Home Novel Lucu BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
Rizal Rahman
17/8/2017 01:09:59
81,209
Kategori: Novel
Genre: Lucu
Bab 5


“Ada satu jalan tersembunyi untuk masuk ke pulau Auf. Kita akan menyusur tanjung Akibunnar dan masuk di satu teluk rahsia di sana. Kemudian kita terpaksa meredah hutan Shalah untuk tiba di Kampung Leha di pinggir hutan. Penghulu mereka, Datuk Nasha telah menyatakan hasratnya hendak bertemu dengan kita dan berbincang. Mereka akan menunggu kedatangan kita. Kita akan sama-sama berganding bahu dengan mereka.”

Aku dan mereka yang lain diam saja mendengar penerangan Ajep. Razin mengangguk- angguk. Kuzi menggaru-garu kepalanya.

Malam tadi aku begitu lena tidur. Apabila terjaga, aku dapati matahari sudah meninggi. Mereka yang lain masih tidur lagi. Bersubuh dinosaurlah kami pagi tadi. Setelah mengejutkan mereka, kami mandi dan bersarapan. Kemudian kami terus memulakan perbincangan. Keyakinanku sekarang sudah teguh. Aku tidak berasa sangsi lagi di mana aku berada sekarang. Tapi tak tahu pula tentang Kuzi. Entah-entah dia masih ingat yang dia sedang bermimpi. Bukan boleh harap sangat budak lalok ni.

“Bagaimana, Adil? Setuju?” suara Ajep yang menghala kepadaku mengejutkan aku.

“Ya, ya. Saya setuju sangat-sangat, bang,” kataku walaupun sebenarnya aku tidak tahu hujung pangkal pertanyaannya. Takkan aku nak suruh dia terangkan balik apa yang dia cakap kot. Mampus aku kena kutuk dengan budak-budak ni nanti.

“Baiklah. Kalau begitu, ini petanya. Peta ini akan memandu kita ke Kampung Leha. Mengikut rancangan Datuk Nasha, kita dan orang-orang kampung akan menyerang hendap Penjara Izzie waktu malam. Kemudian, kita akan bersatu dengan tawanan di Penjara Izzie lalu menyerang pula markas tentera mereka di tengah pulau. Jarak di antara penjara dengan markas besar lebih kurang 10 batu. Kata Datuk Nasha dalam suratnya yang lepas, kawalan di kawasan penjara tidak begitu ketat. Kalau ada sebarang pesta di markas besar, kawasan penjara akan menjadi lebih longgar. Askar-askar lebih suka menyertai pesta daripada mengawal penjara dari siang sampai ke malam. Kalau kita dapat menawan kawasan penjara, askar di markas besar tidak akan menyedarinya. ltupun kalau tidak ada askar penjara yang terlepas lari. Oleh itu, kita mesti menawan semua askar di penjara. Kemudian barulah kita menyerang markas besar itu.”

“Bagus,” puji Razin. “Bila kita nak berangkat?”

“Malam ini,” tegas Ajep. “Abang tak mahu pengkhianat-pengkhianat di pulau ini tahu ke mana abang pergi. Kalau mereka tahu, habislah rancangan kita ini. Abang harap kalian jangan keluar rumah. Mereka belum tahu kalian ada di sini. Kalau mereka tahu, pasti mereka akan rasa syak.”

“Bekalan tak ada ke?” budak Kuzi ni kalau pasal makan memang mengalahkan badak air. Buat malu muka aku je.

“Ini dia bekalan kita,” Ajep menunjukkan empat buah beg sandang. Dalam beg ini ada makanan kering yang tanan lama. Kita tak perlu memasak. Ha, ini senjata kita,” Ajep mengeluarkan empat bilah pedang yang lengkap bersarung daripada salah sebuah beg itu. “Bagaimana, puas hati?”

Razin dan Kuzi tidak memberi respon. Mesti dah mula terasa seram sejuk seluruh badan melihat pedang-pedang itu. Ambik kau! Tadi beria-ia sangat hendak berperang. Nampaknya aku juga yang cool dan berani.

