SEPANJANG perjalanan Mala dan
Eja mengomel. Ayu tadah telinga saja. Membalas tidak, menjawab pun tidak.
Sebenarnya, bukan baru sekarang minah berdua itu membebel. Tapi, sejak selepas
mereka terserempak dengan Ayu dan Geng Mat Ngek tengah hari tadi. Apabila ada
peluang, Mala dengan Eja mesti ungkit pasal tu. Hisy...
“Kalau kau suka sangat kat Shahrul tu, cakaplah kat dia. Tak payah nak
sorok-sorok. Bercinta diam-diam ni dah tak musimlah, Ayu.” Mala masih nak paksa
supaya Ayu mengaku.
Ayu buat-buat tak dengar. Ingatkan dah selesai.Dia orangkorek balik cerita tu.
Dia tergeleng dalam hati.
“Eh, kau nak ke tengok Ayu ni couple dengan Mat Ngek, erk?” Eja
mencemik.
“Aku pun mula-mula tak setuju jugak. Tapi manalah tahu lepas couple
dengan Ayu, si ngek tu berubah. Tak mustahil, kan?” Mala mengerling Ayu.
“Pandai kau eh? Senyap-senyap je pergi jumpa Geng Mat Ngek tu. Kau dah pandai
sekarang eh? Gatal jugak kau ni.”
Aduh... sudah-sudahlah membebel. Penatlah nak dengar. Ayu masih tak peduli
dengan apa yang Mala cakap. Dia terus melangkah mencari kedai jam tangan di
dalam bangunan Alam Sentral itu.
“Kau cakaplah sampai bibir kau tu terjuih ketanah, Mala. Dia tetap dengan muka
blur dia tu. Bukan dia peduli pun kau cakap apa. Yang kau beria membebel
ni kenapa? Kau pun suka kat Geng Mat Ngek tu ke?” Dahi Eja berkerut memandang
Mala.
“Eh... tak ada maknanya aku nak kat orang sewel macam dia orang tu! Anak
setan tu. Tolong sikit!”
Eja tergelak. Mala ni agak anti dengan lelaki. Bukan anti sebenarnya. Tapi
dia ni macam geli-geleman bila sebut pasal bercinta. Konon-konon alergik gitu.
Poyo kan?
“Kau nak buat apa pergi kedai jam, Ayu?” Mala terus mengalih topik kerana
tak mahu Eja syak apa-apa. Dia memang tak ada apa-apa perasaan langsung dengan
Geng Mat Ngek. Kekacakan mereka tak mampu menambat hatinya kalau perangai
masing-masing macam anak setan!
“Dia nak beli jamlah kot. Habis tu, nak buat apa lagi?” Eja yang tolong
menjawab.
Ayu masih buat tak reti. Dia ni jenis diam sikit. Lebih-lebih lagi apabila
sudah buat salah.
“Kau nak belikan jam untuk Shahrul eh? Kau jangan nak mengada-ngadalah,
Ayu. Baru kenal dah nak bagi macam-macam. Dia cakap suka kat kau pun
entah-entah belum lagi. Ni yang aku malas kalau orang dah angau cinta ni. Kau
dengan Shahrul tu dah bercinta ke? Ada ke dia cakap dia cinta kat kau?” Mala
seolah-olah tak puas hati selagi Ayu tak beritahu hal sebenar.
Eja terdiam. Mendengar kata-kata Mala sudah membuatkan dia juga
tertanya-tanya. Biar betik! Ayu tu mana pernah bercinta.
Ayu menoleh memandang dua orang kawannya itu sekilas sambil
menggeleng-geleng, isyarat malas nak layan. Dia melangkah menaiki eskalator
tanpa membalas kata-kata Mala.
Eja menyenggol lengan Mala dengan muka berkerut marah. “Kau punya pasallah
ni. Tengok Ayu tu,” bisiknya agak keras. “Dah merajuk pulak.”
“Apa aku pulak?” Mala terpinga-pinga kononnya. Dia dan Eja mengekori Ayu
sehinggalah tiba di sebuah kedai jam di tingkat 2 itu.
Eja menyenggol lagi lengan Mala sambil menjuih bibir ke arah Ayu. Dia mahu
Mala pujuk Ayu sampai gadis itu okey.
“Yalah, yalah!” Mala berbisik geram. Dia menghampiri Ayu buat-buat tolong
mencari jam tangan yang cantik di rak. Apabila Ayu tak menoleh, dia berdeham.
Ayu masih tak menoleh. Dia tunduk meneliti jam tangan yang tersusun di rak
kaca itu.
