Home Novel Komedi/Romantik Komedi Biar Mereka Cemburu
Biar Mereka Cemburu
A. Darwisy
9/10/2013 21:04:09
132,359
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 10 + Peraduan TEBUS-TEBUS MANJA

Iedil sudah berjanji dengan Marsha untuk bertemu setelah perhubungan mereka agak dingin selepas pertengkaran kecil yang berlaku pada malam sambutan hari lahirnya tidak lama dulu. Dan seperti biasa, Iedil pasti akan membawanya bersama jambangan bunga untuk dihadiahkan kepada si buah hati. Tetapi entah di mana silapnya, keterujaan Iedil untuk berjumpa kekasih yang dipuja-puja seakan tidak membara seperti dulu-dulu. Iedil sendiri tidak faham kenapa. Sudah berubahkah hatinya?

Sampai di Pullman Putrajaya Lakeside, Iedil menuju ke restoran The Village dimana Marsha sedang menunggunya. The Village merupakan restoran kelas mewah yang dibina seperti sebuah perkampungan di atas tasik. Marsha tersenyum menawan sebaik melihat kemunculan Iedil di situ. Mereka berbalas senyuman dan jambangan indah yang dibawa, bertukar tangan. Marsha mencium kelopak-kelopak mawar merah yang cukup digemarinya itu.

Thanks, sayang. You suka tau belai jiwa I.”

Anything for you, dear...” ucap Iedil seakan terpaksa. Antara ikhlas dengan tidak saja nadanya.

“I ajak you dinner malam ni sebab I ada happy news nak beritahu dekat you.” Marsha cuba menggula-gulakan bicara dengan janji manisnya. Tetapi dia menyedari akan sesuatu yang hilang. Ya, Iedil seolah-olah tidak teruja dengan apa yang bakal dikhabarkannya sebentar nanti. Lelaki itu boleh lagi memandang ke arah lain. Marsha berdeham. Sengaja mahu menarik perhatian Iedil yang kosong saja riaknya.

“You cakap apa tadi, dear?”

Marsha menyumpah seranah di dalam hati. Buat penat saja aku bermanis mulut dengan dia, sempat lagi dia berkhayal! Biar hati geram tetapi tidaklah ditunjukkan terang-terangan. Marsha melakar senyuman di wajah untuk kesekian kalinya. Dia akan pastikan ketrampilan dirinya sentiasa menawan sepanjang malam itu.

“You ni mesti lapar sangat ni sampai I cakap pun tak dengar. He...he...he...” Marsha pura-pura tergelak nipis sedangkan mahu saja dia bercakap begini, ‘You letak telinga you dekat mana ha?’

“Err... ha’ah. I lapar sangat agaknya. Tadi pun I terlupa nak lunch, sempat tea time aje petang tadi.” Iedil beralasan meski alasannya itu satu kebenaran. Memang dia sibuk pada hari ini. Tadi, Tengku Alauddin memarahinya kerana ada wakil menteri kerajaan yang kompelin tentang satu projek yang diuruskannya. Projek iklan billboard gergasi yang mana menampilkan seorang selebriti wanita berpakaian tidak manis dipandang mata, terpampang megah di tepi jalan menghala ke Bangunan SUK Kerajaan Selangor.

Hendak diletakkan kesalahan seratus-peratus kepada Iedil pun tidak boleh. Iklan untuk sebuah model terbaharu satu jenama telefon bimbit pintar itu sudah mengambil selebriti tersebut sebagai duta rasmi mereka. Sementelahan, Art Media tidak terlibat dalam pemilihan konsep dalam poster mega iklan kompeni berkenaan. Mereka cuma menggunakan khidmat Art Media dalam menaikkan iklan billboard di beberapa buah negeri. Iedil akur dengan situasi ini kerana sesetengah negeri meletakkan piawaian tertentu untuk sebarang jenis iklan yang mahu dipancangkan. Sensitiviti masyarakat harus dijaga. Lebih penting lagi, syariat agama wajib dipatuhi. Itulah yang dipesan Tengku Alauddin di telinganya tadi sampai merah cupingnya mendengar berkali-kali.

“Tengok tu... you mengelamun lagi. Hisy...hisy...hisy...” Marsha menggeleng-geleng. Senyum di bibir, tidak kendur-kendur sedari tadi. Dia perlu bijak memainkan peranan. Hati lelaki itu perlu dibelai-belai. Dia tidak boleh mudah naik angin biarpun memang sikap dalam dirinya begitu. Ah, penatnya hipokrit begini! Marsha rasa mahu menjerit-jerit saja sekarang ini.

