Home Novel Komedi/Romantik Komedi Biar Mereka Cemburu
Biar Mereka Cemburu
A. Darwisy
9/10/2013 21:04:09
132,358
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 8

Fetri rasa maruahnya diinjak-injak apabila menerima sistem pesanan ringkas di dalam telefon bimbitnya yang dihantar Iedil, baru sekejap tadi. Meludah lelaki itu dek tidak tahan menanggung perasaan marah yang meluap-luap. Otaknya terus terfikir akan Tengku Alauddin dan berprasangka buruk-buruk terhadap bapa tirinya itu. Siapa lagi yang akan bercerita tentang insiden di Genting itu kalau bukan orang tua itu sendiri? Fetri meludah untuk kesekian kali. Ah, hatinya panas!

“Hoi, kau fikir rumah aku ni tempat pembuangan sampah? Meludah sana sini!” jerkah Mael naik meradang. Suka-suka hati saja kawannya itu membuang kahak merata-rata di dalam rumahnya. Menjijikkan betul.

“Kau jangan banyak bisinglah, Mael! Mood aku tengah tak baik ni!” tempelak Fetri semula. Mael terpaksa menahan sabar, ke dapur dia sekejap untuk mengambil kain buruk. Permukaan lantai yang dikotori dengan ludahan Fetri, dilapnya sampai bersih. Kalau diturutkan anginnya yang juga baran itu, silap-silap bertumbuk pula mereka berdua di ruang tamu tersebut.

“Siapa yang buat kau panas hati sangat ni, bro?” Mael bertanya selepas kerja mengelapnya selesai. Sudah semalaman Fetri menumpang rumahnya, mengacau aktiviti hariannya pun iya juga. Mael antara ikhlas dengan tidak saja menerima Fetri sebagai tetamu tidak diundangnya itu.

“Si mangkuk Iedil tulah, siapa lagi? Boleh pulak dia sms aku, nasihat aku supaya berubah dan jangan susahkan daddy dengan mummy aku. Kurang ajar! Dia tu siapa?” bentak Fetri melepaskan amarah.

“Dah tentu-tentu mangkuk tu abang kau. Mahu tanya lagi?” Mael tersengih sinis. Sengaja hendak membakar perasaan Fetri yang semakin menjadi-jadi bengangnya.

“Kau jangan bikin aku panas, bro! Tunggang terbalik rumah ni aku buat!” ugut Fetri tetapi disambut kekehan menyakitkan hati di pihak Mael. Mael mengangkat kedua-dua belah tangan ke atas, konon-konon mengalah apabila Fetri sudah menggenggam penumbuk.

Relaxlah bro, tak gentlelah macam ni. Kalau kau bengkak hati sangat dengan abang kau tu...”

“Dia bukan abang aku! Dia abang tiri aku ajelah!” potong Fetri sebelum Mael habis cakap. Menggelegak gegendang telinganya mendengar yang Iedil itu abangnya.

“Okey-okey! Kalau kau bengkak hati sangat dengan abang tiri kau tu, kenapa tak kau ajar dia sekali? Barulah dia tahu langit tinggi rendah. Dari kau macam orang tak ada telur duduk aje kat sini, buat apa?” cabar Mael menyemarakkan lagi dendam dalam jiwa. Fetri menhembuskan nafas, kasar.

“Kau ada idea?” Fetri sudah termakan umpan. Mael berfikir barang sejenak. Lelaki itu memetik jari kemudiannya.

“Abang tiri kau tu kan ada awek cun, apalagi bro? Kau potonglah jalan dia! Kasi dia merana habis-habisan! Silap-silap terjun gaung, gua cakap lu!” cadang Mael spontan membuatkan riak keruh di tampang Fetri beransur-ansur bertukar menjadi berseri-seri. Ya, mereka tahu Iedil mempunyai kekasih yang cantik persis bidadari. Manakan mereka berdua tidak kenal apabila melihat pasangan merpati sejoli itu kerap bersama di mana-mana kelab-kelab malam elit yang turut mereka hadiri.

“Pandang ke Marsha Gordon tu kat aku?” sedikit kurang berkeyakinan Fetri apabila cuba membandingkan dirinya dengan Iedil. Ah, walau dia terpaksa menelan pahit hakikat yang Iedil jauh lebih tampan darinya!

“Itu kau pandai-pandailah cari jalannya! Takkan itu pun aku kena tolong fikirkan kut?” Mael lepas tangan. Lagipun dia tidak mahu terlibat dalam permusuhan dua adik-beradik itu yang ada saja sengketanya sejak dulu lagi. Fetri mencapai kunci kereta di atas meja. Dia mahu lekas bertindak. Sebusuk-busuk idea Mael, tetapi difikir-fikirkan kembali, ada bagusnya.

