Home Novel Komedi/Romantik Komedi PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 29 - Part 2

BAB 29 - Part 2

Raimi mengeluh. Senak dadanya mendengarkan agenda jahat Makcik Rosnah itu. “Mak, kalau setakat harta, Raimi pun dapat bahagian jugalah! Tak perlulah nak rebut-rebut harta orang lain yang dah sah-sah bukan milik kita.”

Terbejat Makcik Rosnah mendengarnya. “Hah? Kamu pun dapat bahagian jugak? Berapa percent saham syarikat yang kamu dapat?” soal Makcik Rosnah dengan mata yang bersinar-sinar. Gambaran wang ringgit sudah mula memenuhi ruangan otaknya.

“Saham apanya? Mereka cuma akan menanggung segala perbelanjaan pembelajaran dan kos sara hidup Raimi jelah,” ujar Raimi sedikit kesal. Bukan kesal kerana pembahagian harta tersebut tapi dia kesal dengan ketamakan Makcik Rosnah yang semakin terserlah.

“Hah? Itu je? Mana boleh macam tu! Si Tipah tu senang-senang je dapat bolot harta Rayyan. Takkanlah kamu dapat tu je? Ini tak adil! Memang tak adil!” teriak Makcik Rosnah.

“Mak, saya tak boleh nak cakap lama-lama ni. Nanti saya telefon balik. Kirim salam dengan ayah, ya. Assalamualaikum.” Klik! Talian segera di matikan. Tidak betah Raimi berbual lama dengan Makcik Rosnah. Kecut perutnya apabila angin meroyan Makcik Rosnah sudah kembali menjengah!

Pak Saad terjegul di muka pintu dengan wajah kehairanan. “Apa kena dengan awak ni, Rosnah? Dari bawah tadi saya dengar terpekik, terlolong. Siapa yang telefon tadi?”

“Abang, kita kena pergi ke Australia secepat mungkin. Tipah dalam kesusahan!” Tersentak Pak Saad mendengarnya.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Pepohonan Norfolk Pines gergasi di sepanjang Cottesloe Esplanade seakan-akan melambai kedatangan Rayyan dan Zeta ke situ. Kereta sport Audi TT 2.0 yang di pandu Zeta meluncur laju dan kian menghampiri Cottesloe Beach Hotel. Hotel ini terletak betul-betul bersebelahan dengan Cottesloe Beach, salah satu pantai bandar yang paling terkenal antara semua pantai bandar Australia Barat. Sebaik sahaja mendapat maklumat yang Aurora Electrical Sevices Pty Ltd akan menganjurkan hari keluarga di hotel ini Zeta sudah mula mengatur langkah.Awal-awal lagi dia sudah mengarahkan Zaffrul supaya menempah Suite King yang merupakan bilik terbesar dan termewah di hotel tersebut buatnya dan Rayyan.

Sudah terbayang di fikiran Zeta bagaimana dia akan berlibur dan bercanda bersama-sama dengan Rayyan di tepian pantai Cottesloe Beach tatkala matahari menegak di atas kepala. Kala malam mula menjelma pula mereka akan asyik memadu asmara di dalam Suite King tanpa sebarang gangguan. Ah, sungguh nikmatnya! Segaris senyuman segera terukir di bibir Zeta.

Kereta sport Audi TT 2.0 milik Zeta akhirnya terjejak juga di parkir kereta bersebelahan dengan hotel tersebut. Pantas Zeta dan Rayyan melangkah turun. Zeta segera memaut lengan Rayyan dengan erat. Pautan itu bagaikan memberi isyarat bahawa Rayyan adalah miliknya seorang dan tiada sesiapapun yang boleh bertakhta di hati jejaka tersebut melainkan dia!

Zaffrul yang sedang sibuk menguruskan pendaftaran staf terus sahaja berlari mendapatkan Rayyan sebaik sahaja kelibat bosnya itu terlihat di lobi hotel. “Awalnya bos sampai! Amboi dah tak sabar-sabar nak berbulan madu ke? Bilik bos dah sedia. Bos nak ‘check-in’ dulu?” tuntas Zaffrul selamba sambil menyerigai.

Mencerlung bebola mata Rayyan mendengarnya. “Hei, kau nak satu hotel ni dengar ke lawak bodoh kau tu? Bagi kad bilik aku cepat! Aku takde masa nak dengar tazkirah pagi-pagi buta camni!” herdik Rayyan dengan perasaan yang berbulu.

Kata-kata Zaffrul seterusnya hanya sekadar bermain-main di kerongkongnya. Wajah kelat Rayyan sudah cukup menggambarkan betapa sadisnya ‘mood’ majikannya pagi ini. Kad magnetik suite mewah segera bertukar tangan. Tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang pantas sahaja Rayyan dan Zeta melangkah menuju ke suite mewah tersebut.

