10
ROKOK masih menyala di
celahan bibir pucat tanpa coletan gincu itu. Melisa menoleh ke belakang dan
dilihatnya pelanggannya itu masih tertidur ‘kepuasan’. Puas dengan ‘layanannya’
sebentar tadi.
‘Ah! Lelaki semuanya
sama!’ bentak hati Melisa sebelum dia menaburkan kembali pandangannya ke arah
gelap malam melalui tingkap kaca yang sudah dibuka perlahan.
“Tapi... Asyraf
langsung tak sama,” nafi bibirnya. Serentak itu, Melisa mengeluh.
“Kenapa susah sangat
untuk aku miliki kau, Asyraf? Kenapa?” Persoalan hadir meresahkan rasa di
jiwanya.
“Apa kurangnya aku
berbanding perempuan tu?” Melisa masih bermonolog dengan dirinya sendiri.
“Asyraf... aku cintakan
kau. Sungguh! Aku cintakan kau...” Perlahan pengakuan cinta itu lahir di bibir
Melisa.
“I lagi cintakan you.”
Serentak kata-kata itu, terasa pinggang ramping milik Melisa sudah dibeliti
dengan tangan kasar milik lelaki yang sedang memeluk erat tubuhnya dari
belakang.
Melisa tersentak.
Segera dia mencampak puting rokoknya melalui jendela yang sedang terbuka luas
itu.
“Dato... I ingat, Dato
masih lena lagi... sebab tulah I tak nak ganggu Dato...” Melisa sudah berpaling
menghadap lelaki tua di hadapannya itu. Suara manja mengada-ngada sengaja
diintonasikannya.
“Memang pun I tengah
tidur. Tapi bau rokok you tu kuat sangat sampai terjaga I dibuatnya. Dah berapa
kali I pesan dekat you yang I tak nak you merokok lagi. Rokok, arak dan pil
khayal yang selalu you ambil tu hanya akan merosakkan tubuh you. I tak nak you
sakit. You tahukan yang I terlalu cintakan you.” Dato Ezman menyentuh lembut
dagu runcing milik perempuan simpanannya itu.
Melisa tergedik manja,
“Sorry... I janji yang I takkan kuat
merokok lagi.”
Dato Ezman
menganggukkan kepalanya lemah, “Tadi I dengar you sebut nama Asyraf. Siapa
dia?”
Dada Melisa berdebar.
Rasa takutnya hadir bertapak di jiwa.
“You kena ingat yang
you tu sekarang sudah sah menjadi perempuan simpanan I. I tak nak berkongsi
dengan sesiapa lagi. I tak nak you terima mana-mana pelanggan selain daripada
I. Faham?” Dato Ezman memanah sepasang mata milik Melisa.
“I tahulah. Asyraf tu
bukannya sesiapa pun... Cuma kawan biasa je,” nafi Melisa berhati-hati.
“Kawan biasa… sampai
you cakap yang you cintakan dia?” Curiga semakin bertapak di hati Dato Ezman.
“Dato salah dengar ni.
Mana ada I kata yang I cintakan si Asyraf tu. Hati dan seluruh tubuh badan I ni
hanya untuk you seorang je tau...” Melisa sudah menggesel-geselkan tubuhnya ke
tubuh Dato Ezman.
Biarpun Dato Ezman tahu
yang model di dalam pelukannya itu sedang berdusta, tetapi dia tidak mahu
berbalah apa. Dia mahu menikmati sepenuhnya malam ini dengan belaian dan
kemanjaan wanita seksi itu.
“Senyumlah sikit...”
goda Melisa saat lelaki di dalam pelukannya itu masih enggan memaniskan
wajahnya.
Cair Dato Ezman dengan
godaan itu. Dalam banyak-banyak perempuan simpanan yang pernah dibelanya,
Melisalah yang paling memahami dan dapat memenuhi keinginan lelakinya.
“Jom... I belum ‘puas’
lagilah,” gatal menerjah ke naluri lelaki buayanya. Lantas tubuh Melisa yang
hanya dibaluti sehelai baju tidur jarang itu diangkatnya.
Sekali lagi katil yang
bercadarkan kain putih itu hilang kesuciannya akibat taburan dosa zina yang
sedang dilakukan oleh dua orang manusia yang kian hilang pedomannya.