“Aku bukan apa, Ayu... aku sayangkan kau. Aku tak naklah Geng Mat Ngek tu
yang jadi pakwe kau. Kalau boleh pilihlah yang okey sikit. Tapi kalau kau dah
suka, nak buat macam mana... terpulanglah pada kau. Aku cuma boleh doakan yang
Shahrul tu nanti berubah jadi baik. Insya-ALLAH...” Akhirnya Mala mengaku apa
yang terbuku dalam jiwanya. Sebab itulah dia membebel-bebel sejak tengah hari
tadi.
“Bila masa pulak aku bercinta dengan Mat Ngek tu?” balas Ayu. Barulah dia
nak mengupas topik ni apabila dilihat emosi Mala merundum sedikit. Barulah
tenang nak berbahas.
“Habis tu, macam mana kau boleh jumpa dia orang tengah hari tadi?”
“Aku terserempak dengan dia orang ajelah,” helah Ayu. Ah... sukarnya nak
berterus terang. Hatinya menjerit.
Mala memandang Eja. Eja angkat bahu.
“Yang aku pelik, dalam banyak-banyak toilet, kenapa kau nak pergi
yang dekat dengan Dewan Permata tu?”
“Betul, betul, betul!” Eja menyokong Mala.
“Aku syak sebab sebelum habis kelas, kau menggelabah semacam. Sampailah
lepas habis kelas.”
Ayu berputus asa. Mala ni pandai menyerkap.
“Aku dengan Eja dapat rasa yang kau sukakan Shahrul tu. Dari hari tu lagi
kita orang dapat agak sebenarnya. Baik kau mengaku sebelum kantoi lagi dengan
kita orang. Kau tu mana boleh sorok apa-apa dengan kita orang. Lambat-laun kita
orang akan tahu jugak. Cakap ajelah kau suka kat dia. Apa masalahnya?” Mala
sudah malas nak berteka-teki.
Ayu tahu, dia takkan dapat sorok apa-apa daripada Mala dengan Eja.
“Aku kalau dia dah buat muka blur, payahlah sikit.” Mala naik
bingung pula.
“Dah memang muka dia muka blur.” Eja ketawa. Entah macam manalah
Ayu boleh buat muka macam tu.
“Aku buat apa? Aku tak buat apa-apa pun.” Lurus Ayu bertanya kehairanan.
Mala dan Eja selalu kata dia buat muka ‘blur’. Muka ‘blur’ tu macam mana?
“Sebab kau tak buat apa-apalah muka kau tu nampak blur. Aku rasalah
kan...orang rabun warna ni memang blur!” Eja masih ketawa.
Spontan Mala menyenggol Eja.
Saat itu barulah Eja tersedar yang dia terlepas cakap.
“Oopss... sorry.” Dia menyeringai buat muka bersalah pada Ayu.
Ayu melepaskan nafas berat. “Tak apalah. Memang aku rabun warna pun.” Ya,
memang dia rabun warna. Sebab itulah pakaiannya berwarna-warni. Dia tak boleh
membezakan warna. Semuanya kelihatan hampir sama. Lebih-lebih lagi warna hijau
dan coklat. Sejak kecil dia sudah diajar menghafal warna. Tapi warna hijau
dengan coklat susah betul dia nak bezakan. Warna biru pula dengan ungu. Baginya
sama saja kedua-dua warna itu.Apatah lagi
warna yang cair-cair ni. Lagi susah dia nak teka.
Dia tak peduli kalau orang ketawakan penampilannya. Dia tak kisah kalau
Jeffry dan Geng Mat Ngek memanggilnya minah warna-warni. Dia tak ambil hati
apabila dimarahi Maziah kerana ada kala dia tersilap memberi air minuman pada
pelanggan di gerai. Dia tak marah langsung apabila Maziah membebelkannya yang
tak reti masak. Rabun warna membuatkan banyak benda yang dia tak boleh buat dan
kalau dia buat, dia akan ragu-ragu. Memang dia rabun warna. Nak buat macam
mana? Dah ini takdir untuknya. Tiada siapa yang tahu kecuali ibunya, Mala dan
Eja.
“Yalah... tapi kau pun takkan nak cakap kuat-kuat, Eja.” Mala menyalahkan
Eja. “Kau nak semua orang tahu ke pasal Ayu ni rabun warna.”
“Yalah, yalah... sorry. Aku terlepas cakap. Sorry eh?” Eja
buat muka meminta simpati pada Ayu.
“Dahlah... cuba diam sikit. Aku nak pilih jam ni.” Ayu malas nak melayan
kawan-kawannya itu. Aku tak buat apa-apa, kata muka aku blur pulak. Dia
merungut dalam hati.
