Home Novel Komedi/Romantik Komedi Biar Mereka Cemburu
Biar Mereka Cemburu
A. Darwisy
9/10/2013 21:04:09
132,260
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 9

Rostam mengajak Tajul untuk menemaninya mencari sesuatu di Plaza Pudu. Sebelum itu, Rostam ke mesin ATM untuk mengeluarkan duit terlebih dulu. Berseri-seri sahaja wajah lelaki itu hinggakan Tajul sendiri naik hairan. Hendak dikatakan hari ini baru masuk gaji, tidaklah pula. Pertengahan bulan lagi. Tetapi melihatkan jumlah wang yang dikeluarkan oleh Rostam, membuatkan benaknya digaru-garu dengan persoalan. Sedang hakikatnya dia tahu, Rostam sangat jimat cermat orangnya. Tidak pernah sekalipun dia berbelanja boros apatah lagi membeli yang bukan keperluan.

“Kau baru menang nombor ekor ke, Rostam? Senyum sampai ke telinga aje dari tadi?” tegur Tajul yang tidak mahu tertanya-tanya lagi. Ada baiknya, dia bertanya terus.

“Hisy! Haramlah main nombor! Kau ni cakap serupa orang tak ada iman!” marah Rostam tetapi sekejap saja kerana beberapa saat kemudian, roman muka lelaki itu kembali bercahaya.

“Ke jangan-jangan kau dah kena sampuk dengan hantu bunian. Dari tadi aku perhati asyik tersenyum aje. Menakutkan aku betullah, kau ni Rostam!” giat Tajul yang sebenarnya sengaja mahu mencungkil jawapan dari lelaki itu.

“Aik, aku senyum pun salah ke? He...he...he... Sudahlah, jom ikut aku!”

Rostam sudah menyimpan dengan kemas beberapa keping wang kertas yang dikeluarkannya tadi ke dalam dompet. Dompet itu pula dimasukkan ke dalam poket depan jeans lusuh yang dipakainya itu. Dia tidak mahu dalam ramai-ramai itu, ada perkara yang tidak diingini berlaku. Manalah tahu, kut-kut ada penyeluk saku yang akan mengebas wangnya. Maklumlah, malang tidak berbau selalu.

Rostam dan Tajul sampai di hadapan sebuah kedai menjual kamera pelbagai jenama. Dari kamera kompak sekecil saiz tapak tangan sehinggalah kamera jenis DSLR yang muncung lensanya punyalah panjang. Rostam naik rambang matanya hendak memilih yang mana satu biarpun dia hakikatnya tidak tahu apa-apa pun tentang gajet yang mahu dibelinya itu. Segenap inci ruang kedai dipusingnya dan setiap satu kamera yang diletakkan sebagai bahan pameran, dicubanya dan dibidik secara rambang.

“Sejak bila kau minat fotografi ni, Rostam? Tak pernah-pernah aku tahu pun!” soal Tajul kehairanan. Sudah lama dia mengenali pemuda berkeperibadian baik itu dan tidak pula dia mengetahui akan kecenderungan minatnya yang satu itu. Rostam tidak menjawab apa-apa bahkan hanya menggarisi wajahnya dengan senyuman. Bertambah-tambah pelik Tajul dibuatnya. Sah, kawan aku ni tersampuk dengan hantu bunian!

“Amoi, saya ada bajet dalam seribu ringgit aje ni... kamera apa yang saya boleh beli?” tanya Rostam jujur. Gadis jurujual berbangsa Cina itu tersenyum manis. Pelanggan perlu dilayan dengan baik dan hormat. Barulah perniagaan bertambah maju dan ligat.

“Abang mahu beli kamera kompak digital atau DSLR?”