“Eh, kau nak ke mana tu?” tanya Mael yang melihat Fetri tiba-tiba saja menonong keluar.

“Aku nak buat Marsha jatuh cinta dengan aku dan tinggalkan mangkuk tu!”

Good luck then!”

Fetri menyahut cabaran itu! Ya, dia akan memastikan Marsha Gordon meninggalkan Iedil dan memilih dirinya. Meski di dalam kepalanya sekarang ini, dia tidak punya sebarang rancangan terbaik hendak memikat si gadis itu. Barangkali, dia boleh meminta nasihat dari seseorang yang pakar dalam bab-bab mencairkan keping-keping hati perempuan cantik di luar sana. Terpacul sepotong nama di benak fikirannya, serta-merta otot-otot di muka Fetri meregangkan senyuman.

Kelab malam itu cukup eksklusif. Tidak sebingit kelab-kelab malam biasa yang lain kerana di dalamnya, hanya golongan-golongan tertentu saja yang dibenarkan masuk. Mereka-mereka yang mewarisi kekayaan dunia baik dengan usaha sendiri mahupun turun-temurun dari keluarga. Dan antara pengunjung tetap yang setia menampakkan muka saban malam minggu di kelab yang dipanggil Tuxedo itu, adalah Rafael dan kawan-kawannya.

Rafael dihormati di situ, bukan saja kerana kedudukannya sebagai anak kepada salah seorang jutawan negara tetapi kerana kehebatannya menawan hati perawan-perawan kenamaan yang mencari hiburan dan teman sosial di situ. Rafael, meski tidak mempunyai paras rupa yang menarik tetapi hanya berbekalkan air liur, mampu menjerat perasaan mangsa-mangsanya. Dan itulah yang mahu dipelajari oleh Fetri. Kelibat Rafael dicari-cari.

“Mamat romeo tu tak datang kelab ke malam ni?” tanya Fetri kepada salah seorang kawannya yang ada saja muka mereka di kelab malam itu. Sudah menjadi kelaziman bagi kumpulan anak muda yang berpegang pada cara hidup hedonisme itu untuk mengisi malam hari mereka dengan keseronokan dunia. Barangkali pada mereka, tunggu saja waktu tua untuk kembali pada fitrah beragama. Tetapi seperkara yang masing-masing tidak tahu, ajal dan maut tidak menunggu sesiapa.

“Baru pukul dua belas lebih, manalah nak nampak batang hidung dia lagi. Pukul satu nanti, datanglah tu.” Fetri menghembus nafas kasar. Datangnya ke kelab malam ini semata-mata mahu berjumpa dengan Rafael. Dia tidak punya semangat hendak menari atau berdampingan dengan gadis-gadis cantik di kelab itu pada malam ini. Fetri punya tujuan yang satu.

Muzik yang tadinya tidak sebingit mana, semakin rancak dan kuat dipasang menjelang jam satu pagi. Rafael dan kawan-kawan baru sampai. Fetri yang hanya meneguk segelas dua minuman keras sejak tadi, datang mendekati lelaki itu. Mereka saling berjabat tangan dan berdakapan. Melihat pada tampang Fetri yang mendung, Rafael menepuk-nepuk bahu lelaki itu.

“Kau ni dah kenapa, bro? Apasal tak menari? Awek-awek cun ramai tu, weh!” rangsang Rafael sambil tersenyum penuh makna. Rafael mengangkat tangan kanannya dan serentak itu juga, tergedik-gedik beberapa orang gadis berpakaian seksi yang sedang terkinja-kinja di atas lantai dansa, berlari-lari anak menghampiri Rafael. Empat orang gadis itu sudah menjalar tangan mereka melingkari pinggang Rafael. Kucupan-kucupan mesra sudah hinggap di pipi lelaki itu. Berbekas wajah tidak seberapa Rafael itu dengan palitan gincu merah gadis-gadis manis berkenaan.

“Aku ada perkara nak bercakap dengan kau ni, Rafael...” luah Fetri tidak menunggu lama. Dalam masa yang sama, hatinya bengkak dengan rasa cemburu terhadap lelaki itu yang seperti gula dihurung semut sebaik saja berada di kelab malam tersebut. Lelaki itu bukanlah setampan mana, tetapi ramai perempuan tergila-gilakannya. Terkadang, Fetri juga naik hairan. Apakah rahsia lelaki itu?