“Tapi memang betullah kau suka Shahrul?” Mala tak putus asa.
“Ya!”
Mala dan Eja terbeliak merenung Ayu.
Ayu yang terlepas cakap terus ternganga. Adoi... kantoi!
HAMPIR waktu maghrib, barulah
Ayu sampai di rumah. Membelek jam punya pasal, sampai lambat pula dia pulang.
Ketika baru saja menjejakkan kaki di koridor tingkat 3, dia sudah dengar suara
Maziah. Maziah sedang berleterkan anak-anaknya yang masih belum mandi.
“Hah, ni lagi sekor! Dah maghrib baru kau terpacak kat rumah! Kau ingat
rumah ni macam sarang burung? Dah gelap baru reti nak balik?” Maziah terus
berleter apabila nampak Ayu melangkah masuk ke dalam rumah.
“Maaf, mak cik. Ayu pergi kedai lepas habis kelas tadi. Ayu gantikan jam
mak cik yang pecah tu,” jelas Ayu sambil mengeluarkan kotak jam yang dibelinya
tadi dari dalam beg.
Bibir Maziah tersungging senyuman, namun masih mahu berleter. “Dah
berkurun baru kau nak ganti? Apasal tak tunggu tahun depan aje? Dah rosakkan
barang orang, cepat-cepatlah ganti. Takkan tu pun kau tak boleh fikir.”
Ayu menelan liur. Bukan dia tak nak ganti cepat-cepat. Dia terpaksa
berjimat-jimat, kumpul duit yang ibu berikan semata-mata nak beli jam tangan
itu. Sebab tu ambil masa sikit. Mujurlah Maziah tak ingat yang dia pernah beri
amaran supaya gantikan jam tangan itu dalam tempoh seminggu aje. Dihulurkan
kotak jam itu kepada Maziah.
Maziah mengambilnya dengan hati yang sangat gembira. Saat dia membuka kotak
itu, terasa mahu melompat di situ juga. Cantiknya! Dan dia tahu harganya pasti
lebih mahal daripada jam tangannya yang rosak. Tak sia-sia aku tuduh kau, Ayu.
Dia belikan yang lebih bagus daripada jam buruk aku tu. Aku saja aje cakap yang
jam aku dulu harga dua ratus.
“Nak tengok, nak tengok!” Mastura dan Adila berlari-lari mendapatkan
Maziah, mahu tumpang melihat jam tangan tersebut. Masing-masing terbeliak.
“Ni mesti mahal,” komen Adila.
“Biarlah mahal pun! Dah dia pun mencuri duit aku. Orang yang mencuri ni
balasannya nilah! Duit yang dia dapat tu tak berkat. Dapat duit curi, tapi
lepas tu kena ganti barang yang dia rosakkan. Adillah tu, kan?” Maziah
mencuba-cuba jam itu di pergelangan tangannya. Sesuai sangat. Dia tersenyum.
Tergeleng-geleng Ayu di dalam hati. Sampai hati Maziah tuduh dia mencuri.
Dan dia tak pernah rosakkan jam tangan mak ciknya itu. Sedih hatinya dituduh
begitu. Sedangkan dia pula tak ada bukti nak membela diri.
“Haa... itulah padahnya. Padan dengan muka kau!” Maziah menyakitkan hati
Ayu lagi. Disimpan semula jam itu di dalam kotak. “Anak-anak mak jangan nak
tiru perangai Ayu ni. Hidup dahlah menumpang. Tak bersyukur pulak tu.
Mencurilah... rosakkan barang oranglah. Tak elok perangai macam tu. Dah, dah...
pergi mandi! Asyik menghadap TV aje kau orang ni!” Suaranya melengking kembali.
Anak-anak Maziah buat tak reti. Masing-masing kembali duduk menghadap
televisyen. Raffi lagilah. Selagi tak malam, selagi itulah tak nampak batang
hidung di rumah.
“Ayu minta maaf sebab lambat ganti, mak cik.” Ayu masih mahu berbahasa.
Adat menumpang, kenalah tahu berbudi.
“Kau ni untunglah dapat mak cik macam aku, Ayu. Untung sangat-sangat!
Kalau kena orang lain, dah lama kau kena halau tau. Sudahlah mencuri, asyik
menjahanamkan harta benda aku dalam rumah ni. Memang kau untung sangat-sangat
sebab aku ni penyabar. Itupun kau tak sedar diuntung.”
Ayu melangkah masuk ke dalam bilik
dengan hati yang kelat. Untung ke? Untung ke kena tuduh macam-macam? Ya
ALLAH... sabarkanlah hatiku ini. Tabahkan diriku agar dapat melalui semua ini,
ya ALLAH...