Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
212,084
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 7
"YEAHH!” Atang terlonjak-lonjak gembira. Bukan main seronok lagi dia sebaik keluar dari dewan Seri Budiman.

“Wuhuu!” Burn mendepangkan tangan dengan muka sungguh lega di sebelah Atang.

Jeffry tersenyum melihat kawan-kawannya. Mereka baru saja habis menduduki kertas terakhir semester pertama. Bukannya mereka belajar sangat. Banyak main sebenarnya.

“Fuh... lega. Nak tunggu exam habis, macam ada penyakit buasir!” Fauzi mengangkat kedua-dua tangan dan membuat ‘high five’ kepada kawan-kawannya.

“Patutlah aku tengok kau duduk tadi terkemut-kemut. Ada buasir rupa-rupanya! Ada besar ni tak?” Jeffry menunjuk penumbuknya.

Mereka ketawa berdekah-dekah. Langsung tak dihiraukan keadaan sekeliling. Padahal mereka sedang berjalan di hadapan pejabat rektor. Sungguh selamba! Jeffry memang pantang. Ada sahaja bahan yang dia nak jadikan lawak jenaka.

“Kita lepak dulu katfoyer menara,” ajak Jeffry sambil melangkah ke arah yang dituju.

“Lepas ni dah cuti. Rindu pulak kat tempat ni,” kata Fauzi.

“Pigi daa!” Atang menolak tubuh Fauzi.

Shahrul pun sama. Ditolak tubuh Fauzi kuat-kuat. Hampir tersungkur lelaki itu. Mereka gelak berdekah-dekah.

Di satu sudut di pekarangan menara UiTM itu, mereka melepak. Tidak ramai orang di situ. Pada minggu akhir peperiksaan, ramai pelajar sudah pulang bercuti.

“Kau balik Terengganu ke cuti nanti?” tanya Jeffry pada Burn yang sejak dulu lagi kalau cuti semester menjelma, mesti pulang ke kampung di Terengganu dan bekerja.

Well... balik kampung cari kerja sementaralah.” Burn seolah-olah bangga dapat berbakti di negeri kelahirannya.

“Fauzi pulak balik Kedah. Duduk celah ketiak mak dia,” perli Jeffry. “Kau, Shah? Balik Penang?”

“Tak. Aku duduk dengan sepupu aku kat Pandan Indah. Dia baru tukar cawangan kerja kat KL. So, aku temankan dia.”

“Dia kerja apa?” tanya Fauzi.

Shahrul ketawa. “Err... apa eh? Lupa pulak aku. Hmm... lebih kurang macam buat marketing.”

“Yeahh... ada kawan aku cuti kali ni. Kalau tak, balik-balik muka Atang ni aje aku jumpa.” Jeffry mengayun genggaman tangannya dengan gembira.

“Dah aku memang duduk Shah Alam. Anak jati Shah Alam. Takkan kau nak halau aku pergi Perlis pulak.” Atang naik angin.

“Relakslah, kawan. Terasa pulak. Kalau aku tak duduk Bandar Sunway, kau pun tak dapat jumpa aku.” Jeffry lantas memeluk bahu Atang sambil tersenyum.

Yang lain-lain ketawa melihat Atang menepuk pipi Jeffry, menolak supaya Jeffry tak memeluknya.

“Tapi, aku ingat nak buat part time kat tempat sepupu aku tu kerja.” Shahrul memberitahu pula.

Jeffry tak jadi senyum panjang. Terus dia buat muka bosan. “Nak kerja pulak dah.”

“Alah kau ni, Jeff... macam kau tak biasa. Aku ada. Apa lagi... kita carilah awek buat teman,” usik Atang, disambut ketawa Geng Mat Ngek.

“Eh, eh, eh... tengok tu! Tengok tu!” Fauzi bersuara teruja, memeranjatkan yang lain sambil menunjuk ke satu arah. Semua memandang ke arah itu.

“Eh! Tu Ayu, kan?” Burn tersengih.

Shahrul segera melilaukan pandangan. Yalah... Ayu! Ada senyuman terukir di bibirnya. Ayu dan kawan-kawannya sedang menuju ke arah mereka sambil bergurau senda.

Jeffry jadi ‘hidup’ semula. Semangat nak ‘membahan’ orang berkobar-kobar.

“Maknanya... tadi dia orang exam dengan kita sekalilah?” Atang membuat kesimpulan. “Tapi tadi tak nampak pulak dia orang.”

“Tadi ada empat paper yang ada exam dalam dewan. Mana kita perasan.” Jeffry menolak bahu Atang. Senyumannya mekar. Perangai suka mengusik meronta-ronta dalam diri.

“Apa lagi... jom dajalkan dia orang.” Fauzi sudah terkekeh-kekeh.

