Nad, Aini dan Aminah sudah berjanji untuk sama-sama turun
ke dapur pada hari ini. Mereka bercadang hendak memasak nasi kukus ayam goreng berempah.
Pagi-pagi lagi mereka sudah bangun dan bersiap hendak ke pasar basah membeli
bahan-bahan yang sepatutnya. Duduk bujang seperti mereka, memang jarang
sangatlah untuk masak tiap-tiap hari. Boleh dibilang dengan jari, berapa kali
mereka memasak dalam erti kata sebenar dalam sebulan itu. Setakat merebus mi
Maggi, rajinlah mereka.
Manakan
tidak, Aini bekerja di kilang elektronik, sekejap syif pagi sekejap syif petang
sampai ke malam. Aminah pula di restoran makanan segera yang mana kerjanya juga
mengikut syif. Tidak terkecuali Nad yang selalu benar bekerja lebih masa
walaupun dia cuma seorang konduktor tiket bas. Masing-masing punya kekangan
waktu mereka sendiri.
“Kak Min
bila mahu beli kereta baru ni? Sempitlah kereta ni! Seat dia pulak dah serupa bangku batu, boleh kematu punggung ni
tau,” Aini menceceh sebaik punggungnya mencecah tempat duduk. Saban kali
menumpang kereta Aminah, ada saja kompelinnya. Tak selesalah, aircond tak sejuklah, sound speaker tak sedap dengarlah! Sabar
sajalah!
“Kau
tiap kali naik kereta aku, ada ajelah kau punya komen kan? Hello! Nasib baiklah
ada kereta Kancil aku ni tau! Kereta ni jugaklah yang banyak sumbang khidmat
bakti negara dekat kita semua. Jangan nak banyak songeh,” tukas Aminah lalu disambut
riak bersahaja tidak makan saman pada raut wajah Aini. Nad tersengih saja
melayan kerenah dua teman serumahnya itu.
Sepanjang
perjalanan ke pasar basah, Nad banyak mengelamun dan berdiam diri. Tidak
menghiraukan Aini yang sudah menjadikan keadaan dalam kereta itu seperti bilik
karaoke. Naik sakit telinga Aminah yang sedang memandu, mendengar si Aini
menyanyi sumbang setiap lagu yang berkumandang di corong radio.
“Cara
pandang kita terhadap dunia akan tampak berbeza mengikut tingkap perspektif
yang kita buka. Dalam kereta ni, aku nampak dunia di luar lebih indah...”
tiba-tiba Nad yang sedari tadi membisu tidak berkata, bergumam antara dengar
dengan tidak. Aminah cepat-cepat jarinya memperlahankan suara radio. Sementara Aini
yang telinga lintah, berkalih tubuhnya ke belakang, berkerut dahi memandang Nad
yang masih ralit memerhatikan pemandangan di luar.
“Kau
bersajak ke, hafal skrip drama ni Nad? Ke otak kau dah tak center? Ha...ha...ha...” Selamba oh la la saja Aini menyembur
kata-kata keramatnya. Aminah yang berada di sebelah, ringan saja tangannya
menampar bahu Aini. Aini mencebik bibir.
Nad
terpinga-pinga apabila tubuhnya dicuit Aini yang geram apabila pertanyaannya
tadi tidak berjawab. Nad yang baru tersedar dari lamunan, terasa terbius akal
fikirannya. Sungguh, dia mudah terlarut dalam keindahan yang ALLAH tawarkan.
“Kenapa?”
soal Nad kehairanan.
“Lah,
dia pulak tanya kenapa? Tadi, aku dengar kau bercakap tentang tingkap apa ke
jadah entah? Tingkap apa yang kau nak buka?” Aini teruja hendak tahu. Ah,
perempuan seorang ini serba-serbi dia hendak tahu. Busybody bukan main!
Nad
ketawa kecil. Aini berkerut dahinya. Tadi bercakap seorang-seorang, sekarang
tergelak pula. Sah, dah tak berapa nak center
kawan aku ni. Bisik Aini dalam hati.
