Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
193,941
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 5

ERYNA memandang ke arah kiri dan kanan dengan resah. Kata Shahmi tadi, dia sudah hampir tiba di pejabat dan meminta Eryna menemaninya untuk makan tengah hari di Bistro Ria yang terletak di tingkat bawah pejabat mereka.

Gadis yang berskirt panjang, berbaju blaus kembang dan memakai shawl bercorak serta wajahnya dirias cantik itu mula terasa rimas. Hatinya menggetus perlahan. Kalau tahu Shahmi akan lambat begini, baiklah dia meneruskan saja kerja menaip kertas cadangan yang sedang dibuatnya tadi.

“Hai sayang…” Akhirnya wajah Shahmi muncul di hadapannya dengan senyuman lebar.

Eryna memandang lelaki itu yang berbaju lengan panjang ungu muda, disingsing ke siku dan berseluar slacktanpa berkelip. Bibirnya langsung tidak mengukir senyuman.

“Kenapa ni? Marahlah tu,” usik Shahmi seraya menarik jari-jemari Eryna dengan perlahan.

Eryna menarik tangannya dengan pantas sambil terus membuat muka. “Kata dah nak sampai. Setengah jam I tercongok kat bawah ni tau tak.”

Shahmi tersenyum kecil mendengar suara mendatar milik gadis yang disayanginya sekian lama itu. Dia tahu dia salah tetapi nak buat macam mana kalau tiba-tiba saja dia baru perasan lampu minyak keretanya sudah berkelip-kelip?

Nasib tak baik pula apabila dia tersalah masuk simpang selepas itu dan perlu memandu dengan lebih jauh sebelum dapat membuat pusingan semula.

“Okey, sorry ya? Dahlah, buat apa you nak merajuk? Pelik betul I. Cuaca panas membahang macam ni pun you nak merajuk?” Shahmi mengerutkan dahinya.

“Lain kali, dah sampai sini baru telefon I. Bukan lagi setengah jam nak sampai. Buang masa I je! You pun tahu kerja di pejabat tu tengah banyak!”

Lelaki itu terdiam apabila mendengar suara Eryna yang sudah mula meninggi. “Okey, I salah. I tahu. Lepas ni I tak panggil you dah untuk temankan I makan.”

Eryna membalas pandangan Shahmi dengan wajah yang mencuka. Emosinya menjadi tidak tentu hala. Lebih-lebih lagi setelah orang yang disayanginya mungkir janji.

Tanpa menunggu lama, gadis itu terus bangun lalu melangkah pergi. Shahmi pula diam membatu, tidak cuba bangun untuk mengejarnya.

Bukan sekali dua Eryna melakukannya malah berpuluh kali, sejak zaman mereka di sekolah dan universiti. Namun, dia tetap menyayangi Eryna. Entah kenapa. Mungkin itu yang dinamakan cinta buta.

Tanpa ada apa-apa perasaan bersalah, Shahmi mengangkat tangan ke arah pelayan kedai untuk memesan makanan. Perutnya sudah mula menyanyi lagu riang kerana tidak sempat menjamah sebarang makanan sejak pagi.

******************************

“KENAPA wajah you mencuka saja I tengok? Ada apa-apa yang tak kena dengan projek?” Faiq yang kebetulan melalui meja kerja Eryna menegur.

Gadis itu menggeleng kepalanya berulang-kali tanpa memandang ke arah Faiq. Dia menongkat dagunya sambil mata terus tertancap ke arah skrin monitor.

“Hmm. Ini draft cadangan untuk projek minggu Fashion Queen Studio. Nanti you bagilah sesiapa untuk buat full presentation. Mrs Jazzy nak tengok minggu hadapan.” Faiq berkata dengan panjang lebar.

Eryna mengangguk sambil mengambil fail yang dihulurkan oleh lelaki itu. Faiq memandangnya sekali imbas lalu beredar dan menuju ke pantri.

Mujurlah Eryna itu tunang sahabat baiknya, Shahmi. Kalau ikut hati, nak saja dia meninggikan suaranya. Kalau ada masalah dalaman sendiri, jangan terbawa-bawa sehingga ke dalam pejabat. Itu memang pantangnya!

Dia tahu, emosi Eryna biasanya ada kena mengena dengan Shahmi. Sambil mengacau air cokelat panas, fikirannya terus menerawang jauh. Kata Shahmi, dia semakin bosan dengan perhubungannya dengan Eryna.

“Eh, kau kata nak ke Hotel Dynasty?” Suara Shahmi tiba-tiba kedengaran di belakangnya.

Faiq tidak menjawab soalan tersebut. Dia mengangkat mug berisi air panas itu lalu membawanya ke meja kecil di sudut pantri. Faiq menarik kerusi plastik yang berdekatan dan selepas itu membuka bekas plastik berisi biskut digestive.

Shahmi yang memerhatikan perlakuan Faiq dari tadi pula mampir ke sisi meja lalu terus duduk di salah sebuah kerusi plastik di situ.

“Tak jadi. Pengurus dewan tu tak ada hari ni. Aku dah janji malam nanti nak jumpa,” jawab Faiq secara ringkas.

“Aku dah follow upsyarikat bunga tu. Hari Sabtu tengah hari dia orang sampai untuk set up di dewan.” Shahmi memberitahu.

Faiq mengangguk sebelum menjawab, “nanti kau suruh Dalila follow up, jangan sampai terlupa. Kalau lambat sampai, habis kita nanti.”

Giliran Shahmi pula mengangguk. Dia faham benar dengan sikap Faiq yang perfectionist. Walaupun kadang-kala nampak begitu cerewet, tetapi itu semua adalah demi memberikan servis terbaik.

