Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
120,231
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 19

“Tunggu kejap!” Nada suara Dahlia tinggi. Dia yang tadi berada di dapur, segera keluar ke ruang tamu apabila mendengar Zairi sudah pulang.

Langkah Zairi terhenti. Dia baru saja beberapa langkah dari pintu rumah. Tercegat dia memandang Dahlia.

“Saya ada hal nak beritahu.”

Zairi menghempas nafas lemah yang panjang. “Esok-esok ajelah. Saya penat ni.” Suaranya bernada malas.

“Esok-esok tu bila? Ni pun saya tunggu abang balik kerja sampai tengah malam. Hari-hari balik malam.”

Dikerling jam dinding yang menunjukkan hampir pukul 12.00 tengah malam.

“Saya kerja kan?”

“Orang lain pun kerja jugak. Tapi ada masa untuk isteri, untuk keluarga.” Dahlia mengeluh.

Zairi diam. Kaku dia berdiri di tengah-tengah ruang tamu itu.

Dahlia memandang Zairi dari atas hingga ke bawah. Zairi di hadapannya sekarang sudah tak seperti Zairi yang dia kenal selama ini. Zairi di hadapannya ini dingin, beku dan kosong. Dia bagaikan sudah kehilangan suaminya.

Beberapa detik berlalu. Namun, hanya sepi yang mengisi ruang itu. Masing-masing tak bersuara. Hanya Dahlia memandang Zairi. Sedangkan Zairi merenung ke dinding. Melihat sikap suaminya itu, hati Dahlia jadi sayu. Seolah-olah dia tak kenal siapa sebenarnya Zairi.

Matanya mula bergenangan. Perasaan sebak bergulung-gulung menyesakkan dada. Ditahan gelora di hati agar dia dapat bertenang.

“Nak cakap apa? Cepatlah...” Zairi bersuara malas-malas sambil menyeluk poket seluarnya. Telefon bimbit dikeluarkan dan dia mula ralit dengan gajet itu.

Tak peduli dengan sikap acuh tak acuh Zairi, Dahlia menghampiri suaminya itu.

“Tak salah apa yang saya sangka selama ni. Rumah ni memang ‘keras’.”

Zairi mengeluh lagi. “Sudah-sudahlah tu... jangan nak merepek.”

“Saya dah jumpa jiran kita,” tunjuk Dahlia ke arah rumah Ana. “Dia kata, sejak lima tahun tinggal kat sini, rumah ni tak ada sesiapa yang duduk.”

So?” Dahi Zairi berkerut. Dia tak boleh nak hadam apa maksud Dahlia yang sebenar.

“Rumah kalau dibiar kosong lebih 40 hari, akan ada yang tinggal kat situ. Inikan pulak kalau dah lima tahun, bang. Rumah ni memang ada ‘benda’ yang duduk.”

“Jiran baru kenal sehari dua dah percaya bulat-bulat.”

Membulat mata Dahlia. Rasa panas naik ke muka mendengar kata-kata Zairi itu.

“Kalau saya tak percaya apa yang jiran kita kata, saya nak percaya cakap siapa?”

“Tak... sekarang ni, kenapa senang-senang nak percaya dengan orang yang baru kenal?”

“Saya tak rasa ada muslihat bila jiran kita cakap macam tu. Saya tak nampak sebab apa dia nak berbohong dengan saya. Lainlah tuan rumah ni. Macam-macam yang dia dah gula-gulakan abang, sampai abang tak percaya apa saya cakap. Sebab dia nak kita sewa jugak rumah berhantu dia ni!”

Tergeleng-geleng Zairi sambil tersenyum sinis. “Mana hantu? Mana? Mana?!” Diliarkan mata ke seluruh ruang di situ.

Dahlia memandang Zairi dengan perasaan kesal. Kecil hatinya. Terasa seolah-olah dipersendakan.

“Tolonglah, Dahlia... cukup-cukuplah mereka-reka cerita. Jangan mengarut lagi. Saya dah bosan.”

Genangan air mata Dahlia makin berkaca.

“Apa lagi yang saya boleh buktikan? Supaya abang percaya cakap saya. Apa lagi?”

“Macam mana saya nak percaya? Semua yang awak cakap tak masuk dek akal. Buat saya stress! Ingatkan bila balik rumah boleh tenangkan fikiran. Lagi memeningkan kepala otak adalah!” rungut Zairi. Bengang.

“Kalau tak nak stress, tak nak pening kepala... kita pindah dari sini. Balik Kelantan semula. That’s all!” Nyaring suara Dahlia. Itu saja yang dia minta.

Terus Zairi mengeluh keras. “Kau faham ke tak aku cakap? Kita tak boleh pindah! Tak boleh! Balik Kelantan lagilah tak boleh!” Melengking nadanya.

Dada Dahlia dihurung perasaan sebak mendengar kata-kata Zairi itu. Air matanya luruh ke pipi. Zairi yang berdiri di hadapannya kini bukan lagi Zairi yang dulu.

“Berapa kali aku nak cakap? Kenapa susah sangat nak faham? Kau nak aku cakap bahasa apa baru kau boleh faham? Hah?!”

Dahlia menyeka pipinya yang basah. Ditenung pandangan Zairi. “Dulu sebelum pindah, abang kata nak cari rumah lain kalau jadi apa-apa kat rumah ni. Sekarang? Kenapa tak nak tunaikan janji abang tu?”

Zairi mengeluh berat. Dia tunduk merenung lantai.

“Kenapa dah tak ada rasa percaya abang pada saya walau sekelumit pun? Dah tak macam dulu.” Berderai semula air mata Dahlia.

Lama Zairi diam membisu. Sehingga terasa rumah itu terlalu hening. Dia diam membiarkan akal cuba berfikir. Dia sebenarnya keliru dengan diri sendiri. Entahlah...

“Macam nilah...” Akhirnya Zairi bersuara.

“Aku akan cari ustaz. Biar dia tengokkan rumah ni yang berhantu kononnya.” Kemudian dia berlalu ke bilik tanpa memandang Dahlia.

“Abang!”

Zairi tak mempedulikan panggilan Dahlia. Dia sudah masuk ke dalam bilik.

Dengan langkah lemah Dahlia menghampiri sofa yang paling dekat dengannya. Dilabuhkan tubuh yang terasa tak bermaya di situ. Pedih jiwanya mendengar Zairi berkata ‘kononnya’ dengan nada memerli. Dia yakin Zairi sekadar berbicara kosong.

Berderaian lagi air matanya dalam keheningan malam.

 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.