“Cuba
kau pandang ke luar, dari cermin pintu sebelah kau tu. Apa yang kau nampak?”
uji Nad sebagai menjawab pertanyaan yang dilantunkan Aini kepadanya sebentar
tadi. Aini ragu-ragu hendak menjawab. Sementara Aminah yang sedang fokus
memandu, sekadar tumpang mendengar.
“Err...
aku nampak pokok, aku nampak... kereta Ford Mustang warna hijau. Eh, boleh
tahan handsome juga pemandu dia! He...he...he...
Hisy, kau tanya aku soalan pelik-pelik ni kenapa? Betul tak jawapan aku?” jawab
Aini lurus. Tetapi dalam masa yang sama, matanya tidak lepas memandang pemandu
kereta itu yang tadinya sebelah-menyebelah di atas jalan raya. Dasar merenyam
perempuan ini.
“Betullah
tu. Aku pun nampak pokok, nampak langit, nampak burung-burung berterbangan. Apa
yang aku nampak dengan apa yang kau nampak, sama aje. Tapi ia akan jadi berbeza
bila kau duduk di tempat aku dan aku pula duduk di tempat kau. Meski
pemandangannya sama tetapi cara kita pandang sesuatu itulah yang membuatkan ia
berbeza. Tingkap perspektif perlu dibuka bukan hanya pada satu arah saja tetapi
dalam arah yang berbeza-beza. Sama seperti kita memandang sesuatu masalah.
Masalah akan tinggal masalah kalau kita tidak cuba untuk menyelesaikannya
mengikut cara yang terbaik. Tidak dapat dengan cara itu, cuba dengan cara yang
lain pula. Kau faham ke tidak dengan apa yang aku cakap ni?” soal Nad semula. Aini
tergaru-garu kepala, cuba mencerakinkan apa yang cuba Nad sampaikan. Malangnya,
semakin berselirat pula otaknya. Kali ini, giliran Aminah pula ketawa
terbahak-bahak. Dia mentertawakan Aini sebenarnya.
“Tak
fahamlah tu! Itulah kau, membaca kurang! Itu yang lembap otak nak berfikir.
He...he...he...” Sedas Aminah mengenakan Aini yang malu sendiri. “Kita ni
biarpun kerja tak bagus mana, belajar tak tinggi... tapi perlu ada azam untuk
memajukan diri. Dan membaca adalah salah satunya. Jangan asyik dengar lagu,
menyanyi aje.” Setepek lagi kena ke muka Aini. Seronok pula Aminah menyakat
teman serumah merangkap kawan baiknya itu. Aini buat muka mengalah.
“Yalah...
yalah... Aku tahulah aku tak bijak macam kau orang berdua. Sampai hati kata aku
lembap... Aku touching tau. You broke my heart,” Aini mempamerkan
riak konon-konon bersedih tetapi disambut dengan dekahan ketawa Aminah. Dia
sudah masak sangat dengan perangai Aini. Pandai berlakon saja lebih.
“Ulang-ulang,
ayat Inggeris itu ajelah yang kau tahu kan? He...he...he... Maksud Nad tadi, setiap
manusia itu perlu memandang kehidupan bukan hanya pada satu tempat aje. Jangan
jadi seperti katak bawah tempurung. Dunia ini akan jadi lebih indah apabila
kita memandangnya dari arah dan sudut yang berbeza. Penting sekali, hati kita
mesti bersih. Betul tak Nad apa yang akak cakap ni?”
Nad
mengangguk laju dan tersenyum manis. Aini yang baru memahami akan intisari sembang-sembang
ilmiah itu turut terangguk-angguk kepalanya. Dia juga tersenyum lebar. Berasa
bertuah dapat kawan-kawan yang tidak lokek ilmu ini.
