku dikawal oleh tahanan-tahanan yang bersenjata. Aku rasa macam tak percaya yang mereka semua akan menyerah diri semudah itu. Aku ingat askar-askar bawah saja yang bodoh membuta tuli taat kepada ketua tetapi rupa-rupanya pegawai-pegawainya pun sama. Macamlah Datuk Nasha tu hebat sangat. Mereka boleh saja buat ugutan hendak bunuh Kuzi dan Razin yang terkurung dalam markas tetapi mereka langsung tak buat. Tak reti nak berstrategi langsung. Sekarang ini mereka semua sedang dikurung di Penjara Izzie. Padan muka!

Orang yang paling glamour sepanjang hari kemenangan itu sudah semestinya aku. Saingan terdekat aku ialah Sean Connery. His, macammanalah aku boleh tak terfikir yang orang tua tu sebenarnya Datuk Zeq, ayah angkat Razin. Sesak sekejap nafas aku bila tengok dia dan Razin berpeluk-peluk bila berjumpa, dan aku rasa kecil macam tikus bila Razin memperkenalkan dia kepadaku. Aku punyalah tak tahu nak sorok muka di mana. Dahlah semasa di penjara aku langsung tak tunjuk hormat kat orang tua tu. Tapi kalau difikir-fikir salah dia juga yang menyebabkan aku berkelakuan macam tu. Siapa suruh dia tak perkenalkan dirinya di penjara tu?

Hmmm... Sekarang keadaan di pulau Goma dan Auf sudah stabil. Datuk Zeq sudah kembali bertugas sebagai ketua gugusan pulau. Semasa dia balik, penduduk pulau Goma punyalah terkejut. Punyalah selama ini mereka sangka dia sudah mati. Aku rasa mesti ramai yang termalu sebab tak ada seorang pun antara mereka yang terlibat secara langsung dalam misi menentang bangsa Gayat. Kalau adapun cuma mereka yang ditawan di Penjara Izzie. Punyalah mereka menangis-nangis menyesal di depan Datuk Zeq. Aku rasa nak lepuk aje mereka tu. Tapi Datuk Zeq itu terlampau baik sangat. Senang-senang saja dia maafkan mereka. Alasannya, mereka tidak tahu, mereka terpengaruh dengan dakyah palsu orang Kaya Jef dan pembantunya Kakjah. Antara yang tiba-tiba insaf ialah pengikut orang Kaya Jef sendiri. Nak selamatkan batang leher mereka sendirilah tu, macamlah aku tak tahu.

Ha, cakap pasal orang Kaya Jef dan Kakjah ni, aku masih terbayang-bayang pertikaman lidah antara mereka berdua dan Datuk Zeq. Ada ke patut semasa Datuk Zeq dan orang-orangnya datang ke rumah mereka dengan tujuan untuk berdamai, mereka tuduh dia macam-macam. Mereka berkeras yang Datuk Zeq sudah mati dan Sean Connery itu menyamar jadi dia. Macamlah aku tak tahu taktik mereka untuk menutup kemaluan... eh keaiban mereka di depan penduduk pulau Goma yang mereka hasut selama ini. Yang aku geram sangat tu si Jef boleh tuduh aku, Kuzi dan Razin sebagai dalang yang membawa Datuk Zeq palsu ke pulau Goma. Celaka betul. Tapi pengikut-pengikutnya sendiri dan penduduk pulau Goma sudah tidak percaya lagi dengan cerita-cerita dongengnya. Semuanya terus menyerbu ke atas rumahnya. Dalam sebuah bilik di rumah itu, Ajep terlantar dengan baju yang koyak rabak dan badan yang kurus kering dan bercalar-calar. Teruk dia kena siksa dengan malaun dua ekor tu. Masa itulah aku nampak muka Datuk Zeq merah menyala. Sebelum ini dia selalu cool saja. Siapa yang tak panas hati melihat anak sendiri disiksa sampai begitu teruk sekali. Terus dia capai pedang hendak menyerang Orang Kaya Jef. Fuh! Itulah pertarungan yang paling dahsyat yang pernah aku tengok. Depan mata aku sendiri mereka terbang-terbang macam dalam filem lakonan Jet Li. Hebat sungguh silat mereka. Tak ada siapa berani masuk campur apabila mereka bertarung. Aku mulanya tergerak juga hendak membantu Datuk Zeq tetapi bila aku nampak pedang mereka berpusing-pusing macam kipas helikopter, aku terus patah semangat. Silap-silap nanti mahu pedang itu terlibas kena aku. Baik aku tengok saja. Yang Kakjah pula, awal-awal lagi sudah tertiarap kena belasah. Habis lebam-lebam badan gemuknya tu. Mana taknya, semua yang hadir pada hari tu berpeluang menghentam dia, termasuklah dengan aku sekali. Hebat macamnanapun dia, kalau dah berpuluh orang menyerang serentak, kantoi juga. Orang-orang pulau Goma ni bukan pelakon aksi Bollywood yang suka sangat tunggu giliran bila segerombolan penyerang melawan seorang. Itu pun kira dia bernasib baik sebab penyerang-penyerang itu tidak menggunakan pedang. Kalau tidak, mahu hilang identiti Kakjahnya. Mesti lumat kena cincang.