“Tak payahlah. Aku tak ada moodlah nak kacau orang hari ni,” larang Shahrul.

“Kau tak ada mood, duduk diam-diam. Biar aku yang ada mood ni kacau dia orang,” kata Jeffry.

“Aku pun nak kacau dia orang.” Atang menyambut baik niat Jeffry sambil tersengih-sengih.

“Bak kertas sehelai.” Jeffry menghulurkan tangan kepada Burn. “Cepat!”

Kelam-kabut Burn mengeluarkan buku notanya, lalu mengoyaknya sehelai. Diserahkan kepada Jeffry apabila melihat tiga gadis itu sudah menghampiri jalan yang berdekatan dengan mereka.

Jeffry lantas merenyuk-renyukkan kertas itu menjadi bulatan. “Hah, sambut!” Dia membaling bola kertas itu pada Atang sambil berlari ke arah gadis-gadis itu. “Baling kat aku balik.”

Atang menurut dan mula dapat ‘tangkap’ apa yang Jeffry mahu buat. Dia mengejar Jeffry sambil membaling semula bola kertas itu. “Nah!”

Burn dengan Fauzi pun turut serta. Mereka kini membaling dan menyambut bola kertas itu sambil tergelak-gelak.

Apabila bola kertasitu berada di tangan Jeffry, betul-betul di hadapan gadis bertiga itu, dia buat-buat terkejut. “Eh, Ayu. Bila sampai?” Aksi gedik ditunjukkan.

“Eeii... kau orang ni! Tak ada muka lain ke kat dunia ni? Balik-balik muka Geng Mat Ngek ni yang kita orang jumpa.” Mala terang-terangan menunjuk muka tak suka.

“Kau orang pun ambil exam kat Dewan Sri Budiman jugak ke tadi?” Jeffrysudah kalisdengan soalan berapi Mala. Sebaliknya, dia buat-buat selamba.

“Kau orang pun ke?” soal Eja walaupun sebenarnya dia menyampah nak melayan lelaki-lelaki itu. Peristiwa ditakutkan dengan ular getah masih terbayang.

“Mestilah, cik adik manis. Kita orang ada paper Jerman tadi. Mesti cik adik manis ni ambil paper Mandarin. Hmm... manisnya.” Burn tersengih-sengih gatal.

Ayu tercari-cari wajah yang ingin benar dia lihat. Tiada. Namun, seketika dia terpandang wajah itu yang baru saja menghampiri mereka. Senyuman terukir tanpa sedar. Dan tanpa disangka, senyumannya berbalas.

Mala yang perasan, menyinggung lengan Ayu.

Terperanjat Ayu dibuatnya. Serta-merta dia memandang ke arah lain dengan dada yang bergemuruh. Bukan Mala sahaja, Jeffry pun perasan. Tapi dia buat selamba.

“Eh, Shahrul... tadi kata tak ada mood, tak nak main dengan kita orang,” kata Fauzi.

“Saja aje nak tengok kau orang,” balas Shahrul sambil menyelukkan kedua-dua tangan ke dalam poket seluar.

Oh... nama dia Shahrul. Ya ALLAH... sedapnya nama dia. Ayu sudah angau sendiri.

“Tak sangka pulak kita exam sama-sama. Kalau tahu, dah lama kita orang duduk sebelah-menyebelah dengan awak bertiga sambil main cubit-cubit,” sakat Jeffry. Dia mengubah topik perbualan apabila nampak muka Ayu semacam.

Atang, Burn dan Fauzi gelak tak ingat dunia.

“Tak ingin! Tak ingin kita orang nak dekat dengan anak setan macam kau orang ni!” tempik Eja garang.

“Oh... oh...” Jeffry buat-buat terkejut. “Takutnya... Awak sangat garanglah. Lalu kami sedang ketakutan.” Loyar buruknya makin menjadi-jadi.

Sekali lagi geng mereka tergelak. Hanya Shahrul saja yang tersenyum. Dia berasa lucu, tetapi cuba menahan ketawanya.

“Jomlah... jangan layan dia orang ni.” Ayu berasa tak selesa dan ingin segera berlalu dari situ. Sudahlah tadi dia kantoi dengan Mala waktu tersenyum dengan Shahrul.

“Alah, cik adik ni... awal lagi nak balik. Jomlah main baling-baling bola ni dulu. Kita orang nak jugak berkawan dengan cik adik semua ni.” Jeffry mencampak bola kertas itu kepada Fauzi.

Fauzi apa lagi, diagah-agah kononnya mahu membaling bola kertas itu pada Mala, Eja dan Ayu.

“Hah... sambut! Sambut!” acah Burn yang cuba menghalang laluan gadis bertiga itu.

“Tepilah!” Eja terpekik dengan riak muka meluat.

