Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
193,961
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 34

TERBUNTANG anak mata Faiq apabila Sheila menghantar gambar jemarinya yang telah tersarung sebentuk cincin perak. Tubuhnya menggeletar menahan marah.

Sheila : Engaged. Thank you sayang.

Faiq meraup wajahnya yang mula berpeluh. Siapa punya rancangan semua ini? Lelaki itu mundar mandir di dalam biliknya. Terus hilang mood mengaitnya.

Faiq meluru keluar dan menuju ke bilik ayahnya tetapi dia terhenti. Pasti ayahnya di rumah Syed Ghazali sekarang! Kalau tidak, kenapa Sheila menghantar gambar cincin tersebut? Atau apakah Sheila telah tidak siuman terbayang yang bukan-bukan?

Dia masuk semula ke dalam biliknya lalu menukar pakaian. Isu ini tidak boleh dipermainkan lagi. Dia bukannya robot yang boleh mengikut kehendak ayahnya atau sesiapapun. Dia sudah besar panjang dan masih boleh membuat keputusan sendiri!

Setelah menyarungkan jeans biru tua dan T-shirt berkolar warna hitam, Faiq segera keluar dari suite lalu menuju ke lif. Tidak putus-putus dia beristighfar di dalam hati agar menjadi tenang semula dan bersikap rasional.

Faiq masuk ke dalam keretanya yang terletak di tingkat bawah tanah. Sempat dia menjeling jam yang menunjukkan angka sembilan malam. Lelaki itu mendengus kasar sebelum menekan minyak kereta.

Mindanya mula berfikir apa yang perlu dibuatnya sekarang. Hatinya kacau-bilau. Sekiranya dia ke banglo Syed Ghazali, apakah yang patut dilakukan? Mohon pertunangannya diputuskan? Kelak, ayahnya juga yang akan menghambat dia pulang. Serabut!

Faiq akhirnya memandu tanpa arah tujuan. Telefonnya berdering dan dia melihat sekali imbas. Sheila! Dia menahan sabar dan hanya membiarkan deringan tersebut.

Akhirnya Faiq berhenti di bahu jalan di perkarangan lebuhraya Sprint berhampiran dengan Pusat Sains Negara. Lelaki itu menarik nafas panjang dan berfikir apa yang harus dilakukannya.

Telefon berdering lagi. Tanpa memandang, Faiq terus menjerkah pemanggil tersebut. “You nak apa lagi? Tak cukup ke apa yang you buat selama ni hah?!”

“Eh? Err… Hmm, ni nombor telefon Faiq, kan?”

Faiq serta-merta terdiam lalu memandang ke arah skrin telefonnya. Astaghfirullahala’zim! Salah orang rupanya dia menjerit tadi!

“Oh sorry Ju. Saya tak perasan awak telefon,” ujar Faiq seraya menepuk dahinya.

“Ei, garangnya!” Zulaikha tergelak kecil. “Awak marah siapa? Awak okey ke ni?”

Faiq mengeluh berat. “No, I’m not okay.

“Awak nak mengadu pada saya tak? Saya akan dengar kalau awak nak bercerita.” Zulaikha berkata dengan jujur.

Hati Zulaikha jadi sedikit bimbang apabila mendengar suara Faiq yang tinggi itu. Dia pasti ada sesuatu yang tidak kena. Sebagai kawan, dia masih mampu untuk menasihati lelaki itu jika perlu.

Faiq menarik nafas panjang. “Saya kena paksa bertunang.”

Zulaikha terdiam di hujung talian untuk seketika. “Serius?”

“Ya.”

“Macam dramalah kisah awak ni,” usik Zulaikha.

Faiq tersengih sedikit. “Saya tak tahu nak buat apa.”

Oh come onFaiq! Awak tu lelaki yang gagah perkasa. Takkanlah soal kecil inipun awak kena susah hati. InsyaALLAH fikir sebaiknya. Manalah tahu, lepas ni awak boleh bercinta dengannya.”

No. Saya tak boleh ada perasaan dengannya. Saya anggap dia macam adik saya sendiri selama ini.”

“Hati manusia boleh berubah…” Zulaikha berkata perlahan.

No Ju.”

Faiq mendengar Zulaikha mengeluh di sebalik talian. “Syoknya kena paksa tunang. Kalaulah saya boleh duduk di tempat awak…”

“Oits! Awak suka ke kena paksa ni?” soal Faiq yang terkejut mendengar keluhan Zulaikha.

Gadis itu tergelak. “Syoklah! Macam dalam drama. Mula-mula kena paksa, mestilah tak suka tapi lama-lama nanti jatuhlah cinta!”

Faiq menggelengkan kepala. Dia ingat ni cerita fantasi ke? Ini cerita tentang hati dan perasaan yang bukan boleh dibawa main. Lelaki itu melontarkan pandangan ke luar tingkap.

Lebuhraya Sprint dipenuhi dengan pelbagai jenis kenderaan. Sesekali pancaran lampu kereta menyilaukan pandangannya.

“Awak ni kalau ada depan mata, saya gigit awak tahu tak!” gertak Faiq.

Zulaikha tidak mengendahkan jerkahan Faiq, sebaliknya dia menjawab, “rilekslah Faiq. Awak ada di mana tu?”