Sepertimana yang aku jangka, Orang Kaya Jef terbaring berlumuran darah. Sudah resam cerita, orang baik mesti menang. Aku sejak mula pertarungan mereka asyik terbayang-bayang filem Highlander saja. Jangan-jangan Datuk Zeq ini memang Sean Connery yang sebenarnya tak? Ceh, mulalah nak merapu tak tentu hala aku ni. Tabik Sean Connery eh... tabik Datuk Zeq!

Eh, dah lama rasanya aku di sini. Aku sebenarnya tengah bersiar-siar sekitar pantai pulau Goma dengan menggunakan bot bangsa Gayat yang telah dirampas. Bot free, takkan aku nak sia-siakan saja. Bukannya barang hiasan. Lagipun petang-petang hari macam ini aku tak tahu hendak buat apa. Takkan hendak berbaring saja di rumah Datuk Zeq itu. Dahlah selepas makan tengahari tadi aku membuta. Sedar-sedar hari dah petang. Budak Kuzi dan Razin pula sudah lesap sejak tengahari tadi. Ke mana entah. Kureng betul budak-budak ni tak kejutkan aku. Terpaksalah aku senyap-senyap buat program sendiri. Nak ajak Ajep, dia pun masih belum pulih lagi. Takkan aku nak ajak Datuk Zeq. Orang tua macam dia tu bukannya suka sangat bersiar-siar. Perkara yang paling dia suka ialah bermesyuarat. Sejak dia balik, boleh dikatakan tiap-tiap hari dia buat mesyuarat di balai raya. Agenda yang paling diminatinya ialah ‘Strategi Menghadapi Kemungkinan Serangan Balas Dari Negara Gayat.’ Bosannya aku.

Hmmm... Langit pun sudah mendung nampaknya. Baik aku balik ke pulau. Hari pun sudah petang. Kalau... Eh, bila masa pula ada pulau di belakang aku ni? Baru timbul ke? Tiba-tiba aku tersedar. Objek itu bukannya sebuah pulau kerana ia kelihatan bergerak menuju ke arahku. Yaya si ikan paus ke? Tapi bila benda itu mendekat saja, alamak! Bunyi itu semakin lama semakin bergemuruh, menggempa. Ombak besar rupanya! Tolong!

Aku betul-betul cemas. Aku cuba untuk menukar haluan bot supaya terlepas daripada ombak besar itu. Namun begitu, ombak yang sebegitu besar itu tidak membenarkan bot itu melarikan diri daripadanya. Ia langsung tak dapat bergerak walaupun aku mengayuh sepenuh tenagaku. Aku seolah-olah dapat merasakan sesuatu muslihat di balik serangan ombak itu. Sihir?

Dalam sekelip mata saja, ombak besar itu menghempas bot. Aku dapat mendengar bunyi papan bot hancur berkecai dipukulnya. Aku terhumban ke belakang. Aduh, sakitnya!

Aku cuba berenang melawan gelombang tapi sia-sia sahaja. Aku rasa macam ditarik oleh sesuatu dari dasar laut. Raksaksa ke? Ulp! Aku mula tenggelam. Suasana sekelilingku kabur. Kedengaran suara jeritan memenuhi pendengaranku. Aku menutup telinga. Suara malaikat maut ke tu? Ngerinya! Nafas aku mula sesak.

Jeritan itu menghilang apabila aku terasa tubuhku terbaring di atas lumut yang lembut. Aik, aku boleh bernafas! Boleh bernafas di dalam air? Eh, ini bukan di dalam air. Ini seperti sebuah padang. Padang lumut yang luas. Lumutnya bagaikan permaidani. Aku termangu-mangu kebingungan. Di mana aku ini? Aku dah mati ke? Kudongak ke atas. Kelihatan langit berwarna ungu seolah-olah mahu menelan aku. Kakiku terbenam di lumut yang seakan-akan bergerak memagari kakiku. Aku terpegun sejenak sambii mendongak ke langit melihat segumpal awan hitam yang sedang berarak. Alam mana pulak ni? Alam barzakh ke?