Bermulalah episodbertegang urat leher antara mereka. Cuma Ayu yang diam. Dadanya bergetaran hebat setiap kali menatapwajah Shahrul yang sudah mencuri hatinya itu. Dan senyumannya bagaikan melekat kuat di bibir. Tak mampu disorok lagi. Entah kuasa apa yang merasuknya. Tumpuannya hanya fokus ke arah lelak itu. Tanpa diduga, lelaki itu memandangnya juga.

“Orang kata tepi, tepilah!” Eja naik angin. Direntap rambut Fauzi yang paling dekat dengannya. “Nakke tepi ke tak nak? Hah?!”

“Adei, dei, deiii...” Fauzi sudah terjerit-jerit kesakitan.

Eja menarik lebih kuat rambut Fauzi.

“Adoidoi... sakit! Sakit! Lepaslah! Okey, okey... kita orang ke tepi.” Berkerut-kerut muka Fauzi menahan sakit kerana rentapan Eja sangat kuat.

Jeffry dan Geng Mat Ngek terkejut. Garangnya perempuan tu!

Mala pun terkejut, namun bibirnya tersenyum. “Bagus, Eja... bagus!” Dia ketawa. Rasakan kau Geng Mat Ngek!

Ayu yang tadi pandangannya terpaku pada satu arah saja kini memandang Eja dan Fauzi. Matanya terbeliak. Mulutnya terbuka sedikit.

“Lepaslah... okey, okey... kita orang tak kacau lagi.” Fauzi merayu sambil cuba menepis-nepis tangan Eja.

“Janji?” soal Eja.

“Janji, janji...” balas Fauzi cepat-cepat sambil tangannya diangkat bagaikan berikrar.

“Ya, ya... kita orang tak kacau lagi,” akui Jeffry pula. Kesian dia melihat sahabatnya itu terseringai menahan pedih. Ya ALLAH... garangnya perempuan ni!

Ayu ketawa sambil menutup mulut. Kelakar dia melihat muka Fauzi. Itulah... suka sangat mengusik. Dapat perempuan garang macam Eja, padan muka! Silap-silap boleh tanggal rambut Fauzi tu dikerjakan Eja.

Sedang dia ketawa sorok-sorok begitu, pandangannya bertembung dengan pandangan Shahrul. Terus mati ketawanya itu. Dadanya bergemuruh semula. Pandangan Shahrul benar-benar tepat menikam matanya hingga ia perlahan-lahan bagaikan ada sesuatu yang turun ke hati.

“Okey! Kali ni kita orang lepaskan.” Eja melepaskan cengkaman rambutFauzi sambil menolak kepala lelaki itu.

Ayu cepat-cepat mengalihkan pandangan ke arah lain. Tidak sanggup rasanya terus menatap sepasang mata yang mampu membuatkan seluruh tubuhnya bagaikan terbius.

“Dah, jom... jangan dilayan Geng Mat Ngek ni. Kita pun nanti ngok ngek macam dia orang.” Mala sudah bersedia mahu berlalu dari situ.

Perlahan-lahan Jeffry, Burn dan Atang memberi laluan kepada tiga orang gadis itu.

“Huh!” Sempat Eja dan Mala menjeling Geng Mat Ngek sebelum berlalu pergi.

Jeffry memandang dengan hati berbalam geram. Cis, tak guna! Tercalar prestasi gengnya diperlakukan begitu. Ini tak boleh jadi! Tak boleh jadi! Dipandang ketiga-tiga gadis itu yang berlalu menuju ke arah perpustakaan. Tiba-tiba datang idea nakal. Dia memetik jari.

“Atang...”

Atang memandang Jeffry, lalu menerima isyarat. Dia faham dan terus mengangguk sambil tersengih. Tak serik-serik!

Jeffry mengekori langkah gadis-gadis itu. Beg sandang di bahu Ayu menjadi sasaran. Direntap beg itu lantas berlari dan membalingnya ke arah Atang yang menunggu.

Ayu pantas menoleh kala terasa begnya diragut. Lantas dia terjerit. “Hei, gila!” Bukan main terkejut dia melihat begnya sudah diambil Jeffry dan kini berada di tangan Atang. “Pulangkan balik beg aku!” jeritnya sekuat-kuat hati.

“Eh, eh... budak ngok ngek ni! Baru tadi dia janji dengan aku.” Eja sudah bercekak pinggan. “Woi! Pulangkan balik beg tu!” Dia pun menjerit sama.

Jeffry dan Geng Mat Ngek berdekah-dekah ketawa. Atang membawa lari beg itu dan meletakkannya di atas pokok renek sebelum mereka semua lintang-pukang melarikan diri.

“Menyesal pulak aku tak beli pepper spray hari tu,” keluh Mala. “Janji tak boleh pakai punya orang!” Dia mengetap gigi kegeraman.