“Depan Pusat Sains Negara.”

“Oits, kalau sakit hati sekalipun, takkanlah tempat tu awak nak lepaskan stress?”

Akhirnya Faiq tergelak dengan usikan Zulaikha. Kurang sikit beban apabila berbual dengan teman baiknya seorang ini. “Gila ke apa saya nak melawat pusat sains ni jam sepuluh malam?”

“Awak dah makan?” soal Zulaikha selepas tawanya terhenti.

Faiq baru tersedar dia belum menjamah sebarang makanan sejak tengah hari tadi. Terlalu leka mengait sampai lupa erti kelaparan.

“Belum. Awak?”

“Belum. Malas masak,” ujar Zulaikha dengan selamba.

“Jom teman saya makan. Saya belanjalah kali ni. Saya datang ambil awak kejap lagi dalam setengah jam, boleh?” Faiq terus saja membuat keputusan.

“Okey! Itu yang saya nak dengar sebenarnya!” Gadis itu tertawa.

***************************************************

“KAT mana ni?” Aku menyoal ketika turun daripada kereta Vios milik Faiq.

Mata aku merenung signboard restoran di hujung bangunan yang terletak betul-betul di hadapan Bangsar Village. Tak pernah pula aku sampai sini.

Faiq berjalan dahulu ke hadapan. Mata aku mengecil apabila melihat ada objek pelik di belakang seluar jeansnya. Cepat-cepat aku menghampiri Faiq.

“Apa ni? Ada benang tersangkut kat seluar awak.” Dengan selamba aku menarik seutas benang tebal berwarna hijau muda yang tersangkut di tali pinggangnya.

Faiq menarik pantas benang tersebut lalu menggumpalnya sebelum mencampakkannya di tepi jalan. Terhenti sekejap langkah aku apabila melihat tindakan drastiknya itu. Entah dari manalah benang tu datang.

Kami melangkah masuk ke dalam restoran Chawan yang masih dipenuhi dengan ramai orang biarpun bukan hujung minggu. Faiq melangkah ke sudut yang tersorok sedikit daripada pandangan orang.

Sejurus selepas membuat pesanan, aku segera memandang wajahnya yang nampak lesu. Aku memetik jari lalu tersengih apabila dia memandang ke arah aku semula.

“Apa awak nak buat sekarang?” soal aku.

Faiq menongkat dagunya. “Saya nak putuskan semula.”

“Hisy. Mana boleh macam tu. Kasihanlah kat perempuan tu. Dia mesti berharap. Kalau tidak, macam mana dia boleh bulat-bulat aje terima peminangan ni?”

Faiq mendengus kecil sebelum menjawab, “ni semua kerja ayah saya dan ayahnya. Dia orang nak satukan kami, sekurang-kurangnya sebelum daddy pulang ke Korea.”

“Jadi… Dia nak awak kahwin?”

Lelaki itu mengangguk. “Dia tak akan lepaskan saya di sini seorang diri. Kalau tidak, dia ajak balik sana.”

Aku terdiam. Kenapa ayatnya itu macam sama aje dengan situasi aku sekarang? Mama ajak aku pindah Singapura sebab tak mahu biarkan aku seorang diri di sini.

“Kenapa awak diam?”

“Nasib kita serupa.” Aku pula mengeluh.

Sebenarnya aku tak bagitahu dia pun bahawa aku juga turut stress sebelum aku menelefonnya tadi. Ingatkan nak luahkan perasaan, rupa-rupanya aku yang kena jadi pendengar.

Bezanya dia kena paksa bertunang. Mujurlah mama tak buat macam tu pada aku. Dia cuma gertak supaya aku mengikutinya ke Singapura.

“Kenapa pula?” Faiq bertanya sambil mengerutkan dahi.

Aku memerhatikan suasana restoran. Di sana sini ada gelak tawa. Mereka semua bagaikan tiada masalah. Namun, siapalah aku untuk membuat andaian, kan?

“Mama paksa saya pindah ke Singapura. Dia nak mulakan syarikat di sana.”

“Tapi awak tak kena paksa buat perkara yang awak tak nak, kan?” Faiq menggenggam jari jemarinya di atas meja.

“Memang tak tapi saya tetap rasa terbeban. Saya tak mahu pindah tapi mama tak bagi saya duduk seorang diri kat sini. Macam mana saya nak buat?”

“Ray kan ada?”

“Memanglah, tapi dia dah ada bini. Tak mahulah susahkan dia. Haikal pun ada, tapi dia sibuk belajar. Lagipun dua-dua tu lelaki. Bukannya saya boleh tinggal dengan dia orang,” keluh aku pula.

Faiq tergelak kecil. “Kenapa nasib kita sama ni?”

Aku mengangkat bahu. “Entah.”

“Nak buat macam mana, kan? Kita berdua pun anak tunggal. Pastilah daddy saya dan mama awak mahukan yang terbaik untuk kita,” kata Faiq dengan perlahan.

Aku mengeluh apabila memikirkan penyelesaian yang perlu aku lakukan. Kasihan juga dengan Faiq. Kami kesuntukan masa. Apa jua keputusan yang dilakukan selepas ini pastinya bakal merubah masa hadapan.

Previous: BAB 33
Next: BAB 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.