Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
212,075
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 17
"OKEY, kelas. Kelas kita habis awal hari ni,” beritahu Encik Ghafar kepada pelajar-pelajarnya.

Apa lagi, bersoroklah satu kelas. Yang berlebih-lebih siapa lagi kalau bukan Geng Mat Ngek. Jeffry sampai berdiri buat riuh. Atang dengan Fauzi pun sama naik. Macam monyet!

“Tapi, tapi...” Suara Encik Ghafar bergema menenangkan suasana. Semua terdiam.

“Tapi saya nak kamu semua pergi cari bahan untuk assignment ni. Kamu kena faham dulu apa maksud conceptual photography. Barulah kamu tahu apa yang patut kamu shoot.”

“Alah...” Ternyata masing-masing tak gemar diberi tugasan begitu. Semua mahu disuap. Semua nota nak depan mata.

“Cari katlibrary, banyak. Kat internet pun ada, tapi jangan plagiat okey? Jangan ingat saya tak tahu. Siapa yang plagiat saya terus bagi markah kosong!” kata Encik Ghafar tegas. Seketika kemudian dia terus keluar.

Masing-masing melepaskan nafas berat. Apa ni? Bagi tahu tajuk, terang sikit-sikit, lepas tu suruh cari sendiri, buat assignment. Aduh... pening, pening!

“Apa macam ni?” Burn mendapatkan Jeffry dan Atang yang sudah mahu keluar dari kelas. Mereka beriringan keluar. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang lain.

“Jom pergi library,” ajak Fauzi.

“Tak payahlah. Search aje kat internet. Apa nak susah-susah pergi library? Buat mengantuk aku aje nanti.” Atang menolak. Dia bercadang nak lepak kat mana-mana. Minum-minum, borak-borak, gelak-gelak.

“Alah, awal lagi nak balik.” Jeffry memandang jam tangannya. Hampir pukul 3.00 petang. “Lepak library sesekala best jugak.” Dia mengangkat kening ke arah kawan-kawannya. “Kat library ramai... gadis-gadis,” umpannya.

Burn dan Fauzi sudah tergelak nakal. Atang yang mula-mula tak setuju mula tersengih.

“Eh, mana Shahrul?” Mata Jeffry melilau. Kala ternampak Shahrul jauh di belakangnya, dia melaung memanggil lelaki itu. “Jom pergi library.”

Shahrul merapati sambil menggalas beg sandangnya. “Tak bolehlah. Aku nak balik. Petang ni aku nak ikut cousin aku. Ada job.”

“Oh...” Jeffry terangguk-angguk. Tak apalah. Biarlah dia ada kerja.

“Eh, kan cousin kau kerja malam? Dah tukar syif ke?” tanya Atang.

“Dia kena pergi awal. Klien nak jumpa pukul 5.00 nanti. Aku kenalah temankan dia. Cari duit lebih sikit.”

Mereka tak mampu nak membantah kata-kata Shahrul. Masing-masing tahu yang Shahrul sejak cuti semester hari itu lagi gigih betul kerja sambilan. Sudah habis cuti semester pun terbawa-bawa nak bekerja lagi.

“Okeylah... jumpa esok. Dapat nota nanti pas kat aku eh?” Shahrul berjabat tangan dengan kawan-kawannya. Berjabat cara orang muda. “Bye!

Jeffry merenung sehingga bayang Shahrul menghilang daripada pandangan. Ada sesuatu yang berbisik-bisik di hati tentang sahabatnya itu. Ada yang membuatkan dia mula rasa... Ah, tak apalah. Biarlah.

“Baguslah Shah tu. Dah pandai cari duit sendiri,” puji Fauzi tiba-tiba.

“Ingatkan dia kerja masa cuti hari tu aje,” komen Atang pula.

“Dia nak kahwin ke?”

“Apa kau merepek ni?” Jeffry menepuk kuat bahu Fauzi. Ada riak tak senang di mukanya.

“Aku tanya aje. Dia dengan minah warna-warni tu, kan?” Fauzi masih dengan teorinya.

