Nad mengerutkan hidungnya. Dia terhidu satu bau wangi
yang menusuk-nusuk, sampai pening-pening lalat dibuatnya. Nad mencari punca bau
itu dan dia pasti sekali, bau wangi itu datangnya dari Rostam. Buang tabiat apa
lelaki ini? Lebih dua tahun bekerja sama, tidak pernah pula Rostam
berwangi-wangian sebegitu sekali. Dan tambah menghairankan, dilihatnya Rostam
segak memakai kemeja bercorak bunga-bunga. Seperti baju baru beli saja pada
pengamatan Nad. Biasanya, t-shirt berkolar warna biru yang sudah lusuh itulah
yang dipakai hari-hari.
“Bang
Rostam pakai perfume eh?” Nad selamba
bertanya. Rostam yang baru duduk di kerusi pemandu, tersengih saja. Lelaki itu
sengaja membiarkan enjin bas dihidupkan beberapa minit sebelum memulakan
tugasnya sebagai pemandu bas metro.
“Bau
pewangi Ambi Pur ni kut...” Rostam bercanda. Nad mencebik bibir. Macamlah dia
tidak tahu membezakan bau pewangi kenderaan dengan minyak wangi.
“Loyar
buruklah tu!” Nad menjeling. Rostam tersengih lagi melihat kerenah Nad yang ada
kala mencuit hatinya.
“He...he...he...
Ya... abang pakai perfume. Puas
hati?” balas Rostam mahu memujuk. Nad menyeringai.
“Wah,
abang Rostam hendak mengorat siapa ni? Pakai baju pun bunga-bunga. Segak
betul!” puji Nad ikhlas. Rostam memang kacak orangnya. Berkulit sawo matang,
berambut pendek dan kemas. Tinggal lagi, dia cuma seorang pemandu bas.
Barangkali kalau dirinya seorang akauntan, pegawai bank, tidakpun seorang yang
menjawat jawatan yang hebat-hebat, nescaya sudah ramai perempuan-perempuan di
luar sana yang tergila-gilakan lelaki itu.
“Betul
ke abang nampak segak, Nad? He...he...he...”
“Betul,
tak tipu. Sukalah tu! Ha, ini mesti abang mahu dating dengan Sofea, kan kan kan?” duga Nad sambil
menjongket-jongketkan kening kirinya. Mendengar nama Sofea, terus alergik
Rostam dibuatnya. Sofea yang selalu buat dia rimas dan rasa tidak selesa. Sofea
yang mengada-ngada.
“Harap-harap,
minah colour blocking tu tak naiklah
bas kita hari ni. Huh!” jawab Rostam mengundang tawa kecil Nad. Nad tahu sangat
kenapa Rostam cukup takut hendak menghadap perempuan bernama Sofea itu. Sofea
satu-satunya peminat tegar Rostam. Boleh dikatakan saban pagi, perempuan itu
akan gigih menunggu di perhentian bas yang sama, waktu yang sama, semata-mata
mahu menaiki bas yang dipandu Rostam. Terkadang, mahu pecah perut Nad melayan
drama pagi mereka.
“Tak
baiklah abang ni, tau. Sofea tu kan pembuka rezeki kita. Dia naik aje bas kita,
berduyun ramai orang naik lepas tu. He...he...he...” Sofea giat mengusik.
Rostam mengherotkan mulutnya.
“Pembuka
rezekilah sangat. Abang kalau dia naik, mahu aje terjun dari dalam bas ni tau!”
Nad
ketawa tutup mulut. Walau bagaimana tidak suka pun Rostam dengan Sofea,
perempuan itu tetap bersungguh cuba memikat lelaki tersebut. Panggillah dia
dengan apa-apa gelaran pun, Sofea tidak kisah. Hati Sofea sudah lama terpaut
kepada Rostam, cinta pandang pertamanya.
Perjalanan
dimulakan. Rostam memandu dengan lafaz bismillah. Tugas sebagai seorang pemandu
bas, tidaklah enteng seperti yang disangka sesetengah orang. Menjadi
tanggungjawab Rostam untuk memastikan setiap penumpang yang menaiki basnya, dapat
sampai ke tempat yang ingin mereka tuju dengan selamat. Tidak boleh memandu
semberono laju yang boleh mengakibatkan kemalangan, tidak boleh mengambil dan
menurunkan penumpang di tengah-tengah jalan raya sesuka hati, pendek kata bukan
nyawa sendiri saja yang perlu dijaga tetapi juga nyawa penumpang bas yang
sedang dibawanya.
