Home Novel Lucu BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
BUKAN KISAH HERO YANG KLISE
Rizal Rahman
17/8/2017 01:09:59
71,347
Kategori: Novel
Genre: Lucu
Bab 3


“Ke mana mereka nak bawa kita ni, Kuzi?” aku berbisik kepada Kuzi yang berjalan di belakangku. Razin dan abangnya berjalan di depan kami. Hujan semakin lebat dan tidak ada tanda untuk berhenti.

“Entah. Buat apa diaorang bawa kita redah semak samun di belakang rumah kita ni? Semak samun ni menghala ke belukar. Silap-silap boleh sampai ke hutan simpan kalau diaorang tak berhenti. Kenapa diaorang bawa kita redah hujan lebat ni? Nak bawa payung pun tak boleh. Aku boleh demam kalau macam ni. Ih, sejuknya.”

Aku terdiam mendengar runguran Kuzi. “Tak apa. Kita tengok saja apa yang mereka nak buat.”

“Kau pelik tak, Dil. Aku belum pernah dengar nama pulau yang Razin dan abangnya sebut, nama bangsa tu, bangsa ni.”

“Itu belum berapa pelik lagi. Aku dah lihat benda lain yang lebih pelik.”

“Apa dia?”

Aku menceritakan kejadian abang Razin muncul secara perlahan-lahan di kerusi kepada Kuzi. Dia terlopong. Matanya terbeliak. Secara automatik mukanya kelihatan seperti seekor mawas.

“Adil, aku rasa tak sedap hati la. Jangan-jangan abang Razin tu ponti...”

“Sudah, mula nak merepek la tu.”

“Tapi macam mana dengan kejadian yang kau tengok tu?”

Aku blank. Ya, betul-betul tak logik.

“Dil, kau yakin ke Razin yang berjalan di depan kita ni Razin yang sebenarnya?”

“Eh, apa maksud kau?”

“Mungkin Razin yang betul belum balik ke rumah lagi. Kau ingat tak, masa kita balik tu, Razin dah sedia ada di rumah sedangkan dia kata nak pergi uruskan kedatangan seseorang. Kalau betul itu Razin, kenapa kita tak terjumpa dia kat tengah jalan? Mana ada jalan lain untuk masuk ke kawasan rumah kita?”

“Betul jugak,” aku mengangguk-anggukkan kepala dengan gaya yang tenang. Dalam hati, Tuhan saja yang tahu betapa tahap ketakutanku mencapai kemuncak mendengar teori Kuzi yang mengerikan itu.

“Aku naik seramlah, Dil. Menyesal aku ikut diaorang ke sini. Macam mana aku boleh terpengaruh dengan cerita diaorang tadi? Aku takut diaorang jadi benda tu dan…”
 
“Isy, sudahlah. Kita tengok aje. Kalau dia betul benda tu, kita cabut la.”

“Jangan takut, kami bukan hantu,” tiba-tiba abang Razin yang berjalan di depan menyampuk perbualanku dengan Kuzi. Rupa-rupanya dia dapat mendengar bisikan kami. Salah kami juga, tidak berbisik perlahan-lahan. Alamak, malunya.

“Kami makhluk Tuhan seperti kamu juga.”

“Betul ke?” amboi Kuzi, celuparnya mulut.

“Aku dah berjanji akan ceritakan kepada korang. Baiklah. Salahku juga kerana tak berterus terang dari awal sehingga kesangsian merayap di hati korang,” macam bersastera pulak si Razin ni. Kemudian dia memandang abangnya. Abangnya mengangguk lalu menyambung.

“Pernah tak dengar cerita tentang orang bunian?”

“Pernah,” sahutku. Apa pulak kena mengena orang bunian dengan diaorang ni?

Abang Razin menarik nafas lalu bercerita dengan suara yang rendah, “Kira-kira dua puluh empat tahun yang lepas, seorang bayi lelaki ditemui dibuang di pinggir hutan simpan tidak jauh daripada rumah kamu sekarang. Bayi itu telah diambil untuk dipelihara oleh salah sebuah keluarga bunian. Selepas kematian ibu angkatnya dan budak itu pula meningkat usia 17 tahun, dia telah merantau keluar dari alam bunian dengan restu ayah angkatnya untuk hidup di kalangan manusia…”

“Nanti, nanti. Apa pula kaitan cerita tu dengan korang?” Kuzi menyampuk. Tak puas hati la tu.

