Home Novel Lucu BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
Rizal Rahman
17/8/2017 01:09:59
71,138
Kategori: Novel
Genre: Lucu
Bab 10


Mataku terasa pedih. Perlahan-lahan ku membukanya. Suasana sekeliling amat asing bagiku. Di mana aku ni? Kulihat di sebelahku. Kelihatan Razin dan Kuzi sedang terbaring. Mata mereka tertutup rapat.

Aku dapati diri kami berada dalam sebuah bilik yang luas. Suasana di dalam bilik ini agak samar-samar. Jerjak besi yang merupakan pintu bagi bilik mi memberiku penjelasan di mana kami berada sekarang.

Ya, ini penjara. Kami telah dipenjarakan. Tapi di mana? Aku melihat sekelilingku. Aku tersedar adanya bau busuk yang menyucuk hidung. Kucuba mencari punca bau busuk itu. Mataku terhenti di satu sudut bilik penjara ini. My God...

Mayat manusia dan tengkorak bergelimpangan di sudut itu!

“Huaargh...” Kuzi dan Razin menguap. Aku menghampiri mereka. Mereka membuka mata lalu menggeliat dan duduk seperti robot.

“Kat mana ni?” Kuzi terpinga-pinga.

“Penjara,” aku memberitahu. “Penjara mana ni, Zin?”

Razin terkebil-kebil. Dahinya berkerut. “Entah, aku pun tak tahu. Tapi rasa-rasanya ini mesti Penjara Izzie yang disebut dalam peta tu. Wei apa bau busuk sangat ni?”

“Cuba korang tengok sana,” aku menudingkan jariku ke arah tempat yang busuk tadi. Razin dan Kuzi melihat malas dan kemudiannya mata mereka terbeliak.

“Seramnya...” bisik Kuzi.

“Aku rasa diaorang dah bagi kita ubat bius semasa kita tertawan di gua tu. Kita tak sedarkan diri. Diaorang bawa kita ke sini,” aku membuat teori.

“Lepas tu, apa diaorang nak buat pada kita? Sembelih?”

“Adus, seramnya conclusion kau tu, Kuzi. Aku rasa diaorang tak akan bunuh kita. Diaorang tentu mahu kita bekerja dengan diaorang,” terang Razin. “Tapi tak taulah. Diaorang ni bukan boleh dijangka.”

“Ini semua angkara Datuk Nasha!” tuduhku.

“Ya. Kalau tak kerana dia, tentu rancangan kita tak gagal begini. Aku hairan macam mana dia boleh berubah sikap,” Razin hot. “Celaka punya orang tua!”

“Duit, Zin. Duit,” keluh Kuzi.

Aku melangkah ke arah jerjak besi lalu cuba menggoncang-goncangkannya. Sedikit pun tak bergerak.

“Buang tenaga saja kau buat macam tu, Dil. Pagar besi tu kukuh betul. Kita tak akan dapat keluar,” Razin mula putus asa.

Suasana hening seketika. Masing-masing sibuk melayan perasaannya sendiri. Fikiranku berkecamuk. Bayangan maut selalu menyapa hatiku. Melihatkan tengkorak dan mayat yang bergelimpangan, hatiku tambah kecut. Tolonglah. Aku tak mahu mati kat dalam penjara ni. Aku belum sempat meluahkan isi hatiku kepada Mira Filzah lagi.

“Kau tau Zin, minggu depan pembekal kain dari Bangladesh nak datang survey kedai kira,” apahal budak Kuzi ni tiba-tiba buka cerita bisnes kat dalam penjara ni?

“Hoi, yang kau sibuk pasal dia nak datang ni apahal? Bukannya dia nak datang ke sini menolong kita. Fikirkanlah macam mana nak keluar!” Razin mengamuk. Ha, kan dah kena sebijik.

“Ala, aku tengah cari akal la ni!”

“Jadi selama ni kau tak ada akal?”

“Yang kau sibuk sangat ni apahal?

“Hoi, sudahlah! Toksah nak bertekak kat sini. Tak ada gunanya!” aku memotong percakapan mereka.

“Huh, menyesal aku ikut Razin ke sini,” Kuzi mendesis.

“Apa kau kata? Oh, jadi kau tak ikhlas la nak tolong dulu tu!” tuduh Razin.

“Tolong tu tolong juga tapi kalau aku mati kat sini amacam, diorang tu bukan ada belas kasihan. Ini semua kau punya pasal, Zin,” Kuzi makin menjadi-jadi.

“Takdir, kawan. Takdir. Kan aku pun ikut terkurung juga kat sini?” suara Razin mengendur.

“Memangla. Aku rasalah, si Ajep tu dah tipu kita. Mesti dia yang beritahu penjahat-penjahat ni supaya menangkap kita. Tengok, sampai sekarang ni bantuan apa pun tak ada. Dia pun dah lesap!” Kuzi semakin mengikut perasaan.