“Hmm... saya mahu kamera yang boleh guna untuk tangkap gambar pemandangan yang cantik-cantik...” jawab Rostam menyerlahkan sifat lurusnya itu. Tajul di sebelah, sudah tergeleng-geleng. Apatah lagi melihat reaksi gadis jurujual itu yang sudah tergaru-garu kepala. Manakan tidak, semua kamera fungsinya untuk menangkap gambar. Rostam pun satu hal. Hujungnya, Tajul mencelah.

“Maksud kawan saya ni, moi... Dia mahu beli kamera untuk beginner yang baru belajar hendak tangkap-tangkap gambar. Jenis dan jenama apa yang sesuai agaknya?” Tajul menyelamatkan keadaan. Rostam tersengih-sengih.

First hand susahlah mahu dapat dengan range harga tu, encik... tapi second hand saya boleh cadangkan beberapa jenama, mungkin encik berminat.” Gadis jurujual itu sudah masuk ke dalam dan tidak lama kemudian membawa bersamanya tiga buah kamera yang dalam lingkungan harga mampu bayar oleh pelanggannya itu.

Rostam membelek-belek ketiga-tiga kamera yang dicadangkan itu sambil cuba-cuba membidik apa saja objek dan orang lalu-lalang di hadapannya. Dia berkenan dengan sebuah kamera berjenama Nikon tetapi harganya sedikit tersasar dari jumlah bajet yang dia ada. Tajul seperti dapat membaca dari riak wajah sahabatnya itu yang sudah tertarik dengan kamera berjenama Nikon itu walaupun ia model lama.

“Tak payah fikir dua tiga kali lagi, Rostam oi. Rembat aje. Bagi pendapat aku, harga dia dah ngam dah tu. Seribu dua ratus termasuk lens sekali. Biasanya, camera body aje dah makan ribu tau.” Pesan Tajul lengkap dengan tipsnya. Rostam masih berkira-kira. Dompetnya dikeluarkan dan berkepuk wang kertas di dalamnya, dibelek sekeping demi sekeping. Rostam mengeluh halus. Terpamer raut kecewa kemudiannya.

“Aku tak cukup dua ratuslah, Tajul. Duit aku memang cukup-cukup ada seribu aje ni. Macam mana sekarang ni? Aduh...” Rostam mati kutu. Habis poket baju dan seluar diseluknya, manalah tahu ada duit yang tersimpan dalam tidak sedar. Tetapi malangnya, tiada. Muka lelaki itu sudah mendung, tidak lagi berseri-seri seperti tadi. Naik kasihan pula Tajul melihatnya. Nampak bersungguh betul sahabatnya itu hendak membeli kamera yang diidam-idamkan tersebut.

“Takpelah, aku dahulukan duit aku dulu... Kebetulan, aku baru dapat duit kutu aku semalam. Kau pinjamlah, nanti dapat gaji, baru bayar balik.”

Rostam mendadak berubah ceria. Batang tubuh Tajul dirangkulnya erat-erat. Sampaikan empunya badan sendiri berasa kurang selesa. Manakan tidak, Rostam memeluknya di tengah-tengah khalayak ramai. Berpasang-pasang mata orang yang lalu-lalang, sekejap-sekejap menoleh ke arah mereka berdua. Kemudian, mereka tersenyum-senyum terselindung makna.

“Terima kasih banyak-banyak Tajul. Kaulah kawan aku dunia akhirat!” Berkali-kali Rostam menzahirkan ucapan terima kasih dan tidak lepas mendakap tubuhnya.

“Sama-sama. Tapi kut ye pun, tak perlulah peluk aku bagai nak rak. Gay sial!”

“Ha...ha...ha... Bengonglah kau!” Rostam ketawa besar. Dalam hati, dia bersyukur sangat-sangat. Terharu kerana Tajul ikhlas menolongnya. Sebaik duit bertukar tangan dan kamera yang dihajati sudah dibeli, Rostam semakin melebar senyumannya. Seolah-olah dia berjalan tidak menjejak bumi. Terapung-apung di awangan. Sungguh, hatinya berbunga-bunga bahagia.

