Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
193,964
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 4

LANGSIR berwarna putih yang ditaburi corak bunga lavendar itu aku selak perlahan. Langit kelihatan sungguh kelam dalam kepekatan malam. Jalan raya lengang, hanya dipenuhi dengan deretan kereta yang diparkir di sepanjang jalan berdepan dengan perumahan.

Aku menghela nafas panjang sebelum kembali ke katil bujang yang dipenuhi dengan barangan yang aku keluarkan daripada kotak di bawah katil selama ini.

Bibir aku mula mengukir senyuman tatkala membuka getah yang mengikat sebemban kad dan surat. Semuanya daripada orang yang pernah aku sayangi, Amsyar.

Kalau ikutkan hati, dah beberapa kali aku berniat nak bakar semua kad dan surat yang pernah diberi. Namun, semua niat itu akhirnya terkubur begitu saja.

Dearest my lovely Ju,

I love you so much. I miss you each day. Awak jaga diri baik-baik. Saya sayang awak selamanya.

Yours, Am.

Tersenyum aku melihat isi nota kecil yang pernah diselitkan oleh Amsyar ke dalam beg sandang aku. Lelaki itu memang penuh dengan kejutan.

Kadang-kala bila aku buat-buat merajuk, dia tidak segera pujuk tetapi ada saja nota kecil yang aku jumpa di dalam beg ataupun buku yang aku bawa selepas itu. Entah bila dia letak pun, aku tak perasan.

Ju sayang,

Thanks for always be there for me. Thanks for being my friend, my beloved girlfriend and maybe my future wife, insyaALLAH. I love you sweetheart.

Yours, Am.

Sekeping demi sekeping kad, surat dan nota aku ambil dan baca. Semuanya dipenuhi dengan bait-bait kata yang indah. Seingat aku, Am tidak pernah meninggikan suara dan mengambil kesempatan terhadap aku. Ya, memang aku bertuah mengenalinya walaupun tidak sempat memilikinya. Apakah jodoh kami masih ada untuk bertaut kembali?

My princess Ju,

Jangan terlalu menyayangi Am sebelum mencintai ALLAH & Rasul kita. Jangan terlalu mengharap sesuatu yang belum pasti kerana semuanya sudah dirancang ALLAH. InsyaALLAH, doakan agar ada jodoh di antara kita. Sebaiknya kita berdoalah setiap masa. Am sayangkan Ju kerana ALLAH. Am mahu kita sama-sama menyayangi kerana ALLAH.

Truly miss you, Am.

Air mata mula berguguran jatuh dengan perlahan di pipi. Ah! Aku segera menyekanya. Inilah padahnya kalau masih membiarkan segala kad, surat dan nota ini dalam simpanan. Tak pasal-pasal emosional!

Hisy, tak boleh jadi. Aku segera mengumpul kembali tanda kenangan aku dan Amsyar itu ke dalam kotak lalu cepat-cepat mencampakkannya ke bawah katil.

Sudahlah Zulaikha. Lupakan… Lupakan… Begitulah yang aku katakan setiap hari, di dalam doa dan setiap detik apabila terfikirkan Amsyar. Kenapa susah sangat aku nak lupakannya? Kenapa?!

Sambil mengambil sikat yang terletak di atas meja kecil di penjuru bilik, aku melangkah ke arah meja tulis. Laptop yang masih mempamerkan laman emel yang aku buka tadi dibelek.

Ada emel baru daripada Helmi rupanya. Aku tersengih seketika sebelum menarik kerusi lalu terus duduk. Helmi adalah sahabat lama yang aku kenal ketika kami berusia 13 tahun.

Kami memang sangat rapat sehinggalah ada kawan lain yang membuat khianat kerana dengkikan persahabatan kami. Cerita tentang aku menyukai Helmi disebarkan ke sekitar sekolah sehingga membuatkan lelaki itu menjauhkan diri kerana tidak berasa selesa dengan khabar angin tersebut.

Helmi berpindah ke sekolah lain setahun selepas itu. Aku tak sangka akhirnya kami berjumpa semula di universiti dan bertukar nombor telefon serta emel. Sejak itu, kami berkawan semula. Kata Helmi, lupakan kisah zaman hingusan kami dahulu kerana terus terang, dia selesa berkawan dengan aku.

Assalamua’laikum Zulaikha,

Yes! Seronok aku dengar cerita kau nak balik sini semula. Tapi kau balik pun bukan kita boleh keluar sama! Haha! Guess what? Aku dah kerja dengan ayah aku akhirnya. Terima kasihlah kerana memujuk aku yang keras kepala ni.

