Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
193,940
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 20

FAIQ menarik nafas lega. Hilang bebannya apabila satu lagi masalah selesai. Mujurlah Zulaikha boleh bertolak ansur, fikirnya. Nak cari jurufoto profesional yang free bukannya mudah. Selalunya mereka sibuk terutama bila hujung minggu.

Shahmi berulang kali memohon maaf kepadanya tadi kerana sahabatnya tidak dapat turun padang. Faiq tidak salahkan sesiapa, malah dia menerima ujian itu dengan hati yang terbuka.

Iyalah, sakit itu adalah ujian daripada Yang Maha Esa. Bila-bila saja boleh jatuh sakit. Bukannya kita sengaja. Walaupun perkara itu menyebabkan orang lain terkena tempias kesusahan, tetapi bagi Faiq, ini semua adalah ujian kecil yang perlu dihadapi dengan tenang.

Bunyi mesej masuk menarik perhatiannya. Seketika, Faiq mengeluh. Dia mengetap bibir sambil fikirannya terus ligat berputar tentang mesej Sheila yang berbaur cinta itu.

Sheila : Sayang, daddy tanya bila you nak datang sini lagi?

Sheila : You dah tidur ke? Esok you free? Kita keluar shopping nak?

Faiq membiarkan mesej Sheila yang tiba tidak sampai seminit selepas itu. Haru sungguh! Bukan tidak pernah dia memberikan hintbahawa dia tidak berminat dengan hubungan mereka.

Apakah Sheila tidak faham bahasa? Ataupun sememangnya gadis itu pura-pura tidak tahu? Deringan telefonnya memyebabkan Faiq menongkat dagu dengan kedua-dua belah tangan.

Tidak berapa lama selepas itu, Faiq terdengar bunyi batuk ayahnya di luar. Dia terus bangun lalu meninggalkan panggilan telefon Sheila yang masih berdering-dering minta diangkat itu.

“Daddy dah makan?” soal Faiq.

Firdaus mengangguk dan membuat isyarat supaya Faiq datang ke ruang tamu. Anak terunanya itu akur lalu keluar dari bilik dengan perasaan gundah. Dia tahu apa yang bakal diperkatakan.

“Faiq dan Sheila macam mana? Any progress? Syed Ghazali ada tanya daddy.”

Faiq terdiam. Dia duduk di sofa berhadapan dengan ayahnya dengan hati yang walang. Seperti terasa pula dirinya akan dipaksa berkahwin. Dengan perlahan, Faiq menggeleng.

Why? She’s not your taste?” Firdaus bertanya dengan nadanya yang mendatar.

“Bukan macam tu daddy…”

“Habis tu? Faiq nak tunggu siapa lagi?”

Faiq sedar bahawa ayahnya hanya memberikan soalan sejak tadi. Dia tidak faham mengapa Syed Ghazali begitu mahukannya sebagai menantu. Apakah tiada lelaki lain yang lebih handsome, lebih berkarisma daripadanya di dunia ini? Faiq hanya mampu ketawa di dalam hati dengan ayatnya sendiri.

“Faiq tunggu bidadari,” jawab Faiq dengan selamba.

Firdaus tersenyum sedikit apabila mendengar jawapan anaknya. Dia mengeluh kecil sebelum bersuara, “nanti bila daddy dah tak ada, siapa yang nak jaga Faiq? Bidadari mana?”

“Daddy…”

“Daddy faham Faiq nak majukan perniagaan. Yes, I understand but this is for your own good. Lagipun nenek di Korea tu dah mula tanya daddy bila dia nak dapat cicit.”

Faiq terus ketawa. “Aik, daddy pun tak bising nak ada cucu, nenek yang sibuk-sibuk pula?”

Lelaki itu tersengih apabila mengenangkan neneknya yang berbangsa Korea itu. Sudah agak lama mereka tidak pulang ke sana, hampir dua tahun kalau tidak silap Faiq.

“Sheila tu baik Faiq. Syed Ghazali pula memang kawan baik dengan daddy. Dia kata, dia tak percayakan orang lain untuk jagakan anaknya. Lagipun, Syed Ghazali dah banyak tolong daddy masa daddy datang sini dulu,” ujar Firdaus dengan panjang lebar.

Faiq memerhati saja keluhan ayahnya yang lengkap dengan pijama warna kelabu belang putih itu. “Kenapa kalau kita baik, mesti kita kena balas budi dengan cara macam ni?”

Firdaus memandang tajam ke arah anaknya. “Syed Ghazali tak pernah minta daddy apa-apapun selain daripada keinginannya untuk mengahwinkan Sheila dan Faiq.”

“Kalau Faiq tak nak?” Lelaki itu menyoal dan menyilangkan tangannya sambil mengerling ke arah televisyen.

“Daddy akan paksa sampai Faiq nak.” Firdaus berkata.

Faiq mengeluh kecil. “Cinta bukan boleh dipaksa daddy.”

“Tanpa cinta pun ramai boleh berumahtangga. Kahwin dulu, baru bercinta.”

“Tak semestinya boleh kekal lama.”

Firdaus terdiam seketika. “Daddy tak mahu Faiq jadi macam daddy.”

“Itu kisah antara daddy dan mummy. Faiq tak mahu tahu. Macam mana daddy tak mahu bagitahu Faiq tentang mummy, macam tu jugalah Faiq tak mahu tahu tentang isu kahwin paksa Faiq dan Sheila.”