Melihatkan Rostam yang sudah seperti larut dalam dunianya sendiri, Tajul sudah merangka-rangka di benaknya untuk menanyakan soalan-soalan cepuemas untuk lelaki itu. Pun begitu, ada baiknya mereka duduk di satu tempat dan barulah Tajul memulakan apa yang sudah direncanakan dalam kepalanya.

“Lepak minum kejap, jom!” cadang Tajul dan disambut anggukan kepala Rostam. Mereka sudah keluar dari bangunan Plaza Pudu dan singgah di sebuah van tepi jalan yang menjual bermacam-macam jenis air. Ada air kelapa, air asamboi, air jagung dan air soya. Baik Rostam mahupun Tajul, memilih untuk membasahkan tekak mereka dengan air kelapa. Barangkali mata terpaut melihat isi kelapa yang putih, terapung-apung di dalam bekas plastik di hadapan mereka. Terliur kedua-duanya.

“Okey, sekarang beritahu aku... apa pasal kau beria-ia sangat nak beli kamera ni? Jangan kata kau dah tak mahu jadi drebar bas metro lagi?” soal Tajul selepas puas menyedut air kelapa yang manis lagi menggiurkan itu. Sekejap saja sudah habis separuh.

“Ha...ha...ha... takdelah sampai macam tu sekali. Aku ni apalah yang ada, Tajul. SPM pun tak lepas, kerja drebar bas ni ajelah punca rezeki aku.” balas Rostam yang memang suka merendah diri. Tajul tersenyum sudahnya. Alahai, adik aku yang seorang ini. Lurus betul orangnya! Desis Tajul dalam hati. Kalaulah dia ada adik-beradik perempuan yang belum berkahwin lagi, mahunya dia kenen-kenenkan. Pada pengamatan Tajul yang sudah lama bekerja sama-sama dengan Rostam sebagai pemandu bas, Rostam ini sebenarnya banyak lebihnya. Dia empunya badan saja yang tidak perasan.

Baik pun baik, kacak pun kacak, tinggal lagi Rostam sampai sekarang masih tidak berteman. Umur sudah hendak masuk tiga puluhan tetapi sifat segan dalam dirinya kadang-kadang mengalahkan seorang perempuan. Tetapi Tajul tahu, dalam segan-segan Rostam pun, hati lelaki itu sebenarnya sudah terpaut dengan seseorang. Siapa lagi kalau bukan dengan Nad. Nad yang barangkali menganggap Rostam, hanya sekadar seorang abang. Dan itulah masalahnya! Rostam pula satu hal, memilih untuk memendam rasa. Sudahnya, Tajul yang mengambil berat akan perihal mereka berdua pula yang naik biul memikirkannya.

“Dah tu? Kau beli kamera mahal-mahal macam ni untuk apa? Eh, kejap! Aku tarik balik soalan aku tadi. Ini soalan yang lebih tepat. Kau beli kamera mahal-mahal macam ni untuk siapa?” giat Tajul sambil menjongket-jongketkan kening kirinya. Rostam malu-malu pula hendak beritahu. Tetapi selama ini pun, memang dengan Tajullah dia banyak berkongsi cerita.

“Untuk Nadia...” perlahan Rostam menyatakannya.

“Aku dah agak dah!” Tajul tersengih lebar. Belakang badan Rostam ditepuk-tepuknya. “Kau memang cintakan budak Nadia tu kan? Sanggup berkorban apa saja untuk dia. Alangkah bagusnya kalau Nadia tahu apa yang ada dalam hati dan perasaan kau tu!”

Tajul menggeleng-geleng kepala. Yalah, rasa geram pun ada. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia memberitahu sendiri kepada Nadia tentang segala isihati Rostam. Tetapi Rostam sudah berkali-kali berpesan kepadanya untuk tidak sekali-kali mencampuri urusan peribadinya yang satu itu. Dia tidak mahu Nadia tersalah anggap nanti. Balik-balik alasan itulah yang Rostam guna pakai. Sampai satu tahap, Tajul rasa mahu hantuk-hantukkan saja kepala Rostam dan Nadia supaya masing-masing sedar.