Rafael menyuruh kawan-kawannya yang lain untuk menari terlebih dulu sementara dia mengajak Fetri ke satu sudut istirahat, lalu kedua-duanya duduk di situ. Sebaik punggung dilabuhkan di atas sofa, Rafael mengunjukkan segelas minuman keras kepada Fetri. Fetri menyambut lalu meneguknya sekali lalu. Rafael tersenyum saja melihat riak serabut yang terpampang di wajah kawannya itu.

“Ha, apa yang aku boleh tolong kau?” Rafael bertanya seraya menjongketkan keningnya.

“Aku perlukan pertolongan kau, Fael...” Fetri memberi jawapan tetapi tidak sepenuhnya. Lambat-lambat Fetri menyusun percakapan supaya tidak kedengaran, memalukan diri sendiri. Yalah, hendak mengurat anak dara orang tetapi boleh pula bertanya pada orang lain.

“Apa dia?” soal Rafael pantas. Semakin pelik pula dia melihat kawannya itu seperti teragak-agak hendak menyudahkan ucapnya. Tidak mungkin Fetri mahu meminjam wang. Lelaki itu bukannya tidak berduit. Bahkan setaraf kaya-raya dengan keluarganya.

“Hmm... kau kenal dengan Marsha, bukan?” tanya Fetri disambut anggukan Rafael. Mana mungkin dia tidak kenal sama Marsha. Anak kepada Sir Gordon Brown, hartawan Inggeris yang sudah mendapat kerakyatan tetap di sini dan berkahwin pula dengan Datuk Maria Abdullah, yang mempunyai firma guaman sendiri yang establish dan cukup disegani di mata pengamal undang-undang.

“Marsha Gordon, bakal peguam tu?” Rafael bertanya, mahu memastikan yang dia tidak salah orang. Kali ini, Fetri pula menganggukkan kepala. “Kenapa dengan dia? Kau mahu pikat Marsha?” tebak Rafael meski dia sendiri masih tertanya-tanya. Bukankah semua orang sudah sedia maklum yang Marsha sekarang ini sudah mempunyai kekasih? Dan lelaki bertuah itu pula adalah abang Fetri, Iedil.

“Aku mahu rampas Marsha dari tangan Iedil!” Fetri tiba-tiba saja berkobar-kobar semangatnya. Pun begitu, Rafael pula terbahak-bahak ketawa.

“Ha...ha...ha... Kau ingat Marsha tu senang dijinakkan ke, bro? Kalau dia mudah masuk perangkap, dari dulu lagi aku yang cuba pikat dia. Marsha tu nampak saja lembut orangnya tapi dia tegas. Abang kau kira bertuah!”

Fetri membaling gelas di tangannya yang masih berbaki separuh minuman keras ke dinding. Berderai gelas kaca itu dek amukan lelaki itu yang semakin sakit hatinya apabila kawan-kawannya asyik mengatakan Iedil adalah abangnya. Ah, dia cukup benci akan hakikat itu!

“Wow! Bawa bertenang, bro. Silap-silap kau kena halau keluar dari kelab ni kalau buat perangai macam ni. Ini bukan kelab malam sengkek okey!” peringat Rafael, dalam masa yang sama memberi amaran lisan. Fetri merengus kasar lalu mencapai gelas baru berisi vodka lalu diteguknya selamba. Dia cuba bersabar meski hatinya mendidih-didih.

“Peduli apa aku? Sekali lagi kau sebut nama mangkuk tu, tunggang terbalik kelab ini aku buatkan!” ugut Fetri pula. Rafael menggeleng-gelengkan kepala. Dia sudah maklum yang kawannya itu memang pantang mendengar nama Iedil disebut-sebut apatah lagi dipuji-puji. Terkadang Rafael sendiri berasa hairan dengan kebencian yang dipamerkan lelaki itu. Seolah-olah Iedil dan Fetri punya perhitungan darah yang perlu diselesaikan pula.

“Okey...okey... cool down, my friend... kalau betul kau mahukan Marsha, aku ada caranya tapi...” Rafael memberhentikan ucapnya, seakan memberi ruang saspens dalam sembang mereka.

“Tapi apa?” Fetri sudah terpancing minatnya.

“Kau kena tanggunglah risikonya kelak. Risikonya bukan main-main, antara hidup dan mati.”

Fetri tiba-tiba meletus tawa, terkekeh-kekeh hingga merah padam wajahnya. Dia merasakan apa yang cuba Rafael sampaikan itu tidak lebih dari sebuah lawak jenaka yang sengaja dibuat-buat. Rafael menayang muka menyampah. Aku serius, boleh pula dia bergelak sakan. Gumam Rafael dalam hati apabila melihat Fetri terus-terusan memburaikan tawa dan memperlekeh apa yang diucapkannya tadi.