Tiba-tiba sejalur cahaya berwarna merah muncul daripada awan hitam itu. Bagaikan sebutir tahi bintang, ia menjunam ke bawah lalu menembusi lumut. Kemudian ia lenyap dalam kesunyian di padang lumut ini. Aku terasa seram sejuk.

Suasana sunyi ini tidak kekal lama. Tiba-tiba sahaja ia dinodai oleh satu bunyi yang menggerunkan, seakan-akan hilaian pontianak. Kemudian muncul satu lembaga putih lutsinar dari dalam lumut beberapa rantai di depanku.

Aku kaget seketika melihat lembaga itu. Bentuknya serupa dengan manusia biasa tetapi dia mempunyai sepasang tanduk di kepalanya. Dengan mukanya yang putih dan matanya yang seakan-akan permata, dia merenungku. Tajam sekali renungannya. Aku menundukkan mukaku dan memejamkan mataku kerana tidak tahan untuk menentang renungan matanya. Tubuhku menggigil ketakutan. Inilah agaknya yang dikatakan malaikat penyiksa dalam kubur. Tapi ustaz aku masa di sekolah rendah dulu kata malaikat itu ada dua. Satu namanya Munkar dan yang satu lagi Nakir. Kenapa dia ini seorang saja? Aku mula terasa sangsi. Betul ke aku dah mati ni? Atau semua ini hanya mainan sihir. Kalau aku belum mati, siapa pula lembaga ini? Hantu laut?

“Angkat kepalamu dan lihatlah aku,” tiba-tiba lembaga itu bersuara. Suaranya seperti suara raksasa, bergema memecah kesunyian di padang lumut ini. Eh, aku rasa aku pernah mendengar suaranya. Cuma kali ini agak besar dan menggerunkan. Siapa ya?

Aku mengangkat kepalaku. Kelihatan dia sudah menukar pakaiannya. Sekarang dia memakai baju besi dan sarung kepala bagaikan seorang pahlawan. Apalah yang dia mahu dari aku ni. Takkan nak suruh aku berlawan dengan dia.

Lembaga itu mendepakan tangannya. Tidak lama kemudian kulihat dua bilah pedang menjelmna lalu terpegang dengan kukuh di kedua-dua belah tangannya. Selepas itu dia melontarkan sebilah daripada pedangnya itu ke arahku. Pedang itu terbenam di lumut.

“Ambil pedang itu dan tentanglah aku,” suruh lembaga itu. Aku dah agak dah.

“Menentang kau, untuk apa?” aku cuba berdolak dalik. Tolonglah, aku tak mahu berlawan lagi. Cukuplah sekali aku bergasak dengan Datuk Nasha.

“Jangan banyak cakap. Tentanglah aku sehingga salah seorang di antara kita terbunuh,” lembaga itu terus berkeras.

“Tapi aku tidak pernah buat silap apa-apa kat kau. Kau pun macam tu jugak,” bantahku.

“Sudah kukatakan tadi. Jangan banyak cakap! Tentang saja aku! Kalau kau tidak mahu, biar aku saja yang bunuh kau!”

Serentak dengan kata-katanya itu, dia menghunus pedangnya. Kemudian dia membuka langkahnya sambil menghunuskan pedangnya itu. Benar-benar seperti seorang pahlawan yang gagah perkasa. Ini yang aku tak suka ni.

Tiba-tiba dia menyerangku sambil menghayunkan pedangnya ke arahku. Secepat kilat aku mengelak cemas. Fuh! Nyaris aku mampus tadi.

“Nampaknya kau betul-betul mencabar aku ya!” aku segera mencabut pedang yang terbenam di lumut. Aku menghunus pedang itu. Aku berasa gentar juga hendak menentangnya tetapi apa boleh buat. Aku tidak tahu menahu langsung sebab dia ingin bersengketa denganku. Tawakkal sajalah.

Aku segera membuka langkahku. Bila lembaga itu melihatku bersedia untuk menentangnya, diapun menyerangku sekali lagi. Pertarungan yang berat sebelah pun berlaku antara kami berdua. Aku berkali-kali menerima tendangan daripadanya. Tubuhku terasa amat letih dan lesu. Lembaga itu menguasai arena pertarungan. Aku tidak tahu sama ada dia berasa letih atau tidak tetapi matanya sudah mulai menjadi merah menyala seperti menyimpan perasaan marah dan benci yang amat sangat.