“Kau gaduh dengan Eryna ya?” Faiq serkap jarang setelah menutup bekas biskut.

Shahmi mengeluh panjang. “Fed-up aku. Sikit-sikit merajuk. Sikit-sikit nak marah. Sikit-sikit touching.”

Faiq ketawa kecil sebelum berkata, “aku dah agak. Bila aku tanya saja, buat muka mencuka. Huh, kalau bos lain… Jangan harap nak bagi muka.”

Kata-kata Faiq berbaur sindiran. Wajah Shahmi mula membahang kerana dia tahu sikap Eryna itu berpunca daripadanya. Namun, Shahmi tidak salahkan Faiq kerana dia tahu temannya itu sekadar menegur.

Sorry. Bukan aku sengaja nak bagi dia marah.” Shahmi berkata dengan perlahan sambil mengetap bibir.

“Aku tahu. Bukan aku marah kau pun.”

“Hmm. Entahlah, sampai bila aku mampu bertahan agaknya.” Shahmi menghela nafas panjang sekali lagi.

Faiq menoleh ke arah Shahmi yang diam di kerusi pantri. Dia menggeleng perlahan sambil berkata, “kita belum tahu takdir kita Shahmi. Jodoh itukan kerja ALLAH. Kalau kau rasa selesa, kau teruskan. Kalau tidak, kau faham-faham sendirilah.”

“Aku faham…”

“Dahlah, jom meeting sekejap untuk hari Sabtu ni. Aku nak semuanya get ready sebelum Jumaat. Taklah nanti kelam kabut.”

Shahmi mengangguk. Dia terus bangun lalu beredar keluar dari pantri dan diikuti oleh Faiq. Mereka berdua menuju ke dalam pejabat Faiq untuk meneruskan mesyuarat mengenai majlis perkahwinan yang diuruskan oleh mereka minggu ini di Hotel Dynasty.

“Nak panggil Eryna?” soal Shahmi.

Faiq menggelengkan kepala. “Tak usah. Lagipun projek ni aku, kau dan Dalila yang uruskan. Dia dah sibuk nak uruskan majlis perkahwinan VVIP bulan depan. Kau nak tengok dia melenting ke?”

Shahmi tersengih. “Apa jadi dengan Dato’ dan Datin tu? Kata Eryna hari tu, macam-macam cadangan yang dimintanya. Mana satu yang jadi?”

“Konsep Star Galaxy.” Faiq menjawab sambil memberikan senyuman penuh makna.

“Serius?” Shahmi mempamerkan wajah terkejut.

Faiq tidak menjawab tetapi masih sibuk menaip sesuatu di komputer riba Sony Viao miliknya. Shahmi pula membuka fail berisi maklumat majlis yang mereka akan uruskan dalam masa yang terdekat.

“Itu sebab aku rasa mood Eryna macam tunggang-langgang. Banyak sangat masalah dengan klien. Sekejap nak ini, sekejap nak itu,” ujar Faiq.

“Dah confirm ke belum?” tanya Shahmi.

Faiq mengangguk. “Sudah. Deposit pun dah bagi tapi cerewet punya pasal, susahlah nak finalize.”

Ketukan di pintu bilik Faiq membuatkan kedua-dua lelaki yang berada di dalam bilik tersebut menoleh pantas. Wajah Eryna yang mencuka menyambut pandangan mereka.

Gadis itu masuk ke dalam bilik sambil membawa sebuah fail. Dia langsung tidak memandang ke arah Shahmi tetapi memberikan fail tersebut kepada Faiq.

“Kenapa?”

Surrender,” ujar Eryna ringkas.

“Kenapa pula?” soal Faiq sambil mengambil fail tersebut.

Eryna menarik kerusi di sebelah Shahmi lalu terus duduk. “Dia nak tukar konsep lagi. I tak fahamlah Faiq. Lagi sebulan kot majlis nak diadakan tapi klien masih belum finalize konsep.”

“Hari tu kata konsep Star Galaxy?” Faiq menyoal sambil membelek fail majlis tersebut.

Gadis itu mengeluh kecil. “Sepatutnya dah confirm tapi ada campur tangan keluarga isteri Dato’ ni pula. Dia orang kata konsep tak logiklah, tak kena dengan budaya Melayulah. Padahal konsep ni anak dia yang nak.”

“Bila you meeting dengan mereka lagi?” tanya Faiq.

“Esok pagi.”

“I ikut you tapi you tolong buat surat, bagitahu cadangan masa perjalanan kita dalam tu dengan teliti supaya dia orang nampak kita tak ada banyak masa lagi untuk tunggu dia orang punya final decision. Kalau macam ni, sampai tahun depan pun belum tentu dapat keputusan!” Faiq mendengus kasar.

“Baik bos.”

“You taip secara terperinci konsep yang mereka mahukan mula-mula. Kita dah tempah kain hitam untuk backdrop pentas dan siling, kan?” soal Faiq.

Eryna hanya mengangguk lemah. Klien yang satu ini benar-benar membuatkan hidupnya berasa tidak tenteram. Kalau ikutkan hati, dia mahu saja menyerahkan projek ini kepada Faiq terus.

“Esok I jelaskan pada mereka. Kita tak ada banyak masa lagi untuk layan karenah dia orang. Nanti silap-silap kita juga yang dipersalahkan bila tiba harinya. I tak mahu hasil kerja kita dijadikan bahan mainan orang lain,” ujar Faiq dengan tegas sehingga membuatkan Eryna dan Shahmi saling berpandangan tanpa disengajakan.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.