“Dengar la dulu sampai habis. Nanti kau tahu la relevant ke tak,” potong Razin. Hot nampak.

“Keluarga bunian itu mempunyai seorang anak lelaki yang lebih tua daripada anak angkat mereka itu. Walaupun bukan bersaudara kandung, mereka tidak pernah bertelagah. Si abang bernama Ajep dan si adik bernama Nerau tetapi kamu memanggilnya...”

“Razin!” aku memintas. Aku teringat panggilan abang Razin kepada Razin. Kuzi terlopong. Razin anak angkat orang bunian? Oh my God... kalau macam tu, abang dia yang berjalan depan aku ni orang bunian tulen? Kalau tadi tahap ketakutanku mencapai kemuncak, kali ini ia sudah mencecah infiniti. Hei, wait a minute... cool la sikit. Kan ke diaorang tu dah tak berapa betul?

“Zin, aku bukannya tak nak percaya tapi...” Kuzi terhenti. Mesti tak tahu nak react macam mana di hadapan orang-orang gila.

“Sekali dengar memang nampak cerita kitaorang ni macam cerita dongeng. Entah-entah korang fikir kitaorang ni gila tak?” tuduh Razin sambil memandang mukaku. Eh, dia ni macam boleh baca hati aku pulak.

“Oh, tidak. Sama sekali tidak!” aku menipu Razin. Dalam hati aku berteriak, ‘sah mereka berdua memang gila!’

“Korang tengok la nanti kalau tak percaya,” Razin buat nada merajuk. “Ha, kita dah sampai pun.”

Aku tak nampak apa-apa pun kecuali sebatang pohon jejawi yang besar dan anggun. Pelbagai perasaan timbul dalam benakku. Rasa seram memenuhi ruang khayalku. Bayangan vampire Cina, hantu Korea, Megatron, raksaksa jahat dalam cerita Power Rangers dan lain-lain lagi yang menggerunkan bermain-main di depan mataku. Mak!

Tiba-tiba kilat memancar diikuti dengan dentuman guruh. Kakiku menggeletar. Bukan kerana terkejut mendengar bunyi guruh ataupun kerana dinginnya air hujan tetapi kerana terpandangkan wajah Ajep dalam kilau kilat tadi. Aku dapat melihatnya dengan begitu jelas. Tambahan pula dia tersenyum dengan mata yang merah dan gigi yang tak tersusun. Eiii…

“Kenapa kau menggeletar ni, Dil?” Kuzi terketar-ketar.

“Eleh, kau tu?”

“Eh, Dil. Cuba kau tengok si Ajep dan Razin tu,” suruh Kuzi tanpa menjawab pertanyaanku.

Kelihatan Ajep dan Razin tercegat di depan pohon jejawi. Mereka kelihatan serius. Wajah mereka begitu garang sekali ditambah pula dengan jubah hitam yang mereka pakai. Aku terpegun melihat mereka. Sejak bila pula mereka berdua bertukar pakaian? Sekelip mata saja sudah berubah. Benda-benda pelik macam ni mula menambah situasi gila dalam fikiranku.

Razin menghampiriku dan Kuzi. Ajep memerhatikan kami dari jauh.

“Macam mana? Dah sedia?”

“Sedia apa?” Kuzi buat-buat tak faham.

“Masuk ke alam bunian.”

Aku dan Kuzi berpandangan sesama sendiri. Rasa takut menyelinap ke hatiku. Rasa kesal pula mendatang. Apa boleh buat, aku sudah terlanjur membuat pengakuan untuk bersama Razin dan Kuzi. Entah ke mana la dia nak bawa aku dan Kuzi. Takkan nak suruh buat rumah atas pokok jejawi ni kot? Tidak, aku belum gila seperti mereka.

“Kau menyesal, Dil?” Razin membaca fikiranku.

“Bagaimana kau tahu?” aduh, macam mana soalan bodoh ni boleh terlepas.

“Aku cuma meneka. Kalau kau tak mahu pun tak apa. Aku minta korang beri persetujuan yang terakhir. Aku tak mahu korang menyesal nanti.”

Aku memandang Kuzi. Kuzi pandang aku. Razin tengok Kuzi. Kuzi tengok Razin. Dalam erti kata yang lain, semua memandang sesama sendiri seperti orang bodoh.

“Zin, aku tetap tak akan berganjak daripada keputusanku,” tiba-tiba Kuzi berkata. Dia memang gila.

