Home Novel Lucu BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
Rizal Rahman
17/8/2017 01:09:59
71,023
Kategori: Novel
Genre: Lucu
Bab 12


Hero mesti selalu cool. Dalam situasi macammanapun seorang wira mesti tenang. Wira ke aku ni? Dalam hati Tuhan saja yang tahu betapa berdetak detuknya rasa takutku. Kalau diikutkan kata hati mahu saja aku cabut lari dari kawasan ini. Tapi nak lari ke mana? Takkan aku nak tinggalkan budak penakut dua ekor tu kat dalam penjara macam tu saja? No way, man! Aku bukan jenis khianat punya kaki macam Datuk Nasha tu.

Eh, apa yang aku melalut ni? Kan ke aku sendiri yang offer nak buat kerja ni? Stick to the planlah!

Aku rasa sudah hampir setengah jam aku merayau-rayau di kawasan ini. Rupa-rupanya inilah markas utama bangsa Gayat di pulau ini. Sangkaan Razin yang kami dipenjarakan di Penjara Izzie meleset sama sekali. Bilik kurungan itu terletak di bawah tanah. Biasalah, tawanan istimewa macam kami takkan nak ditempatkan dengan tawanan biasa, heh!

Hmmm, nampaknya malam ini pengawal-pengawal tak begitu ramai. Mana tidaknya, mesti ramai yang curi tulang pergi ke pesta. Aku dapat tahu tentang pesta ini setelah ternampak notis besar di papan kenyataan:

PESTA GAYAT II
9.30 pm 21 JANUARI (2017
eksklusif untuk meraikan wira-wira Gayat yang menjayakan Misi Sapu Bersih
Semua warga Markas Besar yang tidak bertugas
dijemput hadir ke Ruang Legar Satu untuk memeriahkan majlis


Orang-orang Gayat ni memang suka betul berpesta. Senang sikit aku hendak buat kerja dalam situasi yang longgar macam ini. Tapi takkan habis dengan merayau-rayau saja. Aku kena pastikan betul-betul di mana Datuk Nasha berada. Nampaknya terpaksalah aku bertanya kepada orang. Malu bertanya sesat jalan. Aku tak mahu sesat. Tapi, takkan aku nak tanya pengawal-pengawal yang ada di sini. Nampak sangatlah yang aku ni bukan askar Gayat. Ditambah pula dengan muka aku yang tak familiar. Masalah betullah. Kaki aku pun sudah terasa lenguh. Aku bersandar ke dinding sambil menundukkan kepala memikirkan strategi yang perlu dirangka.

“Hei, berkawal tu betul-betul, jangan nak tidur saja!” tiba-tiba satu suara yang garau mengherdik aku. Aku tengah berfikir dikatakannya tidur. Aku mengangkat kepala. Ternampak orang yang menjerkah aku tadi sudah berlalu menaiki tangga di hujung kaki lima. Siapa entah. Pakaian pun macam Darth Vader saja, dengan jubah hitam... Hei! Tu diah! Datuk Nasha! Dari mana entah orang tua ni. Mesti baru balik dari pestalah tu. Cepat, ekori dia!

Dengan gaya selamba supaya tidak disyaki oleh sesiapa yang melihat, aku mengatur langkah ke arah tangga itu. Tinggi pulak tangga ini. Gelap gelita pulak satu hal. Macammanalah orang tua tu boleh tahan tinggal kat tempat macam ni. Belum sempat sampai di kepala tangga, aku terhenti. Menyorok cepat! Ada pengawal tengah mundar-mandir kat situ. Alamak, kacau daun betul. Dia seorang saja. Nampaknya dia sedang berkawal di depan sebuah bilik. Mesti bilik Datuk Nasha. Terpaksalah aku menunjukkan bakat lakonanku sekejap.

“Hoi, kalau dah mengantuk tu baik tidur aje le, kawan oi!” aku menyergah pengawal itu dari belakang.

“Siapa kau?” dia terkejut.

“Ceh, macam tak kenal pula. Tak nampak ke baju yang aku pakai ni? Kan ke sama dengan kau?”

“Oh ya, er... “

“Sudahlah. Pergi balik tidur. Aku baru saja menerima perintah suruh gantikan kau berkawal,” aku mula memasang jarum.

“Eh, ye ke?”

“Pura-pura tanya pulak. Sial betul. Aku baru saja balik dari pesta, tiba-tiba kena panggil. Mesti kau punya angkara ni.”

“Nak tuduh aku pulak. Aku tak tau apa-apa pun. Ha, dah giliran kau sekarang, apa lagi tunggu situ? Ni, kawal pintu ni. Aku nak balik... eh, aku nak pergi pesta pula.”

“Cis! pandai pulak kau mengambil kesempatan!”

“Ssyyy! Diam-diamlah sikit! Macam kau tak tahu pulak ni bilik panglima. Dia tu kepala angin sikit. Bising sikit tak boleh. Kau jaga elok-elok sikit. Jangan cuba curi-curi tulang.”

“Huh, nak menasihatkan aku pula. Berambuslah kau!”

Pengawal itu melangkah meninggalkan aku dengan ketawa yang tertahan-tahan, barangkali berasa seronok kerana dapat mempermainkan aku. Sebaik-baik sahaja dia tiba di muka tangga, ketawanya terus meledak. Ketawalah kau sepuas hati, pengawal. Aku tak rugi apa-apa. Aku menunggu sehingga bunyi ketawanya itu tak kedengaran lagi.

Kemudian mataku terpaku ke arah pintu bilik panglima. Serta merta perasaan takut dan menyesal datang. Adakah ilmu silatku setanding Luke Skywalker? Siuman lagi ke aku ni nak mencabar Darth Vader? Nampaknya aku tak ada pilihan. Aku hanya mampu mengharapkan babak yang klise dalam drama-drama Melayu apabila orang yang tak handal tetiba boleh jadi handal berlaku.

Tawakkal ajelah.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rizal Rahman