“Eh, I tak order lagi pun...” Iedil berkerut-kerut dahinya kerana tidak sedar hidangan sudah ada di depan mata. Tinggal hendak makan saja lagi. Punyalah jauh dia termenung rupanya. Segala kata-kata pedas yang sebenarnya nasihat-nasihat penuh bermakna daripada Tengku Alauddin membuatkan dirinya banyak berfikir itu dan ini. Cuba memandang dari konteks lelaki itu yang terlebih dulu makan garam dan lebih jitu pengalamannya. Tengku Alauddinlah yang meletakkan Art Media sebagai antara kompeni pengiklanan terkenal di Malaysia.

“Makan ajelah you, tak payah banyak soal...” senyum tetap meleret di wajah walaupun sebenarnya, takat kesabaran Marsha sudah tinggal sipi-sipi saja lagi.

Sebuah lagu Inggeris sentimental menjadi halwa telinga buat mereka berdua juga pengunjung-pengunjung lain yang sedang asyik menjamu selera di restoran itu. Kumpulan akustik yang terdiri beberapa orang anak muda yang berbakat bermain alat muzik dan punya suara yang menyenangkan jiwa, menjadikan malam itu begitu tenang sekali. Marsha sekejap-sekejap memandang tampang Iedil di hadapannya. Barangkali, sudah sampai waktu untuk dia menyampaikan perkhabaran penting itu di malam yang istimewa ini.

“Iedil... you nak tahu tak happy news yang I excited nak beritahu you ni? He...he...he...” Marsha tergelap nipis, membangkitkan suasana ceria meski Iedil sedari tadi, serupa hendak tidak hendak saja melayannya. Ah, tension! Jerit Marsha kuat-kuat dalam hati.

“Apa dia?” Iedil bertanya dan nadanya bersahaja. Tidak ada riak teruja terkesan di roman muka lelaki itu. Bertambah geram Marsha dibuatnya.

“Ingat tak dulu you punyalah merayu-rayu dengan I supaya kita kahwin?” sengaja Marsha mengingatkan Iedil betapa lelaki itu yang bersungguh-sungguh mahu memperisterikannya. Tetapi pada waktu itu, Marsha punyalah menolak mentah-mentah huluran hasrat si kekasih hati. Alasannya, dia mahu menghabiskan pengajian dan mengejar cita-citanya untuk bergelar peguam terlebih dulu. Biar Iedil sedikit hampa tetapi lelaki itu tetap setia menunggu.

Oh... it’s kind of a long story ago...” balas Iedil antara dengar dengan tidak. Marsha tidak dapat menangkap gumaman lelaki itu.

“So... malam ni, I nak beritahu you yang... I’m willing to be your wife. I dah bersedia nak kahwin. Nak hidup bersama you. Lahirkan anak-anak yang comel untuk you,” isytihar Marsha tentang soal hatinya. Iedil yang mendengar dengan jelas akan berita gembira yang diucapkan oleh buah hatinya itu, terpempan seketika. Dia yang sedang menikmati Shiitake Mushroom Soup, tersedak tidak semena-mena. Lekas-lekas gelas berisi air kosong, diteguknya.

But... why so sudden?

Lain yang diharap keluar dari mulut Iedil, lain pula yang menyinggah ke pendengarannya. Marsha benar-benar sudah naik marah.

“Iedil, you ni kenapa malam ni?”

Nah, Marsha sudah meletup! Tembelang perangai sebenarnya sudah ditunjukkan. Iedil tercengang sekejap apabila Marsha sudah menarik kain putih di riba pehanya dan berdiri sambil terjegil memandangnya yang masih duduk.

“Kenapa apa? Hisy, you boleh tak duduk? Tak pasal-pasal ada orang yang rakam you tengah marah-marah macam ni masuk dalam YouTube, siapa yang malu? You jugak...” pandai Iedil mengawal situasi. Sudahnya, Marsha cepat-cepat duduk di kerusinya semula. Zaman sekarang memang ada saja paparazi di mana-mana lagi-lagi dengan kemudahan telefon pintar yang boleh merakam apa saja. Pantang ada pergaduhan sepasang kekasih, nanti adalah video pendek mereka melata di laman sosial.