MENCERLUNG Baizura
memandang wajah Melisa yang sembap matanya akibat tidur yang tidak lena.
“Awal balik?” perli
Baizura.
Melisa tahu yang PAnya
itu sengaja hendak menyakitkan hatinya. Malas hendak berbalah apa, dia terus
melencongkan langkahnya ke arah bilik tidurnya. Tetapi Baizura terlebih dahulu
menghalang langkahnya itu. Kini Baizura berdiri betul-betul di hadapannya.
“Kau apa hal?” soal
Melisa bengang.
Sudahlah tidurnya
terganggu dengan ‘permintaan’ itu dan ini daripada Dato Ezman malam tadi. Kini,
sahabat baik yang merangkap PAnya itu pula hendak mencari pasal dengannya.
“Apa hal kau cakap?
Mana kau pergi malam tadi?” Laju, Baizura menyoal.
“Ah! Suka hati akulah
nak pergi mana!” jerkah Melisa.
Baizura langsung tidak
takut dengan jerkahan itu. Malahan dadanya kian berombak dengan sikap kurang
ajar sahabat baiknya itu.
“Kau masih menjalinkan
hubungan dengan Dato Ezman, kan?” telah Baizura.
“Kau jangan nak main
serkap jarang ya!” Kemarahan Melisa kian menjulang.
“Serkap jarang kau
cakap! Ni! Tengok ni!” Baizura menghulurkan handphone
miliknya kepada Melisa. Ada sesuatu yang ingin ditunjukkan kepada model
bongkak itu. Sesuatu yang pasti mengaibkan dirinya!
“Mana kau dapat gambar
ni?” Sudah merendah intonasi suara Melisa. Rasa takut hadir membaluti
perasaannya.
“Ada orang send dekat aku pagi-pagi buta tadi,”
jujur Baizura.
“Siapa?” Laju Melisa
bertanya.
“Aku tak tahu. Tapi aku
rasa...” Terhenti kata-kata Baizura.
“Siapa? Siapa yang send gambar ni pada kau?” Melisa kian
mendesak.
“Aku rasa... mungkin...
salah seorang paparazzi yang dapat cekup kau dekat kelab malam, tempoh hari.”
Baizura meluahkan prasangkanya.
“Tak guna!” Berombak
dada Melisa. Mujur jua handphone yang
sedang dipegangnya itu bukan kepunyaannya. Andai tidak pasti hancur berkecai gajet
itu dibalingnya.
“Jadi betullah yang kau
bermalam dengan Dato Ezman di hotel, malam tadi? Kau tak serik lagi ke kena
serang dengan isteri dia? Kau tak takut dosa ke, Melisa?” bebel Baizura.
“Ah! Kau diamlah.
Sekarang ni bukan masanya untuk kau bagi ceramah percuma pada aku. Lebih baik
kau tolong aku selesaikan masalah ni!” bentak Melisa.
Baizura menggelengkan
kepalanya. Ternyata sahabat baik yang telah dikenalinya sedari kecil itu sudah
berubah seratus peratus sikapnya. Dosa dan pahala hanya menjadi mainannya.
“Aku ada satu cara.”
Perlahan Baizura bersuara.
“Apa dia?” soal Melisa.
“Aku dapat satu mesej
daripada penghantar gambar tu. Dia... dia cakap...” tergagap-gagap Baizura.
“Dia cakap apa?!” Sakit
hati Melisa dengan sikap tergagap sahabat baiknya itu.
“Dia cakap yang dia
nakkan duit sebanyak RM 30, 000 untuk menutup mulut dia. Dia juga berjanji yang
dia tidak akan menyerahkan gambar ni kepada pihak-pihak yang berkepentingan,
termasuklah... isteri Dato Ezman.” Baizura kembali mengalihkan pandangannya
tepat ke wajah Melisa.
Melisa
terdiam. Otaknya ligat berfikir. Duit bukanlah permasalahannya. Melisa yakin
yang Dato Ezman sanggup memberikan wang sebanyak manapun untuk menutup mulut
paparazzi itu. Tetapi persoalannya, bolehkah janji daripada seorang paparazzi
dipercayai?