“Ayu?” Burn dan Atang serentak menyebut.

“Tak ada maknanya!” sanggah Jeffry. “Kalau dia ada makwe, dah lama dia bagi tahu kita. Dahlah, dahlah! Jom pergi library.” Dia melangkah mendahului yang lain-lain. Mukanya tegang dan serius. Dia orang ni pandai-pandai aje buat cerita.


“KENAPALAH makin susah apa yang kita belajar ni? Kalau aku tahu susah macam ni, banyak assignment pulak tu... habis diploma dulu aku terus kerja. Senang! Tak payah memberatkan kepala otak fikir semua ni.” Eja merungut sambil tangan menyelak-nyelak dua tiga buku teks di hadapannya.

“Hai... kenapa tak cakap lepas habis diploma kau terus kahwin? Senang! Tak payah kerja. Kau layan suami dengan anak-anak kau aje. Lagi senang. Duduk kat rumah aje,” perli Mala.

“Aku cuma akan kahwin kalau dengan anak Datuk.”

“Anak Datuk mana yang pandang kau? Eh, kau ni... Cubalah kalau nak senang tu dengan usaha sendiri. Ni semua nak senang. Tu namanya nak merendah-rendahkan maruah kau sendiri,” bebel Mala lagi. Dia cukup anti kalau ada perempuan yang berhajat nak kahwin dengan anak orang kaya semata-mata sebab nak senang. Tak ada harga diri betul!

“Kalau dah jodoh, tiba-tiba ada anak Datuk nak kahwin dengan aku, nak buat macam mana? Terima ajelah.” Eja mempertahankan pendapatnya. Salah ke kahwin dengan anak Datuk? Jodoh kan dah ditentukan ALLAH.

“Banyaklah kau punya ‘tiba-tiba’. Haa... tiba-tiba ada anak Datuk nak kahwin dengan kau. Lepas tu tiba-tiba dia nak kahwin dengan perempuan lain. Tiba-tiba pulak dia ceraikan kau. Menjandalah kau tiba-tiba,” tekan Mala pada perkataan ‘tiba-tiba’ itu.

“Apa kau ni?” Eja memuncung. “Belum kahwin dah cakap pasal cerai pulak.”

“Aku ni nak ingatkan kau aje. Orang kaya ni senang kahwin, senanglah cerainya.”

“Tak semua orang kaya macam tu!”

“Eh, eh... yang kau orang berdua ni bertekak kenapa?” Ayu yang sedang tekun menyalin nota rasa terganggu. Boleh pula budak berdua ni berbahas di depannya. Cerita pasal kahwin cerai pulak tu.

“Eja ni. Gatal sangat nak kahwin.” Mala menjeling Eja.

“Eh... aku pulak? Kau yang tiba-tiba cerita pasal kahwin.” Eja melenting.

“Eeii... kau orang ni. Bisinglah! Ni library.” Ayu meletak jari telunjuk di bibir. “Senyap.” Kalau tak dileraikan, sampai minggu depan pun Mala dan Eja bercakar lagi. Macam budak-budak!

Eja buat muka bonyok. Mala yang salah, aku pun kena marah sama. Dia kembali membaca notanya.

“Yalah... aku salah.” Mala faham maksud riak muka Eja. Kecik hatilah tu! “Aku ni bu...” Kata-katanya terhenti apabila terpandang sesuatu di hadapannya.

Eja dan Ayu pelik melihat riak Mala yang berubah kelat dengan mulut terlopong sedikit. Mereka menoleh. Huh, patutlah!

“Tak ada orang lain ke?” Eja mencemik sambil kembali menatap bukunya.

Serta-merta dada Ayu bergemuruh kencang. Dia berpura-pura buat fokus. Sedang mukanya sudah terasa panas dan merah.

Jeffry tersengih-sengih menghampiri meja gadis-gadis itu. Dia memandang Atang. Atang menjongketkan kening sambil ketawa. Mangsa! Mangsa!