Aku menghayun pedangku dengan lemah ke arahnya. Dengan mudah dia mengelak lalu melepaskan sebuah tendangan yang kencang ke mukaku. Aku terdorong ke belakang lalu jatuh tertiarap di atas lumut. Adoi!

Mungkinkah hayunan pedangku tadi merupakan hayunan yang terakhir?

Aku tidak dapat bangun. Kekuatanku telah hilang. Rasa ngilu merayap di segenap sendiku. Lembaga itu melangkah ke arahku. Dia menekan-nekan hujung pedangnya ke tengkukku. Kakinya betul-betul berada di depan mukaku. Habislah aku kali ini.

“Ajalmu sudah sampai, kawan. Kematianmu ini akan disusuli oleh kematian demi kematian. Kawan-kawanmu yang lain akan menjadi mangsaku seterusnya,” dia bersuara penuh angkuh.

“Jangan bunuh aku,” rayuku.

“Begitu mudah untuk merayu setelah kau dan kawan-kawanmu menghancurkan harapanku. Aku mahu takhta bangsa Gayat di tanganku dan aku telah merangka siasahku sendiri tapi kamu menggagalkannya. Terimalah mautmu sekarang.”

Dia mengangkat pedangnya. Tak lama lagi badanku akan hancur diradak-radak oleh pedang itu. Kakinya melangkah ke depan sedikit.

Namun ternyata yang Allah masih sayangkan hamba-Nya. Dalam situasi yang genting itu aku tiba-tiba saja mendapat satu idea untuk menyelamatkan nyawaku. Aku berteriak,” Nanti!”

Dia terhenti sebentar. Peluang ini kugunakan untuk menjatuhkannya. Dengan pantas aku menangkap kakinya yang berada di depanku lalu menarlknya. Dia hilang pertimbangan lalu jatuh terbaring di depanku. Dengan kekuatan yang masih tersisa, aku segera mencapai pedangku lalu meluru dan menikam dadanya. Dia tersentak oleh tindakanku yang tidak diduganya itu tetapi dia sempat menendang tubuhku. Aku terhumban ke belakang.

Aku bangun. Kedengaran dia sedang mengerang kesakitan. Aku cuba menghampirinya tetapi sejalur cahaya seakan-akan warna pelangi muncul lalu mengelilingi dirinya. Pancaran cahaya itu menyakitkan mataku. Kemudian cahaya itu lenyap. Aku melangkah perlahan-lahan ke depan. Hah, mampus kau! Topeng besinya terbuka daripada mukanya. Darah membasahi tubuhnya. Eiii... ngerinya. Tanganku menggeletar. Matanya yang merah menyala itu semakin lama semakin malap cahayanya.

Perlahan-lahan aku melihat satu kejadian yang menakjubkan di depan mataku. Wajahnya berubah sedikit demi sedikit. Hidungnya, matanya, mulutnya dan segala-galanya pada dirinya berubah. Tanduk itu lenyap daripada kepalanya. Satu wajah yang amat kukenali dan kubenci terpapar di ruang mataku.

Orang Kaya Jef!

Pengkhianat! Aku berasa amat geram. Rupa-rupanya dia ada hati untuk menduduki takhta bangsa Gayat. Talam dua muka. Setelah rancangannya gagal, dia cuba untuk melampiaskan dendamnya padaku dan rakan-rakanku. Aku berasa geram. Ingin saja aku meradak-radak tubuhnya, biar hancur berkecai. Tetapi aku rasa tak sampai hati pula untuk berbuat demikian. Orang dah mati. Hei! Kan ke dia dah mati tiga hari lepas dibunuh oleh Datuk Zeq? Habis, yang berlawan dengan aku tadi siapa? Rohnya ke? Bulu tengkuk aku meremang. Dia ada amalkan ilmu hitam yang boleh balas dendam selepas mati ke? Satu lagi, kalau dia geram sangat dengan aku, kenapa dia tak terus bunuh aku? Kenapa dia berikan pedang kepadaku?

Sebahagian daripada soalan di atas kekal sebagai x-files dalam cerita ini.

Aku berasa amat letih. Maut hampir memanggilku tadi. Tubuhku terasa sengal. Baik aku berehat sekejap. Hendak berjalan pun tak tahu hendak pergi ke mana. Uwarghh... Mengantuknya... Zzzzzzz...


Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rizal Rahman