“Bang,
Nad dah fikir masak-masak... nak daftar masuk kursus hujung bulan ni,” Nad
mengajak sembang tiba-tiba. Rostam yang sedang menumpukan perhatian sepenuhnya
di hadapan jalan raya, hanya sempat menoleh sesaat dua melihat tampang
perempuan itu yang bersemangat hendak bercerita.
“Daftar kursus
masak-masak? Nak belajar memasak, dengan mak abang pun boleh Nad. Tak payah bayar
yuran segala,” respon Rostam menyebabkan Nad menggaru-garu kepalanya. Bila masa
pula aku kata hendak masuk kursus memasak? Nad berfikir sendiri kalau-kalau dia
yang tersalah cakap tadi.
“Kursus
masak-masak apa pulak, bang oi? Ni mesti tak dengar betul-betul apa yang Nad
cakap! Nad nak daftar masuk kursus fotografi lah!” Nad memperbetulkan salah
faham Rostam. Lelaki itu kali ini memberi perhatian yang lebih terhadap Nad
yang sedang berkongsi cerita dengannya.
“Oh.
Kenapa tiba-tiba aje Nad nak masuk kursus fotografi? Bukan ke mahal semua tu?”
tanya Rostam mengambil berat. Dia bukannya mahu menghalang keinginan belajar
perempuan itu sementelahan Nad selayaknya dalam usia sekarang ini, sedang
belajar di institut-institut pengajian tinggi seperti gadis-gadis remaja yang
lain. Tetapi nasib tidak menyebelahi Nad yang terpaksa berkorban banyak perkara
bagi meneruskan kelangsungan hidup. Cuma Rostam risaukan tentang perihal yuran
pengajian yang sudah tentu mahal. Cukupkah duit Nad untuk menampung semua itu?
Nad
terdiam sejenak. Dia membuang pandang ke luar tingkap. Bas yang sedang bergerak
sederhana laju, memberi ruang untuk dirinya menikmati pemandangan indah di
luar. Pohon-pohon hijau yang meredup pandangan. Bunga-bunga kecil berbagai-bagai
warna membentuk landskap yang menawarkan ketenangan. Seni taman yang barangkali
tidak punya sebarang keistimewaan di mata orang lain tetapi begitu menggamit
hati Nad yang memandang.
“Sebab
Nad suka melihat pemandangan yang indah... biarpun cuma dari tingkap bas ini,”
jawab Nad perlahan. Nadanya meski biasa-biasa saja tetapi Rostam yang
mendengar, tersentuh hatinya tiba-tiba. Dia tahu getir hidup perempuan itu.
Terkadang dia mengharap, dia mampu untuk melimpahkan kesenangan dan memberi
kebahagiaan kepada Nad tetapi apalah dayanya?
“Jadi,
Nad mahu daftar kursus fotografi ni sebab mahu tangkap gambar-gambar
pemandanganlah ye?” Nad mengangguk dan tersenyum manis. Biarpun baru sekadar
memasang angan-angan, Nad akan bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-citanya. Paling
tidak, dia mahu minat dan bakatnya itu tidak dipersia-siakan.
“Ha’ah.
Tidaklah mahal sangat yuran kursusnya. Seratus lima puluh ringgit aje. Nad dah
simpan duit untuk masuk kursus itu awal-awal lagi. He...he...he...” Jujur Nad
memberitahu. Dia mengimpikan satu hari nanti, dirinya berpeluang untuk mengelilingi
dunia dan membidik pemandangan-pemandangan indah yang terdapat di setiap negara
yang dikunjunginya. Tetapi Nad sedar akan diri, mustahil sekali untuk dia
menjadikan impiannya itu satu kenyataan. Meski begitu, tidaklah Nad berkeluh-kesah.
Sekadar duduk di dalam bas, dan melihat pemandangan di luar menerusi cermin,
sudah memadai baginya.
