Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
212,622
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 22

MEMANG dah berubah! Memang ketara sangat dah berubah! Di dalam kelas Jeffry merenung tajam ke arah Shahrul yang duduk dua baris di hadapannya. Dilihat Shahrul walaupun hanya dari belakang: kecik-besar-kecik-besar.

Makin lama makin ‘pijar’ matanya melihat tingkah laku Shahrul. Dulu masa mula-mula budak tak sedar diri tu mengelak-ngelak daripada dia dan kawan-kawannya yang lain, dia boleh butakan mata dan pekakkan telinga. Kena sindir dengan Atang, Burn atau Fauzi, dia masih boleh buat tak reti. Tapi makin lama makin loghat pula si Shahrul ni. Siapa yang tak sakit hati kalau Shahrul pandang mukanya pun dah tak nak? Padahal depan mata aje. Nak senyum? Jangan beranganlah. Sakitnya hati!

Kerana geram sangat, tanpa sedar tangannya merenyokkan kertas buku teksnya. Tiba-tiba dia disenggol. Pantas dia menoleh ke sebelah.

“Kau apa hal?” Atang berbisik, kemudian matanya mengarah ke buku yang direnyuk Jeffry.

Jeffry turut memandang buku teksnya. Terkejut melihat kertas yang hampir-hampir digumpal. Terkoyak sedikit. Dia melepaskan genggaman itu, lalu memandang pensyarah yang sedang mengajar di hadapan kelas. Kertas itu ditegangkan semula agar tak renyuk.

“Kau ni buang tabiat ke?” bisik Atang lagi. Bercakap tanpa menggerakkan bibir. Mata seolah-olah tekun memandang pensyarah.

“Kau tengok budak tu. Budak yang pakai baju biru tu. Kau tengok dia. Sakitnya hati aku!” Suara Jeffry sambil mengawal nadanya. Jangan sampai pensyarah tahu yang dia sedang berbual. “Makin melampau-lampau. Dahlah buat-buat macam tak kenal kita. Siap menjeling aku tadi. Kalau ikutkan hati aku, aku tumbuk muka dia!”

Atang melepaskan nafas panjang. “Aku dah lamalah perasan. Aku rasa dia ada sakit otak.”

“Aku rasa lepas ni kita kena face to face dengan dia. Aku tak kira! Apa nak jadi, jadilah! Kita ni dah lama sangat bersabar dengan dia. Aku nak tanya dia, apa yang dia tak puas hati dengan kita. Makin lama, aku macam dah tak kenal si Shahrul tu. Kalau dapat, muka dia tu aku tum...”

“Jeffry Eddie!”

Tersentak Jeffry apabila namanya disebut pensyarah. Kuat pulak tu! Dia memandang ke depan.

“What are you talking about?”

Gulp!

Semua mata terarah pada Jeffry. Jeffry terkedu pucat.

What are you talking, Jeffry? Come on... tell us.” Prof. Zubaidah masih meminta penjelasan.

“Err... nothing, Prof.”

Nothing? Are you sure?” desak Prof. Zubaidah.

Pantas Jeffry mengangguk.

Next time if you want to talk, please come forward. Gantikan saya pun tak apa,” sindir Prof. Zubaidah dengan kejam.

Tertunduk malu Jeffry kerana seisi kelas sedang memandangnya. Tiba-tiba pandangannya bertembung dengan Shahrul. Lelaki itu mentertawakannya tanpa suara penuh sinis sambil menggeleng-geleng. Menyakitkan hati betul.

Seperti yang dirancang, Jeffry sudah bersedia menunggu nak berdepan dengan Shahrul. Dia dan gengnya sudah tunggu di pintu belakang fakulti kerana tahu Shahrul takkan keluar melalui pintu hadapan.

“Berlagak nak mampus dia sekarang dowh!” Burn menunjukkan aksi meluat.