“Ajep! Turun cepat! Kami tahu kau ada di dalam! Lebih baik kau menyerah, pengkhianat!” tiba-tiba satu suara yang garau dan lantang bergema di halaman rumah. Kami berempat berpandangan sesama sendiri. Alamak, bencana sudah mari.

“Celaka! Itu suara Kakjah, orang kanan Orang Kaya Jef. Mereka hendak menangkap abang. Nerau, bawa Adil dan Kuzi lari, cepat. Ikut pintu belakang sebelum mereka kepung kawasan rumah ini. Biar abang menyerah diri.”

“Apa? Bukankah baik abang ikut sama?” bantah Razin.

“Orang-orang itu akan menjejak abang nanti. Rancangan kita akan gagal. Sebelum mereka tahu kalian ada di sini, lebih baik kalian lari. Biar abang menyerah. Mereka tak akan menaruh syak apa-apa lagi terhadap tindakan abang. Mereka nak tangkap abang untuk menghalang tindakan abang.”

“Tapi...”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Pergi cepat! Bawa beg-beg itu. Cepat sebelum mereka tahu kalian ada di sini dan menggagalkan rancangan kita.”

Razin masih tidak berganjak. Aku dan Kuzi segera menarik tangannya. Kami melangkah ke pintu belakang. Aku membuka pintu itu. Tidak ada sesiapa yang kelihatan di belakang rumah. Dengan pantas aku turun dari pintu belakang itu lalu berlari ke arah semak-samun. Razin dan Kuzi mengikutiku. Kami betul-betul cemas.

Kami bertiga berlari susup-sasap dalam belukar. Aku menoleh ke belakang. Tidak ada orang yang mengekori kami. Lega.

“Lari terus,” bisik Razin. “Ikut aku.”

Aku dan Kuzi mengekori Razin dari belakang. Tidak berapa lama kemudian, kami bertembung dengan pohon jejawi yang membawa kami ke alam ini. Kami terus memecut, meninggalkan pohon itu. Akhirnya kami bertemu dengan sebatang anak sungai. Masing-masing terjelepuk. Serentak pulak tu. Penat gila wa cakap lu.

“Kau rasa diaorang syak tak yang kita ada kat sini, Zin?” Kuzi termengah-mengah.

“Aku rasa tak, pasal tak ada pun tanda-tanda yang diaorang kejar kita. Tapi kita kena jaga-jaga. Kalau diaorang terserempak dengan kita, rosaklah pelan kita nanti.”

“Sekarang ni pun pelan tu dah rosak. Ajep dah kena tangkap!” keluhku. “Macam mana ni Zin? Kau yakin ke boleh proceed tanpa dia?”

“Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ketiak masam. Kertas pelan ada kat aku. Aku pasti kita boleh. Yakin boleh!” amboi Razin, sempat nak berlawak lagi tu dalam suasana yang kritikal ni.

“Sekarang ni apa kita nak buat? Berehat?” budak Kuzi ni pun satu. Rehat saja difikirkannya.

“Sekarang bukan masa untuk berehat lagi. Kita langsung tidak boleh melengahkan masa dengan berehat-rehat. Masa itu emas. Sekali kita berehat kita rugi beribu kali,” Razin mula berceramah berjela-jela. “Anak sungai ini menghala ke laut. Kita kena menyusurnya sampai ke pantai. Lepas tu kita terus ke pulau Auf. Aku ada sembunyikan sampan kat tepi pantai.”

“Siang-siang macam ni kau nak pergi ke pulau tu? Kau tak takut orang nampak ke?” aku mempersoalkan rancangan Razin.

“Ya tak ya jugak. Tak terfikir pulak aku. Nanti tak pasal-pasal kita kena tangkap. Okeylah. Kita pergi malam nanti.”

“Sementara tu, kita nak buat apa, Zin?” tanya Kuzi.

“Errr… kita… kita berehat.”


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rizal Rahman