“Kau jangan tuduh-tuduh dia, Kuzi. Aku percaya dia takkan buat macam tu. Apa faedahnya kalau dia buat begitu? Nak korbankan tanahair dia sendiri? Aku dah kenal dia lama. Dia abang aku, tahu!”

“Dah, sudahlah tu, korang. Sudahlah tu, Zin. Toksah dilayan sangat kerenah si Kuzi tu,” aku mendamaikan mereka.

“Oh, kau masuk sebelah Razin ye,” Kuzi memandangku. Eh eh budak ni kulesing sekali baru kau tahu.

“Bukan macam tu. Aku cuma nak ingatkan korang. Apa kau ingat ni tempat bertekak?”

Kuzi terdiam. “Razin, sorilah,” katanya tiba-tiba. “Aku emo sikit tadi.” Pelik betul budak Kuzi ni, tiba-tiba insaf. Ha, mesti dia rasa takut dengan aku. Tengok, aku tegur sikit saja terus dia bertaubat.

Razin buat-buat tak dengar. Merajuk la tu.

“Razin, takkan kau tak boleh maafkan aku. Hei, I’m sorry, man!” Kuzi berteriak.

“Ewah ewah nak minta maaf tu buatlah cara nak minta maaf. Ini tak. Macam nak mengugut pulak,” Razin bengang. “Okaylah, okay. Aku maafkan kau. Tapi ingat, sekali lagi kau buat macam tu aku tak akan tegur kau sampai bila-bila.”

“Sampai bila?” la, tak faham-faham budak Kuzi ni.

“Alahai, kenapalah aku dapat kawan biul macam kau ni,” Razin menghantukkan kepalanya ke dinding.

“Kau kata aku biul?” Kuzi mula hot. “Kau jangan…”
 
“Sori, Kuzi! Sori!” Razin cepat-cepat memotong sebelum Kuzi meneruskan leterannya. “Maaflah, aku tak sengaja tersebut macam tu.”

“Lagi sekali kau cakap macam tu akan tak akan tegur kau sampai kiamat,” warning Kuzi. “Aku maafkan kau.”

Aduh! Pening kepala aku. Siapa kena minta maaf sebenarnya ni? Razin ke Kuzi? Lebih baik aku mencelah sebelum keadaan menjadi lebih kelam kabut.

“Sudahlah tu. Kusut kepala aku. Apa kata kita sama-sama bincang macam mana nak keluar dari sini.”

“Nak bincang apa, Dil? Tak ada apa! Bilik ni berdinding konkrit. Mana ada jalan keluar,” Razin meluahkan rasa kecewanya.

“Ada kalau kita mau fikir. Kalau jalan keluar tak nampak, kita nampakkan. Kita buat jalan sendiri. Aku nak cari idea ni.”

“Idea! Idea kartun!” ejek Kuzi. “Nak jadi macam komik kau tu ke? Apa ke namanya tu... Adil Rambo? Kononnya Adil Rambo dan musuhnya tu tukar suka sama suka. Musuh jadi dia. Dia jadi musuh. Lepas tu...”

Kata-kata Kuzi itu menyentakkku. Macam-macam idea dari komik itu datang dalam fikiranku.

“Apa kata korang kalau kita apply cerita komik tu kat sini?”

“Apa kena dengan kau ni, Dil? Tak usah merepeklah,” cemuh Kuzi.

“Cuba kau bayangkan... Salah seorang dari kita ganti tempat Datuk Nasha,” aku terus bercakap tanpa mempedulikan kata-kata Kuzi.

“Maksud kau, menyamar jadi dia?” Kuzi mula kelihatan berminat. Aku cepat-cepat mengangguk.

“Ya tak ya jugak. Kalau katakan ada orang bunuh dia dan menyamar pakai topeng dia, bukannya siapa tahu,” Razin mula merasakan kebenaran kata-kataku. “Apa kata kau bunuh dia dan ganti tempat dia, Kuzi?”

“Eh, apa pulak aku. Kaulah!”

“Aku pulak. Kaulah!”

“Sudah, sudah. Sebab ini rancangan aku, biar aku yang menyamar,” kataku. Senang cerita.

“Okay, kita mulakan sekarang!” Kuzi bersemangat.

“Nak mula apa benda. Kau tak nampak kita sekarang ni ada dalam penjara?” marah Razin. “Adil, kau biar betul. Kau tak sedar ke yang sebelum kau nak menyamar jadi Datuk Nasha, kau kena cari dia dulu? Kau tahu ke dia ada kat mana? Kau tahu tak yang dia ada ramai pengawal? Kau sedar tak yang kau mungkin kena lawan dengan diaorang dulu? Last but not least, kau biasa ke bunuh orang?”

“Kan janganlah nak melemahkan semangat aku pulak. Aku ada pelan baik punya. Korang nak dengar tak?”

“Nak!”


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rizal Rahman