Nad,
Aminah dan Aini sakan
membeli-belah di pasar basah. Di tangan masing-masing, menjinjing plastik
berisi bahan-bahan masak yang dibeli mereka. Ada seekor ayam yang sudah siap
dipotong lapan, sepeket rempah kari ayam, serbuk kunyit, cili hidup, bawang putih,
bawang merah, halia, timun dan macam-macam lagi. Sekali-sekala memborong besar,
seronok juga.
“Ada
lagi yang tak cukup?” tanya Aminah sebelum mereka meninggalkan pasar basah itu.
Baik Nad mahupun Aini menggelengkan kepala. Semua bahan resipi sudah dibeli,
tinggal lagi hendak memasak. Sedap atau tidak, belakang kira.
Aminah
mendahului yang lain-lain menuju ke kereta Kancil yang diparkirnya tidak jauh
dari situ. Semua plastik yang dijinjing mereka tadi, diletakkan ke dalam ruang
simpan belakang kereta. Aini cepat-cepat masuk ke dalam kereta kerana cuaca
hari ini agak berbahang dan panas meski baru pukul 10.00 pagi. Aminah
lekas-lekas menghidupkan enjin kereta. Sementara Nad yang baru hendak membuka
pintu, tidak jadi berbuat demikian.
“Kejap
eh?” Nad menyuruh kawan-kawannya menunggunya sekejap. Dia berlari-lari anak ke
satu arah. Seorang wanita, barangkali sudah melepasi 50 tahun usianya,
terkial-kial menjinjing plastik yang sarat dengan kandungan. Segera Nad
menghulurkan pertolongan.
“Makcik
boleh ke tidak bawa ni semua? Mari saya tolong...” Nad melukis senyuman ikhlas
di wajah. Kasihan pula dia melihat wanita itu bersusah-susah hendak bergerak
dek plastik yang dibawa agak berat bagi keupayaan tuanya itu.
“Terima
kasih, nak...” Wanita itu tersenyum gembira. Jarang-jarang ada orang muda yang
berhati mulia seperti perempuan muda ini. Puji wanita itu di dalam hati.
“Tak
perlu berterima kasihlah makcik. Tak susah manapun. Makcik balik ni dengan
siapa? Naik bas ya?” Nad bertanya jujur. Yalah, risau juga kalau-kalau wanita
itu dibiarkan seorang-seorang menunggu bas. Sudahlah perhentian bas dari pasar
basah itu, sedikit jauh jaraknya terkehadapan. Terpaksa berjalan kaki. Kasihan kudrat tua itu terpaksa dikerah untuk menapak pula.
“Makcik
tunggu... Ha, dah sampai pun! Terima kasih ya, nak. Sebelum tu, boleh makcik
tahu nama anak ni siapa?” Lembut wanita itu bertanya, kaya dengan budi bahasa.
Nad tersenyum manis.
“Nadia,
makcik. Okeylah, makcik... saya balik dulu. Assalammualaikum.” Wanita itu
menjawab salam yang diberi. Tidak ketinggalan, segaris senyuman tua mengiringi
lambaian pertemuan singkat mereka. Beberapa saat selepas itu, sebuah kereta Ford
Mustang menghampiri wanita berkenaan. Sementara Nad sudah pun masuk ke dalam
kereta Kancil yang terparkir selangkah dua dari tempatnya membantu wanita tadi.
“Siapa
makcik tu? Kau kenal ke?” serbu Aini dengan pertanyaan sambil sekejap-sekejap
dia memandang ke belakang. Sudahnya dia membuka cermin pintu dan menjulurkan
kepalanya ke luar. Buruk perangai sungguh. Kereta yang bergerak laju di atas
jalan raya, membuatkan tudung yang dipakai Aini senget sebelah jadinya ditiup
angin deras.
“Tak
kenal pun. Alah, apa salahnya tolong-menolong? Yang kau ni asyik tertoleh-toleh
ke belakang ni kenapa? Duduklah betul-betul. Tak pasal-pasal kepala kau kena
cantas nanti!” Nad menegur. Aini seriau mendengar perkataan cantas itu.