“Kau tak payah nak buat muka serius sangatlah, Fael. Boleh pecah perut aku ketawa. Ha...ha...ha...”

Rafael tidak teragak-agak untuk bangun hendak meninggalkan Fetri di situ. Lagipun bukan dia yang mencari lelaki itu. Sebaliknya, Fetri yang beria-ia mahu bertemu dengannya.

“Eh, kau nak ke mana pulak tu?”

“Dari aku melayan kau yang macam orang kena sawan ni, lebih baik aku pergi menari!”

Fetri pantas memegang pergelangan tangan Rafael dan menahan lelaki itu dari pergi. Dia bukannya mahu membuat Rafael bengang tetapi sungguh dia tidak dapat menahan gelihati apabila mendengar kawannya itu bercakap seperti dialog dalam drama pula. Apalah sangat risiko yang bakal dia berdepan sehingga melibatkan nyawa dan kematian pula. Dia hanya mahu Marsha menjadi miliknya. Bukannya sampai mahu membunuh siapa-siapa semata-mata hendak mendapatkan perempuan itu.

“Okeylah, aku janji tak ketawa lagi. Beritahulah aku sekarang, risiko yang bagaimana terpaksa aku hadapi untuk dapatkan Marsha? Aku sanggup!” Fetri memasang tekad dalam dada. Rafael menyeluk kocek dalam jaket kulit yang disarung pada batang tubuhnya lalu mengeluarkan satu botol kecil berbentuk silinder.

“Harganya lima ratus ringgit sebotol. Kalau kau nak, aku boleh bagi kau sekarang ni jugak,”

Fetri berkerut-kerut dahi dengan tawaran Rafael yang baginya tidak punya kaitan langsung dengan apa yang dia mahu. Dia mahu Rafael membantunya untuk mendapatkan Marsha, bukannya mahu berurus niaga di situ.

“Weh, aku tak mainlah MLM ni semua! Keluarga aku dah kaya raya! Tak perlu ni semua.”

Kali ini, giliran Rafael pula membalun ketawa. Fetri terpinga-pinga kehairanan. Dan lama-kelamaan, dia pula yang sakit hati.

“Aku bukan nak ajak kau masuk MLMlah, bodoh! Kau fikir kau sorang aje hidup mewah? Ha...ha...ha...”

“Habis, benda apa yang kau nak jual kat aku tu?” Fetri masih ralit memerhati akan botol kecil yang mengundang pertanyaan di benaknya.

“Inilah minyak cenuai...” jawab Rafael bersahaja.

“Minyak cenuai?” Inilah kali pertama Fetri mendengar istilah itu di dalam hidupnya. Ralit dia memerhati botol kecil yang di dalamnya seperti ada akar kayu dan mengandungi cecair pekat berwarna kekuning-kuningan.

“Kalau kau nak tahu, dengan benda alah inilah aku gunakan untuk tundukkan perempuan-perempuan di luar sana. Hanya dengan satu calitan, dengan mudahnya sampai ke bilik tidur aku boleh tawan hati mereka. Ada apa pada rupa paras kacak semata-mata kalau diri masih teruna, kawan! Ha...ha...ha...” bongkak Rafael ketawa dan dalam masa yang sama, sempat memerli Fetri yang cepat melenting apabila dicabar-cabar begitu.

“Kau jangan nak cakap berapi sangatlah, Fael! Kalau betul kau hebat, kenapa Marsha pandang kau pun tidak?” persoal Fetri, sarkastik sekali. Rafael naik angin.

“Kau merayu dengan aku untuk tolong kau, kemudian kau mahu tempelak aku balik! Apa cerita ni? Kau fikir aku banyak masa sangat nak melayan perangai kebudak-budakan kau ni? Hendak memikat perempuan pun tak guna otak!”

ZASS!

Fetri tertelan air liur. Marah betul nampaknya Rafael.

Sorrylah, bro... tapi boleh percaya ke minyak err... cenuai kau tu?”

“Sendiri cuba baru tahulah, bro!”

Lima keping not seratus ringgit bertukar tangan. Pun begitu, Fetri sebenarnya masih ragu-ragu, susah hendak percaya. Berbaloikah perlaburannya sebanyak lima ratus ringgit hanya untuk sebotol kecil yang entah apa isi kandungannya? Dia tidak sangka pula, semoden-moden Rafael, boleh percaya lagi dengan segala macam perkara tahyul sedemikian rupa.




<img src="https://fbcdn-sphotos-e-a.akamaihd.net/hphotos-ak-prn2/t1/1609648_352815454861375_137335248_n.jpg">

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.