Akhirnya mereka tiba di hadapan pintu suite mereka. Sebaik sahaja pintu terkuak, mata Rayyan terus sahaja tertangkap pada balkoni suite yang menempatkan beberapa kerusi rotan dan sebuah kerusi malas di situ. Segera terhampar di hadapannya riak lautan yang membiru dan beralun-alun yang sungguh memukau pandangan!

Tilam empuk yang sedia terbentang membuatkan Rayyan semakin tidak sabar untuk melabuhkan tubuhnya di situ. Dia mahu berehat dengan sepuas-puasnya. Sejak dua tiga hari kebelakangan ini fikirannya kusut dengan pelbagai perkara yang tidak langsung di jangkanya. Dia berharap segala kekusutannya akan terlerai dan hilang di tiup bayu angin laut Cottesloe ini.

Zeta sudah muncul di sisi dengan sepasang bikini berwarna oren yang menyerlahkan lekuk tubuh seksinya. “Sayang, cepatlah tukar baju. Jomlah kita pergi tepi pantai. I dah tak sabar nak berenang ni.”

Nampaknya niat Rayyan untuk berehat terpaksa di pendamkan buat seketika. “Ok. Anything for you, sayang,” tukas Rayyan seraya bangkit. Dia terus menukar bajunya ke sut renang lelaki berwarna biru gelap. Tidak lama selepas itu mereka berdua sudah bertamu di tepian pantai.

Zeta terlebih dahulu menceburkan dirinya ke perut lautan. Belum sempat Rayyan ikut sama, suatu teriakan yang kuat menambat langkah kakinya. “Rayyan! Tak sangkanya boleh jumpa kat sini!”

Serta-merta Rayyan berpaling. Arif Ilham?! Macam mana pula dia boleh berada di sini? Terkujat Rayyan seketika. “Err...ahalah tak sangka betul, kan. Apa yang kau buat kat sini?”

Pantas Arif Ilham menukas. “Aku saja bawak diorang bercuti kat sini. Kau datang sini dengan siapa? Dengan Zeta ke?”

Rayyan terkedu. “Err...diorang? Siapa diorang tu?”

Dengan tidak semena-mena Tipah, Melah, Makcik Roza dan Raina muncul di situ dengan wajah selamba. Serentak mereka menyapa. “Hai, Rayyan!”

Pucat wajah Rayyan di buatnya. Jikalau di toreh dengan pisau sekalipun sah tidak akan berdarah! “Err...apa yang korang buat kat sini? Awak ikut saya ye, Tipah?”

Tipah pura-pura bingung. “Ikut? Mana ada saya ikut awak. Abang Arif yang ajak kitorang pergi bercuti. Yelah sejak saya jejakkan kaki ke sini, takde sapa pun nak bawa saya jalan-jalan kat bandar Perth ni. Jadi bila Abang Arif dah offer, mana boleh saya lepaskan peluang keemasan ni.”

Rayyan terus menikus. Kata-kata Tipah itu tepat menusuk ke sanubari. Ya, memang dia akui, sejak Tipah dan Melah muncul secara tiba-tiba di bandar Perth ini, belum pernah sekalipun dia membawa mereka bersiar-siar.

Zeta segera menghampiri Rayyan dengan wajah masam mencuka. “Sayang, macam mana diorang semua boleh ada kat sini? Kacau privasi kita jelah!” sungut Zeta sambil mengerling tajam ke arah Tipah.

Selamba Tipah membalas. “Hello minah urban! Tak nampak pun ada papan tanda tulis ‘hanya Rayyan dan Zeta’ kat sini? Ini tempat awam. Siapa-siapa pun boleh datang sini, faham?” Mencerlung bebola mata Zeta mendengarnya.

Arif Ilham segera mencelah. “Kebetulan pula, Rayyan. Kami memang perlukan pertolongan kau. Kami berlima dah buntu dah ni. Kepala pun dah naik bingung. Tak tahu dah nak buat macam mana. Mujurlah jumpa kau kat sini. Memang kau penyelamat kamilah!”

Berkerut dahi Rayyan mendengarnya. “Penyelamat? Aku penyelamat korang? Hei, aku tak fahamlah!”

Arif Ilham tersenyum lebar. Rancangannya tampak kian menjadi. “Tak. Macam ni. Aku dah tempah dua bilik Suite King kat Cottesloe Beach Hotel. Masalahnya satu bilik cuma boleh ada maksimum tiga orang. Mereka pula berempat. Bilik kosong pula dah takde. Semua dah penuh pasal Aurora Electrical Services dah sapu semua bilik untuk staf. Kalau aku tahu Aurora Electrical Services nak buat hari keluarga kat sini takdelah kitorang datang ke mari.”

So?” soal Rayyan kebingungan.

Senyuman kian melebar di wajah Arif Ilham. “Jadinya kaulah harapan kami sekarang. Apa kata kau dan aku kongsi bilik, satu bilik lagi Zeta dan Raina dan satu bilik lagi Tipah, Melah dan Makcik Roza. Habis cerita, selesai satu masalah!”

Tercengang Rayyan dan Zeta. Serentak kedua-duanya memekik. “What??”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.