Terbayang-bayang pula kepalanya bergolek-golek di atas jalan raya. Hisy, nightmare!
“Makcik
yang kau tolong tadi tu naik kereta Ford Mustang,” Aini begitu teruja.
“Jadi,
apa masalahnya?” Serentak Nad dan Aminah melantun ucap yang sama.
“Bukan
ke itu kereta yang aku cakap pemandu dia handsome
tadi tu? Alah, dalam perjalanan kita nak ke pasar, waktu tu kita cakap tentang
tingkap, pintu and what so ever tu!”
Beria-ia Aini memperincikan kenyataannya. “Kenapa bukan aku yang tolong makcik
tadi? Aduh, melepas!” Membebel Aini seorang diri.
“Oh, kau
nak ambil kesempatanlah tu ya? Nak menolong pun tak ikhlas. Itu yang Tuhan tak
aturkan tu. Dia tahu niat kau tu.” Aminah menggeleng-geleng kepala. Sementara Nad
hanya tersenyum nipis.
“Yalah,
manalah tahu makcik tu mak kepada pemandu handsome
tadi tu. Untung-untung makcik tu terpikat dengan aku yang kaya dengan budi
bahasa ni, dipinangnya aku untuk anak lelakinya terus. Happily ever after gitu! He...he...he...” Aini berangan jauh.
Tersenyum-senyum kambing.
“Simpan
ajelah angan-angan kau tu, Aini oi! Kau fikir kau dalam drama? Terlanggar bahu
aje, dalam sekelip mata boleh terus jatuh cinta? Ini real life, cik Aini binti Samad oi. Cinta dalam drama dan cinta
dalam realiti kehidupan sebenar, dua perkara yang jauh berbeza.” Aminah menepuk-nepuk
lembut pipi Aini.
“Tapi
pengarah takkan buat drama kalau cerita tu tak berlaku di dunia realiti! Betul
tak, Nad?” Aini tidak mahu mengalah kali ini. Pandai pula dia berbidas. Sudahnya,
Nadia pula yang terpaksa menjadi hakimnya.
“Aku
sokong dua-dua. Cuma... dalam drama, kita akan tahu penghujung ceritanya sama
ada sedih mahupun gembira. Tapi dalam drama kehidupan kita yang sebenar, tak
tercapai akal kita dengan qadak dan qadar ALLAH. Pengakhiran kita sama ada baik
atau buruk bergantung pada bagaimana kita melalui hari-hari dalam hidup kita.
Banyak buat pahala, insyaAllah ke tempat baiklah kita. Banyak buat dosa, bersedia
ajelah dengan kemurkaanNya.” Putus Nadia. Baik Aini mahupun Aminah tertelan air
liur mereka. Tidak semena-mena mereka berasa kecut-perut. Nadia bermuhasabah
diri sendiri. Dia akur dirinya juga terlalu banyak kekurangan. Banyak
cacat-celanya. Namun tidak sekali-kali dia berputus harap untuk cuba memajukan
diri. ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah
nasib mereka sendiri. Dan Nad berpegang pada itu.
JAWAB 6 SOALAN MUDAH INI DAN HANTARKAN KE INBOX PAGE BIAR MEREKA CEMBURU. TARIKH TAMAT PERADUAN 7 JANUARI 2014
BAB 1
1. Apakah jenis kereta yang dipakai Iedil?
BAB 2
2. Selain bekerja sebagai konduktor bas, namakan kerja berat lain yang pernah dibuat oleh Nadia (Nad).
BAB 3
3. Apakah kek kegemaran Marsha?
BAB 4
4. Berikan tarikh yang dipilih oleh Sofea yang mahu merancang berkahwin dengan Rostam.
BAB 5
5. Kuih apa yang dimakan Sofea sewaktu sarapan pagi?
BAB 6
6. Ayat Inggeris apakah yang seringkali disebut Aini dan menjadi bahan tawa kawan-kawannya?