“Kau orang tak nampak macam mana muka dia gelakkan aku dalam kelas tadi? Nak aje aku tumbuk muka dia.” Jeffry turut melepaskan geram.

“Relaks, brader... brader, relaks.” Atang menyanyi pula, tak nak suasana jadi tegang.

Jeffry menjeling, membuatkan Atang yang tersengih-sengih terbantut. Mati sengihannya.


“TU pun dia!” bisik Fauzi keras.

Mereka terus menghampiri Shahrul yang baru keluar dari pintu tangga belakang.

Shahrul yang bersama beberapa orang pelajar terkejut melihat Jeffry, Atang, Fauzi dan Burn seperti sedang menantinya. Dia nak mengelak tetapi Burn terlebih dulu mencekak hujung jaketnya. Nak tak nak, dia terpaksa juga berdepan dengan mereka semua. Pelajar-pelajar yang seiringan dengannya tadi sudah berlalu.

Burn dan Fauzi menarik Shahrul ke tepi, tersorok sedikit daripada pandangan orang ramai.

“Eh, apa tarik-tarik aku ni? Kau apa hal?!” Shahrul berang. “Lepaslah!”

Jeffry berpeluk tubuh, merenung Shahrul penuh kegeraman.

“Jangan harap kita orang nak lepaskan kau! Bukan main berlagak lagi kau sekarang eh?” Burn tak mahu melepaskan cengkaman pada jaket Shahrul.

“Dengan kau orang memang patut pun aku berlagak!” kata Shahrul angkuh.

“Kau...” Jeffry sudah mengangkat penumpuk dan mahu ditala ke muka Shahrul.

“Sabar, Jeff. Sabar!” Atang menghalang Jeffry daripada menghampiri Shahrul.

“Tepilah! Hisy!” Jeffry meradang, tak mahu Atang menyentuhnya. “Nasib baiklah... kalau tak, berkecai muka kau aku kerjakan.” Jari telunjuk kanan dituding hampir ke muka Shahrul, manakala tangan kiri bercekak pinggang.

“Kau fikir kau punya penumbuk aje? Aku punya penumbuk kau tak fikir?” Suara Shahrul melengking.

“Eeii... dah, dah!” Atang cuba meleraikan. Dia berdiri antara Shahrul dengan Jeffry. “Jangan bikin kecoh, beb! Kalau dekan dapat tahu, habis kita semua.”

Jeffry mencerlang ke arah Shahrul. “Aku memang tak nak kecoh-kecoh! Memang tak suka pun. Tapi budak yang lupa daratan ni dah buat hati gua bengkak!”

“Aku peduli apa! Lantak kaulah nak bengkak ke apa? Aku dah tak nak kawan dengan kau orang, dahlah! Suka hati akulah nak kawan dengan siapa pun! Kau siapa nak menyibuk pasal aku?” balas Shahrul lancang.

“Kau...” Jeffry hilang sabar semula. Dia mahu menerkam Shahrul dan mengerjakan lelaki itu cukup-cukup.

Tetapi Atang cepat-cepat menghalang. Dibawa Jeffry menjauhi Shahrul. Fauzi dan Burn masih tak melepaskan Shahrul. Kejap erat mencengkam supaya Shahrul tidak melarikan diri.

“Kau dah hilang akal ke apa, Jeff? Shahrul tu kawan kita. Takkan kau nak belasah dia?” Atang mengingatkan. Risau pula dia melihat reaksi Jeffry. Tak pernah Jeffry marah sebegini.

“Kawan? Aku tak ada kawan macam dia yang macam kacang lupakan kulit! Tak sedar diri! Nak menyombong tak tentu hala tu kenapa? Dia ingat dia siapa?!” balas Jeffry geram.

Shahrul pun sama naik barannya. “Kau ingat aku hadap sangat nak kawan dengan kau orang semua? Hah?! Hei... tak inginlah! Aku dah lama sabar dengan kau orang yang jahat, perangai macam sakai mendajal orang! Memang patutlah orang panggil kau orang Geng Mat Ngek! Aku pun tak tahulah macam mana aku boleh kawan dengan kau orang! Jijik aku! Phuii!”