“Nadia nak buat apa dengan kamera tu?”

“Dia beritahu aku, dia ada daftar masuk untuk kursus fotografi hujung bulan ni. Dia memang suka tangkap-tangkap gambar ni. Aku tak sampai hati bila dengar dia cakap, dia mahu guna kamera yang pakai negatif filem tu untuk kursus tu nanti. Sebab kamera lama itu aje yang dia ada,” terang Rostam dan nadanya juga turut terikut sayu. Tajul tidak habis-habis menggelengkan kepala sejak tadi.

“Kau ni Rostam, semua orang kau kasihan... semua orang kau tak sampai hati... orang minta sedekah tepi jalan pun kau bagi duit kau sampai kau sendiri ikat perut tak makan,” bebel Tajul mengenangkan sikap luhur yang ada dalam diri sahabatnya itu. Kerana terlalu mudah mengasihani orang lainlah, lelaki itu asyik kena tipu saja dalam hidupnya.

“Ke situ pulak kau ni! Nadia tu orang susah... aku akan tumpang gembira kalau apa yang dicita-citakannya menjadi kenyataan.”

“Bertuah sungguhlah si Nad tu. Habis, bila kau nak hadiahkan kamera tu kat dia?”

“Balik kita ni, kita singgah kejap rumah sewa dia. Bolehlah Nadia cuba-cuba kamera ni dulu. Aku pun bukan tahu sangat fungsi kamera canggih macam ni.”

“Kalau macam tu, okeylah.”

Tajul dan Rostam ke tempat parkir motorsikal, tidak jauh dari situ. Dalam perjalanan ke sana, hinggap di pendengaran mereka akan suara jeritan seorang perempuan. Kedua-dua lelaki itu saling memandang antara satu sama lain. Bergegas mereka berlari ke arah punca jeritan itu. Tiba Rostam disusuli Tajul yang sedikit termengah-mengah di tempat kejadian, terpempan mereka berdua dibuatnya. Manakan tidak, dari jauh mereka sudah mengenali kelibat yang menjadi mangsa ragut itu.

“Hoi!!! Lepaskan perempuan tu!!!” jerkah Rostam sepelaung kuatnya. Si peragut yang masih tidak berjaya merentap beg tangan dari mangsanya, terkejut apabila ada orang yang datang menghalang niat jahatnya itu. Dia merenggut kuat beg tangan yang masih bersilang di badan perempuan malang itu hingga menyebabkan talinya terputus. Susuk tubuh si mangsa terjelepok ke tanah.

“Tajul, kau ke kiri! Biar aku ke kanan. Ha, ke mana kau nak lari lagi?” Rostam dan Tajul sudah mengepung peragut beg tangan itu. Mereka mengepal-ngepal buku lima, sengaja mahu menakut-nakutkan lagi si peragut.

“Boo!!!” hembus Rostam tiba-tiba. Serupa tidak cukup tanah peragut itu lari lintang-pukang akibat disergah begitu. Tajul berdekah ketawa. Akal kancil juga si Rostam ini. Beg tangan yang diragut, ditinggalkan begitu saja. Kedua-dua sahabat itu bertepuk high five. Rostam mengutip semula beg tangan itu lalu menyerahkan kepada empunya pemilik. Bercahaya-cahaya mata perempuan itu memandang roman muka Rostam kerana benar-benar tidak percaya lelaki itulah yang menyelamatkannya. Rostam pula menayang muka selamba.

“Lain kali kalau nak berjalan tu, jangan sorang-sorang. Bahaya. Awak tu perempuan.” Bebel Rostam serupa pak cik-pak cik tua. “Okeylah, abang pergi dulu.”

“Tunggu, heroku!”