“You punya pasallah buat I bad mood! Penat-penat I plan something nice for us and thenyou buat perangai. You dah kenapa, Iedil? You dah ada perempuan lain?” serang Marsha bertubi-tubi. Iedil menarik nafas dalam-dalam. Berdepan Marsha yang sedang marah ini, dia perlu bijak mengatur bicara. Jika tidak, alamatnya perang dunia ketigalah mereka di situ.

“Marsha, I nak you bertenang okey. Kita kan boleh bincang elok-elok?” Iedil bersuara lembut.

“Nak bincang apa lagi? You kan dah ada perempuan lain! Nahas perempuan tu nanti I kerjakan! You jangan main-main dengan I!” Marsha sudah mengeluarkan amaran pertama. Iedil berkerut-kerut keningnya.

“You cakap apa ni, dear? Perempuan lain mana pulak ni? Manalah I ada perempuan lain selain daripada you...” Kenyataan yang keluar dari mulut Iedil sedikit sebanyak membuatkan api amarah Marsha kembali mereda. Marsha menarik muka masam. Kedua-dua pasangan kekasih itu sudahnya tidak jadi makan. Barangkali selera masing-masing sudah lari.

Then, what is your problem actually?” tanya Marsha sambil tangan menyilang di dada.

Just that, I think... this is not the right time for us to get married...” ucap Iedil perlahan lagi memujuk.

“Jadi bila masa yang sesuai? Lepas Pilihanraya Umum ke-15, sepuluh tahun lagi?” Marsha kalau sudah marah, sampai topik pilihanraya pun masuk cerita. Iedil terasa mahu tergelak pun ada tetapi dia cuba mengetatkan wajah. Nanti tidak pasal-pasal bertambah naik hantu perempuan itu.

“Tak adalah sampai parti pembangkang berjaya perintah negara, dear... cuma berikan I sedikit masa boleh?”

“You memang suka sakitkan hati I kan? Dulu, you yang paksa I terima you tapi look what happen now... Memang you dah tak sayangkan I lagi...” Kalau tadi sampai merah padam wajah Marsha menahan marah, sekarang ini sudah berlinangan airmata pula menayangkan riak-riak sedih. Nada perempuan itu sudah melirih. Aduhai, ini yang buat Iedil lemah.

“I masih sayangkan you, Marsha. You janganlah fikir yang bukan-bukan. Mungkin sebab I stress siang tadi kat tempat kerja, jadi kepala I pun ikut sama tak boleh berfikir dengan tenang. I will get back to you with the answer... okay dear? But please, not tonight...” rayu Iedil dengan muka belas. Hendak tidak hendak, Marsha terpaksa akur. Masakan dia mahu mengheret lelaki itu ke pejabat kadi dan bernikah dengannya pada malam itu juga. Jatuhlah maruahnya nanti.

“Hmm... okey. I harap jawapan yang akan I dengar nanti, tidak mengecewakan I...” jawab Marsha mengalah. Suapan diteruskan meski selera dan hati sudah patah. Iedil terasa dirinya bersalah. Hendak buat bagaimana lagi, sudah kata hatinya berdetak sesuatu. Dan Iedil tidak akan sama sekali memaksa dirinya sendiri untuk melakukan perkara yang dia tidak pasti. Ya, memang dia tidak pasti dengan perasaannya sekarang ini. Bahkan rasa ketidakpastian itu bermula ketika kali pertama Marsha mengucup bibirnya pada malam sambutan hari lahir kekasihnya tidak lama dulu.

Selesai makan malam, Iedil dan Marsha pulang memandu kereta masing-masing. Di atas jalan raya, fikiran Iedil masih tertumpu pada kata-kata yang keluar dari mulut Marsha. Kalaulah sejak dulu lagi perempuan itu menerima pinangannya, barangkali mereka sudah selamat bergelar suami isteri. Terkadang jodoh itu datangnya tidak seperti yang diharapkan. Bercinta sepenuh jiwa dengan orang lain tetapi mengakhiri zaman bujang dengan orang lain pula. Bukankah ALLAH itu Maha Bijaksana dalam setiap perancanganNya?

Iedil memberhentikan keretanya buat sementara waktu di tepi jalan, menghayati keindahan malam di Jambatan Seri Wawasan Putrajaya yang agak lengang pada ketika itu. Dia menengadah ke langit yang gelap. Kononnya mahu mencari ketenangan fikiran tetapi suasana sunyi sepi yang diharap-harapkan itu, dilatari dengan suara sekumpulan manusia sedang bercakap-cakap antara satu sama lain. Iedil memandang ke arah empat sekawan yang tidak jauh dari tempat dia berdiri itu sekali imbas. Kelihatan mereka cukup akrab sekali.