Fauzi dan Burn pun tersengih dengan muka mengada-ngada. Nak mengusiklah tu!

“Aku kalau Geng Mat Ngek ni datang, aku rasa macam nak pinjam mesin masa Doreamon!” Mala menggumam meluat.

“Buat tak nampak, buat tak nampak.” Eja konon-konon tekun menelaah. Dia sempat menjeling Ayu yang tunduk membaca nota. “Aku nampak kau suka,” bisiknya.

Ayu spontan memandang Eja. “Mana ada!” bisiknya keras sambil menyenggol lengan kawannya itu. Makin bertambah panas mukanya ketika ini. Eja dan Mala dah tahu yang dia suka Shahrul. Habislah dia.

“Kau jangan nak menggedik!” Mala sempat memberi amaran dalam bisikan tegas. Dia berpura-pura menulis sesuatu di buku nota.

“Amboi... rajinnya gadis-gadisku,” tegur Atang terlebih dahulu tatkala mereka tiba di meja tiga orang gadis itu.

“Ni yang rajin sangat menelaah ni, nak exam ke esok?” usik Jeffry.

Yang lain-lain ketawa agak perlahan kerana berada di dalam perpustakaan. Dia orang ni reti jugak tengok keadaan walaupun nak mengacau hidup orang.

“Kita orang ni bukan macam kau orang. Esok nak exam, baru nak baca buku,” perli Mala. Dia menjeling Jeffry.

“Kita orang ni, esok nak exam, bulan depan baru baca buku tau. Dah pandailah katakan,” selorah Jeffry.

Lelaki-lelaki itu ketawa mendengar jenaka Jeffry.

Ayu memandang Jeffry. Hisy, dia ni! Tak lawak okey? Loyar buruk, suka mengusik, nakal, anak setan... nauzubillah! Menyampah!

Dia lihat hanya Jeffry, Atang, Fauzi dan Burn saja yang ada. Shahrul mana? Dia tertinjau-tinjau di sekitar ruang itu. Agaknya masuk lambat sikit. Mungkin ada hal. Kejap lagi masuklah tu.

“Hari tu kata nak bagi kita orang nota subjekBusinessEthics. Tak ada pun. Tipulah awak-awak ni. Tak sukalah kita macam ni.” Fauzi buat perangai mengada-ngada.

Burn menyokong. “Entah. Kita orang tunggu tau. Tak baik lokek ilmu. Tak berkat nanti.” Ewah, pandainya mengayat.

“Bila masa kita orang kata nak bagi?” Eja menyombong. Nak bagi kau orang nota? Jangan harap. Nak benda senang aje!

“Tanya awak memang kedekut! Kedekut Hajah Bakhil. Saya tanya Ayu. Ayu baik, sopan...” Fauzi memandang Ayu sambil tersenyum manja. “Cantik,” sambungnya.

“Kau jangan nak puji lebih-lebih.” Burn menepuk kepala Fauzi. “Ayu tu dengan Shahrul.”

“Huh?!” Fauzi terbeliak, terkejut.

“Aihh...” Jeffry lantas menepuk kepala Burn. “Menyibuk!” Mukanya masam. Entah kenapa hatinya tiba-tiba rasa sakit bila kawan-kawannya cakap pasal Ayu dan Shahrul.

Muka Ayu terasa panas. Dia orang pun tahu aku suka Shahrul ke? Alamak, malunya! Ya ALLAH... tak mungkinlah dia orang tahu. Dia orang ni main serkap jarang aje tu. Dia mengerling Jeffry. Muka lelaki itu mencuka. Apasal? Aku bukankacau kau pun.

“Mana kawan kau orang yang nama Shahrul tu?” Mala pula yang bertanya. Pelik dia tengok Geng Mat Ngek tak cukup seorang. Biasanya berlima.

“Apa hal nak tahu?” Jeffry mula berangin.

“Tanya pun tak boleh?” Mala berkerut dahi.

Ayu cuak. Hai... macam nak gaduh pulak. Tanya pasal Shahrul aje pun. Jeffry ni selain suka menyakat orang, cepat naik angin juga rupa-rupanya. Yalah... anak setan.

