Home Novel Komedi/Romantik Komedi Biar Mereka Cemburu
Biar Mereka Cemburu
A. Darwisy
9/10/2013 21:04:09
132,363
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5

Sofea masuk ofis dengan muka monyok. Semua orang yang menegurnya, tidak dijawab sapaan mereka. Menonong perempuan itu menuju ke tempatnya lalu menghenyakkan punggung di atas kerusi. Sofea mendesah. Dek terlalu menurut perasaan geram dan kecewa, Sofea mencapai fail tebal yang tersusun kemas di hadapannya lalu menghempaskan berkali-kali ke permukaan meja. Perbuatannya itu menarik perhatian staf-staf yang kebetulan sedang lalu-lalang di situ. Meski begitu, masing-masing tidak mahu mengambil kisah kerana mereka sudah masak dengan ragam penyambut tetamu kompeni itu yang sekejap elok, sekejap tidak anginnya.

“Kamu ni dah kenapa, Sofea? Muka serupa mati laki aje Mak Mah tengok?” tegur Mak Mah yang sedari tadi memerhati akan gelagat Sofea yang serba tidak kena. Mak Mah bekerja sebagai pencuci di syarikat itu, sudah lebih sepuluh tahun tempoh perkhidmatannya. Dia seorang sajalah yang rajin melayan pasang surut perangai si Sofea.

“Fea belum kahwin lagilah Mak Mah! Mati laki apanya?” bentak Sofea tetapi tidaklah nadanya kasar. Mak Mah tergelak kecil.

“Dari gaya kamu bercakap, bunyinya macam orang kecewa aje. Siapa yang dah buat kamu frust menonggeng ni, Sofea?” galak Mak Mah bertanya. Boleh tahan juga busy body makcik cleaner seorang ni. Bebel Sofea dalam hati. Tetapi disebabkan hanya Mak Mah seorang saja yang sudi meminjamkan telinga, hendak tidak hendak, Sofea berceritalah juga. Mahu pendam seorang, tidak tertanggung pula rasanya.

“Fea suka sorang laki ni, Mak Mah tapi dia beri respon pun tidak. Sedih tau, Mak Mah!” luah Sofea penuh perasaan. Tercebik-cebik mulut Sofea hendak menangis.

“Kamu dah selidik ke latarbelakang laki yang kamu minat tu, Sofea? Kut-kut laki orang ke, manalah mahu dia bagi respon. Sia-sia kena pelangkung dengan bini kat rumah,” Mak Mah mengusulkan pandangan. Yalah, bukan sekali dua dia mendengar permasalahan perempuan yang hampir-hampir masuk usia 30an itu, tetapi sudah berkali-kali. Sofea setiap kali ada masalah tentang perihal teman lelaki, wanita tua itulah dijadikan tempat rujuknya.

“Fea dah checklah, Mak Mah. Confirm masih bujang. Ini bukan macam kes dulu. Dulu tu memang salah Fea pun, tak selidik betul-betul.” Sofea yakin dengan gerak hatinya. Bercakap tentang kes terdahulu, Sofea pernah mengalami pengalaman nyaris-nyaris berkahwin dengan suami orang. Mujurlah tidak menjadi, kalau tidak, pastinya dia sudah bergelar isteri nombor dua.

Walaupun usianya sudah di ambang 30an, Sofea tidak mahu tangkap muat tentang soal jodoh. Kalau boleh, biarlah bersuamikan si bujang teruna. Sofea mula memasang angan-angan. Bibirnya menyungging senyum perasan.

“Ha, berangan lagilah kamu tu!” Mak Mah menepuk meja. Sofea terkejap-kejap kelopak matanya.

“Mak Mah rasa, apa yang kurang lagi dengan diri saya ni Mak Mah? Nak kata saya ni tak cantik, saya rasa saya ni lebih cantik dari Mak Mah waktu muda-muda dulu. Nak kata saya ni tak bergaya, saya rasa tiap-tiap hari saya melaram. Apa lagilah yang kurang dengan saya ni, Mak Mah?” keluh Sofea mengenang akan nasib sendiri. Mak Mah yang mendengar kenyataan perasan tahap langit ke tujuh Sofea, seperti dijolok-jolok anak tekaknya. Sempat lagi mengenakan aku ya? Mak Mah menggumam dalam hati.