Nad
tidak pernah meminta lebih dari itu.
“Berapa
hari kursusnya, Nad? Dekat mana?”
“Satu
hari aje, mula pukul 8:30 pagi sampai 5:30 petang. Ikut brosur yang pihak
penganjur bagi, tempatnya di Putrajaya.”
Rostam
mengangguk-angguk. Baru dia hendak bertanya lebih lanjut lagi tentang kursus
fotografi yang mahu dihadiri Nad itu, dari kejauhan Rostam sudah ternampak akan
sesusuk tubuh yang sedang melambai-lambaikan tangan. Nad memanjangkan lehernya,
melontar pandang nun di hadapan. Perempuan itu mengekeh ketawa. Rostam pula
sudah mengeluh kasar.
“Habislah,
minah colour blocking dah mai dah!”
rungut Rostam seorang diri. Mahu saja dia meneruskan perjalanan tetapi mengenangkan
di perhentian bas itu, ramai orang sedang menunggu hendak menaiki bas yang sama,
terpaksalah dia berhenti juga. Kalau Sofea seorang saja di perhentian bas
tersebut, nescaya dia tidak akan berkira-kira untuk memecut laju.
“Wah! Cantik
Sofea hari ni, bang! Secocok dengan abang, pakai baju bunga-bunga. He...he...he...”
sakat Nad yang tidak sabar hendak menonton sketsa cinta Rostam dan Sofea.
Rostam
buat-buat tidak layan. Bibir lelaki itu bergerak-gerak, seperti sedang
merungutkan sesuatu. Semakin dekat bas yang dipandu menghampiri perhentian bas
itu, semakin jelas pula kelihatan leretan senyuman menggoda Sofea.
“Mak
aih! Tema lampu isyarat apa minah ni pakai?” Rostam sempat mengutuk. Nad
tergelak kecil. Dilihatnya, Sofea begitu bergaya sekali. Cuma mungkin, rona
warna terang yang dipilihnya, sedikit menakutkan. Manakan tidak? Tudung
berwarna merah garang, blouse
berwarna kuning pisang dan dipadankan pula dengan maxi skirt labuh berwarna
hijau pekat. Mahu berpinar biji mata dibuatnya.
“Abang
Rostam ni tak baik tau! He...he...he...” Nad tersengih-sengih gelihati. Sofea
kalau bab bergaya, memang mengalahkan artis. Pernah juga Nad bersembang dengan
perempuan itu, mengorek cerita tentang latarbelakangnya. Sofea rupa-rupanya seorang
receptionist di sebuah syarikat
swasta. Padanlah setiap hari berlawa saja kerjanya.
Rostam
memberhentikan bas yang dipandu betul-betul di hadapan perhentian bas itu.
Sofea tersenyum lebar sebaik menatap wajah hero idaman hati. Rostam mempamerkan
muka kelat. Kuasa dia mahu membalas senyuman perempuan itu.
“Abanggg...”
panggil Sofea manja, meleret-leret nadanya. Rostam geli-geleman mendengar.
Boleh meremang bulu tengkuk lelaki itu.
“Hai,
Sofea! Cantiknya Sofea hari ni,” sapa Nad sengaja mahu mengambil hati. Kasihan
pula dia melihat perempuan itu yang tidak dilayan Rostam.
“Orang
dah cantik, Nadia... pakai apapun cantik. He...he...he... he. Betul tak abang?”
balas Sofea manja. Sempat lagi tersipu-sipu malu. Nad hanya mampu tersengih. Rostam
pula seperti mahu terkeluar segala isi perutnya mendengar kenyataan berani mati
perempuan itu. Mahu saja waktu itu dia muntah hijau!
Penumpang-penumpang
yang berada di belakang Sofea, sudah berebut mengambil tempat duduk di dalam
bas. Tetapi tidak pula Sofea yang sanggup berdiri berdekatan tempat pemandu,
semata-mata mahu berdamping mesra dengan Rostam. Tidak senang lelaki itu hendak
memandu dibuatnya. Nad melakukan rutin tugasnya seperti biasa. Melayan drama
pagi Sofea dan Rostam, tidak buat kerja pula sudahnya.