“Dah, jomlah! Kita datang sini nak cari bahan assignment. Bukan ‘membahan’ dia orang ni. Buang masa aku ajelah!” Jeffry terus berlalu dari situ.

“Oh... tahu pulak kau orang nak buat assignment. Ingatkan tak tahu. Kalau tak, kerja kau orang asyik nak mengacau orang aje. Eh, kau orang tahu ke apa maksud assignment? Kalau tak tahu boleh tengok kamus. Jangan reti sebut aje.” Pedas pedih kata-kata Eja.

Atang rasa geram diperli begitu. Sambil berlalu sempat dia menyelerakkan buku-buku di atas meja di hadapan Eja.

“Hei, hei...” Eja melangsing suaranya.

“Syhh...”

Terdengar suara-suara menyuruh diam di dalam perpustakaan itu.

Masing-masing terkedu. Ayu, Mala dan Eja kembali tunduk menatap buku, pura-pura menelaah. Tidak berani mengangkat muka. Banyak mata yang sedang memerhatikan mereka rupa-rupanya.

Jeffry memanggil kawan-kawannya ke arah celah sebuah rak buku. “Sini, sini...” lambainya sambil berbisik.

Geng Mat Ngek menurut.

“Kau tulislah apa-apa kat kertas. Lepas tu kita tampal kat belakang tudung dia orang. Bagi orang gelak.” Idea Jeffry nakal seperti biasa.

Atang teruja. “Haa... bagus-bagus. Aku suka. Cepat, cepat... tulis.”

Burn dengan Fauzi masing-masing tangkas. Burn mengeluarkan pen dari begnya. Fauzi pula mengoyakkan tiga helai kertas dari buku notanya. Sanggup!

“Apa barang pakai pen? Pakaimarkerlah! Baru orang nampak,” kata Jeffry.

“Aku tak adamarker,” beritahu Burn.

“Aku ada, aku ada...” Atang mengeluarkannya dari bekas pen.

“Haa... tulis cepat. Cepat!” Jeffry rasa teruja semacam.

“Aku ada idea!” Atang terus menulis.

Jeffry sudah menahan ketawa. Atang memang bagus! Otak geliga bersinar-sinar.

“Jom, jom... cepat!” Jeffry mengetuai yang lain-lain setelah siap.

Perlahan-lahan mereka menghampiri Ayu, Mala dan Eja. Kelihatan tiga orang gadis itu sedang tunduk tekun menelaah. Cantik! Senang nak melaksanakan misi.

Senyap-senyap mereka menghampiri gadis bertiga itu dan...

“Budak Mat Ngek ni lagi!” Mala terperasan kehadiran geng yang dia paling menyampah itu.

Atang yang melekapkan kertas di belakang tudung Mala terkejut. Namun, nasib baik Mala tak perasan. Eja dan Ayu pun tak sedar Jeffry dan Fauzi menampal kertas di belakang tudung mereka. Fuh...

“Kau orang tak menyibuk kat sini tak boleh ke?” Mala melaser tanpa waswas.

Jeffry tersengih-sengih sambil perlahan-lahan berundur dari situ. Kawan-kawannya pun begitu.

Ayu berasa lain macam. Biasanya Geng Mat Ngek datang nak mengacau. Ni diam aje. Pelik. Malas nak berfikir, dia kembali tekun menyalin nota.


“KITA nak makan dulu ke?” Sesudah mengemas buku dan alat tulis, Eja bertanya.

Mala memandang Ayu yang sudah berdiri, bersedia nak keluar dari perpustakaan itu. “Kau?”

Ayu menggeleng. “Aku terus balik rumah. Kau makanlah berdua.”

“Takut kena bebel dengan mak cik dialah tu.” Eja mencebik. Kadang-kadang dia geram juga dengan Maziah tu.

“Aku kenyang lagi.” Ayu beralasan. “Jomlah.”