“Mak Mah rasa Mak Mah tahu apa yang kurang pada Sofea,” selamba Mak Mah menjawab.

“Mak Mah tahu?” Sofea sedikit teruja. Mak Mah menganggukkan kepala. Wanita itu tersengih seperti kerang busuk.

“Kurangnya pada kamu ni Sofea, kamu ni Mak Mah tengok tak pernah pun bersolat. Manalah Tuhan hendak tolong kamu temukan jodoh yang baik-baik? Sampai kamu tua kerepot, bongkok tiga pun belum tentu ada laki yang berkehendakkan kamu. Jadi anak dara tualah jawabnya!”

ZASS!

Berdesing telinga Sofea mendengarnya. Mak Mah pula dengan bersahaja terus mengangkat baldi dan mopnya lalu beredar dari situ. Sempat lagi wanita tua itu tersengih-sengih, meninggalkan Sofea yang bertambah panas hatinya.

“Kurang asam betul Mak Mah ni! Boleh lagi kata aku ni anak dara tua!” Sofea bersungut-sungut seorang diri. Sekali lagi Sofea menghempaskan fail tebal ke permukaan meja, melepaskan rasa geram yang berbuku di hati.

Sofea kalau sudah marah, selera makannya menjadi-jadi. Tambahan lagi dia tidak sempat bersarapan gara-gara mahu menjadi penumpang pertama bas yang dipandu lelaki pujaan hatinya. Sofea mengerling akan jam yang dipakainya, pukul 8.30 pagi. Sempat lagi untuk dia mengisi perut sebelum masuknya waktu bekerja, jam sembilan.

Sofea teringin hendak menjamah kuih lompat tikam pagi itu. Minta-mintalah, makcik kafeteria ada menyediakan kuih yang dihajatinya itu. Dalam kelibang-kelibut hendak cepat sampai ke kafeteria, Sofea tidak sedar sikap terburu-burunya itu menyebabkan dia berlanggar dengan seseorang.

“Awak letak mata awak dekat mana? Lutut?” sergah satu suara menyebabkan Sofea terkemut-kemut mulutnya hendak menjawab.

“Err... dekat siku encik... Eh! Dekat sini, encik.” Sofea menuding jari telunjuk ke arah mukanya. Dalam pada itu, dia mengutuk diri sendiri. Dalam waktu-waktu kecemasan beginilah, entah apa-apa jawapan keluar dari mulutnya. Menggelabah punya pasal.

Mana tidak menggelabah apabila yang dilanggarnya itu adalah Iedil, anak Tengku Alauddin. Anak kepada bos besar di tempatnya bekerja. Tertunduk-tunduk Sofea meminta maaf. Iedil membuang nafas kasar dan terus berlalu dari situ. Sementara Sofea yang sudah kelaparan, mempercepatkan langkahnya menuju ke kafeteria.

Iedil meluru masuk ke bilik pejabatnya. Radangnya malam tadi masih berbaki, terbawa-bawa hingga ke hari ini. Terdengar-dengar lagi di telinganya akan kekehan si penunggang skuter mentertawakan dirinya. Apabila teringatkan kejadian itu semula, tidak semena-mena panas di hatinya mulai membara. Briefcase di tangan, dicampakkan ke atas meja.

“Tahulah nasib kau kalau aku jumpa kau lagi. KL ni bukan besar manapun,” Iedil mengomel seorang diri. Bagi menenangkan dirinya kembali, Iedil menarik nafas dalam-dalam. Kemudian lelaki itu menatap satu demi satu bingkai gambar pemandangan hitam putih yang tergantung di dinding biliknya. Kacau dalam jiwa surut tiba-tiba. Seolah-olah dirinya terperangkap dalam relung masa yang penuh dengan pengalaman-pengalaman yang mengasyikkan.