“Tak guna punya Mat Ngek!” rungut Ayu geram. Paling dia geram dengan Jeffry. Muka Jeffry tu macam muka minta penumbuk. Nakal nauzubillah! Betul kata Eja. Perangai macam anak setan! Meluatnya!


SESUDAH memarkir skuter dan mengunci pagar, Jeffry melangkah masuk ke dalam rumah. Gelap. Suis lampu di tepi dinding dipetik. Barulah rumah semi D dua tingkat itu terang. Pintu rumah ditutup rapat.

Dia melangkah lemah ke arah sofa dan menghempaskan diri di situ. Jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Dalam kesunyian itu dia merenung siling. Beginilah kehidupan dia hari-hari. Tinggal sendirian di dalam rumah besar dalam kesepian.

Dikeluarkan telefon bimbit dari poket seluarjean. Ketika membukanya, kelihatan tiga panggilan yang tak berjawab. Panggilan daripada Latifah.

Lantas dia berbaring beralaskan bantal sofa kecil dan menghubungi mamanya semula. Tidak lama, panggilannya bersambut. Kedengaran suara wanita di hujung talian memberi salam.

“Waalaikumussalam, mama. Jeff baru sampai rumah ni. Tadi masa mama call, Jeff tengah bawa motor,” beritahu Jeffry sambil memejamkan mata. Melepaskan penat.

“Oh... patutlah mama call tak jawab. Jeff dah makan?” Latifah berasa lega. “Macam mana exam siang tadi? Boleh jawab tak?”

“Bolehlah, mama. Tak tahulah lulus ke tak.” Jeffry tergelak perlahan. Dibuka matanya semula. Dia memang bukan seorang pelajar yang beria-ia sangat belajar. Belajar lebih kurang sudah. Asal cukup lulus, cukuplah.

“Insya-ALLAH lulus. Jeff kan selalu studi. Walaupun mama kat Kota Kinabalu, hari-hari mama doakan Jeff.”

Terharu pula Jeffry mendengarnya. “Terima kasih, ma.”

Suasana sepi seketika.

“Dah cuti ni, Jeff datanglah Sabah. Tinggal dengan mama. Mama rindu Jeff. Liza dengan Liana pun rindukan Jeff. Dia orang selalu sebut pasal Jeff. Jeff tak rindukan mama ke? Tak rindukan adik-adik Jeff tu? Datanglah sini, Jeff.” Nada suara Latifah mula kedengaran sayu.

“Jeff memang nak ke sana, ma. Tapi nantilah... Jeff cakap dengan papa dulu.”

“Papa kan offshore. Takkan papa nak marah.”

“Memanglah papa offshore. Tapi Jeff kena beritahu dia dulu. Kalau tak, bising dia nanti. Mama jugak yang kena marah dengan dia. Jeff tak naklah papa marah-marah mama. Mama bukan tak tahu perangai papa tu.”

Latifah mengeluh. “Perkara tu dah lima tahun berlalu. Kenapa papa masih tak maafkan mama?” Bergenang air matanya. “Mama tahu, mama yang silap. Mama dah banyak kali minta maaf. Lagipun, mama dah tak ada hubungan lagi dengan papa. Takkan papa masih marah lagi? Macam mana sekalipun, Jeff tetap anak mama. Liza dengan Liana tetap anak dia. Dah lima tahun, sekali pun dia tak datang menjenguk adik-adik kamu ni.”

Jeffry diam. Dia tahu mamanya sedang menangis. Peristiwa pahit lima tahun lalu langsung tak mahu diingat. Itulah detik paling pedih yang pernah dihadapi dalam hidupnya. Tatkala melihat pertengkaran demi pertengkaran antara Afdin dan Latifah yang berakhir denganperceraian, tatkala Latifah dihalau dari rumah, tatkala Liana dan Liza menangis-nangis kerana mahu mengikut Latifah pulang ke kampung halaman. Peristiwa itu berlaku ketika dia berusia 17 tahun. Dia dah boleh berfikir dan menilai.

Dia juga menangis kerana tak mahu Latifah pergi. Kata papa, mama curang dengan guru tuisyen Liza yang datang mengajar mata pelajaran UPSR di rumah. Entahlah... dia tak pernah nampak dan tak tahu langsung Latifah ada apa-apa hubungan dengan lelaki itu.

Oleh kerana Latifah menuntut hak penjagaan, Liana dan Liza diarahkan tinggal bersama Latifah yang kini menetap di Kota Kinabalu. Ketika itu Liana berusia 15 tahun, Liza pula 12 tahun. Masih di bawah umur.

“Jeff...” seru Latifah sambil teresak. “Nanti datang sini ya? Mama rindukan Jeff.”

Jeffry diam. Dia tak tahu kenapa kemarahan dan dendam papa terhadap mama sampai sekarang tak pernah surut.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.