Faiq terus bangun dengan perasaan geram dan melangkah ke bilik tidurnya semula. Sesungguhnya dia menjadi lebih sensitif apabila isu ini dibangkitkan.

Lagipun, Firdaus tidak pernah mahu menceritakan mengenai ibu kandungnya. Justeru, Faiq tidak pernah rasa bersalah jikalau dia membangkang cadangan ayahnya yang mahu menurut kemahuan Syed Ghazali. Ah, serabut!

Faiq menuju ke arah almarinya yang menyimpan seribu satu rahsia tentang hobinya itu. Diambilnya satu kotak sederhana besar yang mempunyai benang kait berwarna kuning dan hitam.

Kesibukannya di pejabat menyebabkan dia terlepas peluang untuk melakukan hobi yang mendatangkan duit itu. Faiq menyambung semula projek mengait stokin bayi yang ditempah pelanggan beberapa hari lepas.

Sesekali dia melihat ke arah buku nota pesanan untuk memastikan tiada apa yang tertinggal. Dia bersyukur kerana produk mengaitnya mendapat sambutan. Ada juga yang mahu ambil pesanan mereka by hand, tetapi Faiq menolaknya awal-awal.

Dia tidak mahu exposed! Mahu terkejut orang lain bila dapat tahu seorang lelaki tough gemar mengait. Sebab itulah Faiq tidak akan angkat sebarang deringan telefon. Nanti kantoi, habis! Silap-silap jadi viral di internet!

Sedang dia leka mengait, telefon Iphonenya berbunyi. Dia mengerling sekali imbas dan ternyata, mesej itu daripada Zulaikha. Faiq mengambil telefon dan melihat isi mesej. Tersenyum kecil lelaki itu apabila Zulaikha sudah selesai menghantar alamat rumahnya.

Zulaikha adalah seorang gadis yang baik, fikirannya mula menerawang. Dia dapat rasakan bahawa gadis itu mempunyai tarikan semulajadi yang menyenangkan orang sekelilingnya.

Tidak lama kemudian, telefon Samsungnya pula berdering nyaring, menandakan ada pelanggan bubblyknit menghubunginya. Faiq menjadi fobia dan hanya membiarkan telefonnya berdering begitu saja. Risau sekiranya identitinya terdedah.

Faiq meneruskan kerjanya sehinggalah kedengaran bunyi mesej pula masuk bertalu-talu di telefon Samsung. Dia mengerling ke arah jam dinding sebelum meletakkan benang kaitnya di atas tilam.

Unknown : Hi dear! Kenapa tak angkat telefon? I nak order!

Unknown : Warna skarf you cantik sangat! Ada lagi tak?

Unknown : I nak yang warna biru muda dan peach tu. Kod 02 dan 03, kan?

Unknown : Eh sorry! I lupa nak cakap. Ni Airinlah. Yang dulu selalu order dengan you masa di Dublin!

Lelaki itu mengerutkan dahinya. Dia kenal pelanggan setianya itu. Namun, kenapa Airin menggunakan nombor tempatan? Apakah dia telah pulang ke sini?

Faiq : Sorry dear, I tengah busy tadi. Yes, I still have the colours. You nak?

Airin : Of course nak! Thanks darling. Oh by the way, I’m back here in Malaysia! Nanti I send you alamat I di sini okey?

Faiq : Alright. You balik sementara ke atau you duduk sini terus?

Airin : Terus balik sini, insyaAllah. Hoping to see you one day! Kita ni asyik whatsapp aje kan? Kekeke~ I really adore your products!

Hoping to see you one day? Faiq menelan air liur. Ayatnya itu sangat menakutkan! Kalaulah dia tahu bukan perempuan yang tengah balas ni…

Faiq : Thanks a lot dear :)

Airin : Tell me the total cost ya. Thanks to you also sis! Keep up the good work on knitting. You should do your own class. Boleh I belajar. Hihi~

Faiq : Hehe, insyaAllah. Thanks for always supporting me.

Faiq menarik nafas panjang. Hidupnya seakan dilanda ribut taufan dengan pelanggan terlebih mesra seperti ini. Kalau tak dilayan, kemungkinan dia akan kehilangan pelanggan. Kalau dilayan, hah jadi macam nilah.

Tak pasal-pasal aku yang ‘bro’ ni terpaksa jadi ‘sis’! Hati Faiq terus menggetus perlahan. Nak buat macam mana, sendiri cari pasal, sendirilah tanggung…

Faiq menulis pesanan Airin di dalam buku notanya sementara menunggu pelanggannya itu memberikan alamat penuh rumahnya. Seketika kemudian, telefonnya berdering lagi.

Lelaki itu segera menulis alamat Airin tetapi mindanya berputar laju. Kenapa dia seperti mengenali alamat tersebut? Di mana dia membacanya? Ataukah itu hanya perasaannya saja? Berkerut dahi lelaki itu berfikir.

Faiq meletakkan pen sebelum jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Eh? Tak mungkin… Dengan secepat kilat, Faiq mengambil telefon Iphonenya dan meneliti alamat Zulaikha. Lelaki itu terperanjat besar!

Sama! Alamat mereka sama! Airin Zulaikha yang duduk Ireland dulu tu, Zulaikha yang aku kenal selama ni?! Dia pelanggan aku selama ni?! Faiq melopong.

Dia langsung tidak ada perasaan pelik sebelum ini memandangkan bukan seorang dua pelanggannya bernama Zulaikha. Ya ALLAH! Kebetulan apakah ini?! Faiq mengetap bibirnya sambil cuba meredakan hatinya yang berkecamuk.

Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.