Rostam sudah menepuk dahi. Boleh pitam dibuatnya dengan panggilan hero perempuan itu. Ya Tuhan, kenapalah Kau boleh temukan aku dengan minah colour blocking ini? Tidak ada perempuan lainkah?

Hendak tidak hendak, Rostam terpaksa memberhentikan langkahnya. Sofea terhegeh-hegeh hendak bangun. Dia yang memakai kain kembang berwarna biji kundang terang, baju berkolar bulat berwarna kuning terang, siap dengan kardigan berpotongan ombak bahagian bawahnya berwarna merah jambu terang dan tudung berwarna oren terang membuatkan Rostam seperti mahu memakai kaca mata hitam. Pendek kata, minah colour blockingini memang suka memakai baju yang terang-benderang!

Tajul terkekeh-kekeh melihat babak drama swasta yang berlaku di hadapan matanya sekarang. Dia bukan tidak tahu siapa Sofea. Rostam selalu mengadu kepadanya apabila setiap kali perempuan itu menahan bas yang dipandu lelaki tersebut pada tiap-tiap pagi. Ajak bertunanglah, ajak menikahlah, ajak kahwin larilah! Trauma Rostam dibuatnya.

“Abang... Fea atit...”

Allahu akbar! Sejak bila pula minah colour blocking ini pelat? Rostam sudah berkerut-kerut wajahnya. Tajul pula membalun gelak. Tetapi peliknya, Sofea serupa menganggap lelaki itu tidak ada. Dia tidak berasa kecil hati pun meski ditertawakan Tajul. Sahih, muka Tembok Besar China perempuan ini.

“Sakit tang mananya? Abang tengok sihat walafiat aje. Jangan buang masa abanglah.” Acuh tidak acuh Rostam menjawab.

“Betullah, Fea atit. Fea atit kat sini...” Sofea menunjukkan bahagian dadanya atau lebih tepat lagi, kononnya di hati. Tidak sudah beristighfar Rostam dibuatnya.

“Awak jangan mengarutlah, Sofea. Ha, awak balik naik apa ni? Nanti peragut tu datang balik, baru tahu! Pergi balik lekas! Abang dengan Tajul temankan sampai ke perhentian bas.” Rostam bersuara tegas. Tetapi dalam tegas-tegas Rostam pun, lelaki itu masih mengambil berat akan Sofea. Yalah, Sofea seorang perempuan. Dan perempuan haruslah dilindungi. Begitulah prinsip diri Rostam.

Mendengar yang peragut itu akan datang balik, menyebabkan Sofea kelam-kabut mengekori Rostam dan Tajul dari belakang. Mujurlah Rostam datang menyelamatkannya tadi. Kalau tidak, alamatnya menangis tidak berlagulah dia hari ini. Sepanjang perjalanan ke perhentian bas berdekatan, Sofea mengendeng-ngendeng di sebelah Rostam.

“Sofea baru balik dari UTC Plaza Pudu Sentral tadi. Saja jalan-jalan singgah Kedai Kain Rakyat 1 Malaysia. Murah-murah tau kain kat sana, bang. Kalau abang nak belikan kain untuk hantaran kita nanti, abang boleh pergi sana tau.”

Rostam tidak kuasa hendak melayan. Entah bila aku berjanji hendak berkahwin dengan dia, pun aku tidak tahu! Kalau dilayan lama-lama minah colour blocking ini, mahunya putus-putus urat kepala aku nanti. Rostam menahan bas metro dan cepat-cepat menyuruh Sofea naik. Perempuan itu melambai-lambai sambil melayangkan flying kiss. Tajul serupa orang gila terbahak-bahak ketawa.

“Dibuatnya jodoh kau dengan Sofea tu, macam mana Rostam?”

“Aku koma 3 tahun!”

“Ha...ha...ha...”

<iframe width="560" height="315" src="//www.youtube.com/embed/pzCfSdTkIfw" frameborder="0" allowfullscreen></iframe>

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.