Ju, berapa kali aku cakap dengan kau… Lupakan saja Am tu. Dia yang rugi tinggalkan kau. Tulah, dulu aku nak kat kau tapi kau tak layan! Hahaha~ Jangan marah wei. Aku gurau je. Mesti kau tengah senyum, kan? Baguslah, susah sangat nak tengok muka kau tengah senyum. Asyik kelat je. Haha~

Malaysia macam ni je lah. Sama macam mula-mula kau tinggalkan tanah air yang tercinta ni! Kau nak aku tolong kau carikan kerja kat sini tak? Aku ada few kawan-kawan yang buka company photography. If you want, just let me know okey?

Wei, kau nak tahu satu benda tak? Eryna add aku di FB! Haiyoo~ Dia dah mula mesej di FB, minta nombor telefon! Macam manalah dia dapat cari aku? Kau masih ingat dia ke tak setelah apa yang dia buat selama ini kat kau? Kalau tiba-tiba kau terjumpa dia di KL nanti, jangan lupa bagitahu aku!

Till then, jangan lupakan janji kau untuk bawa pulang seorang awek untuk aku!

Aku, Helmi.

Senyuman aku mati apabila melihat nama Eryna. Angkara dialah persahabatan aku dan Helmi terputus. Bukan setakat hanya Helmi ataupun Dura. Shahmi juga begitu. Apalah yang dia dengki sangat pada aku?

Nak kata cantik, dia lagi lawa. Nak kata pandai, hmm... Memanglah aku pandai sikit kalau ikut ranking sekolah tapi takkanlah sebab tu dia sakit hati? Entahlah.

Aku cuma harap dia bahagia sekarang dan tak kacau aku lagi kalau betul kami akan berjumpa kembali. Memang benarlah bumi Malaysia banyak buat hati aku terluka tapi kini aku terpaksa juga kembali ke sana demi mama.

******************************

“MALAS.” Aku hanya menjawab sepatah apabila mendengar kata-kata Rayyan di talian.

“Ya ALLAH, studio bukannya jauh dari rumah kau. Datanglah, temankan aku. Lagipun, dia orang ni semuakan ex-officemate kau,” kata lelaki itu.

Aku memandang ke atas, menatap siling putih yang bersih tanpa secalit habuk mahupun sarang labah-labah. Itupun sebab semalam tiba-tiba saja aku jadi rajin nak mengemas.

“Kau ada sana sampai jam berapa?” Aku menyoal sambil menguap.

Aku menyelak selimut tebal yang menutupi tubuh ke tepi lalu bangun dengan penuh kemalasan.

“Petang kot. Ada 10 baju. Kau kiralah sendiri,” usik Rayyan.

Aku mendengus kecil. Kalau ada 10 baju, mungkin memakan masa dalam enam sehingga lapan jam. Itupun paling cepat. Model nak kena make-up lagi, photographerperlu cari angle yang menarik lagi…

“Datang tak?” Rayyan menyoal kembali setelah aku diam beberapa ketika.

“Apa untungnya kalau aku datang?” soal aku pula.

“Aku belanja kau makan, lepas tu aku belanja lagi… Lepas tu kita tengok wayang…”

Tercetus tawa aku mendengar jawapan Rayyan. “Yalah! Tengoklah macam mana. Aku belum mandi lagi.”

“Tak payahlah mandi. Pakai kot tebal, lepas tu terus datang sini.”

“Banyaklah kau!” Aku berkata separuh menjerit sebelum masing-masing mematikan talian.

Aku menguak langsir dan memerhatikan panorama luar. Matahari masih belum lagi menunjukkan dirinya walaupun sekarang sudah jam lapan pagi.

Telefon bimbit yang masih berada di tangan itu aku lihat semula. Ada beberapa mesej WhatsApp yang masuk. Salah satunya daripada teman baik aku di Malaysia, Dura.

Dura : Ju! Kau baliklah awal sikit, boleh kita hang out lama-lama!

Aku : Aku dah beli flight ticket bulan depan. Lagipun belum cari kerja. Bolehlah kalau nak lepak :)

Dura : Ei, seronoknya! Tak sabar aku nak dengar cerita! Dulu kau cakap ada Irish nak tackle kau, kan? Apa jadi wei?

Aku terus ketawa apabila melihat ayat Dura. Serta-merta jejaka Irish yang pernah cuba mahu menyulam cinta dengan aku itu terbayang di fikiran.

Aku tersenyum sinis. Ah, tak berkenan sungguh aku dengan mana-mana lelaki di sini. Nampak sangat jiwa terlebih pada lelaki berbangsa Melayu.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.