“Kita beli bungkus ajelah, Mala. Makan dalam bilik aje.”

Mala mengangguk, setuju dengan cadangan Eja. Mereka berdua tinggal sebilik. Senang kalau nak berbincang dan belajar sama-sama.

Mereka bertiga jalan beriringan keluar dari situ.

Mala tiba-tiba teringat sesuatu.“Esok aku rasa tak dapat...”

“Buk!”

“Aduh!” Mala menoleh ke belakang apabila terasa kepalanya diketuk. Tak jadi dia menghabiskan ayat tadi. Dilihat duaorang pelajar lelaki memintasnya sambil tertawa kecil. “Apa hal kau ni?!” marahnya.

Lelaki-lelaki itu ketawa.

“Apasal dia orang tu? Gila ke buang tabiat? Tiba-tiba ketuk kepala orang.” Eja pun rasa nak marah.

“Lelaki sekarang ni suka cari pasal. Sengaja nak perhatian.” Ayu membuat rumusan. Yalah, tiba-tiba aje cari pasal. Kenal pun tidak.

Ketika melalui kaunter sebelum pintu keluar perpustakaan, petugas-petugas di situ ketawa sambil memandang mereka. Ada yang menunjuk-nunjuk ke arah mereka dan ketawa.

Ayu mula rasa lain macam. Apasal dia orang ni? Tak pernah tengok orang ke? Pandang-pandang lepas tu ketawa. Pandang-pandang, ketawa.

“Wei, minah sewel!”

Ayu, Mala dan Eja berpaling ke arah suara itu. Pelajar lelaki itu tersengih-sengih macam kerang busuk.

Geram Ayu melihat lelaki itu. Selamba panggil orang minah sewel. Gila! Dia tengok Mala dan Eja sudah menarik muka masam. Masing-masing menahan marah. Apa hal semua orang dalam perpustakaan ni? Jangan-jangan...

Ketika melalui pintu keluar dari perpustakaan, dia membiarkan Mala dan Eja keluar dulu. Ketika itu barulah dia tahu kenapa mereka diketawakan.

“Memang nak kena dia orang ni! Mala, Eja... tengok belakang aku ni,” arah Ayu setelah berada di luar perpustakaan.

Sebaik saja membaca apa yang ditulis di belakang Ayu, Mala dan Eja gelak macam nak pengsan.

“Patutlah dia orang pandang kita ketawa-ketawa, dia orang ketawakan kau!” Eja ketawa terkekeh-kekeh.

Mala mencabut sehelai kertas yang melekat di belakang tudung Ayu itu sambil ketawa.

Ayu mencapai kertas tersebut dari tangan Mala.


Saya budak terencat. Gelakkan saya. Hahahaa...


Patutlah! Siap ada ikon ‘smiley’ lidah terjelir lagi. Kurang ajar!

Mala dan Eja sudah bantai gelak.

“Oh... ketawa. Ketawa lagi. Ketawalah. Ni kat belakang kau.” Ayu mencapai kertas di belakang Mala.


Ketuklah kepala saya. Saya suka!!!


Terbeliak Mala membaca tulisan di kertas tersebut. “Siapalah yang dajal sangat ni? Kurang ajar! Setan!” Angin satu badan jadinya dia. Dikoyak-koyak kertas itu kegeraman.

Ayu mencapai kertas di belakang Eja pula. “Ni lagi satu.”


Minah sewel yang gersang.


“Astaghfirullah...” Eja mencapai kertas itu dan menggumpal-gumpalnya. “Setan! Dajal! Nak mampus!” Patutlah tadi ada yang memanggilnya ‘minah sewel’.

“Aku rasa aku tahu siapa punya kerja!” Mala menarik muka masam.

Ayu terangguk-angguk. Memang tak syak lagi. Memang! Aku dah syak dari awal lagi. Dia orang mesti ada sesuatu nak kenakan mereka bertiga. Kalau dah Mat Ngek tu, Mat Ngek jugak!

“Jaga kau, Jeff!” Mala hampir mahu menjerit di situ rasanya.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.