“Cantiknya jambatan kat Putrajaya ni kan? Kenapalah kat sini aje dibuatnya jambatan yang meletup-letup macam ni? Tempat lain serupa jambatan sungai belakang rumah aku kat kampung je.”

“Belakang rumah kampung kau tu bukan jambatan tapi batang pokok kelapa. Ha...ha...ha...”

Iedil turut tersengih mendengar ulah canda empat sahabat itu. Tidaklah dia memerhati akan mereka, sekadar memasang telinga secara diam-diam. Terhiburlah juga hatinya yang sedang rusuh itu.

“Jambatan paling indah adalah jambatan Khalik kepada makhlukNya...”

“Habis! Dia mula buat perangai dia balik dah! Kau ni sihat ke tidak? Jangan kata kau kena sampuk dengan penunggu jambatan ni, sudah!”

Suasana berubah diam sejenak. Iedil yang mendengar, berdetak hati teruja. Tidak sabar hendak mengetahui apakah maksud di sebalik ayat-ayat yang di telinganya kedengaran cukup indah sekali. Bisik angin malam yang bertiup, menjadi selingan yang menyamankan.

“Jambatan kasih sayang Dia kepada hamba-hambaNya adalah menerusi ujian yang diberikan kepada kita. PERADUAN TEBUS-TEBUS MANJA BERMULA DI PERENGGAN AYAT INI. SAMBUNGKAN DIALOG INI DENGAN MENUKILKAN MADAH PALING INDAH DAN MENTARBIAH JIWA DI SINI DAN ANDA BERPELUANG MENEBUS KEK COKLAT FUDGE TAJAAN THE OKPOP PROJECT YANG LAZAT DI PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2014 PADA 26 APRIL INI YANG MANA AD AKAN BERADA DI SANA BERMULA PUKUL 2:00 PETANG HINGGA 6:00 PETANG. KALIAN DIGALAKKAN UNTUK MENGHANTAR MADAH KREATIF ANDA DI BAWAH RUANGAN KOMEN PADA BAB 10 INI. KALAU SEGAN, BOLEH JUGA HANTARKAN MADAH ANDA MENERUSI INBOX FACEBOOK. SELAMAT MENCUBA DAN HINGGA KITA BERJUMPA DI PBAKL NANTI, INSYAALLAH!”

Iedil terbuai jiwanya. Dia menoleh ke kiri, cuba mencari wajah si empunya suara itu. Malang sekali, wajahnya terlindung. Ah, serupa bulan pula dia pandai menyorok-nyorok di balik awan. Eh kejap! Aku pun dah tersampuk penunggu jambatan ni juga ke? Berpujangga serupa orang bijak sastera. Ewah! Iedil tertawa sendiri.

“Dan jambatan kita makhlukNya untuk bertemu dengan cinta Khalik, pencipta kita... hanyalah bila nyawa sudah tidak setia pada jasadnya.”

Hati Iedil tersentap. Berderau dadanya tiba-tiba. Hilang mood ketawanya serta-merta. Seakan-akan langit hitam yang sedang direnungnya itu, menjadi panggung layar yang memutarkan segala kekhilafannya dalam meraih cinta ALLAH. Dalam pada Iedil larut dalam segala macam rasa, dia tidak menyedari akan titik-titik hujan yang sudah menjamah batang tubuhnya. Lekas-lekas lelaki itu masuk ke dalam keretanya semula. Sambil itu, matanya melilau ke hadapan, mengharap akan dapat melihat walau sekejap, wajah si pemilik suara yang memikat kalbu.

“Harap-harap aku dapat jumpa dia suatu hari nanti...” Iedil tersenyum yakin. Putrajaya ditinggalkan. Empat roda keretanya meluncur laju di atas jalan raya. Dan di dalam kepala Iedil sekarang ini, tidak lagi terdengar suara-suara mengharap Marsha yang merimaskan. Suara yang merayu untuk dia memberikan jawapan ya.

Sebaliknya, suara merdu lagi puitis gramatis ayatnya, menjadi pengubat jiwa.


<img src="https://fbcdn-sphotos-h-a.akamaihd.net/hphotos-ak-prn2/t1.0-9/10013962_614935508600654_1178102374_n.jpg">

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.