“Aku juga,” entah kenapa aku terpengaruh dengan kata-kata Kuzi. Tak apa. Ini satu pengalaman, aku memujuk hatiku. Bodoh, pengalaman apa ke jadahnya.

“Sudah sah?” Razin ni macam nak berakad nikah pulak.

“Sah!”

“Kalau begitu baiklah. Tapi korang jangan salahkan aku pulak nanti.”

“Tak.”

Razin mengeluarkan dua ikat kain berwarna merah dari dalam jubahnya. Selepas itu dia memegang bahuku dan bahu Kuzi menyuruh kami bersila di atas rumput. Kami akur pada perintahnya.

“Ikat kain ini kat kepala korang. Pejam mata.”

Kami menurut saja arahannya. “Benono biskij kaugrandsekarang norekoparakucam cam arakos...” kedengaran suara Razin berdesir tetapi aku gagal menangkap maksud kata-katanya. Entah bahasa apa yang digunakannya. Aku mula rasa nak ketawa berguling-guling. Kuzi bergegar-gegar menahan ketawa. Cis, tak boleh kontrol langsung. Apalah nasib sahabatku Razin ini. Sudahlah tidak waras, ada bahasa khas pula tu. Peninglah kepala psychiatrist nak berkomunikasi dengannya nanti.

“Buka mata korang.”

Kami membuka mata kami dan melihat ke arah Razin. Kemudian kami melihat diri kami sendiri. Tidak ada apa-apa perubahan.

“Mari kita pergi,” ajak Razin.

“Ke mana?” aku kehairanan. Bergayut atas pokok tu?

“Ke alam bunianlah.”

“Macam mana?” tanya Kuzi pula. Jawab Razin, jawab.

“Tengok abangku,” suruh Razin. Kami semua memerhatikan Ajep yang tadinya tercegat saja memerhatikan kami. Dia tersenyum lalu melangkah ke arah pohon jejawi. Apabila badannya tersentuh kulit pohon itu, dia meresap dan lenyap daripada pandangan!

“Mustahil!” mata Kuzi terbeliak. Aku turut terpaku. Aku bermimpikah? Kutampar mukaku berkali-kali. Adus, sakitnya. Ajep meresap dalam pokok. Ajep meresap dalam pokok. Ajep meresap dalam pokok. Takkan dekat pokok tu ada pintu canggih yang orang boleh masuk tanpa tekan suis apa-apa. Hoi, suis apa pulak. Itu pokoklah. Pokok!!! Habis, mana dia pergi?

“Baru korang nak percaya,” Razin tersengih gelihati. “Sekarang kau pula Kuzi.”

Kuzi menggeletar. Dia kelihatan teragak-agak. Namun begitu kakinya melangkah juga ke pohon itu. Apabila tiba berdekatan dengan pohon itu, dia menoleh ke belakang. Razin mengangkat tangannya menyuruh Kuzi mengikut jejak Ajep. Kuzi berpaling lantas melangkah setapak ke depan lalu turut menghilang tanpa kesan!

“Mari, Dil,” Razin mengajak aku. Aku mengikutnya dari belakang. Seperti juga Ajep dan Kuzi, tubuh Razin lenyap ditelan pohon jejawi. Aku terhenti. Aku berasa serba salah. Manalah tahu, nanti aku tidak dapat kembali ke alam ini. Aku berundur setapak ke belakang.

Tiba-tiba sebuah tangan menjulur keluar dari pohon jejawi lalu menarik tanganku ke arah pohon itu. Aku terkejut lalu terdorong ke depan. Apabila badanku tersentuh pohon itu, aku terasa seolah-olah aku sedang meredah air terjun. Segar dan nyaman. Suasana sekelilingku kabur. Aku menoleh ke belakang. Gelap. Tangan tadi masih memegang tanganku, menyuruh aku mengikutinya. Pastinya tangan Razin. Tidak ada sebarang bunyi yang kedengaran. Aku menghentakkan kakiku tetapi tidak mendatangkan sebarang bunyi. Aku seolah-olah berjalan di atas angin. Aku cuba mengeluarkan suaraku tetapi lidahku kelu, bisu.

“Kita sudah sampai,” aku terdengar satu suara jauh di depan. Itu suara Ajep. Sejurus kemudian, angin panas datang menerpa ke mukaku. Aku memejamkan mataku. Apabila kubuka kembali pelupuk mataku, kudapati diriku dan mereka yang lain berada di bawah pohon jejawi yang tadi juga. Di lokasi yang sama!

Diulang, di lokasi yang sama!



Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rizal Rahman