“Abanggg...
bila abang nak masuk meminang Fea?”
SRETTT!!!
Rostam
tertekan brek tiba-tiba. Terkejut punya pasal!
Mujurlah
tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini. Rostam lekas mengangkat tangan,
sebagai isyarat memohon maaf kepada penumpang-penumpang yang berada di dalam
bas. Yalah, pagi-pagi sudah bikin gempar! Rostam menarik nafas dalam-dalam dan
kembali meneruskan pemanduan. Tetapi rengekan manja Sofea sekali lagi membuatkan
dia tertelan air liur!
“Fea
seriuslah, bang. Mak abah Fea dah sibuk bertanya tau!” Sofea memuncungkan
mulutnya. Konon comellah! Rostam yang sedari tadi berdiam diri, akhirnya
terpaksa juga memaksa diri untuk berkata-kata. Kalau didiamkan, menjadi-jadi
pula Sofea mengarut entah apa-apa.
“Fea
merepek apa ni?”
“Merepek
apa pulak? Fea cakap... bila abang nak masuk meminang Fea. Mak abah Fea pun dah
bertanya. Kita buat majlis bulan Disember ni lah ye, bang? Waktu cuti
sekolah... kita pilih tarikh 11.12.13. Barulah serupa artis! He...he...he...”
Sofea sudah melalut tidak berkesudahan. Rostam tergaru-garu kepala. Sejak bila
pula dia berjanji hendak memperisterikan Sofea? Waras atau tidak perempuan ini?
Rostam menceceh dalam hati.
“Kejap!
Kejap! Sofea, awak ni tak tahu malu ke apa? Peliklah saya dengan perangai awak
ni! Kita ni bukan pasangan kekasih pun, macam mana pula tiba-tiba timbul soal
masuk meminang ni?” Rostam bersuara. Kelat muka Sofea serta-merta. Rostam tidak
kisah. Lagipun bukan kali ini saja dia sudah berterus-terang tetapi sudah
banyak kali! Dirinya langsung tidak memendam sebarang perasaan biar sekelumit
pun terhadap perempuan itu! Hairan sekali, Sofea seperti tidak faham-faham pula
penolakannya yang sudah terang lagi bersuluh itu.
“Tapi
abang dah janji!”
“Bila
masa pulak?” bidas Rostam kembali. Sofea sudah mencebik bibirnya. Perempuan itu
tiba-tiba saja menangis teresak-esak. Sudahnya, semua yang berada di dalam bas
itu tertanya-tanya. Nad berlagak selamba. Dia sudah betah dengan drama pagi
itu. Boleh dikatakan, ada saja babak rajuk-rajuk manja saban hari!
“Ah,
lelaki memang camtu. Lidah bercabang dua! Huh!”
“Kalau
lidah bercabang dua, keturunan ular tu Fea. Tengok lidah abang, normal kan?
He...he...he...” Rostam rasa mahu ketawa melayan drama Sofea. Dia pun ikut sama
tingtong dibuatnya. Terjelir lidah
tidak pasal-pasal.
“Kalau
abang tak mahu masuk meminang Fea, Fea terjun keluar dari bas ni! You jump, I jump!” ugut Sofea yang
seperti kebudak-budakan saja perangainya. Siap mendepangkan tangan ala-ala
babak dalam filem Titanic kononnya. Rostam yang menyangka perempuan itu cuma
bergurau, tergamam apabila Sofea sudah berdiri di tangga bas. Cepat-cepat
Rostam memperlahankan bas yang dipandu tetapi belum sempat bas itu berhenti,
Sofea bertindak nekad. Perempuan itu melompat keluar dari bas yang masih
bergerak laju. Masing-masing naik cemas dibuatnya!
Rostam menekan
brek mengejut! Sekali lagi penumpang di dalam bas, terdorong tubuh mereka ke
depan. Ada juga yang terhantuk dahi pada pemegang kerusi di hadapan. Nad sempat
berpaut kuat pada salah satu tiang di dalam bas itu. Terbeliak matanya apabila
melihat Sofea sudah terduduk di bahu jalan. Biar betul minah ini?
Benarlah
kata orang, kerana cinta, lautan api sanggup diredahi. Terjun dari bas pun
sanggup!