Mereka tergamam. Tak sangka Shahrul yang dulu satu kepala dengan mereka boleh berkata begitu. Yang dulu sama-sama susah, sama-sama senang... ketawa dan menangis bersama... boleh berkata begitu.

Perlahan-lahan Fauzi dan Burn melepaskan Shahrul. Tergambar riak wajah mereka yang berserabut kekesalan. Shahrul benar-benar sudah berubah. 360 darjah berubah.

Shahrul menepis-nepis bajunya yang dipegang Fauzi dan Burn penuh angkuh. Seolah-olah tak mahu kekotoran melekat padanya.

Jeffry melepaskan nafas panjang. Dia sudah lama menduga. Shahrul berubah bersebab. Dan kini memandang hina pada dia dan kawan-kawan yang selama ini banyak membantu. Dia tergeleng-geleng. Terkilan dan terluka.

“Shah...” Atang menghampiri lelaki itu walau kata-kata Shahrul menggores perasaan. Dia perlu perbetulkan keadaan. “Shah, kau tak sayang ke dengan persahabatan kita? Kita dah lama kawan okey? Sejak zaman diploma sampailah sekarang. Dah dekat lima tahun, beb. Kita tak per...”

“Biarkan dia! Buat apa nak halang-halang dia lagi?!” tempik Jeffry geram. “Buat apa nak pujuk dia lagi? Dia dah ludah kita! Ingat tu! Dia... dah ludah kita!” tekannya penuh emosi. “Takkan dah ludah nak jilat balik?”

Shahrul ketawa. “Tahu pun kau! Takkanlah aku nak kawan dengan kau orang yang kaki kutu ni! Tak ada masa depan! Mengacau anak daraorang aje tahu. Hei, sedarlah diri tu sikit! Semua orang menyampah, meluat dengan kau orang! Anjing pun lagi mulia daripada kau orang!”

Serentak dengan itu, Jeffry pantas menerpa ke arah Shahrul, lalu menumbuk muka lelaki itu.

Buk!

Shahrul jatuh terlentang di atas rumput. Jeffry menerkam leher Shahrul dan mencekik-cekiknya kegeraman.

Fauzi, Atang dan Burn terbelalak melihat kejadian yang berlaku bagaikan kilat. Sekelip mata. Lantas mereka mendapatkan Jeffry dan menolak lelaki itu agar tak mengapa-apakan Shahrul. Nanti jadi kes, lagi susah! Baik leraikan sebelum ada mata lain yang nampak.

“Lepaskan aku, bodoh! Biar aku kerjakan dia cukup-cukup! Kurang ajar!” Jeffry meronta-ronta minta dilepaskan sambil menyumpah seranah Shahrul. “Lepaslah! Kau tak dengar ke dia panggil kita apa tadi?”

Sekejapan saja beberapa orang pelajar berkerumun di situ. Makin lama makin ramai.

Shahrul bangun sambil mengesat hujung bibirnya yang berdarah. Dia merenung dengan tajam ke arah Jeffry, Atang, Fauzi dan Burn. “Kau akan tahu nasib kau nanti! Kau akan tahu langit tu tinggi atau rendah!”

“Hui... Geng Mat Ngek gaduhlah! Geng Mat Ngek gaduh! Sensasi ni.”

Terdengar suara-suara teruja. Malah, ada yang ketawa kecil. Pasti ada yang bersorak melihat mereka bertengkar.

“Jeffry! Shahrul!”

Semua berpaling ke arah satu suara. Prof. Malik! Masing-masing terkedu.

“Kamu semua ikut saya masuk pejabat!” arah Prof. Malik pada Jeffry, Shahrul, Atang, Fauzi dan Burn. Bulat matanya dengan riak marah menerkam ke arah kelima-lima pelajarnya itu.


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.