Bilik pejabat lelaki itu tidak ubah seperti sebuah studio di kedai gambar era 70an. Gambar yang paling menjadi kegemarannya adalah pemandangan tanah bendang yang diabadikan dalam rona kontra hitam putih. Cukup dengan melihat gambar itu, Iedil seperti dapat merasai desiran angin yang bertiup dari sawah padi, membawa keharuman rezeki yang menyegarkan sekali. Iedil memejamkan kelopak mata sambil jari-jemarinya menyentuh gambar pemandangan indah itu. Sentuhan yang memberi penghidupan pada sebuah deria rasa. Tidak semena-mena, gegendang inderanya dapat menangkap sayup-sayup bunyi tin-tin kosong yang diikatkan pada orang-orang. Bergemerincing mengikut haluan angin. Iedil mengukir senyuman.

“Hoi! Kau ni dah kenapa?” sergah Reza yang berkerut-kerut dahinya melihat gelagat aneh sahabatnya itu. Iedil cepat-cepat membuka kelopak matanya semula. Kacau daun betullah mamat ni! Iedil merengus geram.

“Kau dalam sehari tak menganggu hidup aku, memang tak sah! Kau nak apa pagi-pagi masuk bilik aku ni?” Iedil sengaja melengkingkan suaranya. Reza tidak menjawab. Sebaliknya, dia turut sama memerhatikan bingkai-bingkai gambar pemandangan yang tergantung di dalam bilik pengarah kreatif Art Media itu.

“Apalah yang kau obses sangat dengan fotografi ni, Iedil? Lepas tu, gambar hitam putih pulak yang kau ambil. Tak ada seri aku tengok!” Reza memberikan pendapat jujurnya. Yalah, manalah dia tidak hairan? Semua gambar yang dibingkaikan itu tidak punya warna selain dari warna hitam dan putih. Sebenarnya, sedari dulu lagi dia mahu bertanyakan akan perkara itu tetapi baru pagi ini, dia ringan mulut hendak mengajukan soalan.

“Orang tak ada jiwa seni macam kau ni, apa tahu? Terkadang sesuatu yang indah itu tidak perlukan warna lain, memadai dengan warna hitam dan putih. Bagi aku, cukup dengan gabungan dua warna itu sudah menunjukkan betapa peri eloknya alam ini. Warna lain bagi aku cuma satu ilusi, satu tipu daya.” Iedil memberi pendapatnya pula. Reza tergaru-garu kepala. Tidak faham sebenarnya. Apa yang ilusi? Apa pula yang tipu daya?

“Kau sihat ke tidak hari ni, Iedil? Dunia ini penuh dengan warna-warni. Kepelbagaian warna itulah yang membangkitkan seri. Cuba kau bayangkan kalau awan yang putih itu dipadankan dengan langit yang hitam? Tidakkah hendak kiamat namanya tu? Pelik-peliklah kau ni!” Reza berhujah dari sudut pandangannya pula. Iedil tersenyum. Tawar.

“Suatu hari nanti, kau akan faham juga Reza...” Iedil malas pula hendak bertegang urat. Ada baiknya, dia mengalah saja.

Have you had breakfast, Iedil?” tanya Reza setelah kedua-duanya sepi buat sejenak. Iedil melihat jam yang melingkar di pergelangan tangan. Masih punya banyak masa lagi sebelum bermulanya waktu bekerja. Lelaki itu mengangguk setuju.

Sampai mereka di kafeteria, Iedil meminta sahabatnya itu untuk membelikannya sandwic dan segelas teh tarik sebagai alas perut di awal pagi. Tidak biasa Iedil bersarapan dengan juadah yang berat-berat. Lainlah kalau Reza, sarapan paginya serupa makan tengahari. Hujungnya, belum tengahari lagi, mata sudah kuyu.

“Kau ni sarapan ke melantak, Reza?” buntang mata Iedil melihat juadah pagi yang diambil sahabatnya. Nasi lemak berlauk rendang ayam dan sambal kerang. Tidak cukup dengan itu, tambah pula dengan sosej dan nuget yang diletakkan di bibir pinggan. Reza tersengih-sengih melihat Iedil yang tergeleng-gelengkan kepala.

“He...he...he... Aku kena makan banyak, barulah ada semangat hendak bekerja!” Reza terkekeh-kekeh dengan jawapan yang diberinya sendiri. Iedil membuat muka toya. Macamlah dia baru kenal dengan lelaki bernama Shah Reza itu.

“Jangan aku tengok kau berkeruh kejap lagi, tahulah aku apa hendak buat nanti!” Iedil awal-awal lagi memberi amaran. Sementara tangan kanan menyuap sandwic ke mulut, tiba-tiba dalam kepalanya terlintas akan sesuatu. Iedil spontan menepuk dahi. Reza pula yang terkejut.

“Muka serupa ayam berak kapur ni, apa kes?”

Billboard untuk BeyondTalk ada perubahan. Macam manalah aku boleh lupa?”

“Perubahan apanya?” Reza berhenti sekejap makannya, memberi tumpuan pada Iedil di hadapan. BeyondTalk merupakan syarikat telekomunikasi terbaharu negara yang menggunakan khidmat Art Media bagi memperkenalkan jenama mereka. Sebagai sebuah kompeni pengiklanan antara yang terbaik di Malaysia, Art Media sentiasa memastikan segala kehendak pelanggan mereka dipenuhi sebaik mungkin.

“Slogan mereka dah berubah. Bukan lagi ‘Bual Dan Mesra’ tapi ‘Come On, Kita Sembang!’ Nampaknya billboard jenis wallmount dalam KL Sentral tu kena tukar immediately.” Beritahu Iedil serba ringkas.

“Lah, baru 3 bulan lepas kan orang kita pasang? Okey apa slogan sedia ada? Kenapa pulak nak dicampur aduk dengan bahasa Inggeris? Peliklah!”

Marketing strategy, Reza. Lebih catchy, mungkin? Biasalah tu! Mana-mana pun sama. Jangan lupa, kau tolong aku uruskan billboard BeyondTalk tu. Aku mahu fokus untuk projek Zalora. Mereka mahu billboard mereka dipasang dalam monorel. Dari overhead panel, side panel sampailah ke hand grip dalam gerabak tu. Banyak jugak kerja tu,” Iedil berkira-kira dalam kepala. Tetapi dia sudah betah dengan tanggungjawabnya itu. Bijak mengurus masa, cepatlah siap kerjanya. Sementelahan dia punya pasukan yang hebat di bawahnya. Cuma dia saja yang terkadang culas dan Iedil akur tentang itu.

Reza mengangguk dan meneruskan makan. Dalam pada itu, ekor matanya terpandang pada satu susuk yang sedang duduk bersendiri, sedang menghabiskan kuih lompat tikam di piring. Tidak semena-mena, hati lelakinya berdetak tiba-tiba.

“Ha! Kau kalau bab merenung perempuan, serupa mahu menelan!” Iedil tergeleng-geleng kepala. Masak sudah perangai kawan baiknya itu.

“Perempuan ni makhluk ALLAH terindah, sayang kalau tak dihayati apa yang sudah terzahir di depan mata. He...he...he...” hujah Reza sambil tersungging senyum. Iedil membuat muka toya. “Sofea tu lama-lama pandang, cantik jugak kan?” Reza sudah mula naik merenyamnya. Semenjak putus cinta dua tiga bulan lepas, semakin menjadi-jadi pula. Dia kenal akan perempuan yang bekerja sebagai penyambut tetamu di Art Media itu tetapi tidak pernah pula bertegur sapa. Sekadar berbalas senyum di antara mereka.

“Ah, engkau! Buah cempedak sarung dengan kain batik pun kau kata cantik!” tukas Iedil sinis. Sofea yang menyedari gerak-gerinya diperhati dari jauh oleh dua jejaka terhangat di Art Media itu, tidak senang duduk dibuatnya. Sudu yang dipegang cermat boleh pula terpelanting melayang ke udara. Mujurlah kuih lompat tikam di piring tidak tertangkup ke bawah. Iedil mengekeh ketawa melihat kelibang-kelibut perempuan itu.’

Sweet pulak aku tengok dia hari ni,” Reza terus-terusan memandang Sofea. Manalah perempuan itu tidak panasaran dibuatnya.

“Pulak dah! Kelam-kabut semacam aje aku tengok!” Iedil menepuk dahi. Tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya sebentar tadi. Tetapi minat dan citarasa setiap orang itu, bukankah berbeza-beza? Apalah yang hendak dihairankan sangat. Lagi-lagi ‘taste’ si Reza yang memang suka dengan wanita yang lebih berusia. Memang sepadan sangatlah tu! Gumam Iedil dalam hati.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.